HomeCategory

Report

April 12, 2019

PILPRES 2019: PRABOWO UNGGUL DI KEPULAUAN SUMATERA, POLA SOKONGAN PROVINSI DIKESAN BERBEDA

Latar Belakang

Republik Rakyat Indonesia akan mengadakan Pilihanraya Presiden (Pilpres) pada 17 April ini, 193 juta akan membuat keputusan sama ada mengekalkan Jokowi atau memilih Prabowo sebagai presiden mereka.

Sebagai negara berjiran yang berkongsi nilai yang sama, sebarang perubahan lanskap politik Indonesia yang mempunyai 267 juta penduduk ini akan turut mempengaruhi Malaysia sama ada secara langsung atau tidak.

Berdasarkan rasional itu, sebarang perkembangan dalam Pilpres 2019 ini perlu diteliti dan dicermati secara dekat oleh Malaysia, data-data ini penting untuk pertimbangan negara dalam aspek hubungan dua hala, ekonomi, budaya, keselamatan dan sebagainya.

Menyedari keperluan tersebut, firma penyelidikan ILHAM Centre telah dan sedang menjalankan tinjauan untuk Pilpres Indonesia 2019. Dapatan kajian ini akan dikongsi kepada khalayak awam untuk diambil manfaat secara bersama.

Pengumpulan Data

Tinjauan kami bermula pada bulan September 2018, pasukan penyelidik ILHAM Centre turun ke lapangan untuk mengumpul data-data awal maklum balas rakyat Indonesia terhadap calon-calon presiden. Pengumpulan data awal ini melibatkan seluruh Pulau Jawa.

Kemudian data dikumpul secara berterusan melalui temu bual dengan responden-responden sama ada menggunakan kaedah tatap muka secara langsung, temu bual atas talian menggunakan teks, serta temu bual atas talian menggunakan audio dan video.

Data juga dikumpul secara analisis dokumen dengan menganalisis pola-pola sokongan melalui bahan-bahan bercetak yang melibatkan akhbar, portal atas talian, media sosial dan pelbagai sumber.

Fasa akhir pengumpulan data ini dilakukan oleh pasukan penyelidik selama 10 hari bermula 8 hingga 17 April 2019 yang melibatkan sepanjang laluan Acheh, Padang, Palembang, Surabaya, Jogjakarta, Bandung dan Jakarta, kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan pengundi yang tinggi.

Selain penyelidik ILHAM Centre dan Universiti Malaysia Terengganu, pengumpulan data fasa akhir ini turut dibantu oleh penyelidik-penyelidik daripada Universitas Malikussaleh, Universitas Teuku Umar, Universitas Islam Negeri Aceh, Universitas Syiah Kuala, Universitas Abulyatama, Universitas Sriwijaya, Universitas Negeri Padang, Universitas Andalas, Universitas Muhammadiyah Ponorogo, Universitas Muhammadiyah dan Universitas Gadjah Mada Yogyakarta, Universitas Muhammadiyah HAMKA dan penyelidik-penyelidik daripada beberapa institusi akademik dan sosial yang lain.

Selain itu, pengumpulan data akhir ini turut dibantu oleh beberapa firma-firma tinjauan bebas yang merupakan rakan strategik ILHAM Centre. Rumusan dapatan daripada data-data ini akan digunakan untuk membuat peramalan akhir yang akan dikongsi kepada khalayak nanti.

Dapatan Semasa

Pada peringkat awal tinjauan Sept 2018, dapatan menunjukkan Jokowi lebih popular berbanding pesaingnya Prabowo, ini banyak dibantu oleh media-media utama Indonesia yang banyak mendokong presiden tersebut.

Namun menuju kemuncak kempen, sokongan terhadap Prabowo berkembang dengan pantas terutamanya di Pulau Sumatera dan kawasan-kawasan yang dilabel sebagai basis muslim.

Pada bulan Mac lalu, persaingan antara Jokowi dan Prabowo cukup sengit dan seimbang. Tetapi menjelang detik-detik akhir menjelang saat pembuangan undi pada tanggal 17 April ini, dinamik pola pengundian kian kepada pasangan calon nombor 2 bergerak dan jelas ketara.

Fenomena ini dikesan di negeri utama di Aceh, Medan, Riau, Padang, Palembang, Bengkulu dan Lampung di mana-mana rata kempen besar Jokowi-Amin tidak begitu mendapat sambutan.

Faktor penolakan kepada Jokowi semakin membesar di Kepulauan ini. Hujah dan faktor penolakan hampir sama malah serupa. Pengundi seakan telah mempunyai sikap hanya menunggu masa untuk membuang undi. Persepsi pemerintahan Jokowi sebelum ini antara kritikan besar.

Dokongan kepada Prabowo banyak dipengaruhi faktor penolak kepada Jokowi, khususnya dalam aspek tidak prihatin kepada Islam, tidak mesra ulamak, peningkatan tenaga kerja asing khususnya dari China, peningkatan kos sara hidup, kejatuhan harga komoditi tempatan dan sebagainya.

Pernyataan sokongan para penyokong Prabowo majoritinya lebih bersifat politik identiti iaitu membawa naratif agama, kaum dan hak warganegara berbanding pada pihak pendokong Jokowi yang lebih berbicara persoalan pembangunan, material dan kelangsungan ekonomi republik ini.

Peratusan kecil pemilih yang mendokong Jokowi di Sumatera ini atas faktor pembinaan infrastruktur, program-program kebajikan, serta perwatakan yang lebih mesra. Antara kempen mereka adalah pilihlah capres yang ramah, bukan yang marah-marah (dirujuk kepada Prabowo yang tegas, berlatar belakang pegawai tentera).

Walaupun Sumatera seolah telah menyatakan sikap namun, pertembungan di Kepulauan Jawa tetap akan menentukan kalah menang PilPres kali ini. Walaupun geografi Pulau Jawa lebih kecil, tetapi kepadatan penduduk yang tinggi membolehkan pola undi mereka jadi faktor penentu Presiden RRI ini.

Sehingga kini, kami masih giat mengumpulkan data dan informasi lapangan. Yang jelas diketahui, segmentasi pemilih terpecah kepada tema-tema besar dalam menyatakan dokongan, antaranya;

1. Kritikal persoalan ekonomi, sara hidup, harga barang dan harga komoditi getah serta sawit dengan ditambah kejatuhan rupiah.
2. Isu hak Beragama dan leluhur hidup bangsa dalam meraikan kepelbagaian ragam etnik dan rencam budaya.
3. Penilaian kritis terhadap sosok tubuh calon Presiden, wakilnya dan polisi-polisi ke depan.
4. Sisi pernyataan dokongan dan partisipasi para ulamak, tokoh agama dan dua institusi besar Agama Indonesia iaitu di antara Nahdatul Ulama (NU) dan Muhammadiyyah.

Perhimpunan dalam kempen besar bukanlah ukuran sebenar tetapi tidak lebih hanya sekadar boleh mengukur wujudnya lonjakan perubahan kerana jutaan pemilih masih berada di pinggir kota dan desa, sifat diam dan sukar dijangka. Menjelang 5 hari terakhir pasti ia bakal menjadi lebih menarik.

Jumpa kami di himpunan kempen besar Jokowi-Amin di Gelora Bung Karno, Jakarta!

#PilPres2019
#TeamILHAM

April 11, 2019

PILIHANRAYA KECIL N27 RANTAU

FAKTOR TOK MAT BANTU BN MENANG SELESA

Pendahuluan

Pilihanraya Kecil N27 Rantau diadakan selepas mahkamah membatalkan kemenangan tanpa bertanding yang diraih Barisan Nasional (BN) dalam PRU 14 yang lalu. ILHAM Centre telah menjalankan tinjauan akhir pada 6 hingga 10 April 2019 untuk mengenal pasti maklum balas pengundi terhadap isu-isu berbangkit serta melihat pola sokongan terhadap calon dan parti yang bertanding.

Kajian secara tatap muka ini melibatkan 396 responden yang merupakan pengundi DUN Rantau mewakili semua segmentasi kaum, jantina, umur dan lokaliti. Data dikumpul oleh penyelidik menggunakan soal selidik dan protokol temu bual separa berstruktur. Data kajian dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik.

Dapatan kajian menunjukkan BN dijangka memenangi kerusi ini setelah menang tanpa pertandingan pada Pilihan Raya Umum ke-14 sebelum ini. Demografi Rantau menunjukkan pengundi Melayu mempunyai 53 peratus, India 27 peratus, Cina 19 peratus dan lain-lain 1 peratus meliputi 14 pusat daerah mengundi (PDM). Pakatan Harapan (PH) sukar untuk mendapatkan undi Melayu dan bergelut mempertahankan sokongan bukan Melayu terutamanya pengundi India.

Faktor Tok Mat Yang Dominan

Calon BN, Mohamad Hassan atau Tok Mat ternyata unggul dan diterima oleh semua segmen pengundi termasuk pengundi India dan Cina. Trek rekod beliau sebagai Menteri Besar dan ADUN Rantau selama tiga penggal serta anak jati Rantau memberi kelebihan besar dalam kempen pilihanraya kecil ini, dapatan menunjukkan seramai 87.4 peratus responden bersetuju dengan faktor ini. Pendekatan beliau yang mudah mesra, kerap turun padang bertemu rakyat, merendah diri dan prihatin dengan kebajikan rakyat menambat hati pengundi di sini. Responden juga bersetuju bahawa Tok Mat mempunyai kredibiliti yang lebih tinggi sebanyak 81.6 peratus berbanding calon PH, Dr S Streram 17.7 peratus dan lain-lain calon.

Dr S Streram ditanggapi oleh responden sebagai bukan anak tempatan dan tidak dikenali oleh penduduk di sini. Bahkan Ketua Cabang PKR Rembau, R. Tanggam lebih popular dan dikenali oleh pengundi.

Berlaku Peralihan Undi Kepada BN

Berasaskan soalan yang ditanya dalam soal selidik, terdapat peralihan undi yang dijangka berlaku daripada PH kepada BN sebanyak 24.5 peratus. Analisis perbandingan ini adalah menggunakan ‘scoresheet’ P131 Rembau bagi DUN Rantau. Peralihan undi ini berlaku disebabkan faktor kredibiliti Tok Mat (81.6 peratus), isu kos sara hidup (66.7 peratus), kegagalan PH menunaikan janji manifesto (65.4 peratus), prestasi kerajaan negeri yang tidak memuaskan (50.8 peratus), serta pengundi Melayu mempersepsi PH gagal membela Melayu-Islam (85.6 peratus).

Undi India Terpecah Dua

Walaupun keputusan menamakan S. Streram sebagai calon PH dilihat boleh menarik undi daripada segmen India yang mewakili 27 peratus komposisi pengundi, namun dapatan menunjukkan sebaliknya. Hanya 46.6 peratus sahaja yang telah memberi komitmen untuk mengundi S. Streram, selebihnya cenderung untuk mengundi BN dan belum membuat keputusan. Antara faktor yang menyumbang dapatan ini adalah faktor populariti Tok Mat dan S. Streram pula dilihat orang luar yang kurang dikenali. Sebaliknya pengundi India di sini lebih mengenali R. Tanggam, Ketua Cabang PKR Rembau.

Selepas pertukaran kerajaan, segmen kebajikan pengundi India yang dahulunya majoriti mengundi PH nampaknya gagal ditangani dengan baik oleh Kerajaan.

Seakan wujud kekecewaan segmen pengundi India terhadap Kerajaan khususnya yang melibatkan pembelaan terhadap tahap ekonomi dan kebajikan mereka.

Ketiadaan pemimpin India yang wibawa di dalam Kerajaan yang mampu ke hadapan membela nasib mereka menjadi punca utama berlalu perubahan ketara kepada pola pengundian di kalangan pengundi India di Dun Rantau dalam pilihan raya kecil kali ini.

Jentera PH Gagal Menerobos Undi Melayu

Walaupun telah melalui beberapa siri pilihanraya kecil, jentera PH masih lagi dilihat terpisah dan tidak dikoordinasi sebagai sebuah pakatan antara PKR, Bersatu, Amanah dan DAP. Mereka bergerak mengikut jentera parti masing-masing dan tiada penyelarasan yang tersusun. Jentera PKR lebih dominan dan penglibatan jentera parti lain dilihat sangat minima. Ini menggambarkan struktur jentera PH masih lagi kabur di mata akar umbi.

Kempen PH nampaknya terlalu bergantung kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam memobilisasi gerakan kempen di sini. Siri-siri kempen pimpinan PH yang lain tidak memberikan impak besar kepada pengundi. Hanya strategi ceramah kelompok sedikit membantu untuk menarik pengundi tetapi ia masih tidak mencukupi. Ini ditambah pula jentera PH banyak digerakkan oleh jentera luar berbanding jentera BN yang lebih banyak digerakkan oleh orang tempatan yang diketuai oleh Tok Mat sendiri. Jentera BN dilihat lebih fokus dan sistematik kepada kumpulan sasaran sepanjang kempen berjalan. PH pula terlalu menumpukan isu-isu pra pilihanraya umum ke-14 dan tidak dilihat sebagai sebuah parti Kerajaan.

Kesimpulan

Persaingan saat akhir masih terbuka namun ia kelihatan laluan getir buat PH. Kemenangan BN seolah telah terjamin dalam pilihanraya kecil ini. Untuk kekal bersaing, PH memerlukan strategi ampuh bagi mengekang kemaraan BN.

Kurang 48 jam berbaki, penilaian kempen di Rantau tertumpu sejauh mana PH dapat mengekalkan undi India dan Cina yang diperolehi dalam pilihanraya lepas di samping mencuri sedikit undi Melayu sekurang-kurangnya 20 peratus.

Jika semua ini gagal didapati, BN bakal keluar sebagai pemenang dengan majoriti selesa.

 

Panel Penyelidik ILHAM CENTRE

11 April 2019

 

March 1, 2019

Pilihan Raya Kecil N24 Semenyih

PH BERGELUT MEMPERTAHANKAN UNDI MELAYU DI SEMENYIH

Pendahuluan

Tinjauan akhir ILHAM Centre dalam Pilihan Raya Kecil N24 Semenyih menyaksikan Barisan Nasional mampu melakukan kejutan dengan menafikan status quo kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 sebelum ini.

Demografi Semenyih menunjukkan pengundi Melayu adalah majoriti dengan 68 peratus dan mempunyai 17 pusat daerah mengundi majoriti pengundi Melayu daripada 21 keseluruhan pusat daerah mengundi. Pakatan Harapan kelihatan bergelut untuk mempertahankan undi pengundi Melayu di Semenyih kerana beberapa faktor dan elemen kemenangan seakan-akan serba tidak menjadi sepanjang tempoh kempen berlaku.

PH sekarang ini memerlukan formula ajaib iaitu peratus keluar mengundi dan aras sokongan pengundi kekal sebagaimana PRU-14 yang lalu. Sekiranya perkara ini tidak berlaku, BN mampu menang tipis di Semenyih.

Dapatan ini kami temui menerusi kajian yang dilakukan secara tatap muka bermula pada 26-28 Februari 2019, kami telah menemui 378 responden di DUN Semenyih meliputi semua segmentasi kaum, jantina dan umur pengundi serta lokaliti. Dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata, ralat kajian yang ditemui ialah 2.15 peratus.

Strategi PH Tidak Efektif

PH terlalu defensif dalam segenap aspek sama ada melibatkan kesepaduan jentera, calon yang ditampilkan malahan isu-isu yang diketengahkan. Nampaknya PH belum berjaya menyelesaikan perkara pokok iaitu mewujudkan struktur jentera yang bersepadu di antara keempat-empat parti komponen mereka. Perkara ini boleh dilihat secara jelas oleh pengundi bahawa susunatur program kempen dan koordinasi jentera tidak melambangkan PH sebagai sebuah parti kerajaan.

Selaku parti kerajan, kekuatan jentera merupakan elemen penting dalam mengarahkan serangan kepada pihak lawan secara tersusun. Di Semenyih, PH tidak mempunyai pengarahan berpusat yang menyusun pola penempatan jentera kempen, naratif isu yang dibawa dan menangkis serangan pihak lawan.

Jentera PH nampaknya terlalu bergantung kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memobilisasi gerakan kempen di sini. Siri-siri kempen pimpinan PH yang lain tidak memberikan impak besar kepada pengundi. Hanya pada pusingan akhir ceramah Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang berjaya berbanding yang lainnya.

Calon PH Kurang Wibawa

Calon PH Aiman Zainali tidak mempunyai aura yang cukup untuk menggalas sebagai calon parti kerajaan di Semenyih. Tahap penerimaan pengundi terhadap calon berada pada paras 34.4 peratus merupakan aras yang menunjukkan calon ini tidak mampu menyakinkan pengundi yang ditemui dalam kajian ini.

Melihat usaha keras yang dilakukan oleh pihak jentera dalam menyusun program kempen calon nampaknya tidak mampu mengangkat nama dan wibawa calon PH ini. Segala usaha yang dilakukan oleh Aiman Zainali ini kelihatan tidak serba tidak menjadi dan menyebabkan peralihan perhatian menyebelahi calon BN Zakaria Hanafi. Kematangan calon menjadi kayu ukur penilaian pengundi.

Calon PSM dan Bebas pula tidak berjaya meraih sokongan pengundi dalam pilihan raya kecil ini. Trend ini menunjukkan tumpuan hanya tertumpu kepada dua parti terbesar yang mengambil tempat dalam pilihan raya kecil ini.

Motivasi BN di Aras Tinggi

Selepas menang dalam Pilihan Raya Kecil P78 Cameron Highlands yang lalu, nampaknya momentum kemenangan BN berjaya menyuntik semangat jentera untuk memberikan tekanan kepada PH. BN ternyata lebih berfokus, gerak kerja yang lebih tersusun di samping penguasaan isu media sosial memberi kelebihan kepada BN dalam pilihan raya kecil kali ini.

Sebagai oposisi, titik serangan BN tertumpu kepada membangkitkan kegagalan Kerajaan PH menunaikan janji manifesto mereka. Elemen perkauman dan agama melengkapkan ramuan untuk memulihkan sokongan pengundi Melayu yang beralih arah pada pilihan raya umum yang lalu.

Kempen “Bossku” oleh Najib Razak juga berjaya meraih perhatian masyarakat setempat. Gerakan bersendiri Najib Razak di dalam kempen di Semenyih menjadi nilai tambah dan pelengkap kepada BN secara tidak langsung malah boleh dikatakan kempen ini cukup signifikan untuk membantu BN di sini. Dapatan menunjukkan 56.6 peratus bersetuju bahawa kempen Najib Razak di Semenyih memberi kesan positif kepada BN.

Pendirian PAS Yang Mengelirukan

Berdasarkan pemerhatian kami, senario kerjasama antara dua parti Melayu PAS dan UMNO di Semenyih tidak mempunyai komitmen yang sama sepertimana di Cameron Highlands. PAS tidak agresif menyerang PH dan pemimpin tertinggi PAS, Dato’ Seri Haji Hadi Awang tidak turun membantu kempen Barisan Nasional.

Walau bagaimanapun, rata-rata ahli dan penyokong PAS yang ditemui bersedia untuk memberi undi kepada BN. Isu sentimen Melayu-Muslim menjadi pendorong utama mereka dalam melakukan perubahan undi selain arahan daripada pimpinan PAS walaupun pada mulanya signal yang berbeza daripada pimpinan tertinggi PAS. Meskipun demikian, menerusi kajian lapangan yang kami lakukan, terdapat kira-kira 84 peratus pengundi PAS dalam PRU-14 bersedia untuk mengundi BN dalam pilihan raya kecil kali ini.

Isu Nasional Lebih Dominan

Dapatan kajian menunjukkan pengundi di sini lebih tertarik dengan isu-isu yang melibatkan perkembangan dalam negara dan kerajaan sebanyak 73.3 peratus berbanding 26.7 peratus melibatkan isu-isu tempatan.

Antara soalan yang ditanya berkaitan isu nasional iaitu pengumuman cadangan Kerajaan PH untuk menggantikan tol di empat lebuh raya dengan caj kesesakan serta pemberian tol percuma antara jam 11 malam hingga 5 pagi – tidak mengujakan responden yang ditemui. Sebanyak 61.4 peratus menyatakan mereka tidak teruja dengan pengumuman tersebut dan bakinya menyambut baik inisiatif kerajaan ini.

Dapatan-dapatan yang ialah; 74.6 peratus responden bersetuju bahawa Kerajaan PH gagal menunaikan janji manifesto; dan 58.7 peratus bersetuju bahawa Kerajaan PH gagal membela Melayu-Muslim sejak mengambil alih kerajaan persekutuan.

Kesimpulan: Pertembungan Memenangi Hati Melayu

Kemenangan PH dalam pilihan raya umum yang lalu disumbangkan oleh ‘swing’ pengundi Melayu kelas menengah yang berada di lokaliti bandar dan separa bandar di Semenyih. Penolakan pengundi kepada Najib Razak dan kelemahan Kerajaan Barisan Nasional menyumbang lonjakan undi Melayu terhadap PH.

Kurang 24 jam berbaki, penilaian kempen di Semenyih tertumpu sejauh mana PH dapat memenuhi ekspektasi pengundi Melayu kelas menengah yang kritikal dan rasional dalam membuat pertimbangan dalam undi mereka Sabtu ini.

BN pula berada di sudut oposisi yang mempunyai kelebihan untuk menyerang, menguasai naratif membangkitkan kelemahan Kerajaan PH, memainkan sentimen Melayu-Muslim yang gagal dibela oleh Kerajaan PH serta sambutan terhadap Najib Razak seakan-akan merubah sedikit pola pengundian pengundi Melayu. Sekiranya ini berjaya dilakukan dengan menarik semula undi Melayu kembali kepada BN, maka BN bakal membuat kejutan dalam pertembungan kali ini.

ILHAM CENTRE

1 Mac 2019

25 Jan 2019

Pilihanraya Kecil P078 Cameron Highlands

BN DIJANGKA MENANG, UNDI MELAYU MENINGKAT

PENDAHULUAN

Pilihanraya kecil Cameron Highlands kali ini menyaksikan pertembungan kali pertama antara Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan melawan Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Barisan Nasional. Pola terakhir pengundian menyaksikan kedua-dua parti cuba untuk meraih sokongan orang Melayu dan Orang Asli. 

Tinjaun akhir ILHAM CENTRE, yang dilakukan secara secara tatap muka bermula 22-24 Januari 2018, kami telah menemui 402 responden di P078 Cameron Highlands meliputi semua segmentasi kaum, jantina dan umur pengundi serta lokaliti. Dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata, ralat kajian yang ditemui ialah 2.03 peratus.

CALON BN DAN PH MENDOMINASI

Menuju ke saat-saat akhir kempen hanya calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sahaja di lihat mendominasi jauh meninggalkan calon bebas yang lain. Ini jelas apabila bahan-bahan kempen calon bebas sukar ditemui sepanjang jalan dari Tanah Rata menuju ke Jelai. Hatta kelibat mereka turun berkempen susah untuk ditemui. Ramli Mohd Nor, calon Barisan Nasional kelihatannya mendapat tempat di sisi orang Melayu di Dun Jelai manakala calon Pakatan Harapan, M.Manogaran pula mempunyai tapak sokongan orang bukan Melayu yang kebanyakannya berada di Dun Tanah Rata.

Calon bebas Sallehudin Ab Talib merupakan penduduk tempatan di Dun Jelai dan dikenali oleh penduduk setempat. Namun beliau bukanlah pemimpin yang sebelum ini mempunyai jasa terhadap masyarakat. Keputusannya bertanding nampaknya tidak mampu menyaingi calon yang lain terutama dalam menarik sokongan pengundi Melayu.

BN BERTANDING, PAS GERAKKAN JENTERA

Walaupun Barisan Nasional yang bertanding namun PAS telah menggerakkan jentera kempen secara agresif. Ini dapat dilihat apabila Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang sendiri telah turut sama berkempen untuk menarik sokongan pengundi PAS kepada Barisan Nasional. Orang PAS tempatan yang ditemui begitu gembira pemimpin mereka turun sendiri di tempat mereka dan berpeluang bertemu mata. 

Ini juga terbukti apabila setiap pemimpin kanan PAS di peringkat nasional, negeri mahupun tempatan turun untuk berkempen dan menyakinkan penyokong-penyokong PAS untuk mengundi calon BN bagi memastikan BN mampu mengekalkan kemenangan di Cameron Highlands.

SENSITIVITI MELAYU-ISLAM

Isu berkaitan sensitiviti Melayu Islam telah berjaya digunapakai untuk mempengaruhi orang Melayu untuk menolak Pakatan Harapan. Jika sebelum pilihanraya umum yang lalu kerisauan mereka Pakatan Harapan akan mempengaruhi hak orang Melayu dan memudaratkan Islam. Namun ianya seolah-olah terbukti apabila satu demi satu isu Melayu dan orang Islam gagal ditangani dan ditangkis oleh Pakatan Harapan. Sikap defensif dan kelemahan Pakatan Harapan dalam soal isu Melayu-Islam dimanipulasi sebaiknya oleh BN untuk terus memangkin penolakan terhadap Pakatan pada pilihanraya kecil kali ini.

Inilah senjata utama yang telah digunakan oleh Barisan Nasional dalam siri-siri kempen mereka. Menjadi pembangkang menjadikan Barisan Nasional perlu memikirkan strategi yang lain untuk menarik undi berbanding sebelumnya menjadi Kerajaan apabila tawaran projek, sumbangan, insentif dan janji-janji menjadi bahan utama kempen mereka sebelum ini.

ISU LOKAL SETEMPAT

Penduduk di Felda Sungai Koyan masing-masing merungut apabila harga komoditi sawit jatuh merundum sejak Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya. Pada mereka Pakatan Harapan tidak bersungguh untuk membantu mereka dan wujud tafsiran mengatakan Pakatan Harapan sengaja berbuat demikian untuk membalas dendam pada peneroka yang telah memilih Barisan Nasional pada pilihanraya yang lepas.

Bagi golongan muda dan generasi kedua Felda juga isu perumahan yang tidak selesai menjadi serangan mereka terhadap Pakatan Harapan. Menjadi tanda tanya buat penduduk setempat bilakah janji-janji kepada peneroka sebelum pilihanraya yang lalu ingin ditunaikan walaupun sudah sembilan bulan memegang tampuk kuasa.

KEHADIRAN NAJIB DIRASAI

Kehadiran Najib Razak yang juga merupakan mantan Menteri Besar Pahang pada 1982-1986 untuk berkempen di penempatan peneroka Felda dan Orang Asli di Dun Jelai disambut dengan meriah oleh penduduk tempatan. Mereka melahirkan perasaan gembira di atas kesudian Najib Razak untuk berkunjung ke kampung mereka. Selaku mantan Perdana Menteri dan anak jati Pahang, ternyata aura Najib Razak masih dirasai oleh penduduk setempat dan kes-kes pendakwaannya di mahkamah tidak memberi kesan negatif di lokaliti ini.

Walaupun sambutan terhadap Najib di lokaliti ini agak hangat, namun Barisan Nasional juga berhadapan risiko dengan penglibatan Najib dalam kempen ini. Sebagaimana kajian pra dan pasca PRU14 lepas mendapati Najib adalah faktor rakyat menolak Barisan Nasional, penglibatan beliau kali ini mencetus kembali kebencian dan penolakan pengundi kelas pertengahan terhadap Barisan Nasional. Ini boleh jadi ‘backfire’ yang tidak disedari oleh Barisan Nasional sekali lagi, khususnya daripada ‘silent voters’. Namun jumlah ini adalah kecil dan tidak memberi impak.

UNDI PAS BERALIH KEPADA BN

Kami melihat undi PAS akan berpecah kepada tiga arah. Golongan pertama akan mengundi Barisan Nasional, kedua akan memilih calon Melayu-Bebas manakala ketiga akan protes tidak keluar mengundi. 

Namun apa yang mengejutkan golongan yang pertama yang boleh disimpulkan sebilangan besar pengundi PAS yang kami temui tidak berasa kekok untuk keluar mengundi Barisan Nasional. Jentera yang diketuai oleh PAS Pahang dibantu jentera PAS seluruh negara ternyata agresif bergerak dari rumah ke rumah untuk mengingatkan pengundi mereka agar keluar mengundi Barisan Nasional. 

Politik PAS di luar bandar terutama di Negeri Pantai Timur berbeza di tempat yang lain. Pada mereka mengikut arahan pimpinan adalah lebih utama daripada memikirkan pendapat peribadi. Pernah dianaktirikan pemimpin setempat dan juga bantuan persekolahan anak-anak disekat, itu semua luka lama yang mereka perlu dilupakan. Perkiraan mereka jika pemimpin atasan yang lebih banyak menerima dugaan boleh memaafkan Barisan Nasional apalah yang nak dibandingkan dengan mereka yang hanya menerima cabaran yang kecil.

ORANG ASLI BUKAN LAGI DEPOSIT TETAP

Tok Batin adalah individu yang paling berkuasa yang mampu untuk mempengaruhi dan menganjak undi Orang Asli. Tinggal di kawasan pedalaman dan jauh daripada akses maklumat menyebabkan Orang Asli sukar untuk memahami isu-isu semasa. Pada mereka semuanya terserah kepada Tok Batin yang menentukan. Hatta di sebilangan tempat yang terpencil Najib Razak masih diingati sebagai Perdana Menteri.

Mewakili 22 peratus undi di Cameron Highlands bukanlah jumlah yang kecil. Kedua-dua belah parti ketika ini sedang bergelut untuk meraih sokongan mereka. Dahulu UMNO hanya menaburkan janji, namun ketika ini mereka terpaksa bersaing sama rata dengan pihak lawan. Pakatan Harapan tiada sebarang janji namun dengan kuasa yang ada peringkat Persekutuan mereka telah mengadakan siri-siri berkala dialog bersama dengan Tok Batin agar mengarahkan anak buah memberikan undi kepada Pakatan Harapan.

Dalam tinjauan kami menunjukkan akan berlaku pergerakan dan peralihan undi Orang Asli dari Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan namun ianya masih dalam skala yang kecil dan tidak cukup bagi Pakatan memenangi pertandingan ini. Untuk memenangi pilihanraya ini, Pakatan Harapan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada mereka. 

KESIMPULAN

Kempen yang  berakhir pada jam 12 tengah malam ini  akan menyaksikan usaha terakhir semua calon yang bertanding untuk mendapatkan sokongan Orang Asli dan Melayu berpihak kepada mereka apabila sokongan kaum Cina dan India sudah pasti terarah kepada calon Pakatan Harapan. 

Kehadiran Tun Mahathir Mohamad pada hari terakhir kempen menunjukkan Pakatan Harapan memerlukan faktor “wow” untuk menarik undi Melayu. Kedatangan Tun Mahathir dijangka akan menambah momentum kepada Pakatan Harapan, khususnya kepada pengundi veteran UMNO yang ada nostalgia dgn pentadbiran Tun selama 22 tahun sebelum ini. Jika momentum ini cukup kuat, peluang Pakatan Harapan akan bertambah sedikit.

Faktor keluar mengundi juga akan menentukan kemenangan di sini. Jika parti-parti yang bertanding mampu membawa keluar pengundi mereka untuk membuang undi, maka mereka mempunyai peluang. Tarikh mengundi yang berdekatan dengan cuti panjang Tahun Baru Cina menyukarkan pengundi luar untuk turun mengundi. Rata-rata yang kami temui menyatakan anak-anak mereka yang bekerja di luar kawasan sukar untuk balik mengundi pada Sabtu ini.

Undi daripada Dun Tanah Rata adalah kekuatan kepada Pakatan Harapan untuk menyaingi Barisan Nasional dalam perlawanan ini, kerana peratusan pengundi Cina dan India yang yang tinggi. Tapi dalam siri-siri pilihanraya kecil selepas PRU-14, peratusan keluar mengundi pengundi bukan Melayu agak rendah. Jika fenomena ini berterusan peluang Pakatan Harapan untuk menang semakin malap.

Akhirnya tumpuan ketika ini adalah mampukah eksperimen gabungan pembangkang UMNO-PAS membuktikan pada umum bahawa taktikal yang mereka gunakan berkesan untuk meraih sokongan masyarakat Melayu-Islam setelah usaha tersebut gagal di Sungai Kandis, Seri Setia Port Dickson dan Balakong.

Berasaskan itu, pihak kami menjangkakan Barisan Nasional mampu memenangi pilihanraya kali ini dengan dokongan majoriti daripada pengundi Melayu dan Orang Asli di samping kadar keluar mengundi yang rendah daripada pengundi Cina dan India.

ILHAM CENTRE

25 Jan 2019

October 12, 2018

PILIHANRAYA KECIL P132 PORT DICKSON

12 OKTOBER 2018, JUMAAT

ISA SAMAD SAINGAN TERDEKAT ANWAR, PAS MUNGKIN HILANG DEPOSIT

PENDAHULUAN

Tumpuan hari-hari akhir kempen bertumpu kepada arah dan pola pengundian di kalangan pengundi Melayu-UMNO untuk membuat keputusan dalam pilihanraya ini. Ternyata pengundi UMNO yang mengundi Barisan Nasional dalam PRU-14 lalu berada dalam situasi yang tidak dapat ditelah dengan tepat.

Pilihan mereka sama ada mengundi Tan Isa Samad bekas pimpinan UMNO di sini yang sekarang melawan UMNO; mengundi calon PAS atas dasar Islam-Melayu walaupun PAS tidak mempunyai kekuatan di sini; mengundi Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana UMNO telah tewas teruk di sini ataupun kelompok ini memboikot dengan tidak keluar mengundi.

Calon nombor 1, Anwar Ibrahim selesa dengan kelebihan undi bukan Melayu dan kedudukan ini gagal dicabar oleh calon-calon lain.

Bagi pihak luar, jumlah peratusan keluar mengundi dan majoriti yang diperolehi oleh Anwar menjadi pertaruhan dan perbincangan sepanjang kempen ini. Pengundi tempatan pula kekal ‘tenang’ dan mereka sudah mempunyai keputusan untuk diterjemahkan dalam pilihanraya kecil kali ini.

Dalam kajian ini, yang dilakukan secara secara tatap muka bermula 8 Oktober sehingga 11 Oktober 2018, kami telah menemui 817 responden di P132 Port Dickson meliputi semua segmentasi kaum, jantina dan umur pengundi serta lokaliti. Dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata, ralat kajian yang ditemui ialah 2.03 peratus.

ANWAR TERLALU DOMINAN DAN SUKAR DISAINGI

Menuju saat-saat akhir pembuangan undi, Anwar kekal menjadi calon tunggal yang paling terkehadapan dalam siri kempen yang dilakukan. Gerak kerja kempen yang lebih tersusun, jentera yang berpusat di setiap pusat pengundian dan variasi bahan-bahan kempen yang boleh dilihat sekitar Port Dickson. Sebagai calon yang diwar-warkan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-8, memberi kelebihan buat Anwar untuk menonjolkan diri dalam siri kempennya.

Berdasarkan dapatan kajian 64 peratus pengundi menerima Anwar Ibrahim sebagai yang memilih Port Dickson sebagai tapak beliau untuk menggalas jawatan Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Persoalan yang timbul di kalangan pengundi ialah sejauh mana keinginan Anwar untuk kekal di Port Dickson dalam pilihanraya umum ke-15 akan datang sekiranya menang kerana beliau tidak mempunyai nilai sentimental dan legasi di kawasan ini.

ISA SAMAD: PENCABAR TERDEKAT ANWAR IBRAHIM

Antara semua calon yang bertanding, kajian kami menunjukkan Isa Samad merupakan pencabar terdekat Anwar Ibrahim. Meskipun beliau bertanding sebagai calon bebas dan tidak membawa obor UMNO-Barisan Nasional, Isa Samad jelas masih mempunyai pengaruh yang kuat di terutama di DUN Bagan Pinang dan DUN Linggi.

Pengaruh kekeluargaan, sentimental hubungan peribadi antara beliau dan pengundi serta elemen politik ‘balas budi’ sangat kuat di dua kawasan ini. Majoriti responden terutama kalangan warga emas dan veteran UMNO yang kami ditemui bersetuju Isa Samad telah banyak menyumbang bakti dan berjasa membangunkan kawasan mereka semasa Isa menjadi ADUN Bagan Pinang dan Menteri Besar Negeri Sembilan.

Namun, Isa kehilangan undi Cina dan India. Pola pengundi bukan Melayu jelas masih memihak dan kekal dengan Pakatan Harapan dan dalam pilihanraya kali ini penolakan terhadap calon selain daripada PH masih kuat. Oleh itu, calon selain daripada Anwar Ibrahim bergelut dan seolah-olah berputus asa untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu.

Beliau juga bakal kehilangan undi saluran muda dan sebahagian ahli parti UMNO apabila beliau mengisytiharkan keluar UMNO dan menjadi calon bebas. Pola pengundian pengundi muda di bawah 40 tahun tidak berkongsi nilai sentimental terhadap Isa Samad sepertimana generasi sebelumnya. Anak muda UMNO kelihatan hilang arah dalam pilihanraya kali ini. Imej Isa Samad yang terpalit dengan skandal dan kegagalan pemimpin Felda melatari imej negatif di kalangan pengundi muda terhadap beliau.

PAS KEMUNGKINAN HILANG DEPOSIT

Dalam tinjauan kami, jentera lokal lumpuh dan tapak sokongan PAS semakin mengecil selepas majoriti ahli PAS terutama di kawasan Telok Kemang menyertai AMANAH sejak tiga tahun yang lalu. Kempen kali ini banyak digerakkan oleh jentera luar terutama dari PAS Selangor dan PAS Terengganu manakala jentera lokal iaitu PAS Port Dickson serta PAS Negeri Sembilan kelihatan hilang kemampuan dan arah dalam memacu kemenangan PAS.

Gerak kerja PAS hanya tertumpu dalam kalangan segmen orang Melayu khususnya pengundi UMNO yang boleh memilih PAS sebagai alternatif yang dirasakan boleh mempertahankan Melayu dan Islam setelah UMNO membuat keputusan memboikot pilihanraya kali ini. Menyedari sukar menyaingi Anwar, fokus utama PAS hanyalah untuk mengekalkan undi yang diperolehi oleh mereka dalam PRU-14 dan memastikan mereka adalah pencabar terdekat Anwar Ibrahim.

Percaturan asal PAS melihat pertembungan mungkin dua penjuru selepas UMNO memboikot pilihanraya ini. Tetapi keputusan mengejut Isa Samad keluar UMNO dan tampil menawarkan menjadi calon bebas telah merencatkan strategi PAS ini.

Berdasarkan tinjauan kami, PAS gagal mendapat sokongan undi Melayu yang mencukupi dan berada di kedudukan ketiga selepas Isa selain berkemungkinan tinggi untuk kehilangan deposit.

PENYERTAAN CALON-CALON BEBAS YANG LAIN

Pilihanraya kecil kali ini turut menyaksikan penyertaaan lima orang calon bebas yang masing-masing mempunyai pelbagai justifikasi tersendiri untuk memasuki pilihanraya kali ini. Berdasarkan gelagat dan pola pengundi di Malaysia sebelum ini memperlihatkan calon-calon bebas sebenarnya sukar melepasi dua peratus daripada jumlah pengundi yang keluar mengundi. Kami menjangkakan nasib yang sama akan menimpa calon-calon bebas ini akan hilang wang pertaruhan kecuali calon berlogo kerusi, Isa Samad.

Penyertaan Saiful Bukhari menjadi calon bebas di Port Dickson ini hanya sekadar ingin menghantui dan menganggu psikologi Anwar Ibrahim. Siri ziarah Saiful Bukhari dan menemui pengundi sepanjang kempen ini berlangsung hanya melibatkan isu liwat beliau semata-mata. Oleh itu calon ini tidak mampu untuk memberi saingan kepada tiga calon yang lain.

Kehadirannya lebih tertumpu untuk meraih undi daripada orang Melayu dan tiada sebarang tawaran melainkan sekadar bergantung kepada meraih simpati isu peribadi beliau dengan Anwar Ibrahim.

KEHADIRAN MAHATHIR MEMBANTU ANWAR

Pergerakan kempen Pakatan Harapan adalah lebih tersusun. Parti-parti komponen yang lain telah membuktikan setiakawan yang kuat dengan menubuhkan bilik operasi berasingan di setiap DUN dalam Parlimen ini. Setelah menjadi Kerajaan kempen Pakatan Harapan dilihat lebih berdaya berbanding kempen mereka di zaman pembangkang.

Kehadiran Tun Mahathir Mohamad yang turun berkempen pada Selasa lalu berjaya memadamkan berita-berita yang menyasarkan hubungan renggang Mahathir-Anwar. Dalam tinjauan kami, kehadiran Tun memberikan moral yang tinggi kepada jentera Pakatan Harapan dan memberikan sedikit lonjakan pada segmen pengundi Melayu untuk menerima Anwar Ibrahim sebagai calon yang perlu dipilih dalam pilihanraya kecil kali ini.

ISU DAN NARATIF POLITIK PEMBANGUNAN

Mengenai isu-isu yang dekat di hati pengundi, kajian menunjukkan pengundi masih lagi terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi apabila mereka menyatakan tentang barangan keperluan yang semakin naik sebanyak 76 peratus diikuti isu pendidikan sebanyak 47 peratus dan kesihatan sebanyak 32 peratus.

Pujian harus diberikan kepada Pakatan Harapan kerana penggunaan jentera Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang sangat minimal dalam pilihanraya kecil kali ini. Berbanding tiga pilihanraya kecil terdahulu di Seri Setia, Sungai Kandis dan Balakong pasca 9 Mei, ternyata Malaysia kini berada dalam landasan yang tepat untuk memperlihatkan budaya politik baharu meskipun terdapat rungutan kecil pengundi yang tidak mendapat laba segera sepertimana era pemerintahan parti terdahulu.

Justeru, naratif politik pembangunan di Port Dickson dilihat tenggelam punca tanpa ada pengistiharan besar-besaran tentang janji-janji pembangunan. Meskipun demikian, wujud cubaan beberapa pihak swasta dan NGO juga untuk membawa naratif politik pembangunan ini namun ianya tidak dilihat oleh pengundi sebagai sesuatu perkara yang serius.

Meskipun demikian, wujud keterujaan sebahagian pengundi tentang pembangunan yang bakal dibawa oleh Anwar selepas beliau menang dan menjadi Perdana Menteri nanti. Dengan lokasi strategik dan berdekatan dengan Putrajaya, Anwar semestinya akan mencuba sedaya-upaya untuk membawa pembangunan di kawasan yang bakal diwakilinya setelah sekian lama berkubu di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Dalam semua calon yang bertanding, Anwar sahaja yang berkeyakinan dalam tawaran pembangunan di sini. Tidak dinafikan faktor sebagai parti pemerintah sedikit sebanyak memberikan kelebihan buat Anwar. Isa Samad pula dalam penekanan kempennya hanya menjual dirinya sebagai calon tempatan dan bakti yang telah beliau berikan sebelum ini di Port Dickson khasnya dan Negeri Sembilan. Calon PAS dan jentera mereka pula seakan hilang arah. Mereka hanya cuma mengharapkan undi Melayu UMNO dan tentera sahaja. PAS meletakkan seorang bekas tentera sebagai calon membuktikan mereka ingin mendapat lonjakan undi yang besar daripada undi tentera.

PERATUSAN KELUAR MENGUNDI

Meneliti peratusan keluar mengundi dalam siri pilihanraya kecil pasca 9 Mei, pengundi jelas dalam keadaan tepu (fatigue) setelah berjaya menumbangkan Barisan Nasional buat pertama kali dalam sejarah Malaysia. Sekiranya keluar mengundi pada pilihanraya kali ini boleh mencecah 60 peratus, ianya sudah memadai dan merupakan kejayaan kepada Anwar dan Pakatan Harapan.

KESIMPULAN

Kempen yang berakhir pada jam 12 tengah malam ini akan menyaksikan usaha terakhir semua calon-calon yang bertanding untuk memastikan jumlah keluar mengundi melepasi aras peratus yang rendah dalam siri pilihanraya kecil sebelum ini.

Secara mudahnya, kemenangan seolah-olah menjadi milik Anwar Ibrahim namun kedudukan pengundi Melayu menjadi kayu ukur utama kejayaan beliau di Port Dickson ini. Ternyata Pakatan Harapan yang kini menerajui Kerajaan berjaya meletakkan satu aras baharu dalam kempen mereka dan dalam masa yang sama koalisi pembangkang ternyata gagal dan masih belum berjaya bangkit daripada kekalahan PRU-14 yang lalu. Ketiadaan UMNO yang mencabar kehadiran Anwar di sini menyebabkan calon-calon yang lain tidak dapat memberi saingan yang sengit kepada calon Pakatan Harapan.

Akhirnya, tumpuan seluruh rakyat hanya kepada pengundi Port Dickson yang akan menentukan jumlah sebenar peratus keluar mengundi dan jumlah majoriti yang akan diperolehi oleh bakal Ahli Parlimen Port Dickson yang baru.

 

Panel Penyelidik ILHAM CENTRE

12 Oktober 2018
5.05 petang

29 Jun 2018

ZAHID MENDAHULUI, KU LI SEDANG MENCABAR RAPAT

Pemilihan sesi 2018 ini merupakan pemilihan paling getir dan berliku buat perwakilan untuk memilih kombinasi terbaik kepimpinan mereka untuk menerajui UMNO selepas parti terbesar Melayu ini tewas dan hilang tampuk kekuasaan dalam Kerajaan buat pertama kali.

Sepanjang kami membuat kajian lapangan dalam tempoh 8 hari bermula 21 Jun 2018 hingga 28 Jun 2018 dengan jumlah responden seramai 581 perwakilan UMNO secara tatap muka di 101 Bahagian seluruh Semenanjung Malaysia, menyaksikan perasaan bercampur-baur dan perwakilan mulai kritikal terhadap kepimpinan tertinggi UMNO. Keadaan ini menyaksikan tradisi ‘warlord’ akan dicabar dengan arus perubahan. Moral ahli dan perwakilan UMNO jelas ketara berada dalam tahap paling rendah.

Persoalan penting dalam pemikiran ahli dan perwakilan UMNO ialah mampukah UMNO bangkit kembali selepas tersungkur dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu? Bolehkah UMNO kembali bertaut kukuh selepas perpecahan dalam pemilihan UMNO kali ini?

Polemik dan isu yang melatari perbincangan para perwakilan kali ini sehangat perbincangan semasa pilihan raya umum yang lalu. Sebahagian mereka menuding jari punca kekalahan Barisan Nasional adalah kerana kegagalan kepimpinan UMNO menegur Presiden dan mereka yang berada dalam kabinet lalu.

Segmentasi Perwakilan

Selepas Dato’ Sri Najib Razak melepaskan jawatan sebagai Presiden dan kini beban untuk memikul tanggungjawab berat mengangkat semula maruah UMNO tangan pemangku Presiden Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Keadaan menjadi tidak menentu selepas pemilihan UMNO 2018 mandat Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak lama kerana dicabar pada pemilihan kali ini. Ditambah pula penarikan diri Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein daripada semua jawatan yang dipertandingkan.

Cabaran daripada veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah yang membuat ‘comeback’ dan tokoh muda saudara Khairy Jamaluddin mewarnai pemilihan kali ini. Walaupun ada calon tambahan untuk mencabar kerusi Presiden iaitu Mohamed Iqbal Maricair dan Yusof [email protected] namun kedua calon ini gagal memberi saingan kepada tiga calon utama di atas.

Oleh itu, tumpuan perwakilan lebih terarah kepada sejauhmanakah kemampuan calon-calon ini meyakinkan mereka untuk membina semula kekuatan, menyatukan kembali perpecahan dan menawan hati rakyat untuk terus menyokong perjuangan UMNO.

Penguasaan ‘warlord’ dalam kalangan Pengerusi Perhubungan Negeri dan Ketua Bahagian tertentu dicabar dengan arus perubahan ketara menyuarakan kebebasan daripada cengkaman ini. Perwakilan mulai menuntut hak mereka untuk bersuara secara bebas tanpa dikawal oleh keputusan pihak lain. Tetapi, suara ini minoriti dan masih gagal menenggelamkan pengaruh budaya ‘warlord’ ini.

Dalam pada itu pemilihan kali ini memperlihatkan sebahagian besar Ketua Bahagian melepaskan jawatan dan digantikan dengan muka baru. Sebahagiannya lagi berlaku pertandingan. Bahagian-bahagian yang terlibat dengan perebutan jawatan mengakibatkan pertembungan jalur kepimpinan tertinggi sama ada bersama dengan ‘cai’ calon presiden Zahid Hamidi, Ku Li ataupun KJ.

Pola pemilihan Bahagian yang bertembung suasananya agak berwarna-warni dan berkemungkinan besar berlaku undi terpecah tiga. Pecahan undi berlaku kerana perwakilan cawangan berada dalam persimpangan sama ada memilih Zahid Hamidi atau Ku Li. Manakala KJ berjaya menawan hati perwakilan muda dan wanita.

Demografi perwakilan pada kali ini juga dilihat berubah secara drastik apabila perwakilan yang terdiri daripada segmen guru Kemas, guru sekolah, penjawat awam dan kontraktor yang mendapat projek kerajaan kebanyakannya menarik diri. Walaupun tempat mereka digantikan dengan perwakilan biasa, pola pemilihan dijangka berlaku sedikit perubahan.

Calon Kerusi Presiden

Ketiga-tiga calon utama kerusi Presiden pada pemilihan kali ini mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Perwakilan melihat Zahid Hamidi mempunyai kelebihan berbanding Ku Li dan KJ. Kenyataan ini berasaskan pandangan akar umbi yang melihat Zahid Hamidi adalah seorang pemimpin yang setia dan telahpun teruji dalam perjuangan UMNO.

Pengalaman berkempen semasa bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan 2013 telah memberikan kelebihan kepada beliau kerana mempunyai hubungan yang baik dengan akar umbi UMNO. Selain itu imej beragama beliau memberi kelebihan berbanding calon-calon lain.

Saingan terdekat kedudukan Zahid Hamidi ialah Tengku Razaleigh atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li. Tokoh veteran ini dilihat sebagai pemimpin yang berpengalaman dan calon terbaik untuk berdepan dengan Tun Mahathir. Ku Li menerima dukungan dan sokongan yang agak besar kerana beliau dilihat sebagai alternatif terbaik bagi gandingan pimpinan peringkat calon-calon timbalan dan majlis tertinggi selain kem Zahid Hamidi untuk bernaung. Ku Li juga disokong oleh calon-calon Ketua Bahagian yang mencabar calon sedia ada. Hujah mereka yang menyokong Ku Li meletakkan tokoh ini bersih daripada skandal dan tidak terpalit daripada Najib Razak.

KJ calon muda dan progresif menjadi pilihan perwakilan muda dan wanita yang mahukan perubahan. Idea-idea pembaharuan adan kenyataan yang diminati media menjadikan KJ calon popular dimata awam tetapi sukar memenangi hati perwakilan UMNO.

Arus Bawah Sukar Dijangka

Dato’ Seri Zahid Hamidi mempunyai kelebihan berdasarkan trek rekod beliau mendekati akar umbi namun psikologi perwakilan akar umbi terkesan dengan kekalahan pilihan raya umum lepas menyebabkan pola sukar dijangka secara mutlak. Fenomena menyalahkan kepimpinan lama termasuk Zahid Hamidi dan KJ menyebabkan laluan Ku Li untuk diterima semakin meningkat dari hari ke hari.

Ini bukanlah kerana kekuatan hala tuju Ku Li tetapi lebih kepada sentimen dan emosi. Zahid Hamidi terpaksa bertahan dengan asakan kepada tekanan ini. KJ berjaya meraih peratus sokongan tetapi minima malah menjadi pemecah undi kepada mereka yang ingin menentang status quo dan ini memberikan sedikit kelebihan kepada Zahid Hamidi.

Suasana yang agak menekan apabila berlaku pengisytiharan keluar parti komponen Barisan Nasional (BN), keluarnya Ahli Parlimen Bagan Serai dan Bukit Gantang termasuk munculnya orang-orang lama UMNO yang telah bersara kembali mempengaruhi perwakilan. Tun Mahathir dijadikan aspirasi dan rujukan sebagai hujah kepada kumpulan ‘otai’ ini bagi mereka kembali ke dalam politik UMNO Bahagian.

Jika diteliti keputusan sayap parti UMNO pada minggu lepas ternyata keputusan arus bawah sangat signifikan untuk perubahan. Kemenangan Asyraf Wajdi Dasuki dan Noraini Ahmad dalam sayap Pemuda dan Wanita menggambarkan arus akar umbi.

Faktor Najib Razak dan Hishammuddin Hussein

Dua negeri yang diwakili oleh dua tokoh UMNO ini memberikan isyarat yang menarik. Walaupun Najib Razak merestui Zahid Hamidi sebagai pemangku tetapi perwakilan memberikan isyarat yang berbeza. Kepimpinan tertinggi Bahagian di Pahang memberikan sokongan kepada Zahid tetapi pada peringkat cawangan berlaku sebaliknya. Ini ditambah pula sokongan bekas Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob terhadap Ku Li.

Di Johor, desas-desus yang berlaku pada peringkat bawahan memperlihatkan sokongan Hishamuddin Hussein memihak kepada Ku Li. Ditambah dengan sokongan terbuka Khaled Nordin terhadap Ku Li, undi Johor memihak kepada Ku Li.

Rumusan Kajian

Strategi kempen oleh calon-calon yang bertanding bertumpu di negeri-negeri yang mempunyai jumlah Bahagian yang besar seperti Johor (26), Sabah (25), Perak (24) dan Selangor (22). Mereka yang menguasai negeri-negeri ini, mempunyai kelebihan untuk memenangi pemilihan ini.

Berdasarkan dapatan kajian kami sepanjang 8 hari ini, sokongan Bahagian kepada Zahid Hamidi berada pada paras 51 peratus, Ku Li memberi saingan sengit dengan meraih sokongan perubahan 35 peratus, KJ mendapat 6 peratus manakala Bahagian yang belum jelas sokongan mereka sebanyak 8 peratus.

Menjelang detik-detik akhir fasa membuang undi, berlaku proses pujuk-memujuk dan kompromi pada peringkat cawangan. Sekiranya tradisi ini dipecahkan keputusan ‘upset’ boleh berlaku dengan majoriti tipis memihak kepada Ku Li.

ILHAM Centre

29 Jun 2018

May 8, 2018

Pola Sokongan dan Prediksi Pilihan Raya Umum Malaysia ke-14

100 KERUSI SEMENANJUNG MAMPU DICAPAI OLEH PH, JOHOR JATUH

Pendahuluan

Tinjauan akhir pasukan ILHAM Centre bermula sebaik sahaja pembubaran parlimen pada 7 April 2018 dan berakhir pada 6 Mei 2018 merumuskan pertembungan epik dalam sejarah pilihan raya umum di Malaysia.

Pembangkang dalam gabungan Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya menggugat hegemoni politik Barisan Nasional. Perseteruan Tun Mahathir dan Dato’ Seri Najib Razak memangkin kehangatan bahang pertembungan dalam pilihan raya umum kali ini.

Ini adalah analisa yang paling sukar dilakukan kerana ianya pertama kali melibatkan pertembungan tiga penjuru secara besar-besaran dan banyak pembolehubah yang kompleks. Keputusan dan data pilihan raya yang lalu tidak boleh dijadikan sumber utama kerana dua faktor di atas.

Observasi kami hampir sebulan membuat tinjauan di 165 kerusi parlimen Semenanjung, memperlihatkan Pakatan Harapan mendahului di 77 Parlimen dan Barisan Nasional mengekalkan penguasaan di 56 Parlimen.

Manakala kuasa ketiga Gagasan Sejahtera yang didominasi oleh PAS selesa di 7 Parlimen berpengkalan di Pantai Timur. 25 parlimen pula memperlihatkan pertembungan sengit antara parti-parti yang bertanding.

77 kerusi Pakatan Harapan disumbangkan oleh kerusi parlimen bandar dan pinggir bandar yang mempunyai komposisi bercampur dan majoriti Cina. 56 kerusi Barisan Nasional pula disumbangkan di kawasan majoriti Melayu dan luar bandar. 7 kerusi PAS disumbangkan di kawasan majoriti Melayu di Kelantan dan Terengganu yang merupakan kubu kuat PAS. 25 kerusi parlimen sengit dan terbuka kepada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Sekiranya berlaku sedikit lonjakan pada saat akhir, Pakatan Harapan dijangka mampu melepasi angka 100 kerusi Parlimen yang diperlukan untuk ke Putrajaya.

Pasukan ILHAM yang turun di lapangan telah membuat penilaian mikro kepada semua lokaliti yang mempunyai pemboleh ubah beragam. Kami tidak menggunakan formula secara pukal dan sekata dalam membuat unjuran prediksi ini.

Prediksi ini mengambil kira pembolehubah seperti sokongan kaum terhadap parti yang bertanding, kekuatan calon, isu nasional dan lokal, komposisi pengundi awal dan pos, impak persempadanan semula, kekuatan jentera, pengundi luar dan peratusan keluar mengundi.

Pengundi Sudah Mempunyai Pilihan

Suasana kempen pada pilihan raya kali ini berjalan dengan tenang. Bahasa yang digambarkan pengundi di lapangan ialah terlalu ‘sejuk’ berbanding pilihan raya sebelum ini. Kebiasaannya dalam tempoh kempen ini akan memperlihatkan suasana panas dan tegang antara jentera parti yang berkempen.

Elemen provokasi dan ketegangan antara penyokong parti tidak berlaku kali ini apabila tiada insiden yang serius dilaporkan setakat ini. Suasana berkempen berjalan tertib dan harmoni antara semua parti di seluruh negara.

Bagi pengundi pula, suasana sebegini terjadi kerana sebahagian besar pengundi sudah mempunyai sikap dan pilihan mereka. Mereka hanya menantikan tanggal 9 Mei untuk menzahirkan pendirian politik masing-masing.

Kategori pengundi yang termasuk dalam kumpulan pengundi atas pagar peratusannya menjadi semakin mengecil apabila tarikh pembuangan undi semakin hari semakin dekat.

Kempen di media sosial untuk mengajak pulang mengundi seakan mencabar hipotesis bahawa kemungkinan kadar peratus keluar mengundi menjadi rendah apabila hari pengundian dilakukan pada pertengahan minggu.

Kempen yang dilakukan oleh warga maya dengan membuat pendanaan awam bagi membiayai kos pengangkutan untuk pengundi luar dan mahasiswa bagi memudahkan mereka pulang ke kampung halaman untuk membuang undi.

Ada pihak restoran dan hub rantaian makanan, syarikat penerbangan yang menawarkan diskaun dan tawaran yang menarik bagi mereka yang keluar mengundi.

Gerakan sivil dan bersifat organik ini tidak pernah berlaku dalam siri pilihan raya sebelum ini.

Kesedaran yang berlaku ini juga menunjukkan pengundi pertama kali sangat teruja untuk menunaikan tanggungjawab mereka dan menjadikan ini pengalaman yang bersejarah buat mereka.

Pertembungan Tiga Penjuru dan Persempadanan Semula Menguntungkan Siapa?

Selayang pandang di atas kertas pertembungan tiga penjuru ini menguntungkan Barisan Nasional. Namun setelah diteliti dengan perkembangan semua pembolehubah di lapangan ternyata pertembungan 3 penjuru ini tidak menguntungkan Barisan Nasional secara mutlak sebaliknya ianya tidak memberi manfaat dan nilai tambah kepada strategi Barisan Nasional untuk memperolehi pertambahan kerusi parlimen di Semenanjung.

Kawasan-kawasan parlimen yang mempunyai 75 peratus komposisi Melayu dan ke bawah ternyata memberikan kesan negatif kepada Barisan Nasional ekoran perpecahan undi Melayu kepada tiga. Ini kerana pertimbangan 3 penjuru ini pada awalnya tidak melihat faktor PPBM dan Tun Mahathir sebagai faktor utama.

Pakatan pembangkang pada mulanya seakan patah sayap apabila PAS keluar daripada Pakatan Rakyat. Tetapi parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara pantas mengambil alih vakum yang ditinggalkan ini. Namun begitu, Pilihan Raya Negeri Sarawak dan Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar menyaksikan pertembungan 3 penjuru keputusannya menguntungkan Barisan Nasional.

Senario bertukar secara drastik apabila PPBM ditubuhkan dan Tun Mahathir dilantik menjadi pengerusi Pakatan Harapan. Strategi ini telah memecahkan teori 3 penjuru menguntungkan Barisan Nasional. Kekuatan figura Tun Mahathir dan PPBM berfungsi menarik sokongan Melayu-UMNO ke dalam kantung undi Pakatan Harapan.

Peranan PAS yang menjadikan pilihan raya kali ini 3 penjuru sebenarnya memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan secara tidak langsung di kerusi-kerusi Pantai Barat. Ironinya di Pantai Timur pertembungan ini menguntungkan PAS di sebahagian kerusi parlimen.

Merujuk kepada persempadanan semula, usul perubahan garis sempadanan pilihan raya pada asasnya adalah untuk memberikan kelebihan kepada parti pemerintah. Percaturan di atas kertas dengan melonggokkan pengundi Cina dalam satu kawasan pilihan raya dan meningkatkan kawasan majoriti Melayu melalui proses ‘gerrymandering’ dan ‘malaportionment’ mampu menyumbangkan kerusi tambahan kepada Barisan Nasional.

Strategi ini asalnya tidak mengambil kira perpecahan parti Melayu terbesar, UMNO dan melahirkan PPBM serta faktor Tun Mahathir mengetuai Pakatan Harapan. Apabila undi Melayu yang menyokong UMNO terpecah dengan faktor ini ianya tidak lagi memberi nilai tambah yang besar kepada Barisan Nasional.

Realitinya, persempadanan semula kali ini tidak memberi impak yang besar seperti persempadanan semula 2004 kerana strategi ini tidak berupaya menambah kerusi yang boleh menyumbang kepada kemenangan dua pertiga parti pemerintah.

Perang Media Maya vs Kempen Konvensional

Barisan Nasional dan PAS ternyata unggul dari aspek memperlengkapkan kempen konvensional seperti perang bendera, banner, poster, pondok panas di Pusat Daerah Mengundi dan hiasan bilik gerakan. Pakatan Harapan gagal sepenuhnya untuk memperlihatkan saingan dari aspek ini kerana kekurangan jentera di peringkat akar umbi.

Dalam situasi yang lebih buruk lagi jentera Pakatan Harapan di seluruh negara tidak digerakkan secara bersepadu kalangan parti-parti komponen mereka dalam menggerakkan kempen tradisi ini.

Barisan Nasional pula bergantung sepenuhnya kepada media arus perdana untuk mempertahankan dasar mereka dan menyerang pihak lawan. Pembelian bahan iklan di platform media maya diterajui oleh Barisan Nasional tetapi gagal mencipta arus yang setimpal dengan pelaburan mereka.

PAS yang dahulunya terkenal sebagai parti yang mengetengahkan pemidato yang hebat dan kekuatan mengendalikan siri ceramah yang besar kelihatan tidak bermaya pada pilihan raya kali ini. Siri ceramah yang diadakan oleh PAS dilihat gagal menarik orang mendengarnya. PAS terpaksa mengubah strategi kepada meraih undi melalui ceramah kelompok dan program ziarah rumah ke rumah sebagai strategi utama mendekati pengundi.

Pakatan Harapan bergantung sepenuhnya kepada siri jelajah mereka yang berkembang dan meningkat mendadak sebaik sahaja pembubaran parlimen. Jelajah Pakataan Harapan menyasarkan kepada kawasan-kawasan majoriti Melayu di kawasan luar bandar berjaya menyerang psikologi jentera Barisan Nasional dan PAS. Kekuatan daya tarikan yang merebak pantas melalui video ‘streaming’ di FB Live serta gambar puluhan ribu hadirin dikongsi dan ditular menjadikan ianya sebagai gelombang untuk menolak Barisan Nasional.

Timbul persoalan di sini pihak manakah yang akan memenangi hati pengundi. Penguasaan media maya, media perdana atau kekuatan jentera akar umbi yang akan mempengaruhi pengundi.

Adakah majoriti pengundi yang selama ini merungut dengan beban sara hidup ekoran kelembapan ekonomi domestik dan cukai GST terubat dengan hanya melihat gahnya kibaran bendera parti ataupun retorik politik.

Penilaian kami Pakatan Harapan berjaya mencipta arus yang kuat melalui kempen mereka walaupun mereka tidak mempunyai kekuatan jentera di peringkat bawahan. PAS selaku gabungan pembangkang kedua gagal mencipta arus dan hanya berharap kepada kesetiaan ahli parti mereka untuk terus berdiri megah mempertahankan panji perjuangan mereka.

Bahan kempen Barisan Nasional tidak sekata. Strategi pemasaran gambar politik Najib Razak hanya ketara di Wilayah Persekutuan, Terengganu, Pahang dan sepanjang Lebuhraya Utara Selatan. Selain daripada kawasan ini penggunaan gambar Najib Razak tidak dinaikkan sebagai bahan kempen mereka.

Isu perkauman sempit yang dimainkan oleh Barisan Nasional dan kini dilanjutkan oleh PAS tidak lagi menjadi senjata tajam dalam naratif kempen pilihan raya kali ini. Persona Tun Mahathir dan kewujudan PPBM telah berjaya meningkatkan keyakinan pengundi Melayu terhadap Pakatan Harapan. Gaya kepimpinan Tun Mahathir berjaya menghapus dogma negatif dan meminimakan ketakutan Melayu terhadap DAP.

PAS dan Kingmaker

Strategi PAS untuk memenangi majoriti mudah dan sekiranya gagal konsep ‘kingmaker’ diperkenalkan bagi memperlihatkan PAS sebagai saingan politik yang tidak boleh dipandang enteng oleh lawan politik mereka. Gambaran strategis PAS bahawa PAS boleh memenangi dalam persaingan 3 penjuru ini dengan meyakini bahawa pengundi Melayu akan memihak kepada mereka mengatasi semua faktor lain kerana ketegasan prinsip perjuangan Islam mereka.

Namun mengikut sifir matematik pilihan raya dengan meminggirkan peratusan undi bukan Melayu secara total adalah mustahil kepada mana-mana parti politik untuk menang bersendirian. Populasi pengundi yang majmuk terutama di kawasan Pantai Barat memerlukan kombinasi sokongan pelbagai kaum. Strategi ini menyebabkan PAS di Pantai Barat kini terkeluar daripada arus perdana dan kelihatan terpinggir daripada sokongan pengundi bukan Melayu.

Kekuatan PAS ini hanya boleh diaplikasikan di negeri yang mempunyai komposisi Melayu 90% ke atas. PAS berupaya untuk meneruskan kelangsungan politik mereka di dua negeri Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu.

Najib Razak vs Tun Mahathir

Perseteruan antara mentor dan protege telah memberikan lonjakan sokongan secara tidak langsung kepada perkembangan gelombang pengundi pada pilihan raya kali ini.

Populariti Najib Razak telah mengalami hakisan sokongan semenjak Tun Mahathir mengambil alih kemudi Pakatan Harapan. Najib Razak kelihatan hilang ‘cool’ ekoran serangan bertali arus Tun Mahathir menyebabkan beliau menyerang peribadi Tun Mahathir.

Barisan Nasional kelihatan defensif dan memilih menyerang batang tubuh Tun Mahathir menyebabkan populariti makin meningkat dan undi semakin melebar. Semakin diserang semakin mengukuh. Dengan faktor ini juga pada pusingan akhir kempen Tun Mahathir berjaya meraih dukungan tokoh-tokoh besar seperti Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Rais Yatim dan Tun Daim Zainuddin.

Tindakan Kerajaan dalam beberapa keputusan di penghujung penggal pemerintahan ternyata membangkitkan amarah pengundi. Keputusan membubarkan pendaftaran sementara PPBM, menolak pendaftaran Pakatan Harapan, pembuangan undi pada hari Rabu dan menghalang penggunaan gambar Tun Mahathir selain di Langkawi memangkin gelombang yang menguntungkan Pakatan Harapan.

Tun Mahathir telah melakukan sesuatu yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana pemimpin pakatan pembangkang sebelum ini dalam aspek membuat keputusan kritikal. Kemampuan menamakan calon Perdana Menteri dan penggunaan satu logo adalah pencapaian yang genius dan memberikan tamparan hebat kepada Barisan Nasional.

Johor Pemicu Perubahan

Nasib Barisan Nasional di Johor kritikal. Undi bukan Melayu kini berada di paras paling maksima kepada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional mengalami hakisan sokongan Melayu yang ketara. Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai Pakatan Harapan Johor dan pasukannya berjaya merobek kubu terkuat UMNO di Malaysia.

Mengikut pandangan majoriti besar pengundi yang kami temui di Johor, mereka tidak membenci UMNO tetapi menyalahkan Najib Razak kerana telah merosakkan UMNO. Ini ditambah lagi apabila negarawan dan juga mantan presiden UMNO yang juga menubuhkan UMNO baru dihina sebegitu rupa oleh pemimpin UMNO sekarang. Tindakan ini melahirkan simpati kepada Tun Mahathir dan memberikan publisiti percuma kepada Pakatan Harapan.

Jelajah Pakatan Harapan di Pasir Gudang, Muar dan Pagoh mendapat sambutan luar biasa penduduk tempatan dan sekitarnya. Momentum rapat umum ini melonjak hampir tiga kali ganda selepas pembubaran parlimen dan penamaan calon.

Gelombang yang bermula di Johor mencipta fenomena dalam setiap siri jelajah Pakatan Harapan yang memfokuskan titik-titik sasaran strategik terutamanya di kawasan lingkaran majoriti Melayu. Ini menyebabkan UMNO panik dan gagal melakukan ‘counter narative’ yang berlaku dalam kawasan yang dikuasai mereka.

Kesan gelombang ini akan menyebabkan kerusi-kerusi marginal Barisan Nasional akan tewas dan kerusi yang dimenangi selesa akan berlaku pengurangan majoriti.

Barisan Nasional bertahan dengan ‘approval rating’ yang tinggi kepada Khaled Nordin sebagai Menteri Besar Johor.

Pencapaian kemajuan dan trek rekod UMNO Johor berada pada tahap cemerlang. Masalahnya di sini hanya kepada imej Najib Razak yang menyebabkan Barisan Nasional Johor bakal menerima hukuman.

Perubahan Landskap Demografi

Salah satu sudut pandang yang biasanya tidak disinggung oleh sebahagian besar mereka yang mengkaji pola tingkah laku politik pada pilihan raya kali ini ialah perubahan landskap demografi yang mengancam kuasa politik parti pemerintah secara semulajadi.

Saluran pengundi usia emas yang mengundi kerana identifikasi parti makin mengecil semenjak pilihanraya umum 1999. Generasi yang pernah mengubah undi mereka kerana gerakan reformasi Anwar Ibrahim kini sudah mengambil alih segmen pengundi ini.

Ini bermakna Barisan Nasional tidak boleh lagi selesa dan bergantung kepada pengundi saluran satu ini. Undi yang menyumbang kepada ‘fix deposit’ Barisan Nasional kerana faktor kematian.

Generasi ini digantikan dengan pelapis pengundi baru di kalangan generasi muda ini. Mereka mempunyai pemikiran, budaya, sudut pandang, pertimbangan dan keberanian yang jauh berbeza dengan generasi terdahulu. Padang komunikasi dan medan perdebatan generasi ini menggunakan medium baharu secara optimum.

Statistik dalam daftar pemilih SPR menunjukkan purata peratus pengundi 39 tahun ke bawah sebanyak 41.4 peratus seluruh negara. Kelantan dan Terengganu mencatatkan peratus yang lebih tinggi daripada skala nasional. Kelantan 49.5 peratus dan Terengganu 53.3 peratus. Ini menggambarkan pengundi muda ini merupakan penentu kepada kalah menang pihak yang bertanding dalam pilihanraya umum kali ini.

Budaya tular, ‘troll’, ‘share’, ‘fb live’, ‘insta story’ dan ‘hashtag’ menguasai ruang lingkup kempen kali ini. Mana-mana pihak yang berjaya memenangi hati kelompok ini melalui ‘political marketing’ dan memanfaatkan sepenuhnya kuasa digital mempunyai potensi yang lebih tinggi untuk menang.

Kesimpulan

Pengundi muda yang tinggi, taktikal berbaki jam-jam terakhir serta keazaman pengundi yang inginkan perubahan menggugat status quo Barisan Nasional.

Berasaskan semua faktor-faktor di atas, Pakatan Harapan mampu menawan Johor dengan majoriti mudah selain mengekalkan penguasaan di Selangor dan Pulau Pinang dengan majoriti dua pertiga.

Barisan Nasional pula mampu merampas Kelantan daripada PAS selain mengekalkan penguasaan mereka di Terengganu, Perlis, dan Pahang. Barisan Nasional sedikit bermasalah Negeri Sembilan dan Melaka.

Di Kedah dan Perak, kami menjangkakan berlaku pertembungan sengit atau 50-50 antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

 

ILHAM Centre

8 Mei 2018

June 17, 2016

Pilihan Raya Kecil P067 Kuala Kangsar dan P093 Sungai Besar

TUN MAHATHIR BERI LONJAKAN BESAR WALAUPUN KAJIAN MENUNJUKKAN AMANAH MASIH BERGELUT UNTUK MENANG

Pendahuluan

Menjelang saat-saat akhir fasa kempen pilihan raya yang akan berakhir jam 12 tengah malam ini, kajian firma penyelidikan bebas ILHAM Centre terhadap dua kawasan Pilihan Raya Kecil P067 Kuala Kangsar dan P093 Sungai Besar menunjukkan dinamika perkembangan pola undian yang dramatik.

Kajian kali ini sebenarnya kajian paling sukar untuk dianalisa oleh pihak kami sepanjang kami terlibat dalam siri kajian pilihan raya di Malaysia. Ini kerana pertembungan tiga penjuru, perpecahan undi pembangkang, undi protes senyap UMNO dan PAS dan rebutan undi Melayu menjadi pokok persoalan penting dalam kajian ini.

Perubahan pola kesan daripada kempen agresif oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sedikit sebanyak menggoncang titik kekuatan UMNO di kawasan pedalaman yang mempunyai nilai sentimental dengan negarawan itu mengheret kami membuat analisa sehingga saat akhir tempoh pengundian.

Ketika fasa awal kajian sebelum penamaan calon, kami mendapati BN selesa di hadapan manakala PAS mengekori rapat di dua-dua kawasan ini dan AMANAH hampir tidak dikenali oleh majoriti pengundi.

Ketika kami meninjau pergerakan kempen selepas penamaan calon, prestasi AMANAH dilihat berkembang dengan mendadak. Kehadiran Menteri Besar Selangor memberikan sokongan kepada calon AMANAH telah melenyapkan teka-teki pendirian beliau yang dilihat seolah-olah tidak mahu memihak kepada AMANAH mahupun PAS.

Kemuncak gegaran kempen di pihak Pakatan Harapan yang diwakili AMANAH apabila Tun Mahathir bersedia untuk turun berkempen. Kehadiran beliau di Sungai Besar dan Kuala Kangsar merubah trend politik tradisi pengundi tegar BN.

Bagaimanapun kajian kami menunjukkan AMANAH masih bergelut untuk mengatasi kubu tradisi Barisan Nasional di Sungai Besar dan Kuala Kangsar terutamanya di kawasan majoriti Melayu.

Kajian ini dilakukan serentak di dua kawasan pilihanraya melibatkan 420 responden di Sungai Besar dan 402 responden di Kuala Kangsar. Kajian akhir dilakukan bermula 11 hingga 16 Jun 2016. Laporan kajian disiapkan pada 17 Jun 2016.

Faktor Tun Mahathir Signifikan di Dua Kawasan PRK

Dapatan kajian mendapati sebanyak 73 peratus di Sungai Besar dan 81 peratus di Kuala Kangsar bersetuju bahawa gerakan Tun Mahathir mampu mengubah sokongan pengundi kepada BN.

Kuala Kangsar mencatatkan penerimaan positif pengundi UMNO terhadap kempen Tun Mahathir kerana digerakkan secara intensif oleh Dato’ Hamidah Osman dan Dato’ Kamilia Ibrahim untuk meningkatkan undi protes kepada BN.

Ini ditambah lagi dengan protes senyap di kalangan pemimpin UMNO Bahagian Kuala Kangsar yang kecewa dengan pemilihan Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon.

Manakala di Sungai Besar, penerimaan kempen Tun Mahathir agak sederhana ekoran kesukaran untuk menembusi kubu kuat BN di DUN Sungai Panjang. Limitasi kadar penetrasi kawasan Daerah Mengundi Melayu terutama kawasan tegar UMNO membezakan penerimaan kempen Tun Mahathir berbanding Kuala Kangsar.

Namun begitu, persamaan juga wujud dari aspek suara-suara ketidakpuasan hati beberapa kumpulan di dalam UMNO Bahagian Sungai Besar yang mempertikaikan pemilihan ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi sebagai calon BN. Namun, kesemua elemen ini kami kategorikan elemen luar kawal dan untuk dibuat tafsiran sejauhmana memberikan kesan kepada undi Barisan Nasional.

Kesan tiga hari kempen Tun Mahahir diterima baik khususnya di semua lokaliti Daerah Mengundi Melayu yang menjadi kubu kuat UMNO masih belum dapat dibaca sama ada akan berlaku protes senyap terhadap BN dalam bentuk mengundi calon pembangkang, merosakkan undi ataupun tidak keluar mengundi. Kesemua senario berikut berpotensi merugikan BN.

Tambahan lagi, semua pihak yang anti Barisan Nasional kelihatan berdiri di belakang AMANAH menjadikan AMANAH menerima sokongan mendadak di saat-saat akhir kempen.

Pengundi Memilih AMANAH Sebagai Saingan Sengit Kepada BN

Pola yang menarik ditemui ialah bacaan pengundi Melayu terhadap pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya ini sebagai unjuran pola dalam PRU akan datang.

Data memperlihatkan bahawa pengundi Cina dan atas pagar memilih Parti Amanah Negara yang mewakili Pakatan Harapan sebagai parti yang akan memberi saingan sengit mencabar status quo penguasaan BN. Kelompok ni menyifatkan undi terhadap PAS dan juga Calon Bebas sebagai merugikan undi mereka.

Ekoran itu, PAS berada dalam situasi yang paling getir. PAS mempunyai kelebihan kepada jenama lama dan undi asas dikalangan ahli yang tegar dan mengakar di kawasan lokaliti Daerah Mengundi Melayu. Namun, pendirian politik mutakhir PAS dalam pilihan raya kecil ini kami dapati berlaku hakisan sokongan di kalangan ahli dan penyokong PAS dan bermasalah untuk menambat hati pengundi di atas pagar. Undi bukan Melayu khususnya pengundi Cina untuk PAS boleh dikatakan hampir mustahil dicapai.

Manakala bagi psikologi pengundi Melayu, AMANAH masih disifatkan parti baru yang belum dikenali. AMANAH masih gagal menambat hati pengundi tegar Melayu di kalangan penyokong UMNO dan PAS di kawasan lokaliti yang berada di pedalaman kawasan mengundi.

Calon BN Sungai Besar Ungguli Kemampuan Dua Calon Lawan

Dari aspek keupayaan dan kekuatan calon pula, calon BN, Budiman di Sungai Besar lebih ke hadapan berbanding dua calon lawan. Budiman memanfaatkan populariti di DUN Sungai Panjang yang dikuasainya hanya perlu melebarkan kekuatan di Sekinchan untuk memastikan kemenangan memihak kepada beliau.

Bagi pihak lawan BN, pada awalnya kelihatan calon PAS mempunyai kelebihan berbanding AMANAH. Namun sepanjang kempen berlangsung, Dr Abdul Rani Osman kelihatan berseorangan tanpa dibantu oleh penyusunan terancang jentera PAS di sini. Kelihatan PAS tidak bersungguh-sungguh dalam pilihan raya kecil bagi kawasan ini berbanding di Kuala Kangsar.

Azhar Shukur pula amat bergantung kepada jentera DAP bagi memastikan undi siling diperolehi dari pengundi Cina di Sekinchan dan agak terhad pergerakan beliau dalam meraih undi di DUN Sungai Panjang.

Di Kuala Kangsar pula, Calon AMANAH merupakan calon paling menonjol dan mempunyai faktor ‘wow’ kepada pengundi yang ditemui. Latarbelakang anak tempatan Kampung Suak Petai Manong, keluarga yang besar di sana dan disokong dengan kelayakan akademik yang luar biasa bagi pengundi memberi kekuatan hampir 5 peratus atas faktor peribadi calon.

Calon BN, Mastura yang berada dalam tempoh iddah sebenarnya menghilangkan keterujaan kepada jentera BN untuk mempromosikan calon mereka pada tahp maksima. Imej menerusi poster dan gambar calon agak suram dan kusam tenggelam dengan calon lawan beliau.

Calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad pula disifatkan sebagai calon kurang popular disebabkan bukan anak tempatan dan ini memberikan limitasi kepada jentera PAS untuk memperkenalkan calon secara agresif.

Liputan Isu Nasional Terhad di Kawasan Lokaliti Melayu

Dua kawasan pilihan raya ini memperlihatkan isu apakah yang boleh menarik minat sepanjang kempen berlangsung. Berdasarkan dapatan lapangan, kami dapat rumuskan bahawa pengundi di lokaliti mengundi majoriti Melayu tidak terkesan dengan isu bersifat nasional seperti GST, skandal 1MDB dan lain-lainnya.

Sebaliknya isu yang melingkari kehidupan seharian mereka sebagai contoh, kawasan Parit 1 hingga parit 16, Belia 2, Sungai Nibong, Parit 13 Sungai Nipah, Sungai Haji Dorani, Sungai Leman, Sungai Limau antara majoriti pengundi Melayu di parlimen Sungai Besar yang meletakkan isu tempatan seperti hasil tanaman padi, masalah tangkapan nelayan, kenaikan kos sara hidup lebih menarik minat mereka.

Begitu juga di kawasan Kampung Semat, Ketior, Ulu Piol, Bendang Kering, Kampung Mesjid di parlimen Kuala Kangsar juga mengesahkan dapatan sepertimana di Sungai Besar.

Menariknya di Kuala Kangsar, dengan kehadiran Rafizi Ramli yang membantu jentera AMANAH di Kuala Kangsar memnbuat siri-siri pendedahan isu nasional merancakkan lagi kempen di kawasan tersebut.

Di kalangan parti bertanding, perang bendera dan poster diterajui oleh BN. Jentera BN banyak menumpukan kepada ceramah kecil-kecilan, walkabout di bazar Ramadhan dan majlis berbuka puasa bersama penduduk setempat.

Kempen PAS agak agresif di Kuala Kangsar dan sebaliknya berlaku kepada jentera PAS di Sungai Besar. PAS memperlihatkan kekuatan jentera mereka namun bermasalah dari aspek mesej yang disampaikan kepada pengundi.

Kempen PAS terpinggir kerana membawa isu yang jauh untuk memenangi hati majoriti pengundi walaupun jentera kelihatan kuat. Pengundi gagal memahami mesej kempen PAS selain tema-tema lama PAS sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Tumpuan Tempat Kedua Menjadi Rebutan Pas Dan Amanah, Undi Melayu Penentu

Melihat perkembangan yang seakan memihak kepada BN walaupun terdapat elemen protes senyap yang sukar diramal oleh BN, tempat kedua menjadi rebutan sengit antara PAS dan AMANAH.

PAS mempunyai kelebihan jenama lama dan undi asas yang tegar dan mengakar di kawasan Melayu manakala AMANAH mempunyai kelebihan undi Cina dan pengundi anti BN memberikan keseimbangan undi antara keduanya.

Oleh itu, lonjakan undi penentu adalah di kalangan pengundi Melayu yang tegar UMNO dan pengundi atas pagar Melayu. Sejauhmanakah antara keduanya dapat meyakini pendirian politik pengundi sehingga berani menterjemahkan pada kertas undi esok hari menjadi penentu kepada kedudukan dua parti ini.

Merujuk kepada graf di bawah, BN di Kuala Kangsar mendahului sebanyak 37 peratus diikuti oleh AMANAH oleh sebanyak 24 peratus, PAS pula 12 peratus dan “Tidak Tahu” sebanyak 27 peratus.

Sungai Besar pula BN selesa dengan 41 peratus, AMANAH 19 peratus, PAS sebanyak 16 peratus dan “Tidak Tahu” sebanyak 24 peratus.

Undi Protes Sukar Diukur

Dapatan kajian juga mendapati wujudnya faktor undi boleh dibaca sebagai protes senyap di kedua-dua kawasan pilihan raya. Elemen ini dikesan di kalangan mereka yang pernah mengundi BN dan mahupun PAS dalam PRU-13 yang lalu. Ini berdasarkan dapatan kami merujuk kepada parti mana yang menjadi pilihan, responden yang menjawab “Tidak Tahu” di Kuala Kangsar sebanyak 27 peratus dan di Sungai Besar sebanyak 24 peratus.

Dapatan ini sebenarnya menunjukkan jumlah kumpulan ini meningkat selepas beberapa siri penerangan yang digerakkan oleh Tun Mahathir di Daerah Mengundi yang menjadi kubu kuat UMNO. Namun persoalannya, adakah kelompok ini mampu membuat keputusan yang boleh mengecewakan BN.

Kewujudan elemen protes ini begitu kuat di Kuala Kangsar ekoran pemilihan balu kepada bekas Ahli Parlimen yang lalu sebagai calon. Mastura Mohd Yazid tidak memegang jawatan utama dalam UMNO Bahagian Kuala Kangsar dipilih dengan mengenepikan pilihan orang parti di peringkat bahagian itu. Di Sungai Besar, wujud rekahan sokongan apabila sebahagian penyokong UMNO yang menyokong Cikgu Muslimin Yahya sebagai calon di sini.

Kumpulan ini juga merupakan pengundi yang pernah mengundi PAS tetapi keliru dengan dengan pendirian politik PAS terkini dan polemik dalaman PAS sebelum ini sehingga tertubuhnya parti serpihan PAS iaitu AMANAH.

Rumusan Kajian

Keputusan pilihan raya kecil ini sebenarnya amat signifikan dan bermakna buat politik pembangkang. AMANAH memikul tanggungjawab untuk menguji populariti Pakatan Harapan dan mempunyai keupayaan mengambil alih peranan PAS dahulu.

Manakala PAS pula buktikan bahawa kemunculan AMANAH tidak memberi sebarang kesan kepada pengaruh parti itu.

Bagi BN, kemenangan hampir pasti milik mereka. Jentera selesa di Sungai Besar tetapi agak ‘struggle’ di Kuala Kangsar ekoran calon mereka tidak turun berkempen.

Keputusan ‘upset’ boleh berlaku saat-saat akhir sekitarnya jentera BN gagal menangani elemen protes senyap dalaman parti UMNO. Malapetaka kepada BN ini disumbangkan oleh undi protes dalaman UMNO tinggi, undi bukan Melayu ‘solid’ kepada AMANAH, undi kelompok anti BN dan undi ‘fence sitter’ beralih mengundi pembangkang.

AMANAH dan Pakatan Harapan yang agresif menyerang BN dalam aspek isu nasional hanya memangkin keyakinan kepada pengundi yang celik politik, berada di bandar dan separa bandar tetapi gagal menawan pengundi di kawasan kampung-kampung tradisi, jauh dari bandar.

Jika berlaku kejutan kejutan BN di Kuala Kangsar, boleh dianggap berpunca daripada pemilihan calon yang salah dan AMANAH meletakkan calon yang tepat. Calon PAS dan strategi PAS hanyalah untuk mengekalkan sokongan pengundi mereka daripada beralih sokongan kepada AMANAH semata-mata. Tidak lebih daripada itu.

Keputusan pertembungan tiga penjuru juga ini juga memperlihatkan persaingan tangga kedua yang signifikan dan amat bermakna bagi parti pembangkang. Jika undi AMANAH mengatasi undi PAS, ini memberikan kemenangan moral buat Pakatan Harapan berdepan dengan BN dalam pilihan raya akan datang. PAS pula perlu melihat dan menilai kembali strategi dan pendirian politik mereka jika undi mereka lebih rendah daripada AMANAH dan BN.

 

Panel Penyelidikan ILHAM Centre

17 Jun 2016
7.30 pm

 

May 7, 2016

PRN Sarawak ke-11

Berikut adalah ramalan awal yang dibuat oleh kami berdasarkan kajian lapangan dalam pilihan raya Sarawak yang berlangsung hari ini:

BN Menang Tanpa Bertanding  

  1. Bukit Kota
  2. Bukit Sari

Kerusi Selesa BN  

  1. Tasik Biru
  2. Stakan
  3. Katibas
  4. Bukit Goram
  5. Baleh
  6. Kemena
  7. Tupong
  8. Pakan
  9. Kedup
  10. Murum
  11. Samalaju
  12. Bukit Semuja
  13. Tanjong Datu
  14. Opar
  15. Satok
  16. Asajaya
  17. Serembu
  18. Tarat
  19. Tebedu
  20. Simunjan
  21. Bukit Begunan
  22. Simanggang
  23. Engkilili
  24. Batang Ai
  25. Saribas
  26. Lingga
  27. Balai Ringin
  28. Bukit Saban
  29. Kalaka
  30. Meluan
  31. Machan
  32. Nangka
  33. Dalat
  34. Tellian
  35. Tamin
  36. Kakus
  37. Belaga
  38. Jepak
  39. Bekenu
  40. Lambir
  41. Piasau
  42. Pujut
  43. Marudi
  44. Mulu
  45. Pantai Damai
  46. Demak Laut
  47. Kabong
  48. Semop
  49. Daro
  50. Balingian
  51. Kuala Rajang
  52. Semariang
  53. Muara Tuang
  54. Sadong Jaya
  55. Sebuyau
  56. Beting Maro
  57. Gedong
  58. Jemoreng
  59. Batu Danau

Kerusi Sengit BN Berpotensi Menang  

  1. Mambong
  2. Batu Kawah
  3. Repok
  4. Layar
  5. Ngemah

Kerusi DAP Selesa  

  1. Padungan
  2. Bukit Assek
  3. Pelawan
  4. Dudong
  5. Pending
  6. Kota Sentosa

Kerusi Sengit DAP Berpotensi Menang  

  1. Meradong
  2. Senadin
  3. Bawang Assan
  4. Batu Kitang

Kerusi PKR Selesa  

  1. Krian
  2. Batu Lintang

Kerusi Sengit PKR Berpotensi Menang  

  1. Telang Usan
  2. Ba’kelalan

Tidak Pasti  

  1. Pelagus
  2. Tanjung Batu

 

Disediakan oleh Panel Penyelidikan ILHAM Centre
9 Mei 2016

ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur, MALAYSIA
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links
ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links

Copyright by ILHAM Centre. –  All rights reserved.

Copyright by ILHAM Centre. |  All rights reserved.