July 2, 2020
Tinjauan Lapangan Pilihanraya Kecil N23 Chini
UMNO-PAS DOMINASI KEMPEN, BEBAS BUKAN SAINGAN
Latar Belakang
PRK N23 Chini diadakan selepas ADUN daripada BN meninggal dunia, ini adalah PRK ke-11 selepas PRU14, PRK pertama selepas PN mengambil alih kerajaan persekutuan daripada PH melalui penjajaran semula gabungan politik yang dikenali sebagai Langkah Sheraton.
Dalam 10 pertembungan PRK lepas, BN dan PH berkedudukan seri dengan PH menggungguli lima pertembungan terawal manakala BN mendominasi lima pertarungan terakhir.
Walaupun berkongsi skor siri-siri persaingan lepas, namun gelanggang Chini umpama anti-klimaks apabila PH mengalah lebih awal. Jika sebelum ini PH gah bertarung hingga hari persandingan untuk merebut pelamin, kali ini mereka langsung tidak masuk merisik, hanya melihat dari kejauhan gadis pujaan terlepas ke pelukan orang.
PH mendakwa tidak menyertai gelanggang Chini kerana kekangan pandemik Covid-19 yang sedang menghambat, namun sudah tentu itu bukanlah alasan paling jujur. Alasan munasabah adalah ketidakmampuan mereka untuk menyaingi kombinasi Umno-Pas dalam PRK ini apabila mereka hilang deposit dalam pertembungan tiga penjuru dalam PRU sebelumnya.
Chini berada dalam lingkaran Melayu tradisional, psikografi yang memberi kelebihan kepada dua parti Melayu-Islam iaitu Umno dan Pas. Secara umum, Umno mendominasi sokongan politik di sini, manakala Pas memiliki separuh daripada kekuatan yang dimiliki Umno. Apabila dua parti ini bergabung dalam MN, mereka memulakan kempen PRK ini dengan status quo sokongan yang padu.
Daripada hampir 21 ribu pemilih, 90 peratus adalah pengundi Melayu yang majoritinya adalah peneroka tanah rancangan Felda manakala bakinya mendiami kampung tradisi. Hampir 10 peratus adalah pemilih suku Orang Asal yang mendiami pesisir Tasik Chini, selebihnya adalah pemilih etnik-etnik lain yang berjumlah kurang satu peratus.
Apabila PH menarik diri, persaingan Chini diteruskan antara BN dengan dua calon bebas, pertembungan atas padang yang tidak sama rata, pertarungan berat sebelah antara pesaing ‘lightweight’ dan ‘heavyweight’ dalam gelanggang yang menjadi tumpuan ramai.
Walaupun pertembungan tidak sengit dan keputusan telah dijangka, tinjauan lapangan ini tetap dijalankan bagi (i) membuat jangkaan senario politik nasional berdasarkan petunjuk-petunjuk PRK Chini, (ii) mengenal pasti dan mengangkat isu-isu masyarakat yang berbangkit sepanjang kempen PRK ini, serta (iii) meninjau aktiviti kempen PRK dalam fasa PKPP serta menganalisis kesesuaian untuk diimplementasi dalam PRU sekiranya pandemik terus mengancam.
Metodologi Penelitian
Tinjauan lapangan PRK Chini ini tidak berhasrat untuk mengukur tahap sokongan secara kuantitatif dan membuat prediksi keputusan seperti siri-siri PRK yang biasa, sebaliknya untuk menghurai elemen-elemen yang bersifat nilai. Bagi mencapai tujuan tersebut, penelitian ini dijalankan secara kualitatif dengan pengumpulan data melalui temu bual dan pemerhatian.
Temu bual secara individu dan berkumpulan (FGD) diadakan dengan responden daripada pasukan koordinasi kempen calon-calon yang bertanding, jentera kempen calon-calon yang bertanding, pengundi-pengundi dan masyarakat sekitar. Pemerhatian diadakan secara ikut serta dalam aktiviti kempen dan gerak kerja di markaz operasi, serta secara rawak dalam pelbagai aktiviti kempen.
Pengumpulan data lapangan secara intensif diadakan selama empat hari bermula 28 Jun sehingga 1 Julai 2020, manakala data secara berkala telah dikumpul semenjak SPR mengeluarkan notis PRK ekoran kematian ADUN Chini sebelum ini.
Terima Kasih Bebas
Rata-rata responden yang ditemui melahirkan rasa terima kasih sama ada secara terus terang atau tersirat kepada calon-calon bebas yang bertanding, khususnya Datuk Tengku Zainul Hisham. Penyertaan calon-calon bebas ini berjaya mengelak BN menang percuma, sekaligus memastikan kempen berjalan seperti biasa yang memberi keuntungan kepada masyarakat setempat.
Walaupun majoriti responden yang ditemui cenderung untuk mengundi BN, namun mereka menghargai calon bebas yang turut bertanding, membolehkan mereka mendapat manfaat segera dan jangka panjang. Antara manfaat segera seperti aktiviti perniagaan makanan dan barangan yang rancak, sewaan rumah tumpangan yang ditempah penuh, acara makan-makan dan sebagainya.
Antara manfaat jangka panjang seperti kelulusan peruntukan oleh kerajaan untuk menyelesaikan isu air yang tertangguh sekian lama, komitmen kerajaan untuk menyelesaikan masalah lampu jalan, perhatian terhadap keperluan generasi kedua Felda dan sebagainya.
Begitulah norma di Malaysia, banyak isu rakyat yang tertangguh sekian lama akan diberi perhatian segera apabila berlakunya PRK. Atas sebab itu, rakyat gembira apabila berlaku PRK di kawasan mereka, peluang terbaik untuk memperolehi manfaat bersifat segera dan jangka panjang daripada kerajaan khususnya.
Apabila PH mengumumkan tidak bertanding, kelihatan seperti BN akan menang percuma dan rakyat setempat tidak akan memperolehi laba daripada PRK ini. Namun apabila calon-calon bebas turut menawarkan diri, situasi kembali memihak kepada masyarakat setempat.
Antara dua calon bebas yang bertanding, penyertaan Tengku Zainul lebih memberi kesan signifikan kepada penduduk. Latar belakang calon tersebut daripada kerabat istana, hieraki dalam parti Bersatu dan faktor personel calon memberi cabaran bermakna yang tidak boleh dipandang mudah oleh BN. Bagi menyaingi calon ini, BN yang sedang menguasai kerajaan Pahang dan sebahagian komponen kerajaan persekutuan terpaksa sedikit sebanyak melabur dan berhabisan kepada rakyat dalam kempen Chini ini.
Pemilihan Calon
Dapatan di lapangan menunjukkan kali ini BN gagal menamakan calon terbaik untuk mewakili mereka, banyak sungutan ketidakpuasan hati terdengar, khususnya daripada penyokong Umno sendiri. Penamaan Mohd Shahrim oleh Umno untuk mewakili BN tidak mengembirakan semua pihak dalam Umno di DUN Chini, bahkan menimbulkan protes daripada beberapa pihak.
Perebutan ini mudah difahami kerana penyertaan BN dalam PRK Chini ini pada kedudukan pasti menang, tentu sekali ramai pimpinan Umno setempat ingin jadi calon sekaligus bergelar YB. Calon BN ini dipilih daripada hampir 10 nama lain yang turut bersaing untuk mendapat tempat.
Berbanding sebahagian nama-nama lain yang didakwa lebih berkaliber, wibawa calon yang dipilih agak kurang menyengat. Sungutan oleh pengundi khususnya penyokong BN itu ada benarnya apabila kelihatan calon BN agak kurang keterampilan khususnya gaya penampilan, komunikasi dan sebagainya.
Andainya dalam pertarungan yang sengit dan marginal kecil, isu penetapan calon seperti ini sedikit sebanyak akan memberi masalah kepada BN. Namun dalam konteks PRK Chini yang tidak mencabar, isu calon ini tidak akan memberi masalah besar kepada BN, mereka akan tetap menang persaingan ini dengan bergaya.
Antara dua calon bebas yang turut mengambil bahagian, Datuk Tengku Zainul Hisham memberi sedikit impak di Chini kali ini. Sebagai tokoh korporat, kerabat istana, timbalan ketua bahagian Bersatu (sebelum dipecat) serta orang tempatan Pekan, kehadiran beliau agak dirasai berbanding kebanyakan calon bebas dalam siri-siri PRK sebelum ini.
Beliau juga menyertai PRK ini dengan misi yang jelas iaitu meneruskan perjuangan yang dirintis oleh Bersatu pada awal penubuhan, aspirasi untuk menentang Umno dan BN. Apabila gagal dalam perkiraan dan percubaan untuk bertanding menggunakan lambang mana-mana parti, beliau memutuskan untuk bertanding sebagai calon bebas menggunakan lambang rumah.
Atas pertimbangan individual, Tengku Zainul ini memiliki rekod pencapaian lebih baik berbanding calon BN. Namun dalam pilihan raya, itu bukanlah faktor penentu khususnya kawasan pilihan raya di luar bandar. Bagi pengundi Melayu di luar bandar, mereka lebih cenderung mengundi mengikut faktor parti, bukan berdasarkan faktor calon atau isu semasa. Dalam kes Chini ini, kemampuan Tengku Zainul untuk menyaingi calon BN adalah malap.
Seorang lagi calon bebas iaitu Mohd Shukri adalah seorang DJ bebas dan blogger yang dikenali sebagai Cucu Mat Kilau (CMK). Beliau yang telah banyak kali bertanding sebagai calon pilihan raya di pelbagai kawasan kurang mendapat sambutan daripada pengundi setempat. Walaupun kurang mendapat sambutan dan berisiko untuk memperolehi hanya sedikit undi, beliau banyak mengangkat isu-isu masyarakat setempat sepanjang berkempen, khususnya melalui media masa.
Strategi Kempen
PRK Chini ini mencatat sejarah apabila diadakan dalam tempoh PKPP rentetan pandemik Covid-19. Akibat PKPP yang masih berkuat kuasa, SPR telah menetapkan SOP kempen untuk diikuti oleh calon-calon yang bertanding. Disebabkan penguatkuasaan PKPP dan pertembungan yang kurang sengit, strategi dan kerancakan kempen di Chini ini berbeza berbanding kempen dalam siri-siri PRK sebelumnya.
Dengan mengurangkan ceramah-ceramah seperti kebiasaan, kempen kali ini lebih difokuskan kepada bersua muka dengan pengundi sama ada di rumah atau di tempat-tempat awam, strategi ini banyak digunakan oleh calon BN dan jentera kempen mereka, serta calon bebas Tengku Zainul Hisham.
Selain merayu undi secara temu muka dengan pengundi, aktiviti kempen juga banyak dilakukan secara pertemuan dan sembang santai dalam kelompok kecil. Strategi ini paling banyak dilakukan oleh jentera kempen BN melalui pelbagai sayap mereka seperti pemuda dan wanita, oleh kedua-dua parti Umno dan Pas.
Disesuaikan dengan perkembangan teknologi semasa, pilihan raya musim pandemik dan peratusan pengundi luar yang tinggi, semua calon bertanding memanfaatkan sepenuhnya kempen secara maya atas talian. Mereka memanfaatkan secara optimun teknologi ICT khususnya media sosial untuk berkempen kepada pengundi, sama ada mengunakan mesej sehala atau interaksi dua hala. Maklum balas daripada pengundi muda dan pengundi luar kawasan mengesahkan bahawa mereka banyak mendapat input-input kempen melalui media maya, membuktikan strategi tersebut agak berkesan.
Umno kelihatan serius dan bersungguh-sungguh berkempen di Chini ini, seolah-olah mereka berdepan persaingan sengit parti lawan. Bermula sebelum hari penamaan calon, pemimpin-pemimpin utama telah berkumpul di Pekan, bermesyuarat dan mengadakan pelbagai perbincangan. Kelihatan seperti bukan sekadar merancang PRK Chini, bahkan juga mengatur koreografi lenggok tari politik nasional.
Begitu juga penyertaan pemimpin dan jentera Umno dari seluruh negara, meriah sekali. Barangkali komitmen membantu kempen Chini ini bersifat serampang bermata-mata. Selain untuk memenangkan calon BN, inilah peluang terbaik mereka menampilkan diri untuk dilihat dan dinilai oleh pimpinan tertinggi. Umno sedang mendesak PN untuk mengadakan PRU dalam masa terdekat, PRK ini peluang terbaik untuk menzahir dan melobi sebagai calon pilihan raya, juga bertanding jawatan dalam pemilihan parti kemudiannya.
MN atau PN
Jentera kempen BN majoritinya digerakkan oleh Umno dan Pas. Semasa mendampingi pengundi, perayu-perayu undi BN yang terdiri daripada jentera Umno dan Pas majoritinya membawa semangat muafakat, iaitu Muafakat Nasional (MN). Perkataan dan agenda muafakat banyak dijadikan modal kempen, merujuk kepada kerjasama politik antara Umno dan Pas untuk memperkasakan ketuanan Melayu dan agama Islam.
Walaupun kempen BN turut disertai oleh Bersatu khususnya menuju minggu terakhir, namun nama PN kurang diangkat dalam kempen PRK Chini ini. Jentera kempen daripada Umno dan Pas tidak ghairah untuk menggunakan jenama perikatan, sebaliknya mereka lebih selesa menggunakan jenama dan aura muafakat. Kempen Chini ini menunjukkan wujud keserasian yang kuat antara Umno dan Pas, tetapi tidak Umno-Pas dengan Bersatu.
Peranan Pas
Antara yang ingin diperhatikan dalam tinjauan ini adalah peranan dan penglibatan Pas dalam kempen membantu BN. Walaupun ini bukanlah kali pertama Pas membantu BN selepas Cameron, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis, situasi di Chini sedikit berbeza. Chini adalah kawasan majoriti Melayu-Muslim di mana Umno dan Pas bertembung kekuatan dan berseteru sekian lama, ini juga adalah PRK pertama selepas Umno dan Pas membentuk kerajaan bersama di peringkat persekutuan.
Dapatan menunjukkan Pas membantu kempen BN sepenuh jiwa, berkempen seolah-olah Pas sendiri yang bertanding. Bukan setakat jentera Pas DUN Chini yang membantu, sebaliknya jentera Pas kawasan Pekan dan seluruh kawasan-kawasan parlimen lain dalam negeri Pahang turut datang membantu. Mereka berkempen bersungguh-sungguh, mensasarkan untuk memperolehi 5000 undi penyokong Pas kepada BN.
Apabila diuji dengan ungkitan kenapa sedia membantu BN sedangkan Umno sudah banyak menyakiti mereka sebelum ini, ada dua tema jawapan daripada Pas. Dalam kalangan jentera yang berkempen, mereka mengatakan mereka mengikut jemaah, jemaah yang membuat keputusan. Dalam kalangan pengundi, mereka mengatakan ikut arahan pemimpin.
Seperti di Cameron Highland dan Semenyih yang menunjukkan undi Pas jadi faktor kemenangan BN, sekali lagi di Chini ini undi penyokong Pas akan menyumbangkan kemenangan BN dengan majoriti sangat besar.
Undi Protes
Antara yang hangat kedengaran dalam kalangan pengundi adalah undi protes kepada calon BN. Ada dua kelompok yang tidak berpuas hati dan berura-ura untuk membuat undi protes. Kelompok pertama daripada penyokong Umno yang tidak berpuas hati pemilihan Mohd Shahrim sebagai calon, manakala kelompok kedua adalah penyokong Pas yang membantah kerjasama dengan Umno.
Pasukan kempen calon bebas Tengku Zainul telah dan sedang mengatur strategi untuk mengumpul undi protes ini kepada mereka, siri-siri rundingan dengan kumpulan daripada Umno dan Pas yang membuat protes ini telah dan sedang berjalan, secara lisan mereka berjanji untuk menyokong.
Namun dalam konteks PRK Chini ini, undi protes daripada kedua-dua penyokong Umno dan Pas ini tidak akan mempengaruhi keputusan siapa yang akan keluar sebagai pemenang. Tentu sekali calon bebas tidak berpeluang sama sekali untuk memenangi PRK ini dengan undi protes itu, psikologi dan demografi Chini tidak berpotensi ke arah itu, petunjuk di lapangan juga tidak sampai ke tahap itu.
Namun asbab kepada protes ini berpotensi untuk merebak jadi barah dalaman parti masing-masing jika tidak ditangani dengan baik. Pasca gabungan Umno dan Pas dalam MN, kombinasi tersebut tiada tentangan yang kuat oleh PH atau mana-mana parti di Chini khususnya. Apabila tiada musuh dari luar untuk dihadap, tenaga lebih cepat ditumpukan untuk pertembungan dalaman parti, isu-isu kecil seperti asbab protes ini boleh jadi percikan api yang akan marak membesar.
Pilihan Raya Musim Pendemik
SPR telah menetapkan SOP kempen musim PKPP seperti ceramah tidak boleh melebihi 250 orang, aktiviti merayu undi tidak melebihi tiga orang, pengawasan jarak dan sebagainya.
Pemerhatian di lapangan menunjukkan parti dan pihak-pihak yang bertanding memberi komitmen dan berusaha untuk mematuhi SOP tersebut.
Namun tidak semua SOP tersebut berjaya dipatuhi sepenuhnya, pelanggaran-pelanggaran dalam aspek penjarakan sosial dan bersalaman kerap berlaku terutamanya semasa berada di markaz, program santai dan semasa merayu undi.
Isu Rakyat
Ada beberapa isu yang secara konsisten dibangkitkan oleh responden dalam kalangan pengundi. Paling ketara adalah isu air yang berlanjutan sekian lama. Isu ini telah diberi perhatian dan kelulusan peruntukan oleh pihak kerajaan untuk diatasi. Kejayaan mengatasi masalah bergantung sepenuhnya terhadap mekanisme penyampaian dalam menjayakan projek tersebut.
Isu kedua adalah kemudahan asas yang terbatas di Chini, termasuk kemudahan lampu jalan. Pelbagai dakwaan dikeluarkan oleh penduduk berkenaan isu lampu jalan ini, termasuk dakwaan setiap keluarga bersetuju membuat potongan untuk membayar perkhidmatan tersebut. Isu ini juga telah diberi perhatian oleh pihak kerajaan, termasuk TNB yang memberi komitmen untuk membantu. Semoga penyelesaian tersebut bersifat lestari, bukan sekadar pemanis yang bersifat sementara.
Isu ketiga yang paling kerap ditimbulkan adalah kebajikan generasi kedua Felda, khususnya isu penempatan generasi kedua dan peluang ekonomi. Jumlah pengundi luar yang hampir mencecah 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi Chini seperti membayangkan anak-anak muda berhijrah keluar untuk mencari rezeki, peluang ekonomi sekitar Chini masih perlu ditambah.
Isu-isu tersebut yang semuanya bersifat isu tempatan serta beberapa isu lain yang turut disebut seperti pemilikan tanah dalam kalangan Orang Asal, isu perahan sawit dan sebagainya, semuanya sekadar isu kebajikan yang diangkat oleh pengundi alang-alang PRK diadakan. Dalam konteks pola pengundian, isu-isu tersebut tidak akan menjejaskan banyak sokongan kepada BN, mereka akan tetap keluar sebagai pemenang.
Naga Menangis
Kedatangan pelancong pilihan raya ke Chini kali ini disambut pemandangan bukit yang dahulunya menghijau sekarang sedang membotak. Debu-debu tanah merah mengotori jalan-jalan sekitar Tasik Chini, akibat aktiviti perlombongan mineral sekitarnya. Isu ini banyak ditimbulkan oleh penduduk setempat.
Tinjauan sekitar Tasik Chini mengesahkan dakwaan tersebut, aktiviti perlombongan dilakukan sangat hampir dengan pesisir tasik, berisiko merosakkan ekosistem sekitarnya. Buat masa ini pihak berkuasa tempatan telah mengarahkan morotarium sementara aktiviti perlombongan kepada beberapa pengusaha terlibat, ada info mengatakan untuk tempoh dua minggu bagi penilaian semula.
Sekitaran Tasik Chini adalah penempatan komuniti Orang Asal, mereka memanfaatkan ekosistem tersebut untuk memperolehi pelbagai sumber kehidupan. Mereka menamakan bahagian-bahagian tasik ini sebagai laut, ada 12 laut semuanya. Ada dua laut yang mula tercemar akibat aktiviti perlombongan ini iaitu Laut Jemberau dan Laut Melai.
Tasik Chini yang syarat dengan khazanah biodiversiti yang tidak ternilai harganya kini semakin terancam. Naga yang dulu gah mewarisi lagenda, kini sedang menangis minta dikasihani, merayu untuk diselamatkan. Kerajaan Pahang khususnya perlu menilai isu ini dengan lebih konstruktif, untuk kepentingan semua pihak terlibat dan melindungi khazanah negeri yang tidak ternilai harganya itu.
Keberangkalian-Keberangkalian
Jumlah pemilih berdaftar yang layak mengundi dalam PRK Chini ini adalah 20,990 orang. Daripada jumlah tersebut, sekitar 8,000 pengundi berada di luar kawasan. Hampir 40 peratus pengundi berada di luar kawasan adalah jumlah yang besar sebenarnya, sesuatu perlu diberi perhatian.
Keputusan PRK Chini tidak memberi implikasi signifikan kepada beberapa aspek. Pertama saingan tidak mencabar. Bagi penyokong Umno-Pas yang berada di luar kawasan, sama ada mereka balik mengundi atau tidak, tidak akan merubah keputusan, kemenangan BN sudah dalam tangan.
Bagi penyokong PH sama ada yang berada di luar atau tempatan, tiada keperluan juga untuk mereka keluar mengundi. Dalam PRU14 lepas ada 1,065 pengundi yang memangkah PH, jumlah kecil tapi masih signigikan dalam hitungan peratusan keluar mengundi.
Semakan rawak dengan sebilangan pengundi muda yang berada di luar, ramai yang memberi maklum balas untuk tidak pulang mengundi, atas sebab faktor-faktor tersebut dan juga beberapa faktor peribadi lain.
Pertimbangan-pertimbangan tersebut akan mempengaruhi peratusan keluar mengundi hari Sabtu nanti, sudah tentu jauh lebih rendah berbanding 79 peratus yang dicatatkan dalam PRU14 lepas.
SPR mensasarkan keluar mengundi sebanyak 70 peratus, manakala jentera BN mengharapkan setinggi 80 peratus. Kajian ini tidak mengumpul data kuantitatif untuk menganggarkan jangkaan keluar mengundi secara statistikal. Sekadar pertimbangan dengan faktor-faktor kualitatif dan pengalaman di lapangan, kemungkinan keluar mengundi hanya sekitar 60 peratus, atau paling tinggi sekitar 65 peratus.
BN dilaporkan mensasar menang dengan majoriti sebesar 13,500 undi. Bolehkah mereka mencapai sasaran tersebut?
Jika peratusan keluar mengundi tinggi iaitu melebihi 70 peratus, mereka ada peluang untuk mencapai sasaran tersebut.
Apa ukuran kejayaan calon bebas?
Dalam konteks Chini, calon bebas sudah dianggap mencapai kejayaan membanggakan jika tidak hilang wang pertaruhan.
Calon akan hilang wang pertaruhan sekiranya jumlah undi kurang 1/8 atau 12.5 peratus daripada jumlah undi keseluruhan.
Jika 65 peratus pemilih keluar mengundi, calon perlu memperolehi sekitar 1700 undi untuk mengelak hilang wang pertaruhan.
Bagi calon bebas Mohd Shukri, agak sukar untuk mencapai angka tersebut, tiada faktor penarik ke arah tercapainya angka tersebut.
Bagi calon bebas Tengku Zainul, beliau memiliki banyak faktor penguat untuk mengumpul undi yang cukup untuk sekurang-kurangnya tidak hilang wang pertaruhan.
Namun realiti corak pengundian pengundi luar bandar yang sangat cenderung kepada undi berdasarkan parti, meletakkan beliau dalam ketidakpastian untuk mengumpul sekurang-kurangnya undi protes.
Walau bagaimanapun, beliau sekurang-kurangnya mempunyai peluang yang lebih baik.
Saranan-saranan
(i)
DUN Chini terletak dalam kawasan parlimen Pekan yang diwakili sendiri oleh DS Najib sejak sekian lama sebagai ahli parlimen, beliau juga lama sebagai menteri kabinet, TPM dan PM. ADUN Chini sebelum ini juga pernah jadi Exco kerajaan negeri Pahang.
Chini yang sentiasa diwakili oleh pemimpin-pemimpin hebat daripada parti BN yang memerintah kerajaan negeri dan persekutuan sebelum ini sewajarnya memperolehi yang lebih baik berbanding apa yang ada sekarang, khususnya kemudahan-kemudahan asas.
Wakil rakyat BN yang dijangka akan diistiharkan pada Sabtu malam nanti perlu memberi perhatian serius untuk memaju dan membangunkan Chini, dalam kedua-dua aspek fizikal dan spiritual. Banyak isu-isu asas dibangkitkan oleh pengundi sepanjang PRK ini, selesaikanlah pada kadar yang terbaik dan termampu.
(ii)
Sepanjang PRK Chini ini Pas memberi sokongan dan dokongan sangat padu kepada calon Umno yang mewakili BN. Untuk mengekalkan kerjasama yang lestari, Pas perlu terus diperkuatkan.
Salah satu cara Pas memperkuatkan parti mereka adalah melalui pengalaman menyertai pilihan raya sejak sekian lama, itulah latihan-latihan praktikal yang berkesan kepada mereka.
Jika berdasarkan status qou, kelihatan semua kerusi di Pekan sama ada parlimen atau DUN akan ditandingi oleh Umno bagi pihak MN atau PN. Situasi ini akan melemahkan Pas dengan pelbagai sebab, akhirnya Umno akan turut rugi apabila kawan baik jadi lemah.
Untuk membantu menguatkan Pas, Umno perlu berlapang dada untuk menyerahkan sekurang-kurangnya satu kerusi di Pekan untuk ditandingi oleh Pas dalam PRU akan datang, juga sebagai tanda terima kasih atas dokongan penuh Pas kepada BN dalam PRK ini. Kerusi Chini ini salah satu kerusi yang sesuai dipertimbangkan untuk diserahkan kepada Pas.
(iii)
Gabungan Umno dan Pas menguatkan gabungan MN secara total di DUN Chini ini. Walaupun kelihatan seperti bagus, tetapi sebenarnya tidak sihat apabila tiada pihak yang kuat untuk menjalankan fungsi semak dan imbang. Sewaktu BN berkuasa sebelum ini, fungsi tersebut banyak dimainkan oleh Pas.
Menyedari keperluan tersebut, PH atau mana-mana parti pembangkang perlu bersegera untuk membina tapak dan memupuk kekuatan di Chini bagi menjalankan fungsi semak dan imbang. Rakyat akan dapat banyak manfaat apabila parti-parti politik yang seimbang bersaing kekuatan untuk memberi yang terbaik kepada rakyat di sesuatu tempat.
(iv)
Tasik Chini adalah warisan alam yang tidak ternilai harganya. Khazanah biodiversiti dan rakaman lagendanya tidak terhitung nilainya, tiada tasik di mana-mana dunia sekalipun boleh menggantikannya. Selamatkan Tasik Chini, angkat semula citra tasik lagenda itu, kembalikan nilai estetika tasik itu seperti yang sepatutnya.
Kaji semula aktiviti perlombongan, perladangan atau sebarang aktiviti penerokaan yang mencemar dan mengancam kesinambungan warisan berharga itu. Pahang kaya dengan tanah dan hutan untuk mengembangkan industri perlombongan, perladangan, pembalakan dan sebagainya. Kecualikanlah pesisir Tasik Chini yang mengancam kewujudan pusaka berharga itu.
(v)
Dalam PRK DUN yang sedikit bilangan pengundi dan tidak sengit persaingan pun sukar untuk pematuhan SOP PKPP sepenuhnya. Tentu sekali sangat sukar untuk pematuhan jika diadakan PRU yang menyeluruh dan sengit dalam tempoh PKPP. Kerajaan perlu mempertimbangkan semasak-masaknya jika ada keperluan untuk mengadakan PRU sewaktu ancaman pandemik Covid-19 masih berisiko.
Disediakan oleh:
Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim
Ketua Penyelidikan ILHAM CENTRE
2 Julai 2020