HomeCategory

Report

Sungai Bakap: Persaingan Sengit Sehingga Garis Penamat

Pola Pengundian Pilihan Raya Kecil N20 Sungai Bakap

Pendahuluan

Dalam tempoh dua tahun setengah, pengundi Sungai Bakap dipanggil untuk membuang undi sebanyak tiga kali. Setelah melalui Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos 2023, mereka sekali lagi akan mengundi pada 6 Julai 2024 ini apabila ADUN penyandang meninggal dunia pada 24 Mei lepas.

Sebagai salah satu kawasan DUN di bawah kawasan parlimen Nibong Tebal, Sungai Bakap adalah lokaliti campuran antara pekan dan kampung dengan demografi pengundi bercampur antara 59 peratus Melayu, 23 peratus Cina, 17 peratus India dan selebihnya etnik lain.

Untuk mendapat gambaran perjalanan keseluruhan pilihan raya kecil (PRK) ini serta sikap, tingkah laku dan kecenderungan pengundi, ILHAM Centre membuat kajian lapangan sepanjang kempen berlangsung. Kajian lapangan ini dijalankan sebanyak dua fasa iaitu pada pertengahan kempen dan pada pertengahan minggu kedua menuju penghujung kempen.

Data kajian dikumpul secara triangulasi iaitu pemerhatian ikut serta, temu bual mendalam dan perbincangan kumpulan berfokus (FGD). Informan temu bual terdiri daripada penduduk tempatan, pengundi, jentera parti, pemimpin parti serta pemimpin komuniti dan masyarakat.

Suasana Kempen

Secara keseluruhan, suasana kempen PRK Sungai Bakap ini adalah meriah tetapi lebih tenang berbanding PRU15 dan PRN 2023. Jika dua pilihan raya tersebut sebelum ini berlangsung dengan hangat terutama kesan daripada ‘gelombang hijau’, PRK ini berlangsung lebih damai dan tenteram.

Kedua-dua parti bertanding iaitu PH-BN dan PN mempamerkan kekuatan hampir sama dalam aspek bahan kempen seperti poster, bendera, sepanduk, gegantung, risalah dan sebagainya. Mereka juga mempamerkan kekuatan seimbang dalam aktiviti kempen seperti ceramah umum, ceramah kelompok, kempen rumah ke rumah, serta kempen bertemu pengundi di tempat awam seperti pasar dan sebagainya.

Parti-parti bertanding turut dibantu oleh jentera luar khususnya jentera daripada kawasan dan negeri lain. PN lebih banyak dibantu oleh jentera luar berbanding PH-BN, PH sebagai contoh lebih banyak mengoptimum kekuatan jentera tempatan Pulau Pinang untuk menggerakkan kempen.

Akibat terlalu kerap pilihan raya atau mekanisme akses terhadap informasi telah berubah, sambutan pengundi terhadap kempen secara bersemuka agak dingin. Ceramah umum dan ceramah kelompok sebagai contoh banyak dipenuhi oleh jentera parti dan pelancong politik berbanding pengundi sebenar, senario ini berlaku kepada dua-dua pihak PH-BN dan PN.

Kekuatan Calon

Dalam aspek calon, responden-responden yang ditemu bual memberi kredit besar kepada calon parti perpaduan iaitu Dr Joohari Ariffin. Kelayakan akademik, kerjaya sebagai cikgu dan orang tempatan menyebabkan majoriti pengundi mengenali dan memberi perspektif baik kepada beliau. Dalam masa sama calon PH ini memiliki kemahiran komunikasi yang baik sama ada pengucapan awam atau komunikasi interpersonal apabila berinteraksi dengan pengundi.

Aset paling besar Cikgu Joo adalah kerjaya beliau sebagai guru menyebabkan beliau dikenali ramai termasuk oleh bekas murid beliau. Dalam temu bual kami, ramai bekas murid memberi penghormatan tinggi kepada beliau walaupun bekas murid tersebut adalah penyokong PN.

Secara relatif, calon PN iaitu Abidin Ismail tidak memiliki kelayakan akademik, latar belakang kerjaya dan kemahiran komunikasi setanding calon perpaduan. Namun cerapan kami dalam kalangan pengundi menunjukkan beliau juga dikenali dengan baik dalam kalangan pengundi.

Ini banyak dipengaruhi oleh latar belakang beliau sebagai anak tempatan dan tugas beliau sebagai pembantu wakil rakyat sebelum ini yang kerap bertemu masyarakat dalam DUN Sungai Bakap. Tinjauan kami di Sungai Duri sebagai contoh, beliau sangat popular di PDM ini khususnya anak-anak kariah Masjid Sungai Duri itu sendiri.

Gelombang Hijau Semakin Reda

Secara tradisi Sungai Bakap ini adalah milik PKR apabila memenangi kerusi ini dalam beberapa siri pilihan raya sebelumnya. Namun akibat rempuhan gelombang hijau, PH hilang kerusi ini apabila dirampas oleh PN dalam PRN Ogos 2023 yang lalu.

Observasi mendapati gelombang hijau tersebut telah mencapai puncak dalam PRN lepas dan mula berkurang dalam PRK ini. Aura yang  terkait sentimen etnik-agama khususnya dalam kalangan pengundi Melayu sudah tidak sehangat PRU15 dan PRN 2023.

Sama ada kempen secara berdepan atau secara atas talian, sentimen dan emosi berkaitan 3R ini sudah tidak sepanas seperti sebelumnya. Sentimen tersebut masih ada dan masih digunakan dalam kempen, namun sambutan dan kehangatannya semakin mereda.

Pengundi Teras Umno

BN memperolehi sekitar lapan ribu undi untuk DUN ini dalam PRU14, dalam masa sama Umno mempunyai sekitar lima ribu ahli di Sungai Bakap ini. Akibat rempuhan gelombang hijau, sebahagian besar pengundi teras Umno memberi undi kepada PN dalam PRN lepas.

Temu bual bersama pengundi Umno menunjukkan situasi tersebut telah mula berubah sedikit. Kecenderungan mereka terhadap PN semakin tidak kuat seperti sebelumnya, namun dalam masa sama mereka tidak menunjukkan sokongan kepada PH.

Umno menggerakkan jentera kempen yang kuat dan sistematik untuk menyantuni pengundi teras ini. Jentera kempen Umno bergerak secara bersendirian rumah ke rumah untuk berunding dan memujuk pengundi mereka untuk mengundi calon perpaduan.

Tinjauan kami terhadap pengundi teras UMNO ini menunjukkan sebahagian mereka masih akan menyokong PN namun sebahagian lagi masih dalam dilema dan masih berkira-kira. Walau apa keputusan mereka nanti, pendekatan Umno untuk mendampingi semula pengundi mereka semakin diterima.

Pengundi Cina & India

Pengundi etnik Cina adalah deposit tetap PH sejak beberapa siri pilihan raya sebelumnya. Namun dalam PRK ini mereka menunjuk tingkah laku tidak begitu ghairah terhadap PH dan Kerajaan Perpaduan disebabkan beberapa polisi ekonomi kerajaan dan prestasi kerajaan negeri khususnya berkaitan air dan infrastruktur.

Sebahagian pengundi etnik Cina yang ditemui memberi isyarat untuk tidak keluar mengundi, begitu juga anak-anak mereka yang menetap di bahagian pulau juga tidak akan pulang mengundi walaupun jaraknya berdekatan sahaja. Namun senario ini tidak berlaku secara blok, sebahagian lagi pengundi etnik Cina tetap memberi komitmen untuk keluar membuang undi.

Cerapan kami terhadap pengundi India menunjukkan pola sokongan etnik tersebut masih kekal seperti PRN lepas iaitu lebih ramai cenderung kepada PH-BN. Mereka juga memberi maklum balas agak meriah terhadap kempen PH-BN dengan keluar mendengar ceramah, terlibat dalam kempen dan sebagainya.

Pengundi Muda

Berbanding PRN lepas yang menyaksikan anak muda Melayu secara gerombolan menyokong PN, situasi berubah dengan ketara dalam PRK Sungai Bakap ini. Walaupun pemerhatian menunjukkan mood sokongan pengundi muda masih kuat terhadap PN, namun kekuatannya mula berkurang dan tidak sekuat sewaktu gelombang hijau berada di puncak.

Anak-anak muda yang dulu ghairah mempamerkan sokongan kepada PN, sekarang sudah tidak sekuat itu. Bahkan sebahagian pengundi muda mula tidak segan silu untuk bergaya dengan baju “t-shirt” gabungan parti perpaduan, lepak berbual di sana sini, situasi yang tidak menonjol dalam PRN lepas.

Kesediaan Keluar Mengundi

Pilihan raya ini tidak akan merubah sebarang status-quo kerajaan negeri, dalam masa sama terlalu kerap pilihan raya dalam masa terdekat di DUN ini. Bersandarkan dua faktor tersebut, dapatan kami menunjukkan kesediaan keluar mengundi tidak cukup ghairah berbanding PRU15 dan PRN 2023.

Ramai responden yang ditemu bual memaklumkan ahli keluarga mereka sama ada anak, adik beradik atau saudara terdekat tidak akan pulang untuk mengundi. Namun cuti yang agak panjang hujung minggu ini di Pulau Pinang sedikit sebanyak masih memberi harapan untuk pengundi luar yang ada sekitarnya untuk pulang mengundi sambil bercuti bersama keluarga.

Isu Nasional & Lokal

Seperti biasa, setiap kali pilihan raya pelbagai isu semasa akan diangkat sama ada timbul secara organik dalam kalangan pengundi atau diagendakan oleh parti-parti yang bertanding sebagai agenda kempen. Namun dalam PRK ini, isu-isu lokal lebih mendapat tempat dalam kalangan pengundi berbanding isu nasional.

Isu penyasaran subsidi diesel dan isu BlackRock sebagai contoh, kedua-dua isu ini tidak meletus secukupnya di Sungai Bakap ini seperti jangkaan awal oleh pelbagai pihak, walaupun isu ini cuba diangkat sebagai agenda kempen oleh parti yang bertanding khususnya PN.

Pengundi lebih fokus terhadap isu tempatan yang terkait secara langsung dengan kehidupan seharian mereka. Antara banyak yang ditimbulkan oleh pengundi seperti gangguan bekalan air, kenaikan tarif air, kemudahan infrastruktur, kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup.

Antara isu-isu yang ditimbulkan secara organik oleh pengundi tersebut, isu air paling signifikan untuk mempengaruhi pengundian. Ramai pengundi bersungut terhadap bekalan air yang sering terganggu serta mekanisme pengeluaran bil air yang menyebabkan pengguna melihat seperti berlaku kenaikan harga air yang tinggi.

Rumusan

Berpandukan dapatan-dapatan tersebut, dirumuskan terdapat tiga faktor penting bakal menentukan keputusan PRK Sungai Bakap ini iaitu  (i) kadar keluar mengundi pemilih etnik Cina, (ii) sikap pengundi teras Umno dan (iii) ayunan pengundi muda.

Selain tiga faktor utama tersebut, pemboleh ubah dan faktor lain masih lagi sama seperti senario PRN 2023 yang dijangka tidak akan memberi pengaruh besar untuk merubah keputusan PRK ini.

Berasaskan dapatan-dapatan yang dihuraikan di atas, kajian ini merumuskan bahawa persaingan PRK ini kekal sengit dan marginal, kedua-dua parti PH-BN dan PN mempunyai peluang seimbang 50-50 untuk keluar sebagai pemenang pertembungan ini.

Jika PH-BN berupaya memujuk pengundi etnik Cina untuk keluar mengundi, mereka berpotensi merampas DUN ini daripada PN jika perbezaan peratusan keluar mengundi etnik Melayu dan Cina tidak melebihi 15 peratus. Jika sebaliknya, PN akan mengekalkan status quo sebagai pemenang kerusi ini.

-Tamat-

Laporan disediakan oleh panel penyelidikan ILHAM Centre yang terdiri daripada Prof. Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidikan), Hisommudin Bakar (Pengarah Eksekutif), Mohd Azlan Zainal (Ketua Operasi) dan Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik).

Mengenai ILHAM CENTRE

ILHAM adalah merupakan sebuah firma penyelidikan bebas yang mengkhususkan kepada tinjauan awam, kajian pasaran dan data analitik dalam bidang kajian politik dan pilihanraya, polisi awam dan sosio-ekonomi. Tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan adalah menggunakan kaedah metodologi penyelidikan yang ketat sebagaimana piawaian akademik bagi menghasilkan keputusan yang kredibel, bebas dan tepat. ILHAM juga telah menubuhkan ILHAM Analytica bagi membantu penyelesaian analitik yang lebih menyeluruh dan komprehensif.

ILHAM berpendapat, dalam usaha negara mencapai sebuah negara maju dan mempunyai peradaban yang tinggi, setiap keputusan atau sesuatu dasar yang dirangka hendaklah berasaskan data dan maklumat yang tepat. Melalui tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan, maka perkara ini akan dapat dihubungkan dan seterusnya pihak-pihak berkepentingan akan merangka sesuatu polisi dan dasar dengan lebih tepat dalam memenuhi aspirasi masyarakat dan negara.

ILHAM Centre boleh dihubungi melalui email [email protected] dan dilayari melalui website www.ilhamcentre.my.

Pola Pengundian dan Prediksi Pilihan Raya Kecil N6 Kuala Kubu Baharu

Pendahuluan

Menjelang hari akhir kempen, majoriti responden menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) N6 Kuala Kubu Baharu ini sengit. Walaupun kempen berlangsung secara tertib dan sambutan pada kempen politik yang suram, peratusan keluar mengundi akan menjadi faktor utama kalah menang dua calon tumpuan dalam pilihan raya kecil ini iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), manakala calon-calon lain sukar mencabar.

Bagi mendalami kesan dan impak terhadap tingkahlaku pengundi N6 Kuala Kubu Baharu, pihak ILHAM Centre telah melakukan satu kajian secara tatap muka ini menggunakan teknik persampelan rawak berstrata.

Kajian lapangan ini melibatkan 404 responden yang merupakan pengundi berdaftar di sini mewakili semua segmentasi kaum, jantina, umur dan lokaliti dengan jumlah nemurator seramai 17 orang sambil dibantu 4 orang penyelia.

Data dikumpul menggunakan kaji selidik, observasi dan protokol temubual separa berstruktur. Data kajian kemudiannya dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik. Ralat kesilapan (margin of error) yang ditentukan ialah 4.85 peratus dengan tahap keyakinan (confidence level) sebanyak 95 peratus.

Pertembungan Politik Lokaliti Sengit, PH Punyai Sedikit Kelebihan

Pada Pilihan Raya Negeri pada bulan Ogos 2023 lalu, dengan kehangatan bahang kempen dan suasana lebih rancak itupun hanya mampu mencatatkan 69.25 peratus pengundi yang keluar mengundi. Ini membayangkan menjadi tugas besar kepada jentera parti untuk memujuk, menggalak dan menggembleng usaha bagi memastikan seramai mungkin pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka. Tidak lain semua usaha ini adalah bertujuan untuk mencatat peratus keluar mengundi yang sama dengan PRN lepas atau lebih baik dari itu.

Tetapi dapatan kajian ini mendapati, peratusan pengundi yang keluar mungkin lebih rendah berbanding PRN ekoran sebahagian besar pengundi luar kawasan tidak pulang mengundi. Faktor cuaca pada hari kejadian juga memainkan peranan pada hari pengundian kelak.

Dengan kata lain, peratusan keluar mengundi akan lebih bergantung kepada pengundi yang berada di dalam kawasan pilihan raya. Fokus dalam menganalisa pihak yang ada kelebihan akan lebih menjurus kepada peratusan keluar mengikut kaum. Malah secara mikro lagi ianya akan membawa kepada persaingan peratus keluar mengundi mengikut lokaliti PDM.

Terdapat 16 PDM di dalam kawasan PRK ini. Pada PRN lalu, PH menang disumbangkan melalui penguasaan di 13 PDM daripada keseluruhan PDM yang ada. PN pula hanya menang di 3 PDM Sahaja. Menafsir strategi PN kali ini adalah lebih mudah untuk ditebak. Dengan mengubah calon milik parti Gerakan kepada Bersatu, objektif kemenangan ialah dengan mengekalkan rentak dan pencapaian PRN terutama meraih undi etnik Melayu semaksima mungkin, dan cuba memecah di lokaliti PH menang tipis. Formula ini adalah menafikan magic number 14,862 undi milik PH dalam PRN lepas sebagai kunci kemenangan.

Pendekatan memilih mengekalkan rentak lepas kerana PN juga akur bahawa sukar untuk strategi ini meraih undi etnik Tionghua dengan pendekatan kempen jalur keras mereka.

Keadaan ini telah menjadikan politik lokaliti di kawasan Kuala Kubu Baharu sangat penting. Dalam konteks ini, melihat rekod pencapaian DAP mengikut setiap PDM yang agak konsisten  sejak menang pada PRU-13 membawa ke PRN 2023 menjadikan parti penyandang ada sedikit kelebihan. Ditambah pula berada dalam dua kerajaan, Kerajaan Negeri dan Persekutuan, menambah beban untuk lawan untuk menafikan kemenangan parti penyandang.

Berbekalkan modal sama PRU dan PRN, PN meneruskan kempen dengan tema kaum dan agama. Namun dalam PRK kali ini kelihatan isu berkenaan sudah menjadi tepu dan sudah sampai ke siling. Kawasan bercampur seumpama Kuala Kubu Baharu ini, kempen jalur keras tidak efektif dan sesuai.

Pengundi Melayu Selangor berbeza dengan pengundi di jajaran majoriti Melayu seperti Kedah, Terengganu atau Kelantan. Kurang cermat dengan asakan naratif perkauman dan agama, dengan harapan pengundi Melayu kekal, tetapi dalam masa yang sama pengundi bukan Melayu makin menjauh.

Kempen PN lebih terarah di PDM majoriti Melayu seperti Bandar Utama Batang Kali (74%), Ampang Pechah (69%), Kampung Air Jernih dan Kerling (54%). Bagi PH, PDM majoriti Cina iaitu Kampung Baharu Rasa (93%), Kampung Baharu Batang Kali (86%), Kampung Baharu Cina KKB (77%), Hulu Yam Lama (70%), Kampung Baharu Kerling (67%) dan Pekan Rasa (64%) menjadi deposit meyakinkan buat parti PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan.

PDM India hanya dua iaitu di Ladang Nigel Gardner (63%) dan Lembah Beringin (53%). PDM majoriti Orang Asal hanya tertumpu di Pertak (89%). PDM lainnya meyaksikan kompsisi etnik bercampur dan hampir seimbang di antara tiga etnik utama di sini. Pada perspektif lain, PDM marginal yang sengit antara PH dan PN juga menjadi tumpuan dalam merebut sokongan. Titik tumpuan kempen banyak berpusat di Batu 30 Hulu Yam, Kerling, Kampung Air Jernih selain kawasan estet di PDM majoriti India tadi.

Secara umumnya, dengan pola sokongan yang tidak lari jauh dengan PRN, kesuraman suasana sambutan pengundi terhadap kempen, keputusan menjurus ke arah status quo di kerusi DUN Kuala Kubu Baharu ini.

Politik Identiti Berterusan, Naratif Garis Kaum Bentuk Polarisasi Undi

PRK ini sekali lagi meneruskan momentum politik identiti seperti yang ditunjukkan dengan ketara dalam PRU-15 November 2022 dan PRN 6 negeri Ogos 2023. Walaupun pelbagai isu berbangkit sepanjang kempen seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, kemudahan infrastruktur dan sebagainya, namun kecenderungan pengundian masih terikat dengan polarisasi kaum.

Pengundi etnik Melayu secara majoritinya mempamer sokongan kepada PN walaupun dalam masa sama mereka memberi kredit tinggi terhadap prestasi kerajaan Selangor (74 peratus tahap kepuasan), prestasi Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai MB Selangor (70.8 peratus tahap kepuasan), serta prestasi mendiang ADUN Kuala Kubu Baharu daripada DAP sebelum ini (63 peratus tahap kepuasan). Sokongan kepada PN majoritinya kerana sentimen ‘ethnoreligious’, dengan dakwaan PN lebih beridentitikan Melayu-Islam.

Hanya segelintir pengundi Melayu yang mempamerkan sokongan kepada PH. Mereka berbeza pandangan dengan kelompok majoriti kerana mendakwa realiti politik negara perlu rentas etnik dan berkongsi kuasa mengikut demografi masyarakat majmuk Malaysia. Mereka juga berhujah sejak sekian lama wakil rakyat Parlimen Hulu Selangor dan DUN-DUN dalam kawasan parlimen tersebut adalah daripada pelbagai bangsa, isu tersebut tidak pernah berbangkit sebelum ini.

Bagi pengundi etnik Cina, majoriti mempamerkan kecenderungan untuk memberi undi kepada PH. Walaupun ada beberapa isu yang menunjukkan mereka tidak berpuas hati terhadap Kerajaan Perpaduan seperti polisi cukai, pelarasan subsidi, harga barang dan sebagainya, namun mereka tidak mempunyai pilihan lain untuk tidak menyokong PH.

Ketidakpuasan hati mereka kepada PH tidak menunjukkan tanda-tanda mereka akan beralih sokongan kepada PN. Ini disebabkan faktor penolakan daripada PN tersebut lebih besar berbanding faktor tidak selesa dengan PH dan Kerajaan Perpaduan.

Mereka mendakwa pendekatan PN keras dan tidak lunak kepada komuniti Cina, banyak isu menyebabkan mereka menjarakkan diri daripada PN antaranya singgungan PAS terhadap sekolah vernakular.

PAS tidak ghairah berkempen, UMNO mula menemui rentak

PRK di Kuala Kubu Baharu ini menyaksikan PAS tidak memobilisasi jentera mereka secara bersungguh-sungguh. Ini kerana pada hakikatnya, jentera PAS lah yang menjadi tunjang dan tulang belakang kepada PN. Kali ini tidak nampak kelibat jentera PAS dari negeri-negeri lain selain Selangor berkubu di setiap PDM. Penyertaan PAS Selangor juga tidak agresif, menyumbang kepada suasana sebegini rupa.

Prestasi tiga wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen, ADUN Hulu Bernam dan ADUN Batang Kali sudah menjadi pertikaian atas khidmat mereka selepas bergelar YB. Isu YB PN tidak ‘perform’ menjadi topik perbincangan pengundi di sini, tetapi kempen calon lain tidak memanfaatkan isu ini ke khalayak lebih luas.

Bagi jentera BN terutama UMNO, kelihatan prestasi jentera kali ini lebih baik berbanding PRN lepas.  Seakan menemui rentak dan membawa hujah yang lebih konstruktif meyakinkan pengundi putih mereka untuk penyokong calon PH kali ini.

Pemimpin UMNO hanya mengurus ahli mereka agar menerima semangat Kerajaan Perpaduan dan kelangsungan parti itu dengan kerajaan demi kebaikan masa hadapan.

Sebilangan ahli UMNO yang protes dalam pilihan raya lalu mulai kembali menerima hakikat UMNO bersama PH. Faktor paling besar ialah mereka tidak mendapat apa apa kelebihan bersama pembangkang di Selangor serta PN juga tidak menyantuni mereka pasca pilihan raya.

Pengundi India dan Orang Asal Jadi Rebutan

Menarik untuk PRK kali ini, isu berkait kepentingan dan kebajikan komuniti pengundi India menjadi titik fokus dan tumpuan kempen. Ini kerana walaupun berbekalkan hanya 18 peratus, dalam keadaan majoriti etnik Melayu tersudut kepada PN, majoriti etnik Cina di pihak PH, maka pola pengundian kaum ini boleh menjadi penentu atau ‘king maker’ kemenangan antara parti yang bertanding.

Awal kempen bermula panas kerana muncul pemimpin mewakili komuniti India yang tidak bersama kerajaan muncul sama ada atas bentuk parti, badan bukan kerajaan ataupun kapasiti individu, menggesa pengundi India memboikot PRK atau mengundi calon selain calon PH sebagai isyarat protes. Ini bagi menunjukkan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan persekutuan hari ini yang seakan mengabaikan kebajikan masyarakat India. Tiadanya kepimpinan India dalam Kabinet juga dipersoalkan.

Minggu pertama diasak, pengundi India seakan terkesan. Dalam kajian lapangan dan pemerhatian di PDM majoriti India, minggu kedua menyaksikan perubahan selepas pihak Kerajaan Perpaduan melakukan tawaran balas kepada penduduk di sini.

Pengumuman Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyelesaikan isu perumahan yang melibatkan nasib 1,250 ahli keluarga bekas pekerja di lima buah ladang iaitu Ladang Mary, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Bukit Tagar, Ladang Nigel Gardner dan Ladang Minyak baru-baru ini dilihat menjadi ‘turning point’ malah meredakan keadaan. Penduduk yang ditawarkan penyelesaian ini nampaknya masih meletak kepercayaan kepada Kerajaan sekaligus membayangkan ke mana arah undi mereka pada esok hari.

Bagi komuniti Orang Asal pula, jentera BN kelihatan efektif mendekati segmen pengundi ini. Walaupun wujud ketinggalan dari segi infrastruktur di kawasan perkampungan Orang Asal, tetapi kesetiaan kepada Kerajaan tambahan kesukaran pihak lawan menembusi kumpulan ini memberikan sedikit kelebihan buat calon PH.

Dalam aksi meraih undi, politik keketuaan dan tradisi sangat dekat kepada segmen pengundi ini. Peranan Tok Batin masih terus relevan malah mempunyai fungsi yang begitu signifikan dalam menterjemah undi para pemilih. Rata-rata Tok Batin yang ditemui menyampaikan hasrat siapapun yang dipilih mesti terus mesra, menyantuni dan tidak meminggirkan nasib Orang Asal terutama dalam soal pendidikan dan pembangunan infrastruktur.

Namun, sedikit berbeza dengan anak muda Orang Asal yang mendapat pendedahan. Mereka sedikit berbelah bahagi dalam menyatakan sikap dan undi. Pada mereka, undi mereka tidak terikat dan berpaksi kepada pemimpin setempat lagi.

Berbanding generasi lebih berusia, pengundi dalam kalangan anak muda Melayu lebih ghairah mempamerkan sokongan terhadap PN. Sokongan ini bukan sepenuhnya kerana kempen PN di Kuala Kubu Baharu ini, tetapi berlaku secara organik rentetan momentum sejak PRU-15 dan PRN 6 negeri 2023 lalu.

Kecenderungan ini terbentuk kerana mereka mendakwa kesucian agama Islam dan hak-hak istimewa orang Melayu terancam di bawah Kerajaan Perpaduan, dalam masa sama mendakwa PN lebih dipercayai untuk memperjuangkan kesucian Islam dan nasib orang Melayu.

Majoriti anak-anak muda ini mendapat input politik melalui media sosial khususnya Tiktok dan sebagainya. Kempen PN menggunakan video pendek dan info-info grafik menerusi media sosial sejak PRU15 lalu masih melekat dalam minda majoriti anak muda Melayu, inilah antara faktor besar sokongan mereka terhadap PN kukuh sehingga hari ini, khususnya di Kuala Kubu Baharu ini.

Hangat Di Dunia Maya, Suram Di Lapangan

Mengamati perjalanan kempen yang menjadi ‘rukun’ sesuatu pilihan raya, ternyata kawasan Kuala Kubu Baharu lebih suram berbanding siri-siri PRK pasca PRU-15 yang lain. Bagi pengamat politik, perjalanan kempen PRK ini amat membosankan. Kempen fizikal calon menerima sambutan ‘suam-suam kuku’ dari pengundi awam.

Parti terpaksa mengusung sendiri berbekalkan jentera sendiri bagi tujuan meramaikan majlis. Sukar melihat himpunan ceramah besar mendapat sambutan penduduk tempatan. Yang ada, pelancong politik yang datang dari luar pada hujung minggu menjadi audien ceramah politik. Hari biasa, pendukung parti saja yang memenuhi kerusi ceramah.

Pengundi atas pagar termasuk anak muda amat sukar dilihat di lokasi ceramah. Hari-hari kempen berlalu seolah-olah tiada pesta pilihan raya sedang berlangsung. Pengundi menjalani kehidupan seperti hari-hari biasa. Ironinya  suasana tampak agak meriah di media sosial. Ini membenarkan dapatan kajian ini yang mana media sosial kini mengungguli tangga teratas sumber pengundi mengikuti isu pilihan raya iaitu sebanyak 62 peratus. Televisyen dan radio di tangga kedua pada aras 15 peratus. Jauh sekali jurang media social dengan medium informasi yang lain.

Isu yang menjadi ‘trending’ dan kecoh di dunia maya seakan terpisah dengan dunia realiti di lapangan. Isu kelulusan calon, sekolah vernakular, calon meminjam Ah Long dan sebagainya ribut sekali di media sosial. Di luar, isu itu seakan tidak dapat ditanggapi dengan jelas. Walaupun semua maklum, kecoh di dunia media social tidak semestinya melibatkan pengundi di kawasan pilihan raya, tetapi ‘gema’ dan terjahan agoritma mampu membuat penetrasi dan sampai kepada akaun media sosial milik pengundi di kawasan ini.

Perang bendera, poster juga agak terbatas. Hanya calon PH kelihatan lebih menonjol berbanding yang lain. Pendek kata, pesta kali ini tidak semeriah PRN lepas. Isu pada kaca mata pengundi tetap meletakkan peningkatan kos sara hidup sebagai isu utama mereka dengan angka sebanyak 57 peratus. Lainnya lebih berkait dengan kebajikan (14 peratus), peluang pekerjaan (8 peratus), integriti kepimpinan (8 peratus) dan infrastruktur (7 peratus). Lain-lain seperti reformasi institusi, pendidikan masing-masing berada bawah 5 peratus.

Hakikatnya, perang di dunia maya sudah tentu akan membentuk sikap pengundi di atas kotak undi nanti.

Rumusan

Dengan gabungjalin semua faktor yang dihuraikan di atas, kami merumuskan bahawa parti PH diwakili DAP mempunyai sedikit kelebihan untuk mengekalkan kawasan Kuala Kubu Baharu ini daripada jatuh ke tangan pihak lawan yang meletakkan objektif menawan 4-0 di dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor ini.

Laporan disediakan oleh panel penyelidikan ILHAM Centre yang terdiri daripada Hisommudin Bakar (Pengarah Eksekutif), Prof. Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidikan), Mohd Azlan Zainal (Ketua Operasi) dan Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik)

Mengenai ILHAM CENTRE

ILHAM adalah merupakan sebuah firma penyelidikan bebas yang mengkhususkan kepada tinjauan awam, kajian pasaran dan data analitik dalam bidang kajian politik dan pilihanraya, polisi awam dan sosio-ekonomi. Tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan adalah menggunakan kaedah metodologi penyelidikan yang ketat sebagaimana piawaian akademik bagi menghasilkan keputusan yang kredibel, bebas dan tepat. ILHAM juga telah menubuhkan ILHAM Analytica bagi membantu penyelesaian analitik yang lebih menyeluruh dan komprehensif.

ILHAM berpendapat, dalam usaha negara mencapai sebuah negara maju dan mempunyai peradaban yang tinggi, setiap keputusan atau sesuatu dasar yang dirangka hendaklah berasaskan data dan maklumat yang tepat. Melalui tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan, maka perkara ini akan dapat dihubungkan dan seterusnya pihak-pihak berkepentingan akan merangka sesuatu polisi dan dasar dengan lebih tepat dalam memenuhi aspirasi masyarakat dan negara.

ILHAM Centre boleh dihubungi melalui email [email protected] dan dilayari melalui website www.ilhamcentre.my.

 

STATUS QUO, PRESTASI PH-BN SUKAR DICABAR, PN UNGGUL DI JAJARAN MELAYU

Prediksi Pilihan Raya Umum Negeri Ke-15

11 Ogos 2023

Tiga Elemen Penentu; Peratus Keluar Mengundi, Kebolehpindahan Undi PH-BN dan Ayunan Undi Muda

Bagi membuat bacaan prediksi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, terdapat tiga angkubah (variables) utama yang mempengaruhi kalah menang parti dan calon yang bertanding.

Pertama, peratusan keluar mengundi akan sama ada tinggi atau rendah memberikan natijah berbeza. Kebiasaannya pilihan raya peringkat negeri lebih rendah peratusan yang keluar berbanding pilihan raya umum.

Faktor ini akan melihat pola atau sikap yang berbeza mengikut kaum dan suasana kempen yang berjalan. Semakin panas suhu politik ia akan memangkin jumlah keluar mengundi yang tinggi. Memandang keadaan semasa yang agak sederhana, ianya menjurus kepada peratus yang rendah.

Kedua, faktor ini terjadi apabila Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bergabung dalam Kerajaan Perpaduan menjadikan hanya wujud pertembungan gabungan parti ini dengan PN. Walaupun wujud cabaran dari parti-parti kecil mahupun calon Bebas, sukar bagi mereka untuk menyaingi arus yang dibina oleh dua gabungan tadi.

Pengamatan kami dalam kajian ini mendapati, terdapat dua senario berbeza antara sikap penyokong parti Umno-BN dan PH. Penyokong PH tidak mempunyai masalah untuk mereka memindahkan undi mereka di DUN yang ditandingi BN.

Sebaliknya pula  berlaku di DUN PH bertanding. Ahli Umno atau penyokong BN kelihatan canggung untuk menyokong PH. 27 peratus dan ke atas menyatakan sukar untuk mereka memangkah logo PH kerana faktor DAP.

Oleh itu kadar perpindahan undi antara PH-BN adalah berbeza memaksa analisa secara mikro dilakukan setiap DUN kerana penerimaan adalah berbeza antara DUN di enam negeri ini.

Ketiganya, pada keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, pola sokongan anak muda terutama pada julat umur 18 tahun hingga 25 tahun memihak kepada PN. Ternyata maklumat yang ditemui dalam kajian ini membuktikan pola itu masih kekal dan PH menghadapi cabaran untuk menganjak dan menarik sokongan pada segmen ini.

Walaupun PMX begitu agresif berdialog dan turun bertemu anak muda di kampus,  ternyata ianya belum memadai untuk merubah secara peratusan besar menukar sokongan mereka kepada parti pemerintah.

Pengundi Muda Kekal Bersama PN

Persaingan PRN kali ini juga masih tertumpu kepada perebutan meraih sokongan anak muda. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, dijangka 4.9 juta pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun akan turun menentukan keputusan.

Sepanjang kajian mendalam dilakukan kepada kelompok ini, tiada tanda pergerakan sokongan yang signifikan kepada Kerajaan Perpaduan. Walaupun pelbagai rencana yang dilaksanakan Kerajaan seperti “rally” Program Temu Anwar, Jelajah Kampus, pemberian e-wallet Belia RM200 dan sebagainya namun, usaha-usaha ini belum cukup menarik minat serta melonjakkan sokongan anak muda secara menyeluruh.

Seperti sebelum ini, mereka tidak kekok berkongsi kecenderungan politik mereka secara terbuka malah kini lebih jelas menunjukkan pendirian politik masing-masing. Tiada istilah undi adalah rahsia, mereka merasa selesa menzahirkan sikap dan sokongan dalam PRN kali ini. Kecenderungan membuat keputusan mereka berbeza berdasarkan demografi, psikografi dan lokaliti.
 
UMNO Bergulat Merebut Undi Melayu

Mengembangkan lagi poin dapatan kajian berhubung sikap pengundi BN kami mendapati wujud penolakan ketara akar umbi Umno dan pengundi “fence sitter” yang mengundi BN sebelum ini terhadap Zahid Hamidi terlalu kuat dan besar.

Boleh dirumuskan hampir konsensus pandangan ahli Umno akar umbi menyatakan ketidakpuasan hati kepada Presiden Umno menyebabkan mereka tawar hati untuk mengundi PH-BN. Sebahagian besar agak pasif dan dalam mode tunggu dan lihat.

Ahli Umno termasuk jentera mengakui masih sukar untuk menerima  PH kerana DAP dan sebahagiannya kerana Anwar. Pendirian bergabung dengan dua berkait usul Perhimpunan Agung UMNO (PAU) gagal dijelaskan dengan baik kepada ahli bawahan Umno.

Ahli Umno berkemungkinan akan membuat peralihan undi kepada PN atas faktor di atas dan juga lebih dekat dengan PAS kesan kerjasama (Muafakat Nasional) yang lalu. Ternyata MN menguntungkan PAS dan PN secara keseluruhannya.

Dari segi psikologi, selama ini mereka memangkah BN kini bagi DUN ditandingi PH tiada logo berkenaan lagi. Selain itu mereka juga  takut disindir oleh orang PAS yang kini sudah orang Umno-BN sudah membela DAP-PH yang didoktrin sekian lama dalam Umno.

Selain itu, wujud juga elemen “cah keting” apabila pemilihan calon tidak selari dengan kehendak Umno Bahagian. Bagi kawasan sebegini amat terdedah untuk berlaku protes senyap di kalangan ahli Umno. Situasi ini banyak dikesan di negeri Kelantan dan Terengganu.

Mengikut data kami, sekitar 27-58 peratus pengundi Umno dalam PRU15 dijangka berpindah mengundi PN dalam PRN pada 12 Ogos ini. Keadaan ini boleh terubat dengan pemimpin Umno turun bertemu mata dengan ahli akar umbi menjelaskan dengan tuntas keputusan bersama DAP dan Anwar.

Momentum gelombang Melayu-Islam ketika PRU15 dilihat masih berterusan. Untuk rekod ketika PRU15, PN memperoleh 52 peratus undi orang Melayu diikuti BN (32 peratus) dan PH (15 peratus).

Dengan situasi pasca PRU15 dijangka tidak banyak berubah dan politik dalaman UMNO yang masih berkecamuk serta penerimaan Kerajaan Perpaduan yang sederhana di kalangan orang Melayu, PN dijangka terus menguasai undi kelompok ini.

Walaupun kerjasama PH-UMNO akan mengecilkan keterpecahan undi orang Melayu berbanding ketika PRU15 menerusi persaingan dua penjuru, ia masih dilihat tidak membantu Kerajaan Perpaduan.

Untuk memberikan konteks, UMNO kalah di kesemua kerusi parlimen majoriti Melayu di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor namun cemerlang di Negeri Sembilan dalam PRU15.

Justeru keupayaan UMNO untuk menarik sokongan orang Melayu dalam PRN ini masih disangsikan. Kajian lapangan mendapati UMNO bergelut untuk mendapatkan undi orang Melayu antaranya disebabkan faktor dalaman parti. Dapatan di lapangan memperlihatkan akar umbi UMNO terbelah kepada tiga kelompok. Pertama kelompok anti-Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyalahkan beliau atas apa yang berlaku ke atas UMNO ketika PRU15.

Kedua kelompok yang tiada masalah dengan Zahid tapi marah UMNO bekerjasama dengan PH. kelompok ini masih tidak dapat menerima kerjasama tersebut khususnya dengan DAP yang dianggap ekstrim dan cauvinis Cina yang anti-Melayu.

Ketiga kelompok yang tiada masalah dengan Zahid dan Kerajaan Perpaduan tetapi bermasalah dengan calon di kawasan. Antara penyebab ialah calon yang diletakkan bukan pilihan akar umbi (parachute candidate) serta calon PH bertanding di kawasan mereka.

Suasana Kempen Sejuk dan Hambar

Selain itu, calon yang bertanding harus memainkan peranan mendampingi pengundi secara sentuhan peribadi. Ini memaksa wakil calon menyusun siri pertemuan untuk memujuk segmen ini.

Dalam cerapan sentimen pengundi di lapangan membabitkan enam negeri ini, ianya mempamerkan keadaan tidak sama. Pada masa kajian berlangsung hanya Selangor dan Kedah disifatkan oleh pengundi agak panas kerana pertembungan PH-BN dengan PN agak ketara.

Manakala empat negeri lain suasana kempen berbaur hambar dan ‘sejuk’. Ini dapat dilihat kepada sambutan ceramah politik setempat, perang bendera dan kempen fizikal sangat minima.

“Perang” sebenar lebih tertumpu di media sosial. Sambutan terhadap ceramah setempat, meraih undi menerima sambutan agak hambar dari pengundi.

Lambakan kempen yang berpusatkan kepada isu nasional menyebabkan isu tempatan mahupun negeri tenggelam.

Dengan situasi ini, kami mengunjurkan ianya akan menyebabkan peratusan keluar mengundi lebih rendah berbanding PRU15. Pengundi luar lokaliti atau negeri menyatakan dalam kajian ini berkemungkinan besar mereka tidak pulang mengundi.

Bagi responden yang mengundi di Terengganu dan Kelantan kelihatan selesa dengan kemenangan besar PAS dalam PRU lalu melihat parti itu akan menang walaupun mereka tidak pulang mengundi. Ini membentuk sikap selesa pada pengundi di dua negeri berkenaan.

Selangor dan Kedah mencabar dan panas mengundang keterujaan tinggi untuk pengundi berpartisipasi dalam proses demokrasi kali ini.

Saifuddin vs Sanusi: Faktor Sanusi Menjadi Tumpuan

Menteri Besar Kedah sementara, Sanusi Mohd Nor menjadi tumpuan utama dalam kempen berbanding tokoh lain dalam fasa kempen pilihan raya kali ini.

Sanusi menjadi titik serangan pemimpin PH-BN dengan mengheret isu REE di Bukit Enggang, Sik Kedah untuk menjadikan alasan rakyat Kedah perlu menolak Pas dan Sanusi.

Ternyata kempen yang dikepalai sendiri Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution menyerang Sanusi tidak berkesan. Malah ianya menjadi “backfire” atau memakan diri kepada PH. Ini kerana kempen PH  gagal memahami keadaan, aras penerimaan dan laras bahasa  orang Kedah, akhirnya kekuatan Sanusi kian bertambah. Semakin diserang makin kuat dan populariti beliau makin meningkat.

Sewajarnya PH perlu menumpukan kepada tawaran kepada rakyat Kedah seperti selesaikan masalah tekanan air, inisiatif Rahmah mengurangkan kos sara hidup mahupun tawaran peluang pekerjaan kepada anak muda daripada memusatkan tenaga menyerang Sanusi.

Tawaran Sanusi menyelesaikan isu pemohonan tanah oleh rakyat yang menunggu masa berpuluh tahun sangat berbekas kepada pengundi di Kedah. Pemberian geran ini melonjakkan kepimpinan beliau di Kedah.

Pasukan media Sanusi juga kreatif dengan memotong klip ucapan dan ditukarkan. Dalam dapatan kajian, “Sanusi effect” ini telah melangkaui Kedah dan mempengaruhi pengundi di lima negeri lain.

Segmen pengundi muda rentas negeri mengakui FYP Tik Tok mereka menerima video Sanusi. Mereka menyatakan kagum dengan Sanusi adalah simbol keberanian bercanggah pandangan dengan kerajaan.

Sanusi dilihat sebagai mangsa keadaan. Dengan ini, dengan “Sanusi effect” kami menjangkakan PN mendapat laba dari tindak balas berlebihan terhadap Menteri Besar berkenaan.

Isu Nasional Lebih Mendominasi

Kebanyakan isu dibangkitkan lebih berkisar kepada perbandingan prestasi Kerajaan Perpaduan di bawah PMX, melebihi apa yang sepatutnya difokus untuk manfaat masyarakat dalam DUN itu sendiri.

Kajian mengesahkan populariti PMX dan prestasi Kerajaan PMX masih berada pada tahap sederhana dan belum cukup memangkin sokongan terhadap PH-BN yang berkerjasama dalam PRN kali ini. Selain itu, isu-isu seputar kos sara hidup, naik turun harga barang, kejatuhan nilai ringgit, komitmen Kerajaan melawan rasuah dan sebagainya lebih menangkap minda para pengundi.

Walaupun pembangkang dilihat tidak berdaya dalam mengolah isu-isu besar nasional secara tuntas dan menonjolkan prestasi Kerajaan Negeri yang diterajui PAS-PN, serangan bertali arus terhadap Kerajaan kini telah berjaya membina persepsi negatif dalam kalangan pengundi. Secara konsisten, naratif isu-isu ini berjaya digarap ringkas, lebih mudah difahami dan disebar secara meluas melalui media sosial khususnya di Facebook dan Tik Tok.

Dapatan kajian ini juga jelas menunjukkan Kerajaan Perpaduan tidak mempunyai naratif balas yang komprehensif dan berada dalam posisi kalah perang persepsi yang ditunjangi pembangkang.

Faktor Parti Lebih Kuat, Kekuatan Calon Agak Minima Tetapi Signifikan

Pertimbangan besar pengundi dalam kajian ini tertumpu memberikan undi mereka atas penilaian parti yang bertanding lebih utama berbanding faktor calon dan isu.

Dalam situasi ini kadangkala pemberat tidak seimbang. Di DUN yang mempunyai kekuatan berasaskan parti dicabar oleh calon lawan yang berpengaruh. Misalnya kerusi DUN Hulu Kelang.

Merujuk data, kelebihan lebih kepada PH, namun selepas nama besar seperti Mohamed Azmin Ali mencabar calon payung terjun PH, Juwairiya Zulkifli. DUN itu menjadi sengit dan pengundi sukar menjangkakan siapa yang akan tampil pemenang.

Bagi negeri Kedah, faktor parti menyumbang sebanyak 63 peratus diikuti oleh Pulau Pinang, 60 peratus. Selangor dan Negeri Sembilan mencatatkan seimbang antara faktor parti dan calon. Menariknya di Terengganu ketiga-tiga faktor diterima hampir sama.

Kelantan memaparkan dapatan yang unik dan menarik. Pengundi memang terbuka untuk mempertimbangkan faktor isu terutama berkaitan dengan pembangunan negeri. Sebanyak 53 peratus ini sebenarnya angka yang begitu tinggi.

Dapatan kualitatif menyokong data ini sebenarnya pengundi tempatan sudah tidak tahan dengan kelemahan pentadbiran 33 tahun PAS tetapi mereka tidak nampak harapan mereka ini mampu diperjuangkan atau dipikul oleh BN-PH.

BN-PH ternyata gagal menggembleng tenaga dan memanipulasi isu kelemahan Kerajaan PAS untuk menarik perhatian pengundi.

Di penghujung kempen, muncul kebimbangan jentera PAS berhubung kenyataan Mohd Amar Abdullah akan memberikan kesan kepada undi PAS tetapi ternyata isu itu terlalu lewat.

Prediksi: 3:3 Kekal Status Quo

Selangor dijangka kekal kepada gabungan PH-BN dengan menyaksikan PN melebarkan pengaruh di negeri terkaya di Malaysia ini.

PH-BN mempertaruhkan prestasi cemerlang pentadbiran Kerajaan Negeri memberikan keyakinan terbesar mengapa pengundi di negeri ini masih yakin dengan PH-BN.

Selain itu, undi asas yang dimiliki oleh PH terutama di kalangan pengundi bukan Melayu; Cina dan India kelihatan menjadi deposit tetap kepada gabungan parti ini. Sokongan bukan Melayu seakan tidak berganjak. Kempen agresif PN menakutkan segmen ini dan data kami menunjukkan pengundi bukan Melayu akan keluar tinggi di Selangor.

PN kelihatan tepu mencari strategi bagaimana ingin menarik sokongan pengundi bukan Melayu. Sekiranya keadaan ini kekal, PN terpaksa melupakan undi Cina, India sebaliknya terpaksa menumpukan kebergantungan kepada undi Melayu.

Ini akan menyempitkan ruang PN menawan negeri ini. Mereka perlu memperolehi 70 peratus dan ke atas sokongan Melayu untuk melepasi jumlah undi untuk menang.

PN berpeluang menambah kerusi di DUN bermajoriti Melayu namun tidak berupaya untuk mengambil alih kerajaan negeri. Kerusi seperti di anjung utara Selangor terdedah kepada penguasaan PN.

Kerusi milik PH seperti Sungai Ramal, Morib dan Hulu Bernam rapuh. PKR bergoyang di Sementa dan Sungai Kandis. Hulu Kelang kerusi sengit dan sukar dibuat bacaan.

Negeri Sembilan sukar dicabar apabila dua blok PH dan BN bergabung. Di negeri ini, undi asas BN di kalangan pengundi Melayu terlalu besar. PH pula menguasai kawasan bercampur dan majoriti Cina.

Ditambah pula kekuatan PAS dan Bersatu di negeri ini tidak sekuat dan tersusun berbanding lima negeri lain. PN juga bermasalah untuk menampilkan “poster boy” calon Menteri Besar dan ini sedikit sebanyak memberi kesan untuk menarik pengundi di atas pagar kepada gabungan parti itu.

Rumusan untuk Negeri Sembilan hanya tiga DUN berlaku tentangan sengit iaitu Ampangan, Bagan Pinang dan Gemas. Ini sahaja ruang untuk PN menafikan penguasaan total milik PH-BN.

Pulau Pinang lebih tertumpu di DUN majoriti Melayu. Penaga, Pinang Tunggal, Permatang Berangan dan Sungai Dua – PN berpotensi di sini. Telok Ayer Tawar, Permatang Pasir, Penanti termasuk dalam kategori sengit. Kerusi lain PH dan BN di hadapan.

Kelantan dan Terengganu berkongsi ciri hampir sama. PAS ternyata selesa dan amat berhati-hati dalam berkempen. Pos parti tidak semeriah dahulu dengan aktiviti membuat jamuan kerana khuatir disabitkan dengan kesalahan pilihan raya.

Perang bendera, Terengganu mengatasi Kelantan. Namun kempen fizikal sangat suram dan tidak mendapat sambutan. Audien yang hadir hanyalah penggerak parti atau orang lama yang meramaikan majlis.

Mengikut data, untuk soalan kerajaan negeri wajar dikekalkan, Kelantan paling rendah dengan hanya 57 peratus bersetuju. Peratus paling rendah antara negeri di bawah pentadbiran PAS. Terengganu sebanyak 61 peratus dan Kedah sebanyak 67 peratus.

Ini memberi makna, terdapat ruang ketidakpuasan hati untuk pengundi menukar kerajaan, tetapi keadaan terjadi sebaliknya selepas penamaan calon.

Di pihak BN dan PH, pengundi menyifatkan gabungan itu tidak serius untuk mengambil alih kerajaan. Ketiadaan tokoh berwibawa terutama di Kelantan menyebabkan pengundi yang mungkin kurang berpuas hati hilang keterujaan untuk mengubah undi mereka kepada gabungan itu.

Kombinasi calon yang kurang meyakinkan, ketiadaan gelombang dengan isu yang kuat dalam kempen menyebabkan pengundi tidak melihat sebagai alternatif sokongan mereka.

Kelantan hanya kerusi Kota Lama dan Galas berpotensi tinggi dan keadaan 50-50 yang memerlukan undi Cina membantu di dua kerusi ini.

Terengganu hanya Telemung jelas untuk menyumbang kerusi. Kerusi lain seperti Kijal, Seberang Takir dan Permaisuri undi putih Umno diperlukan untuk menyaingi PAS. Dun Bandar sengit atas faktor undi bukan Melayu di sini.

Kedah berada di kelas tersendiri. Sepertimana ulasan di atas, faktor Sanusi sudah memadai menyekat hasrat BN dan PH untuk merampas negeri ini. Malah kesilapan strategi kempen menyebabkan kerusi milik PH dan BN dahulu mungkin akan hilang dari genggaman.

Mampu menyapu hampir bersih sekiranya pengundi Cina rendah keluar mengundi. Kerusi Derga, Darul Aman, Sidam dan Bakar Arang ada peluang buat PH. Undi Umno perlu keluar maksimum bagi DUN Pedu dan Sungai Tiang untuk menang.

Disediakan oleh

PANEL PENYELIDIKAN ILHAM CENTRE

Hisommudin Bakar (Pengarah Eksekutif)
Mohd Azlan Zainal (Ketua Operasi)
Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik)
Prof. Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidikan)
Mujibu Abd Muis (Felo Penyelidik)

Latar Belakang Kajian

Kajian ini mengutip pensampelan berdasarkan populasi mengikut negeri yang dikaji. Sejumlah 2,304 di enam negeri (Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan telah memberikan kerjasama dan terlibat dalam kaji selidik fasa kedua selepas hari penamaan calon yang bermula pada 29 Julai sehingga 8 Ogos 2023.

Manakala terdapat 48 responden terlibat dalam temu bual mendalam (in depth – interview) dan yang meliputi kumpulan anak muda, pemimpin tempatan dan wanita.

Bagi kaji selidik secara tatap muka di lapangan, data dikumpul oleh enumerator menggunakan kaji selidik dan protokol temu bual separa berstruktur. Ralat kesilapan ialah 2 peratus dengan tahap keyakinan sebanyak 95 peratus.

Proses pengumpulan data kuantitatif dan kualitatif ini merangkumi seluruh enam negeri dengan kaedah pensampelan rawak berstrata meliputi semua peringkat umur, etnik, kumpulan isi rumah, tahap pendidikan, pekerjaan dan lokaliti yang berbeza. Data kajian dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik.

MENGENAI ILHAM CENTRE

ILHAM adalah merupakan sebuah firma penyelidikan bebas yang mengkhususkan kepada tinjauan awam, kajian pasaran dan data analitik dalam bidang kajian politik dan pilihanraya, polisi awam dan sosioekonomi.

Tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan adalah menggunakan kaedah metodologi penyelidikan yang ketat sebagaimana piawaian akademik bagi menghasilkan keputusan yang kredibel, bebas dan tepat. ILHAM juga telah menubuhkan ILHAM Analytica bagi membantu penyelesaian analitik yang lebih menyeluruh dan komprehensif.

ILHAM berpendapat, dalam usaha negara mencapai sebuah negara maju dan mempunyai peradaban yang tinggi, setiap keputusan atau sesuatu dasar yang dirangka hendaklah berasaskan data dan maklumat yang tepat. Melalui tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan, maka perkara ini akan dapat dihubungkan dan seterusnya pihak-pihak berkepentingan akan merangka sesuatu polisi dan dasar dengan lebih tepat dalam memenuhi aspirasi masyarakat dan negara.

ILHAM Centre boleh dihubungi melalui email [email protected] dan dilayari melalui website www.ilhamcentre.my

 

 

LAMPIRAN
 

Jadual 1: Perkiraan Utama Pengundi Dalam Membuat Keputusan Mengundi

 

Jadual 2: Kebolehpindahan Undi PRN berbanding PRU15

 

Jadual 3: Undi Yang Akan Diberi Dalam PRN

 

Jadual 4: Demografi Responden

POLA SOKONGAN PENGUNDI DAN PREDIKSI PILIHAN RAYA UMUM KE-15

———

PENDAHULUAN

Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan dalam keadaan ketika mana negara baru sahaja enam (6) bulan keluar daripada fasa pandemik Covid-19 dan dengan krisis kenaikan harga minyak, harga barang serta peningkatan kos sara hidup begitu dirasai oleh rakyat terbanyak.

Walaupun Kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob berusaha keras untuk menangani segala krisis yang terjadi, tekanan domestik khususnya dalaman parti beliau UMNO telah menatijahkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.

Memasuki ‘mood’ pilihan raya pada waktu ini, emosi dan sentimen rakyat terbelah dan terpisah apabila Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan negara berdepan dengan hujan lebat berterusan dan bencana banjir besar akibat pertukaran monsun. Walaupun pada peringkat awalnya mendapat bangkangan daripada banyak pihak namun Parlimen terpaksa dibubarkan juga demi memberikan semula mandat kepada rakyat memilih kepimpinan baru untuk tempoh lima tahun ke depan.

Pilihan raya umum kali ini disifatkan agak suram, tidak semeriah pilihan raya sebelum ini. Tidak dilatari dengan isu-isu panas melainkan rakyat secara paksa rela menyertai proses ini kerana Parlimen telah dibubarkan.

BARISAN NASIONAL (BN), PAKATAN HARAPAN (PH), PERIKATAN NASIONAL (PN) DAN GABUNGAN TANAH AIR (GTA)

Sejak awal, BN dijangkakan berdepan PRU kali ini dengan keadaan bersedia. Selepas menang besar Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor, BN berterusan mendesak Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen atas pertimbangan kelebihan berpihak kepada mereka.

Segalanya berubah selepas calon diumumkan. BN gagal memanfaatkan sepenuhnya kelebihan membubarkan Parlimen dengan mengawal tempo pilihan raya ketika parti-parti saingan dilihat tidak bersedia dan terpecah.

Disepanjang tempoh berkempen, BN tidak memperlihatkan kesepakatan dan konsolidasi elit yang penting untuk menonjolkan imej perpaduan bagi membentuk persepsi  meyakinkan kepada pengundi. Beberapa perkara menjejaskan hal tersebut.

Pertama, penguguran nama-nama besar dan ‘incumbent’ yang tidak dicalonkan semula. Ini bertambah parah apabila ada kalangan mereka bertanding menggunakan tiket parti lawan (Arau dan Maran) atau sebagai calon Bebas (Padang Besar). Ketidakhadiran MIC ketika majlis pengumuman calon dan penyerahan watikah BN turut mengundang pertanyaan.

Strategi mengemukakan 80 peratus muka baharu juga ‘backfired’ buat UMNO. Dengan andaian bahawa strategi serupa ketika PRN Melaka dan Johor serta keputusan Presiden akan disepakati oleh calon-calon yang diberi watikah telah membawa tindak balas di luar jangkaan parti terutamanya dalam kalangan yang sudah berkerja lama di akar umbi dan bahagian untuk memposisikan mereka sebagai calon WALI, namun tidak terpilih.

Masalah ‘housekeeping’ parti yang berterusan disebabkan ‘backlash’ mereka yang tidak terpilih menjadikan UMNO berkecamuk dalam membuat persediaan dalam pilihan raya yang mereka sendiri tentukan. Tindakan beberapa pimpinan UMNO yang menyerang Zahid Hamidi menggambarkan bagaimana situasi dalaman UMNO yang terpecah serta hilang arah sepanjang tempoh berkempen.

Kenyataan terbuka Presiden UMNO bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menentukan siapa Perdana Menteri selepas PRU-15 menguatkan spekulasi bahawa Ismail Sabri Yaakob bukanlah PM seperti yang dicadangkan – sekaligus menjejaskan potensi menarik undi atas pagar dan pengundi baharu terhadap BN.

Faktor ketiadaan Najib Razak sebagai ikon kebangkitan BN untuk menyatukan elit-elit parti dan pengaruh ‘Bossku’ yang berupaya menarik sokongan pengundi atas pagar serta pengundi baharu lenyap dalam PRU-15. Ini sekaligus meletakkan paras moral jentera BN berada di tahap terendah.

Namun begitu, kelebihan jentera akar umbi dan sokongan kuat orang Melayu kepada UMNO masih memberikan kelebihan yang signifikan kepada kekuatan UMNO untuk menyumbang kerusi di kawasan majoriti Melayu buat BN.

PH pula masih bergerak secara “in-silo”. Sejak kemenangan pada PRU14 sehingga berdepan dengan banyak siri PRK dan PRN sebelum ini masalah jentera ini masih gagal dibentuk secara kolektif. Namun begitu, kembalinya Rafizi Ramli ke dalam PH bak tonik memulihkan moral dan kepercayaan aktivis yang kecewa dengan PH serta sokongan umum.

Strategi PH masih bergerak dengan tiga jentera parti utama yang berbeza dan terpisah. Sungguhpun begitu, ianya memberikan kelebihan kerana pengundi dapat membuat perbandingan dan perbezaan berbanding parti saingan yang sukar dibezakan antara calon PAS dan Bersatu dalam PN.

Anwar Ibrahim sebagai calon PM menjadi ‘selling point’ terbesar PH. Anwar antara ‘poster boy’ calon Perdana Menteri yang dilihat menyakinkan berbanding calon gabungan parti lain. Pertama beliau masih belum pernah menjadi PM. Kedua pandangan umum lebih yakin dengan kemampuan beliau memimpin negara ketika negara dijangka berhadapan dengan kesuraman ekonomi global.

Sentimen pengundi bandar terutamanya kelompok bukan Melayu masih kekal bersama PH. Kelompok ini sukar untuk mengubah pola sokongan mereka kepada parti lain kerana pilihan yang sangat sempit. Manakala pengundi luar bandar kelompok Melayu masih terpecah dan sukar diperoleh oleh PH terutamanya dengan PN semakin memecahkan tabung undi tetap BN.

PN secara tiba-tiba menjadi ‘underdog’ memecahkan monopoli persaingan dua koalisi BN-PH. Ia dibantu dengan kekuatan pemasaran politik dan strategi jentera mereka yang agresif melalui kempen-kempen di media sosial dan cetak, serta bersemuka dengan diperkukuhkan dokongan jentera PAS yang tersusun dan kompak.

GTA jelas gagal untuk memberikan saingan kepada pakatan lain dan hanya berlegar di tiga kawasan; Langkawi, Jerlun dan Kubang Pasu walaupun bertanding di 121 kerusi Parlimen. Kebergantungan kepada pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad yang tinggi tidak melimpahkan sokongan untuk GTA seperti yang diharapkan.

SOKONGAN SABAH DAN SARAWAK, MEMBENTUK BLOK BORNEO

Naratif memperkasakan hak Sabah dan Sarawak menjadikan PRU-15 pemangkin pembentukan Blok Borneo. Namun begitu hal tersebut menjadikan PRU-15 bersifat ‘lokal’ yang digarap melalui perjanjian MA63 secara berlebihan berbanding melihat PRU sebagai platform untuk memilih Kerajaan di peringkat persekutuan.

Sepanjang cerapan dilakukan, politik lokal Sabah dan Sarawak lebih cenderung kepada politik oligarki dalam konteks elit setempat. Walaupun isu-isu hak Sabah dan Sarawak diketengahkan, aspek calon masih menjadi faktor terbesar mempengaruhi bukan sahaja pengundi malah jentera parti. Tiga angkubah terbesar yang melatari PRU-15 di Sabah dan Sarawak ialah hubungan Negeri-Persekutuan, sentimen perkauman dan kewilayahan serta isu-isu setempat.

Berbanding Sarawak, kocakan politik Sabah lebih bergelora disebabkan perebutan kerusi antara BN-GRS, PH, WARISAN dan beberapa parti lokal serta calon Bebas. Sabah dan Sarawak berpotensi untuk menghantar calon Bebas ke Parlimen terutamanya di P181 Tenom dan P202 Sri Aman.

Parti-parti baharu seperti Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) memberi tentangan yang signifikan kepada parti-parti besar dan utama di Borneo.

PERSONA ANWAR, PRESTASI ISMAIL SABRI DAN REKOD PENCAPAIAN MUHYIDDIN JADI TARUHAN

Sejak kempen bermula nama-nama ini diangkat sebagai taruhan oleh gabungan masing-masing, dijual sehabis mungkin. Berbanding nama besar mereka, manifesto yang ditawarkan kurang diangkat oleh mana-mana gabungan dalam siri-siri jelajah atau ceramah-ceramah dalam pilihan raya kali ini.

Pesona Anwar di Tambun jelas menukar kerusi selamat PN menjadi kerusi boleh menang PH. Naratif Tambun akan menghantar seorang Perdana Menteri ke Putrajaya mewujudkan keghairahan baharu dalam kalangan pengundi.

Reputasi cemerlang Ismail Sabri sepanjang 14 bulan menjadi Perdana Menteri dijadikan modal penting buat BN sepanjang berkempen. Namun begitu, pergeseran dalaman BN tidak berupaya memposisikan Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ yang meyakinkan dalam PRU kali ini.

Manakala PN berterusan memanfaatkan rekod pencapaian Muhyiddin sepanjang menerajui negara dalam tempoh krisis pandemik Covid-19 dulu. Aura ‘Abah’ dimanfaatkan sepenuhnya dengan mengembalikan nostalgia kepimpinan beliau menabur bantuan ketika rakyat dihimpit masalah Covid-19.

MEMAHAMI PENGUNDI KALI PERTAMA DAN PENGUNDI MUDA

Seramai tujuh juta atau 33 peratus daripada jumlah keseluruhan adalah pengundi kali pertama akan mengundi dalam pilihan raya kali ini. Kelompok ini ibarat anak dara pingitan yang menjadi rebutan semua pihak yang cuba untuk memikat perhatian mereka.

Sepanjang tempoh kempen dan kajian lapangan ini dijalankan, penyelidikan mendapati bahawa kelompok ini dikelaskan sebagai ‘wild voters’. Mereka tidak kekok berkongsi kecenderungan politik mereka secara terbuka. Tiada istilah undi adalah rahsia bagi mereka. Kecenderungan membuat keputusan mereka berbeza berdasarkan demografi dan lokaliti.

Kami mendapati pengundi muda luar bandar cenderung mengikuti jalur politik keluarga dan ibu bapa. Bagi pengundi muda bandar walaupun cuba dipengaruhi oleh pilihan keluarga, mereka kekal dengan pilihan masing-masing. Namun begitu majoriti mereka masih belum membuat keputusan.

Disebalik keghairahan dan keterujaan kelompok ini keluar mengundi tinggi, rata-rata responden yang ditemui menyatakan bahawa mengundi adalah bebanan dan tanggungjawab yang besar. Ini kerana pendedahan terhadap politik dan demokrasi yang tidak cukup, kesedaran sivik yang rendah disamping semangat patriotik serta asas kenegaraan yang tidak seimbang.

KERUSI PANAS DAN KELABU MENUNGGU AYUNAN UNDI SAAT AKHIR

Sepanjang kajian beberapa kerusi yang termasuk di dalam kerusi panas melibatkan pertembungan calon ‘heavyweight vs. heavyweight’ dan calon popular di kawasan mencabar.

Kedudukan kerusi ini memperlihatkan pengundi atas pagar berada di dalam peratusan yang tinggi. Kebanyakan menyatakan keputusan akhir mereka mungkin diputuskan hingga saat-saat akhir pengundian.

Ini menjadikan kerusi-kerusi tersebut sukar untuk dilakukan prediksi tepat kerana saingan sengit (neck to neck) dan ayunan saat akhir yang sukar dijangka. Mana-mana pihak yang memperoleh undi ayunan akhir akan muncul pemenang.

Keputusan tersebut akan menimbulkan ‘upset’ kepada jangkaan awal sama ada buat calon ‘favorite’ ataupun parti-parti tertentu. Antara kerusi-kerusi sengit dan kelabu adalah seperti di berikut:

Kangar, Arau, Pokok Sena, Kulim Bandar Baharu, Ketereh, Bukit Gantang, Sungai Buloh, Temerloh, Sungai Besar, Kuala Selangor, Tampin, Ayer Hitam, Kudat, Putatan, Penampang, Sipitang, Kinabatangan, Tawau, Kalabakan, Sri Aman, Lubok Antu, Igan, Sarikei, Miri, Kimanis dan Lawas.

ELEMEN WARLORD, PERCATURAN OLIGARKI DAN SABOTAJ PARTI

Strategi BN menukar calon besar-besaran mencetuskan tindak balas yang sukar dikawal sehingga laporan ini ditulis. Ia mengakibatkan kecelaruan dan runtuhnya semangat juang jentera yang dikuasai oleh ‘warlord’ yang tidak dicalonkan.

Tindakan Pengerusi BN yang membelakangi dan tidak menyantuni oligarki serta proses ‘housekeeping’ parti tidak berjalan dengan baik. Akibatnya sama ada penggerak parti menzahirkan protes tidak keluar mengundi ataupun menghalakan undi kepada parti lawan.

Kerusi seperti P026 Ketereh, P086 Maran, P095 Tanjong Karang, P126 Jelebu, P155 Tenggara dan P156 Kota Tinggi antara yang dikenal pasti berpotensi untuk berlaku sabotaj dalaman parti kepada calon baharu.

Senario Sabah agak unik walaupun nampak kesepakatan GRS-BN membelah kawasan secara saksama untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri ternyata mengundang reaksi pengundi yang berbeza.

Bagi kawasan yang tradisinya ditandingi oleh BN tetapi diserahkan kepada GRS menyebabkan pengundi tegar mereka sukar untuk mengundi GRS. Sebaliknya juga berlaku di kerusi GRS yang diserahkan kepada BN. Kerusi P167 Kudat, P178 Sipitang dan paling kritikal pertembungan antara PBRS (BN) dan GRS di kerusi P179 Ranau dan BN dan PN di kerusi P183 Beluran.

Rata-rata responden yang kami temui di lapangan kajian menyatakan pertembungan tersebut akan menguntungkan parti WARISAN sekiranya berlaku sabotaj dan undi protes.

PREDIKSI ILHAM

Tiada gabungan parti yang boleh keluar selaku pemenang dengan garis majoriti mudah 112 kerusi. Dengan mengambil kadar keluar mengundi sekitar 80 peratus, berikut adalah prediksi kami terhadap 222 kerusi Parliman yang dipertandingkan.

KategoriBNPHPNGTA50-50Jumlah
70-100% etnik Melayu386241675
50-69% etnik Melayu9301-646
Bawah 50% etnik Melayu143---44
Jumlah487925112165

Jadual 1: Unjuran 165 kerusi Parlimen di Semenanjung

 

KategoriBNPHGRSGPSPBMWarisanBebas50-50Jumlah
Sarawak-6-181--631
Sabah/Labuan 326--61826
Jumlah386181611457

Jadual 2: Unjuran 57 kerusi Parlimen di Borneo

 

Parti / GabunganJumlahPeratusan
Pakatan Harapan – PH 8739.2
Barisan Nasional – BN 5123.0
Perikatan Nasional – PN 2511.3
Gabungan Parti Sarawak – GPS188.1
Parti Warisan62.7
Gabungan Rakyat Sabah – GRS 62.7
Gabungan Tanah Air – GTA 10.5
Parti Bangsa Malaysia - PBM10.5
Bebas10.5
50-50 / Sengit 2611.7
Jumlah222100

Jadual 3: Unjuran keseluruhan dan peratusan untuk keseluruhan 222 kerusi

 

PENUTUP

Kurang daripada 24 jam, penguasaan kerusi-kerusi bandar dan campuran jelas menjadi nadi kekuatan PH dalam pertarungan taktikal tiga penjuru. Semakin tinggi undi Melayu yang ‘dicuri’ PN akan memberikan kelebihan kepada PH untuk mempertahankan dominasinya di kawasan tersebut.

PN gah mencabar BN di kawasan majoriti Melayu ekoran kekuatan BN yang terpencar. Namun begitu, ianya masih belum cukup untuk menumbangkan BN. Kekuatan ini bak iklan syampu ‘tersekat di skala tiga’ kerana tidak mendapat sokongan ketara pengundi bukan Melayu.

BN masih betah bertahan di kawasan Melayu di sebalik kekurangan dan jentera yang berkecamuk kerana sokongan kuat pengundi putih mereka. Kepimpinan Zahid Hamidi selaku Jeneral parti menjadi liabiliti dan gagal membawa lonjakan sokongan buat BN. Beliau juga gagal mengantikan peranan ‘Bossku’ yang disaksikan dalam siri-siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

 

Disediakan oleh

Hisommudin Bakar (Pengarah Eksekutif)
Mohd Azlan Zainal (Ketua Operasi)
Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik)
Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidikan)
Mujibu Abd Muis (Felo Penyelidik)

 

LATAR BELAKANG KAJIAN

Cerapan dan observasi kajian akhir Pola Sokongan Pengundi dan Prediksi Pilihan Raya Umum ke-15 ini dilaksanakan selama tiga minggu bermula 30 Oktober 2022 sehingga 17 November 2022 yang melibatkan kaji selidik secara tatap muka dengan 1,211 responden dan perbincangan kumpulan sasar (150 responden) di seluruh negara.

Proses pengumpulan data kuantitatif dan kualitatif ini melibatkan semua negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak yang dipilih secara persampelan rawak berstrata. Responden yang diperolehi meliputi semua segmentasi jantina, kaum, peringkat umur, latar belakang ekonomi, tahap pendidikan yang pelbagai, julat pendapatan dan lokaliti yang berbeza.

Data kuantitatif yang diperolehi melalui borang kaji selidik dan kualitatif yang dikumpulkan melalui perbincangan kumpulan sasar ini telah disusun secara tematik bagi memudahkan kefahaman secara berstruktur dan memandu kronologi topik perbincangan.

 

Mengenai ILHAM CENTRE

ILHAM adalah merupakan sebuah firma penyelidikan bebas yang mengkhususkan kepada tinjauan awam, kajian pasaran dan data analitik dalam bidang kajian politik dan pilihanraya, polisi awam dan sosio-ekonomi. Tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan adalah menggunakan kaedah metodologi penyelidikan yang ketat sebagaimana piawaian akademik bagi menghasilkan keputusan yang kredibel, bebas dan tepat. ILHAM juga telah menubuhkan ILHAM Analytica bagi membantu penyelesaian analitik yang lebih menyeluruh dan komprehensif.

ILHAM berpendapat, dalam usaha negara mencapai sebuah negara maju dan mempunyai peradaban yang tinggi, setiap keputusan atau sesuatu dasar yang dirangka hendaklah berasaskan data dan maklumat yang tepat. Melalui tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan, maka perkara ini akan dapat dihubungkan dan seterusnya pihak-pihak berkepentingan akan merangka sesuatu polisi dan dasar dengan lebih tepat dalam memenuhi aspirasi masyarakat dan negara.

ILHAM Centre boleh dihubungi melalui email [email protected] dan dilayari melalui website www.ilhamcentre.my.

Date: Apr 10, 2022

Pola Pengundian dan Prediksi Pilihan Raya Negeri Johor 2022

Pendahuluan

Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan berakhir pada hari ini dan pengundi-pengundi di negeri itu akan menunaikan tanggungjawab mereka dalam pesta demokrasi pada esok (Sabtu) 12 Mac 2022 selepas 14 hari berkempen.

Sejak 18 Februari hingga 7 Mac 2022, ILHAM Centre telah melakukan kajian lapangan untuk menilai tahap sokongan pengundi-pengundi di Johor terhadap parti-parti yang bertanding. Menerusi kajian tersebut, kami mendapati Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan berbanding parti-parti lain biarpun terdapat jumlah pengundi baharu yang sangat tinggi.

Dapatan kajian membuktikan BN memperolehi kelebihan tidak semena-mena berbanding lawan mereka atas faktor-faktor berikut; kedudukan demografi, geografi dan psikografi pengundi di Johor; perpecahan pembangkang; pertembungan pelbagai penjuru; dan peratusan keluar mengundi yang rendah.

Berbanding PRN Melaka 2021 pilihan raya kali ini memperlihatkan perpecahan pembangkang sangat ketara.

Bagi mendalami kesan dan impak terhadap tingkahlaku khususnya pengundi Johor, pihak ILHAM telah melakukan satu kajian prediksi apakah pendirian politik rakyat negeri Johor dalam PRN kali ini. Kajian secara tatap muka ini menggunakan teknik persampelan rawak berstrata.

Kajian lapangan ini melibatkan 1,391 responden yang merupakan pengundi berdaftar di Johor mewakili semua segmentasi kaum, jantina, umur dan lokaliti dengan jumlah nemurator seramai 15 orang sambil dibantu 5 orang penyelia.

Data dikumpul menggunakan kaji selidik, observasi dan protokol temubual separa berstruktur. Data kajian kemudiannya dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik. Ralat kesilapan yang ditentukan ialah 3 peratus dengan tahap keyakinan sebanyak 95 peratus.

Demografi dan geografi yang unik di Johor menyaksikan 56 DUN mempunyai parameter dan angkubah yang berbeza antara satu sama lain seolah-olah berlaku pilihan raya kecil (PRK) bagi setiap DUN. Justeru, analisa prediksi ini memgambil kira secara mikro dan parameter yang berbeza pada setiap DUN dengan mengambil kira empat faktor yang disebutkan sebelum ini.

Dalam kajian ini ILHAM membuat prediksi BN mampu memenangi sekurang-kurangnya 35 kerusi manakala PH selesa di 10 kerusi. Baki lagi 11 kerusi pula tidak dapat dibaca kerana berlaku perebutan sengit untuk dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN), BN dan PH.

Kedudukan Demografi, Geografi dan Psikografi di 56 DUN

Dari segi geografi, Johor boleh dibahagikan kepada empat zon iaitu Zon Utara yang meliputi 16 DUN dari Buloh Kasap sehingga Sungai Balang, Zon Tengah dari Semerah sehingga Kahang, Zon Timur bermula Endau sehingga Tanjung Surat dan Zon Selatan dari Tiram sehingga Kukup.

Demografi etnik pula menunjukkan terdapat 16 DUN atau 29 peratus yang mempunyai komposisi etnik Melayu melebihi 70 peratus, 23 DUN (40 peratus) yang mempunyai komposisi etnik Melayu 50 sehingga 69 peratus etnik Melayu dan 17 DUN (30 peratus) komposisi etnik Melayu bawah 50 peratus.

Begitu juga dari segi lokaliti, Johor mempunyai 20 DUN (36 peratus) di kawasan luar bandar, 23 DUN (41 peratus) di kawasan pinggir bandar dan 13 DUN (23 peratus) di kawasan bandar.

PRN Johor menyaksikan pertembungan sebenar untuk mendapatkan majoriti adalah berlaku di DUN yang mempunyai komposisi 50 sehingga 69 peratus etnik Melayu yang meliputi 23 DUN. Kajian-kajian lain merujuk kawasan ini sebagai kawasan bercampur atau kawasan yang berada di pinggir bandar.

Dapatan kami menunjukkan BN dominan di segmen komposisi etnik Melayu 70 peratus dan ke atas manakala bagi komposisi etnik Melayu 50-69 peratus, walaupun PN dan PH memberi saingan hebat, namun secara teknikalnya kemenangan akan berpihak kepada BN.

Secara contoh di DUN Gambir; semakin tinggi sokongan yang diperolehi oleh PN di kalangan pengundi Melayu, kemenangan masih lagi memihak kepada BN kerana PN tidak berjaya melepasi aras sokongan pengundi bukan Melayu yang diperlukan. Ini berlaku kerana undi tersebut berpihak kepada PH dan menyebabkan BN memperolehi kemenangan.

Dari segi psikografi pula, pengundi memperlihatkan penilaian kritikal terhadap isu calon. Sebagai contoh meskipun di DUN Endau merupakan kubu BN, namun calon yang ditampilkan oleh PN berupaya untuk mencabar dominasi BN di sana.

Pengundi Melayu juga memberi maklum balas yang positif kepada naratif kestabilan yang dibawa oleh BN berbanding dengan isu nasional seperti rasuah, integriti dan kepimpinan yang dibawa oleh PN.

Pengundi Melayu yang ditemui menyatakan secara terbuka untuk keluar beramai-ramai untuk mengundi manakala pengundi Cina masih lagi menunjukkan keraguan untuk keluar mengundi disebabkan oleh pelbagai faktor. Oleh itu kita akan menyaksikan perbezaan ketara peratusan keluar mengundi mengikut demografi dan geografi setiap DUN.

Ke Mana Arah Pengundi Baharu?

Kemasukan 869,362 atau 33.5 peratus pengundi baharu menarik perhatian semua pihak untuk melihat ke mana sikap dan pola pengundian mereka dalam PRN ini. Ramai yang menaruh harapan kumpulan ini mampu membuat keputusan besar serta mengubah landskap politik Johor. Pengundi baharu ini merupakan pengundi pertama kali yang menjadi pengundi berdaftar secara automatik dalam kalangan pengundi 18 tahun dan ke atas.

Ramai yang beranggapan bahawa pengundi baharu ini adalah kelompok yang dinamik dan ‘anti establishment’ serta akan menguntungkan pembangkang. Namun dalam kajian ini, kami mengenalpasti kecenderungan mereka sebenarnya terlarut dalam budaya setempat, terikat dengan pilihan tradisi keluarga ekoran tidak mempunyai pegangan politik yang kuat.

Selain itu, pengundi baharu menyifatkan SPR tidak berperanan sebagai agensi yang mengendalikan proses demokrasi terpenting dalam negara untuk melakukan penerangan dan kempen yang mencukupi untuk menarik minat mereka berpartisipasi dalam pesta demokrasi ini.

Bergelut dengan kehidupan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tumpuan utama pengundi muda ini lebih kepada meneruskan kelangsungan hidup berbanding diheret dalam pertelingkahan parti-parti politik dalam pilihan raya kali ini.

Kami tidak menolak faktor keluar mengundi pada segmen ini dijangka rendah dan tidak mampu memberikan impak yang signifikan seperti mana yang diharapkan oleh pihak-pihak tertentu untuk membuat perubahan.

Pembangkang Berpecah, BN Untung

Ternyata peribahasa Melayu, “Jong pecah yu kenyang” tepat dalam menggambarkan apa yang berlaku dalam pilihan raya ini. Perpecahan pembangkang yang terlalu rencam dan berbilang penjuru memecahkan kekuatan undi PH semasa pilihan raya umum yang lalu, secara taktikalnya menguntungkan BN.

Kemunculan parti-parti baru pertama kali mencuba nasib dalam medan demokrasi seperti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Warisan dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) telah memeriahkan pilihan raya kali ini sebagai pesta demokrasi sekaligus menjadi tanda aras pilihan raya umum akan datang.

Parti-parti baru ini cuba membuat pemasaran politik bagi memperkenalkan parti mereka kepada pengundi buat pertama kali. Muda dilihat terkehadapan berjaya berjaya menjalinkan kerjasama ‘electoral pact’ bersama PH meskipun bertembung dengan PKR di Larkin.

PRN ini merekodkan tidak ada pertembungan satu lawan satu. Bakinya mencatatkan pertembungan tiga penjuru sehingga tujuh penjuru.

Tiga Koalisi Politik Tumpuan Utama Pengundi

Dalam kajian ini, majoriti responden menyatakan persaingan utama merebut perhatian pengundi ialah tiga gabungan politik utama iaitu BN, PN dan PH. Parti-parti kecil yang lain menerima sokongan berbeza-beza mengikut lokaliti tetapi tidak mampu mencabar tiga gabungan tersebut.

PN tampil sebagai kuasa baru mencabar dominasi BN dan PH. PN bermula garang dan agresif dalam siri-siri kempen malah jentera mereka diaktifkan lebih awal berbanding sebelum ini. Kempen PN memberikan saingan sengit kepada BN di kerusi-kerusi majoriti Melayu mengatasi kekuatan PKR dan Amanah yang mewakili PH.

Walaupun PN sebenarnya adalah pesaing terkuat kepada BN ternyata kekurangan sokongan daripada segmen pengundi Cina kepada gabungan tersebut menjejaskan peluang kemenangan mereka. PN mendapat dukungan pengundi Melayu-Islam yang rasional dan pengundi setia PAS.

PH pula bermula tempang dengan penggunaan logo yang berasingan apabila PKR bersikap memilih langkah berisiko memakai logo parti sendiri. Ini mengakibatkan penerimaan berbelah bagi dan jentera yang bergerak secara terpisah antara satu sama lain. Keputusan ini telah mengganggu keyakinan pengundi PH yang mengundi mereka pada pilihan raya umum yang lepas.

Selain itu, kekuatan jentera in silo’ tidak dikoordinasi secara bersepadu meminimakan kekuatan sebenar PH. Dalam aspek kempen PH kelihatan sangat struggle’ untuk meyakinkan pengundi mereka sepertimana pencapaian yang diperolehi dahulu.

Cabaran PH, berlaku ketirisan sokongan pengundi Melayu yang mengundi PH kepada PN dan pengundi Cina yang merupakan penyumbang terbesar kemenangan mereka menyatakan tidak teruja untuk keluar beramai-ramai mengundi pada kali ini.

Pertembungan Najib dan Muhyiddin Menghangatkan Kempen

PRN Johor hangat kerana dipanaskan dengan kenyataan serang menyerang antara Najib Razak dan Muhyiddin Yassin. Perseteruan peribadi mereka mengheret pengundi untuk menentukan sikap dalam pengundian kelak. Tanpa kontroversi dan berita panas ini mungkin fasa kempen PRN Johor akan lebih sejuk dan suram.

Najib Razak mempamerkan kesungguhan luar biasa melalui blusukan dengan pengundi berbanding dengan siri pilihan raya kecil yang lain. MCA turut menggunakan pengaruh populariti beliau untuk berusaha memecahkan dominasi sokongan pengundi Cina kepada DAP.

Penerimaan pengundi terhadap kehadiran beliau dipamerkan seakan-akan mantan perdana menteri tersebut tidak terpalit dengan sebarang skandal mahupun keputusan bersalah oleh Mahkamah.

Kehadiran beliau menjadi faktor penarik dan membina momentum tersendiri kepada kempen kepada BN.

Muhyiddin pula memanfaatkan pengaruh beliau di Johor untuk mengimbangi pengaruh Najib. Imej beliau dijadikan ‘poster boy’ kepada kempen PN seluruh Johor. Menyukat populariti Muhyiddin di Johor, 43 peratus mengakui beliau berpengaruh di negeri selatan ini. Sedikit sebanyak kekuatan Muhyiddin ini membantu PN muncul sebagai pesaing terdekat BN terutama di kawasan majoriti Melayu.

Sebelas Kawasan Sengit dan Sukar Diramal

Dapatan kajian mendapati terdapat 11 DUN sukar diramal parti mana yang akan dinobat sebagai pemenang. Beberapa faktor dikenalpasti menyumbang kepada kekaburan dalam meramalkan pemenang seperti pengaruh calon bertembung dengan kekuatan parti yang berlaku di Paloh, Endau dan Simpang Jeram.

Manakala Kemelah, Bekok, Tangkak, Yong Peng, Parit Yaani, Puteri Wangsa, Kempas dan Kota Iskandar adalah kerana jangkaan keluar mengundi yang rendah terutama penyusutan di kalangan pengundi Cina dan sebesar mana rekahan pengundi Melayu yang akan diterima oleh BN dan PN.

Berdasarkan respon pengundi Cina, mereka masih lagi mengaitkan penularan virus Covid-19 Omicron yang berleluasa sekarang menyebabkan mereka takut untuk keluar mengundi. Bagi ahli keluarga pengundi yang berkerja di luar Johor khususnya Singapura, turut dimaklumkan tidak akan pulang mengundi.

Faktor penyusutan ini yang mungkin berada di paras 55 peratus kalangan pengundi Cina. Penyusutan ini sudah tentu akan menjejaskan peluang pembangkang untuk bertahan di kerusi-kerusi yang dinyatakan di atas.

Konklusi

PH termasuk PKR kelihatan tidak bermaya dan hilang arah untuk menyekat kemaraan BN selepas tewas teruk di Melaka dan Sarawak. PH masih buntu mencari formula magis bagi mengembalikan kegemilangan pencapaian mereka pada PRU14.

Ketiadaan tokoh yang mampu menyatukan semua parti pembangkang adalah punca mengapa pertembungan banyak penjuru yang merugikan kepada semua pihak selain BN terjadi di Johor.

PN ternyata menjadi saingan utama kepada BN tetapi peratusan bukan Melayu yang tidak menyokong gabungan ini yang menyebabkan mereka gagal mengatasi BN.

PRN Johor ternyata mempunyai medan yang berbeza dengan PRN Melaka. Kategori DUN yang mempunyai komposisi bercampur dan majmuk di Johor lebih banyak berbanding di Melaka. BN sebenarnya mendapat laba keuntungan apabila undi Cina disudutkan kepada PH dan undi Melayu pula terpecah-pecah dalam saingan tiga penjuru atau lebih. PRN Johor akan membuktikan dengan jelas sekiranya berlaku perebutan undi mengikut etnik akan memberikan keuntungan melalui undi yang sekadar mencukupi kepada BN.

Dapatan pola pengundian di PRN Melaka diperkukuhkan lagi dengan apa yang berlaku di Johor menunjukkan pembangkang tidak mempunyai pilihan selain daripada bekerjasama membina sebuah koalisi atau ‘electoral pact’ yang boleh merangkumi setiap segmen pengundi.

Sekiranya pihak pembangkang gagal memenuhi syarat ini, kita boleh membuat kesimpulan yang sudah kita dapat jangka dalam pilihan raya umum akan datang.

—————

Laporan disediakan oleh panel penyelidikan ILHAM Centre yang terdiri daripada Hisommudin Bakar (Pengarah Eksekutif), Mohd Azlan Zainal (Ketua Operasi), Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidikan) dan Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid (Felo Penyelidik).

 

Mengenai ILHAM CENTRE

ILHAM adalah merupakan sebuah firma penyelidikan bebas yang mengkhususkan kepada tinjauan awam, kajian pasaran dan data analitik dalam bidang kajian politik dan pilihanraya, polisi awam dan sosio-ekonomi. Tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan adalah menggunakan kaedah metodologi penyelidikan yang ketat sebagaimana piawaian akademik bagi menghasilkan keputusan yang kredibel, bebas dan tepat. ILHAM juga telah menubuhkan ILHAM Analytica bagi membantu penyelesaian analitik yang lebih menyeluruh dan komprehensif.

ILHAM berpendapat, dalam usaha negara mencapai sebuah negara maju dan mempunyai peradaban yang tinggi, setiap keputusan atau sesuatu dasar yang dirangka hendaklah berasaskan data dan maklumat yang tepat. Melalui tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan, maka perkara ini akan dapat dihubungkan dan seterusnya pihak-pihak berkepentingan akan merangka sesuatu polisi dan dasar dengan lebih tepat dalam memenuhi aspirasi masyarakat dan negara.

ILHAM Centre boleh dihubungi melalui email [email protected] dan dilayari melalui website www.ilhamcentre.my.

November 19, 202

Pola Pengundian dan Prediksi Pilihan Raya Negeri Melaka

Pengenalan

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali antara pilihan raya yang sukar untuk pihak kami membuat bacaan ekoran pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang menghalang kempen secara bersemuka dengan pengundi dilakukan. Tambahan pula pengundi masih lagi dihantui dengan kekangan pandemik Covid-19 yang menyebabkan pengundi amat berhati-hati.

Pengundi yang ditemui rata-rata menyifatkan pilihan raya ini adalah satu pilihan raya yang tidak perlu pada dasarnya. Pertelingkahan di kalangan elit politik mengheret seluruh rakyat untuk keluar mengundi bagi mendapat mandat baru.

Ini juga menyumbang kepada pengundi tidak menunjukkan keterujaan untuk keluar mengundi serta mengakibatkan kempen pilihan raya ini antara paling suram dan sejuk dalam sejarah pilihan raya.

Kebimbangan utama kami yang terlibat dalam mengkaji tingkahlaku pengundian dalam pilihan raya, kesuraman ini mampu menyumbang kepada partisipasi yang rendah di kalangan pengundi untuk terlibat dalam proses pemilihan wakil rakyat mereka. Ini secara tidak langsung menjejaskan peratusan keluar mengundi yang tinggi serta mengakibatkan potensi semua pihak terganggu.

Bagi mendalami kesan dan impak terhadap tingkahlaku khususnya pengundi Melaka, pihak ILHAM Centre telah melakukan satu kajian prediksi apakah pendirian politik rakyat negeri Melaka dalam PRN kali ini.

Kajian secara tatap muka ini telah diadakan pada 23 Oktober sehingga 15 November 2021 dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata. Kajian lapangan ini melibatkan 1,051 responden yang merupakan pengundi berdaftar di Melaka mewakili semua segmentasi kaum, jantina, umur dan lokaliti dengan jumlah nemurator seramai 15 orang sambil dibantu 3 orang penyelia.

Data dikumpul menggunakan kaji selidik dan protokol temubual separa berstruktur. Data kajian kemudiannya dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik. Ralat kesilapan yang ditentukan ialah 3 peratus dengan tahap keyakinan sebanyak 95 peratus.

Kadar Keluar Mengundi Menjadi Indikator

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lepas, pengundi Melaka telah mencatatkan kadar keluar mengundi sebanyak 84.7 peratus. Kadar keluar mengundi yang tinggi ini telah memberikan kelebihan buat Pakatan Harapan (PH) pertama kali menafikan dominasi Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Sokongan pengundi Cina juga berada di aras paling tinggi dalam sejarah iaitu 89 peratus kepada PH menatijahkan 15 daripada 28 DUN berjaya dirangkul untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti tipis.

Sekiranya 20 November nanti peratusan keluar mengundi di bawah 80 peratus, sukar untuk PH mempertahankan prestasi cemerlang seperti PRU ke-14 yang lalu.

Siapa yang akan memperolehi keuntungan tatkala peratusan keluar mengundi yang rendah?

Kebiasannya, dalam situasi begini akan memberi kelebihan kepada parti yang mempunyai ahli teras yang kuat. Ini merujuk kepada pola pengundian yang meletakkan pilihan pengundi berpandukan identifikasi parti yang kuat berbanding faktor yang lain.

Tinggi atau rendahnya peratusan keluar mengundi ini akan menjadi penanda aras kalah menang sesuatu parti.

Parti Mana Pilihan Pengundi Melayu?

Melihat kepada keadaan ini, kami membahagikan kepada tiga kategori kawasan pilihan raya iaitu kawasan 70 peratus pengundi Melayu dan ke atas, kawasan 50-69 peratus pengundi Melayu dan kawasan yang mempunyai pengundi Melayu bawah 50 peratus.

Di kawasan 70 peratus pengundi Melayu dan ke atas, persaingan tertumpu kepada parti-parti Melayu iaitu UMNO mewakili BN, BERSATU dan PAS mewakili Perikatan Nasional (PN) dan KEADILAN dan AMANAH mawakili PH untuk memenangi segmen pengundi di demografi kawasan ini.

Kawasan pilihan raya ini merangkumi 13 DUN iaitu Tanjung Bidara, Ayer Limau, Serkam, Ayer Molek, Sungai Rambai, Pantai Kundor, Sungai Udang, Taboh Naning, Lendu, Kuala Linggi, Telok Mas, Merlimau, Durian Tunggal.

Rebutan ini adalah untuk mengabsahkan parti Melayu mana yang mendapat kepercayaan pengundi Melayu dalam pilihan raya kali ini.

Pertembungan Sengit di Kawasan Bercampur

Kawasan DUN bercampur merujuk kepada kawasan yang mempunyai komposisi 50-69 peratus pengundi Melayu. Kawasan ini meliputi Rim, Kelebang, Rembia, Pengkalan Batu, Bukit Katil, Asahan, Paya Rumput, Bemban, Duyong dan Gadek.

Berdasarkan demografi DUN di Melaka, lokaliti di kawasan ini adalah bandar dan separa bandar, pertimbangan pengundi di sini tidak terikat dengan faktor parti semata tetapi faktor calon dan isu sangat mempengaruhi mereka.

Manakala kawasan yang mempunyai pengundi Melayu bawah 50 peratus seperti Machap Jaya, Ayer Keroh, Kesidang, Bandar Hilir dan Kota Laksamana, dijangka tidak banyak perubahan walaupun peratusan keluar mengundi rendah. Ini bermaksud pengundi Cina masih bersama dengan PH berbanding parti kompenan BN iaitu MCA mahupun GERAKAN yang mewakili PN.

Faktor Adly Zahari

Calon Ketua Menteri PH iaitu Adly Zahari berjaya memposisikan imej dan kepimpinan beliau di tahap yang memuaskan. Dapatan kajian kami mendapati 56 peratus responden bersetuju bahawa prestasi Adly Zahari sebagai Ketua Menteri sebelum ini amat membanggakan. Walaupun hanya 22 bulan memimpin Melaka, kepimpinan beliau diakui memberi impak kepada rakyat Melaka. Ini diakui sendiri oleh responden yang kami temui termasuk mereka yang merupakan penyokong BN dan PN.

Fasa kempen kali ini juga membuktikan imej dan wibawa Adly Zahari banyak membantu mencairkan sentimen dan propaganda yang menyerang PH. Imej yang mesra, mudah didekati menjadikan beliau seorang yang disenangi oleh kawan dan lawan.

Ditanya soalan tentang perbandingan polisi atau dasar yang paling baik antara tiga mantan Ketua Menteri Melaka, responden memilih Adly Zahari sebanyak 57 peratus melebihi Sulaiman Md Ali (35 peratus) dan Idris Haron (8 peratus).

Pernyataan lisan responden menghuraikan dapatan ini bahawa polisi di bawah kerajaan PH pimpinan Adly, kurang kerenah birokrasi dan bantuan diberikan tidak mengira warna kulit dan parti. Sulaiman Md Ali pula mendapat limpahan sokongan kerana bantuan Covid-19 di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

Secara umumnya, tatkala PH memuktamadkan Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri mereka, membantu menamatkan spekulasi liar yang menyatakan Idris Haron atau Shamsul Iskandar Md Akin mungkin dipilih sebagai Ketua Menteri. Ini memudahkan PH memberi fokus kepada kempen memperkenalkan calon-calon pilihan raya yang lain.

Persoalan di sini adakah faktor Adly Zahari ini mampu diterjemahkan dalam bentuk undi kepada PH terutama di kawasan-kawasan yang tidak ditandingi oleh beliau?

Isu Tempatan Lebih Dominan

Pilihan raya kali ini menyaksikan tertumpu kepada isu tempatan ketika fasa kempen berlangsung. Dapatan menunjukkan responden memilih isu tempatan sebanyak 83 peratus berbanding isu nasional sebanyak 17 peratus sebagai pertimbangan utama dalam pilihan raya kali ini.

Ini boleh dilihat menerusi janji-janji pilihan raya yang dikemukakan oleh hampir semua parti cuba menawarkan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat di Melaka. Ini melibatkan bantuan Covid-19, isu pasir tambakan laut, banjir kilat, dan liputan jalur lebar menjadi isu utama pengundi di Melaka.

Ketika kajian ini dilakukan majoriti responden (93 peratus) menyatakan secara terbuka bahawa mereka sangat terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara selepas beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan menyebabkan tekanan kepada rakyat dalam pelbagai keadaaan. Ada yang hilang pekerjaan, perniagaan terjejas dan bankrap, hinggalah kepada tekanan emosi melibatkan mereka memerlukan bantuan segera daripada kerajaan.

Selain itu bagi ibu bapa, pendidikan anak-anak melalui medium pembelajaran secara maya menjadi beban kepada mereka untuk membekalkan peranti dan akses internet.

Ekoran kekerapan banjir kilat yang melanda Melaka 87 peratus responden meletakkan isu ini adalah isu yang sangat kritikal. Walaupun isu ini hanya melanda beberapa lokasi seperti Durian Tunggal, Bemban, Ayer Keroh dan beberapa kawasan lain yang mempunyai masalah perparitan, namun isu ini dikongsi bersama dengan kawasan-kawasan lain.  Berkenaan isu pasir dan tambakan laut ketika ditanya, 73 peratus responden bersetuju bahawa isu ini merupakan sesuatu yang serius dan perlu diberi perhatian sewajarnya.

Isu ini nampaknya masih menemui jalan buntu untuk diselesaikan oleh kerajaan negeri dan menjadi beban mana-mana kerajaan yang dipilih selepas ini untuk diselesaikan.

Ayunan Undi Kembali ke BN

Menerusi kajian lapangan ini, kami berusaha mengenalpasti ke mana ayunan undi (swing vote) kepada BN yang diberikan kepada PH pada PRU-14 yang lalu.

Sebagai perbandingan, undi popular BN merosot sebanyak 16.5 peratus menjadikan undi popular BN pada PRU-14 sebanyak 37.3 peratus berbanding 53.8 peratus pada PRU-13.

Ayunan ini berlaku disebabkan oleh sokongan pengundi kepada PH atas faktor skandal 1MDB, Najib Razak dan kleptokrasi, Tun Mahathir serta kesepakatan pembangkang ketika itu. Kini, semua faktor tersebut kini tidak lagi menjadi penilaian dan pertimbangan pengundi.

Oleh itu, dalam kajian ini kami mengenalpasti pengundi BN yang memindahkan undi kepada PH dalam PRU-14 lepas, berpotensi untuk kembali mengundi BN sebanyak 11 peratus.

Jika unjuran ini benar berlaku, PH akan terjejas di kerusi yang menerima limpahan ayunan undi ini dan memberi sedikit kelebihan kepada BN.

Mampukan PN memecahkan Dominasi BN dan PH?

Berbekalkan solidariti di kalangan parti komponen PN yang begitu utuh, memanfaatkan populariti Muhyiddin Yassin, ikrar calon yang berintegriti dan bebas rasuah, manifesto yang menarik, serta menamakan Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri wanita pertama, adalah tawaran terbaik PN kepada rakyat Melaka.

Pada hemat kami, PN arif tentang figura Muhyiddin masih dekat di hati pengundi dan ini selari dengan dapatan kajian kami yang meletakkan 51 peratus beliau masih popular.

Persoalannya di sini, adakah dengan semua faktor di atas, mampu menarik dan memindahkan undi yang dimiliki oleh BN dan PH, untuk menyokong PN yang merupakan aktor baru dalam PRN kali ini.

Namun begitu, undi asas sebanyak 11 peratus yang diperolehi PAS dalam PRU-14 boleh dianggap sebagai deposit tetap kepada PN.

Cabaran sekarang terletak kepada BERSATU dan GERAKAN untuk menyumbang peratusan yang signifikan bagi menafikan dominasi dua gabungan politik yang menjadi lawan mereka.

Percaturan PN mempertaruhkan calon Melayu di kawasan calon PH dan BN bukan Melayu seperti di Bemban, Kelebang dan Gadek akan menguji pola pengundian berasaskan etnik. Strategi ini akan memecahkan undi Melayu dengan harapan memberi laba kepada PN.

PN memerlukan sokongan Melayu melebihi aras 50 peratus kepada mereka untuk mereka menang di tiga kerusi berkenaan. Ini merupakan satu angka yang besar untuk PN menafikan dominasi undi Melayu kepada BN di sini.

Dengan kehadiran calon PN, terdapat dua kerusi menjadi tumpuan iaitu Tanjung Bidara dan Telok Mas. Calon Ketua Menteri PN, Mas Ermieyati berjaya menggugat Ab Rauf Yusoh yang diletakkan di kerusi paling kuat BN. Telok Mas pula Rafiq Naizamohideen bertanggungjawab untuk mempertahankan kerusi BERSATU.

Idris Haron dan Nor Azman Hassan: PH Untung atau Rugi?

Idris Haron dan Nor Azman Hassan yang telah menyebabkan PRN mengejut ini berlaku telah dipilih oleh PH untuk bertanding di Asahan dan Pantai Kundor akan menguji populariti sebenar mereka. Dua tokoh kontroversi ini mengharapkan undi PH ditambah dengan pengaruh personaliti masing-masing untuk menyumbang kemenangan walaupun bertembung dengan parti BN yang memecat mereka.

PH juga sebenarnya mengharapkan pengaruh mereka terutama Idris Haron yang merupakan mantan Ketua Menteri dan pelbagai jawatan yang disandang dalam politik dan NGO sebelum ini mampu menyumbang sokongan tambahan kepada PH di kawasan lain.

Namun begitu, berdasarkan cerapan di lapangan, kami mendapati perkara sebaliknya berlaku. Halangan kempen bersemuka dan ceramah umum menyebabkan dua tokoh ini dan PH tidak mampu memadamkan serangan UMNO yang menyifatkan mereka sebagai pengkhianat.

Bagi PH pula, penjelasan yang diberikan apabila menerima mereka sebagai calon tidak mampu meredakan ketidakpuasan hati pengundi. Ini dibuktikan sebanyak 63 peratus responden menolak Idris Haron diterima sebagai calon PH.

Kebimbangan kami apabila melihat keadaan ini, dengan harapan untuk untuk bertambah undi kepada PH, mungkin akan bertukar menjadi perkara sebaliknya.

Selain itu, kami juga mendapati jentera BN mendapat mengawal dan merawat elemen-elemen protes yang datang daripada penyokong penyandang yang tidak tercalon semula dalam pilihan raya ini.

Demokrasi yang Suram di Melaka

Kesuraman kempen dalam PRN ini mengakibatkan pengundi hilang keterujaan dan kehangatan bahang pilihan raya. SOP yang terlalu ketat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah kesuraman ini dan menyukarkan jentera mendekati pengundi.

Ketiadaan kempen konvensional seperti ceramah umum dan kelompok, merayu undi, ziarah rumah ke rumah dan sentuhan peribadi calon bersama pengundi menyukarkan parti politik menilai penerimaan terhadap mereka.

Kebergantungan terlalu tinggi kepada kempen media sosial tidak mampu membangkitkan suasana sebenar pilihan raya. Media perdana pula sangat terhad ruang yang diberikan kepada parti-parti yang bertanding. Advertorial di akhbar harian menelan kos yang besar menyebabkan tidak semua calon mampu untuk membiayainya.

Kami cuba mengenalpasti mengapa fasa kempen gagal membangkitkan partisipasi pengundi.  Wujud tiga faktor yang dinyatakan secara konsisten oleh responden.

Pertama, mereka merasakan pilihan raya ini tidak wajar diadakan tetapi pertelingkahan elit politik akhirnya mengheret rakyat untuk mengundi sekali lagi.

Kedua, pengundi masih bimbang dengan wabak Covid-19 ini mampu melonjakkan kes jangkitan seperti mana yang berlaku di PRN Sabah sebelum ini. Kebimbangan ini adalah berasaskan kepada risiko kehilangan nyawa ataupun berdepan dengan PKP semula.

Ketiga, SOP yang terlalu ketat seakan mematikan pesta demokrasi yang menjadi amalan tradisi memeriahkan kempen semasa pilihan raya.

Gabungan semua elemen ini menyumbang kepada kesuraman ketika kempen dan dikhuatiri menyebabkan peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu di bawah 70 peratus seperti mana yang disasarkan oleh SPR.

Dari segi kempen, ternyata tema dan rekabentuk kempen PN lebih tersusun, menarik dan ‘catchy’ berbanding lawan mereka. Walaupun mereka adalah ‘underdog’, tetapi persembahan kempen mereka umpama mereka adalah penyandang dan parti besar.

Kempen PH pula dilihat tidak sekata dan tidak menunjukkan jentera mereka bersepadu. Jentera PH bergerak mengikut parti masing-masing yang mana perkara ini gagal diselaraskan sejak penubuhan gabungan PH lagi.

Penutup: Siapa Yang Menang?

PH memasuki gelanggang PRN ini dengan membayangkan mereka mampu mengulangi kemenangan PRU-14 setelah parti-parti dalam kerajaan tidak berjaya memuktamadkan kerjasama politik mereka. Ini mengakibatkan pertembungan 3 penjuru gabungan utama tidak dapat dielakkan. Selayang pandang, ramai mengatakan apabila BN dan PN bertembung akan menguntungkan PH.

Tetapi sebaliknya berlaku keadaan itu tidak diterjemahkan seperti mana perkiraan tersebut. Ini kerana PH memperolehi keuntungan adalah kerana sumbangan undi pengundi bukan Melayu yang tinggi dan berlaku ayunan undi pengundi Melayu yang signifikan. Ini perbezaan PRN Melaka dan PRU-14 yang lalu.

Berasaskan faktor-faktor yang dinyatakan di atas, peratusan keluar mengundi yang rendah, rekahan undi Melayu dan pesimisnya pengundi Cina menjadi penentu parti mana yang menang.

Hitungan mudah, PH mempunyai peluang sekiranya momentum PRU-14 kembali berulang dengan peratusan keluar mengundi yang tinggi dan mereka menerima undi Melayu yang signifikan serta limpahan pengundi Cina yang maksima. Dengan semua ini PH hanya berjaya memperolehi 15 DUN dengan majoriti tipis membentuk kerajaan. Andaikata hilang mana-mana faktor di atas, sukar buat PH untuk mengulangi pencapaian terbaik mereka.

Justeru, pada cerapan kami, BN mempunyai 11 kawasan yang sangat selesa untuk dimenangi iaitu Ayer Limau, Serkam, Taboh Naning, Ayer Molek, Sungai Rambai, Sungai Udang, Lendu, Kuala Linggi, Telok Mas, Merlimau dan Rim. Manakala PH pula selesa di 7 kerusi iaitu Bukit Katil, Paya Rumput, Duyong, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

Terdapat 10 kawasan yang sukar dibuat bacaan tepat disebabkan persaingan sengit antara calon. Kawasan ini terbuka kepada taktikal parti untuk memikat dan menambat pengundi di kawasan ini. 10 kawasan tersebut ialah Asahan, Kelebang, Tanjong Bidara, Pantai Kundor, Durian Tunggal, Machap Jaya, Rembia, Pengkalan Batu, Bemban dan Gadek.

BN perlu mencari sekurang-kurangnya 4 DUN tambahan daripada 10 kawasan panas ini untuk melengkapkan majoriti mudah bagi memimpin Melaka. PH perlu mempertahankan kawasan yang dimenangi mereka dahulu agar tidak terlepas kepada BN mahupun PN.

PN pula mempunyai peluang untuk membuat kejutan di Tanjong Bidara, Rembia dan Bemban. Faktor kebolehmenangan PN di kawasan ini adalah faktor calon yang berjaya mengimbangi kekuatan calon BN ataupun PH. Tetapi kami melihat semakin besar PN mencuri undi Melayu di dalam kawasan ini, semakin tinggi peluang kemenangan PH di atas faktor pertembungan 3 penjuru.

Menuju saat-saat akhir fasa kempen, BN mendahului di hadapan berbanding dua gabungan yang lain. Dua faktor PH berpeluang untuk menang iaitu peratusan keluar mengundi melebihi 80 peratus dan PN berupaya memecahkan dominasi undi Melayu yang dimiliki oleh BN. Jika dua situasi ini tidak berlaku, maka BN berupaya tampil sebagai pemenang.

 

————

Laporan disediakan oleh panel penyelidikan ILHAM Centre yang terdiri daripada Hisommudin Bakar (Pengarah Eksekutif), Mohd Azlan Zainal (Ketua Operasi), Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidikan) dan Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid (Felo Penyelidik).

————-

Mengenai ILHAM CENTRE

ILHAM adalah merupakan sebuah firma penyelidikan bebas yang mengkhususkan kepada tinjauan awam, kajian pasaran dan data analitik dalam bidang kajian politik dan pilihanraya, polisi awam dan sosio-ekonomi. Tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan adalah menggunakan kaedah metodologi penyelidikan yang ketat sebagaimana piawaian akademik bagi menghasilkan keputusan yang kredibel, bebas dan tepat. ILHAM juga telah menubuhkan ILHAM Analytica bagi membantu penyelesaian analitik yang lebih menyeluruh dan komprehensif.

ILHAM berpendapat, dalam usaha negara mencapai sebuah negara maju dan mempunyai peradaban yang tinggi, setiap keputusan atau sesuatu dasar yang dirangka hendaklah berasaskan data dan maklumat yang tepat. Melalui tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan, maka perkara ini akan dapat dihubungkan dan seterusnya pihak-pihak berkepentingan akan merangka sesuatu polisi dan dasar dengan lebih tepat dalam memenuhi aspirasi masyarakat dan negara.

ILHAM boleh dihubungi melalui email [email protected] dan dilayari melalui website www.ilhamcentre.my.

November 10, 2021

Pengenalan

Penamaan calon PRN Melaka usai pada 8 November 2021 yang menyaksikan 112 calon daripada 11 parti politik dan bebas akan bersaing mengadu untung nasib pada hari pembuangan undi 20 November 2021 nanti.

Seperti PRU14 pada 2018, gelanggang PRN 2021 ini akan menyaksikan persaingan sengit sehingga garisan penamat, sekurang-kurangnya tiga gabungan besar iaitu PH, BN dan PN akan memberi impak bermakna terhadap kempen dan keputusan nanti.

Setiap gabungan parti sama ada PH, BN dan PN mempunyai peluang dan kelebihan masing-masing, manakala parti-parti lain seperti Putra, Iman serta bebas dijangka hanya berperanan untuk memeriahkan pesta.

Pakatan Harapan

PH adalah pemenang gelanggang 2018 sebelum kemenangan tersebut diragut di luar peti undi pada 2020 lantaran penjajaran semula politik tanah air, walau apa justifikasi sekalipun, kita perlu mengakui mereka adalah juara sebenar di Melaka dalam pertembungan sebelumnya.

Menuju hari penentuan pada 20 November nanti, adakah PH masih berpeluang?

Berdasarkan situas semasa, PH masih berpeluang, namun dalam masa sama juga berhadapan dengan ancaman yang akan meragut mahkota 2018 daripada mereka.

Ada beberapa elemen yang memberi kelebihan kepada PH seperti faktor geografi dan demografi pengundi, prestasi 22 bulan memerintah sebelumnya, serta populariti mantan Ketua Menteri mereka iaitu Adly Zahari.

Melaka berada dalam zon selatan, dalam kajian-kajian kami sebelum ini pengundi di zon selatan lebih terbuka dalam corak pengundian iaitu tidak terlalu terikat kepada parti politik, mengutamakan isu dan prestasi calon dalam membuat keputusan, serta agak lunak untuk menerima PH.

Mereka mempamerkan tingkah laku politik yang berbeza berbanding zon timur dan utara, namun belum mencapai tahap progresif secukupnya seperti yang ditunjukkan oleh pengundi di zon tengah khususnya Selangor dan Kuala Lumpur.

Melaka juga mempunyai demografi pengundi yang bervariasi dalam konteks etnik yang menyaksikan pengundi Melayu hanya 60 peratus, selebihnya etnik Cina 30 peratus, India enam peratus dan etnik lain sekitar tiga peratus.

Demografi ini adalah kelebihan PH kerana pola pengundian berasakan etnik masih signifikan dalam konteks politik Malaysia, bahkan pemilih Cina dan India adalah faktor penting memberi kemenangan kepada PH dalam PRU14 lalu.

Selama 22 bulan memerintah Melaka, prestasi PH agak baik serta menjadi buah mulut rakyat Melaka, elemen ini sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada mereka untuk mendekati pengundi dan memujuk diberi peluang sekali lagi dalam PRN kali ini.

Begitu juga dengan Adly Zahari, walaupun tidak sampai dua tahun sebagai Ketua Menteri, namun beliau berjaya memberi impak besar pada penerimaan rakyat, tinjauan di lapangan menunjukkan penerimaan rakyat terhadap beliau sangat baik.

Ini akan memberi modal besar kepada PH jika mereka berani menamakan Adly sebagai calon KM untuk mentadbir Melaka jika diberi kemenangan oleh pengundi pada 20 November ini.

Walaupun ada beberapa kelebihan, namun PH juga dibelenggu oleh beberapa ancaman dan ketidakpastian seperti tahap sokongan semasa pengundi etnik Cina, kesediaan keluar mengundi pemilih Cina serta cabaran mengekalkan peralihan (swing) pengundi Melayu yang diperolehi pada 2018.

Walaupun hampir sepenuhnya etnik Cina memberi undi kepada PH dalam PRU14, namun bermula PRK Tanjung Piai etnik Cina mula menjauhi PH disebabkan beberapa isu ketidakpuasan hati, situasi tersebut terus terbawa ke PRK Slim selepas itu.

Selepas langkah Sheraton dan terbentuknya kerajaan yang dilihat sebagai dominasi Melayu-Muslim oleh mereka, etnik Cina dilihat mula mendekati PH semula, namun sokongan ini tidak sekuat dan sebulat menjelang PRU14.

Untuk menang PH perlu memungut semaksimum mungkin undi daripada etnik Cina khususnya untuk mengekal kerusi yang dimenangi oleh PKR, Amanah dan Bersatu (semasa Bersatu dalam PH) sebelumnya.

Kalaupun etnik Cina kembali cenderung kepada PH, namun kebarangkalian kadar keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi Cina nanti turut berpotensi meragut kemenangan yang mereka harapkan.

Begitu juga undi etnik Melayu yang swing dalam PRU14 lalu, undi tersebut turut bertindak sebagai faktor kemenangan PH di Melaka apabila berjaya memungut sehingga 29 peratus undi Melayu.

Banyak faktor yang mempengaruhi swing undi Melayu pada 2018 seperti GST, 1MDB dan keyakinan terhadap elemen Melayu dalam PH apabila diketuai oleh Tun Dr Mahathir.

Sekarang semua elemen tersebut sudah tiada, jika undi swing tersebut kembali kepada Umno/BN walau hanya sekitar 10 peratus, sudah memberi kesan besar kepada peluang PH untuk mengulangi magik 2018.

Barisan Nasional

BN yang diketuai oleh Umno juga mempunyai peluang untuk keluar sebagai pemenang pada 20 November nanti, kelebihan terbesar Umno adalah pengundi teras akar umbi yang kuat, paling ampuh berbanding parti-parti lain yang bertanding dalam PRN kali ini.

Struktur pengundi mengikut DUN juga memberi kelebihan kepada Umno apabila pengundi Melayu yang hanya membentuk 60 peratus komposis pengundi keseluruhan tetapi bilangan DUN yang dikuasai majoriti Melayu melebihi 60 peratus.

Inilah yang memberi gambaran keputusan PRU14, walaupun BN hanya mengumpul 38 peratus undi popular berbading 51 peratus PH, namun BN hanya kalah tipis berbeza dua kerusi apabila memperolehi 13 berbanding 15 DUN oleh PH.

Sekali lagi situasi ini akan memberi kelebihan kepada BN dalam PRN ini, jika mereka berjaya mengembalikan sebahagian undi swing Melayu yang hilang dalam PRU14 lepas, mereka berpotensi untuk mendominasi kembali kawasan-kawasan bercampur dengan majoriti pengundi Melayu, khususnya lima kerusi yang hilang 2018 dulu.

Jika swing kembali itu mencukupi, BN berpotensi mengungguli persaingan dengan hanya bergantung kepada kerusi yang ditandingi Umno, tanpa perlu terlalu mengharap kemenangan oleh MCA dan MIC.

Namun sedikit merencatkan kempen BN apabila mereka tidak memiliki tokoh berkaliber untuk dinamakan sebagai Ketua Menteri, sama ada Datuk Seri Sulaiman Md Ali atau pengerusi perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, kedua-duanya tidak mempunyai aura mencukupi untuk dijadikan modal besar oleh BN.

Begitu juga prestasi memimpin kerajaan sekitar 19 bulan sebelum ini juga tidak banyak membantu, polisi dan prestasi kerajaan pimpinan Umno sepanjang tempoh tersebut tidak meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat Melaka.

Walaupun kerajaan yang diketuai oleh Sulaiman tersebut adalah kerajaan campuran PN, tetapi rakyat menilai prestasi kerajaan tersebut sebagai kerajaan BN kerana diketuai oleh Umno dan majoriti anggotanya daripada BN.

Perikatan Nasional

Seperti catatan saya sebelum ini, PN bertuah apabila Pas bersetuju untuk bertanding menggunakan lambang gabungan tersebut.

Walaupun Pas tidak kuat dan hanya mengumpul sekitar 10 peratus undi dalam PRU14 lalu, namun siri-siri PRK selepas PRU itu menyaksikan Pas mengekalkan bilangan undinya untuk membantu Umno memenangi siri-siri PRK tersebut.

Menjelang pembuangan undi 20 haribulan nanti, PN boleh berharap terhadap undi deposit daripada Pas tersebut untuk mengisi kotak undi sebelum meneruskan lagi kempen bagi mencari sebanyak mungkin tambahan daripada segmen lain.

Keputusan pemilihan naib presiden dan AJK kerja Pas Pusat dalam muktamar hujung minggu lepas yang menyaksikan kemenangan majoriti pimpinan pro PN juga bakal menambahkan lagi tonik kempen PN di Melaka.

Selain itu PN juga masih boleh berharap kepada populariti Tan Sri Muhyiddin yang bertungkus lumus turun berkempen. Sepanjang mentadbir kerajaan pasca Langkah Sheraton, populariti Muhyiddin sebagai PM agak tinggi walaupun penerimaan terhadap parti Bersatu itu sendiri agak lemah.

PN boleh menggunakan sosok ini untuk cuba mengutip sebanyak mungkin undi daripada pelbagai segmen yang wujud untuk memberi saingan bermakna untuk membuat kejutan, atau sekurang-kurangnya mengumpul cukup undi sebagai semangat untuk menuju PRU15 nanti.

Sehingga kini jentera kempen PN agak ghairah, ini sedikit sebanyak akan memberi momentum kepada mereka untuk menyaingi BN dan PH.

Kelemahan PN adalah tidak memiliki akar umbi yang kuat, mereka tidak mempunyai undi teras yang boleh diharapkan untuk mengungguli persaingan.

Antara ketiga-tiga parti komponen PN, hanya Pas yang ada sedikit akar umbi di Melaka, manakala sokongan terhadap Bersatu dan Gerakan masih kabur.

Dua kerusi yang dimenangi dalam PRU14 oleh Bersatu adalah sokongan pengundi terhadap semangat PH, tidak boleh dikira sebagai kekuatan Bersatu secara individu.

Begitu juga wakil rakyat Bersatu lain yang ada sekarang, semuanya adalah yang melompat ke parti tersebut daripada parti lain, bukan kemenangan atas tiket Bersatu.

Satu lagi kekurangan PN adalah kemampuan Gerakan untuk menyaingi DAP dan MCA di kawasan etnik Cina, sehingga kini belum ada sebarang indikator yang menunjukkan sokongan kepada Gerakan telah pulih.

Jika Gerakan gagal menyaingi DAP dan MCA di kerusi pengundi Cina, PN memulakan kempen Melaka ini dengan ketinggalan awal sebanyak lima kerusi.

Penutup

Di atas kertas, PRN Melaka akan menyaksikan pertembungan sengit antara BN dan PH, namun PN masih berpeluang untuk membuat sedikit kejutan jika kena dengan strategi pemujukan terhadap pengundi.

Kerusi-kerusi marginal seperti Lendu, Taboh Naning, Gadek, Durian Tunggal, Asahan, Pantai Kundor, Klebang, Rim dan Merlimau akan jadi penentu siapa yang akan mendominasi tahta 20 November nanti.

Semua kerusi tersebut dimenangi dalam PRU14 dengan majoriti kurang 1000 undi, sedikit swing pengundi akan merubah keputusan, bakal menjadi rebutan hangat antara parti-parti yang bertanding, serta berpotensi menentukan siapa yang akan keluar sebagai pemenang PRN Melaka.

Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim
Ketua Penyelidikan ILHAM CENTRE

10 November 2021

September 10, 2021

Ringkasan Eksekutif Reformasi Institusi di Malaysia: Pandangan dan Sentimen Melayu-Muslim

Pendahuluan

Mutakhir ini agenda reformasi institusi telah menjadi modal perbincangan dan tawaran politik dalam perkembangan politik negara. Pembentangan kajian oleh ILHAM Centre ini berharap ianya mampu melengkapi dan memberikan sudut pandang sendiri terhadap agenda reformasi institusi di Malaysia.

Kajian berkaitan reformasi institusi ini dijalankan bagi mengukur penerimaan rakyat dalam kalangan Melayu-Muslim terhadap agenda reformasi institusi. Bagi mana-mana pihak yang menjadi kerajaan ide ini perlu diurus dengan baik bagi memastikan situasi menang-menang untuk setiap pemegang taruhnya.

Kajian lapangan ini ini dilakukan selama dua bulan bermula 7 April 2021 sehingga 11 Jun 2021 yang melibatkan dua metodologi utama iaitu kaji selidik secara tatap muka di lapangan, dan perbincangan kumpulan berfokus (FGD).

Seramai 1,262 orang terlibat sebagai responden kajian yang dipilih secara persampelan rawak berstrata manakala 93 orang peserta yang terlibat dalam FGD yang melibatkan 14 kumpulan.

Bagi kajian tatap muka (survei) di lapangan, data dikumpul oleh nemurator menggunakan kaji selidik dan protokol temubual separa berstruktur. Ralat kesilapan ialah 3.5 peratus dengan tahap keyakinan sebanyak 95 peratus.

Proses pengumpulan data kuantitatif dan kualitatif ini merangkumi empat zon utama iaitu selatan, tengah, utara dan timur di Semenanjung Malaysia dengan kaedah persampelan rawak berstrata meliputi semua segmentasi jantina, peringkat umur, latar belakang ekonomi, tahap pendidikan yang pelbagai, julat pendapatan dan lokaliti yang berbeza.

Data kajian ini dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik.

Penerimaan Melayu-Muslim Terhadap Reformasi Institusi

Sejak dahulu masyarakat Melayu-Muslim dilihat dan dianggap sukar dan kurang bersedia untuk menerima pembaharuan serta tidak “pro” kepada perubahan.

Sepintas lalu, persoalan tentang reformasi institusi ini seolah terasing daripada cakupan pemikiran orang Melayu.

Penggunaaan bahasa atau istilah tinggi yang merujuk kepada reformasi institusi kadangkala kurang difahami. Kekurangan maklumat yang diperolehi juga menyebabkan ide-ide ini tidak mampu untuk dicerna sebaiknya oleh orang Melayu.

Namun apabila ditanya secara mendalam melalui soalan-soalan yang dikemukakan tentang ide-ide atau intipati reformasi institusi, secara keseluruhannya mereka bersetuju dengan ide-ide tersebut.

Meskipun demikian, Ide-ide tertentu seperti undi 18, pengundi automatik, akta-akta keselamatan, pilihanraya PBT dan Perdana Menteri dua penggal dan sebagainya berada di paras pertengahan persetujuan mereka. Dapatan kajian menunjukkan;

  • Isu berkaitan pemansuhan POTA, SOSMA, OSA yang hanya mencatatkan 56 peratus tahap kebersetujuan.
  • Pilihan raya tempatan boleh menyebabkan kuasa Melayu terhakis kepada bukan Melayu terutama di kawasan bandar (65 peratus bersetuju).
  • Pendaftaran pengundi secara automatik kepada warganegara yang telah mencapai umur 18 tahun merupakan keputusan bijak (55 peratus bersetuju).
  • Had umur mengundi yang diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun adalah langkah baik untuk menyuburkan demokrasi (57 peratus tidak bersetuju).
  • Perdana Menteri perlu dihadkan kepada dua penggal sahaja (52 peratus tidak bersetuju).
Ekonomi dan Sosial Lebih Utama

Meskipun orang Melayu boleh menerima ide-ide reformasi institusi, apabila dibuat perbandingan, isu-isu yang berkait dengan kelangsungan hidup jauh lebih utama dalam pemikiran dan kehidupan masyarakat Melayu-Muslim.

Dapatan kajian menunjukkan reformasi institusi dominan kepada aspek ekonomi dan pendidikan berbanding yang lain.

Isu bread and butter’ mengatasi segalanya. Pertimbangan utama orang Melayu dalam memilih pilihan yang ada dalam hidup, mereka akan mengutamakan aspek kelangsungan hidup (survival) mereka. Maksudnya, jika merujuk kepada agenda seperti reformasi institusi Parlimen, Kerajaan (Pentadbiran), Kehakiman, media, pilihan raya dan lainnya, tema itu terlalu jauh dari kehidupan mereka.

Ini dibuktikan melalui dapatan survei terhadap soalan institusi yang paling utama perlu dilakukan pembaharuan dengan responden berpendapat fokus harus diberikan kepada Ekonomi dan Pendidikan (32%), diikuti Urus Tadbir Kerajaan (27%), Parlimen (13%), dan Kehakiman (7%) dan Lain-lain (12%).

Ini diperkukuhkan lagi dengan dapatan terhadap soalan reformasi/pembaharuan yang paling perlu diberikan keutamaan pada waktu ini iaitu;

  • Merangka strategi membasmi kemiskinan dan menangani kos sara hidup rakyat (31%).
  • Meningkatkan kembali ekonomi rakyat (29%).
  • Memastikan janji-janji manifesto ditunaikan dan menjaga kebajikan rakyat (16%).
  • Membersihkan kerajaan daripada budaya rasuah dan memulihkan indeks integriti 15%).
  • Mereformasi institusi dan urus tadbir kerajaan agar berjalan mengikut lunas undang-undang (8%).
Cabaran Terhadap Reformasi Institusi

Majoriti responden dalam kajian ini bersetuju politik penting untuk merealisasikan agenda reformasi ini. Kerajaan yang dipimpin oleh majoriti Melayu-Islam pada waktu ini juga dilihat perlu mengambil tanggungjawab besar untuk memastikan agenda reformasi institusi ini berjaya dilaksanakan.

Secara konstruktif, agenda reformasi institusi ini tidak menangkap imaginasi dan menjadi keutamaan mereka kerana;

  • Penerangan reformasi institusi tidak menggunakan laras bahasa yang mudah kepada orang Melayu, tidak menyelami budaya, adat dan norma orang Melayu. Ide-ide reformasi dan pembaharuan tidak berupaya diterjemah dan dihadam dalam perspektif paling mudah hingga ke peringkat bawah (akar umbi).
  • Penyataan berkaitan reformasi institusi biasanya dikaitkan dengan gerakan politik berbanding dengan nilai sebenar pembaharuan yang hendak dilakukan. Biasanya sesuatu agenda reformasi institusi ini diterima atau ditolak oleh masyarakat Melayu-Muslim atas pertimbangan politik berbanding matlamat sebenar pembaharuan yang ingin dilakukan.
  • Pemasaran mengenai agenda reformasi tidak cukup berkesan. Tambahan pula diganggu dengan provokasi dan sentimen agama dan perkauman.

Agenda reformasi institusi ini seolah berada pada garis halus sempadan yang begitu sensitif. Ia boleh mencetuskan polemik panjang dan menghala kepada situasi rumit jika gagal diuruskan dengan baik terutama kalangan masyarakat Melayu-Muslim.

Ide pelaksanaan reformasi mesti mengambil kira keselesaan masyarakat Melayu-Muslim sebagai golongan majoriti di Malaysia. Meskipun pelaksanaan dilihat baik dan murni, persetujuan dan keselesaan itu harus dipersetujui sepakat dan diterima sebagai keputusan tuntas orang Melayu-Muslim.

Pengolahan agenda reformasi institusi perlu mencermati garis sensitiviti masyarakat Melayu-Muslim terutama dalam aspek kepentingan dan kedudukan agama Islam, hak istimewa Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Raja-Raja Melayu. Sekiranya gagal diurus garis sensitiviti ini ia akan mengakibatkan agenda reformasi institusi ini akan ditolak walaupun mempunyai matlamat yang baik.

Rumusan

Hakikatnya, orang Melayu terbuka kepada ide-ide reformasi institusi tetapi ianya bukan prioriti utama orang Melayu. Mana-mana pihak yang mahu menjayakan agenda Reformasi Institusi, perlu memahami nilai, budaya, bahasa, norma, demografi dan psikografi bagi menguruskan sentimen, mendapatkan kepercayaan dan sokongan orang Melayu-Muslim.

 

Disediakan oleh:

Hisommudin Bakar, Pengarah Eksekutif

Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid, Ketua Projek / Felo Penyelidik

Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, Ketua Penyelidikan

Mohd Azlan Zainal, Ketua Operasi

Mohd Jalaluddin Hashim, Ketua Analitik

 

Bertarikh 10 September 2021

 

September 25, 2020

Ringkasan Eksekutif

POLA PENGUNDIAN PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2020

ILHAM CENTRE

PERSAINGAN SENGIT, WARISAN PLUS DI HADAPAN

Pengenalan

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 telah mencatatkan sejarah pertembungan paling sengit dan penyertaan calon paling ramai dalam sejarah pilihan raya di Negeri di Bawah Bayu. Ekoran itu pertembungan sengit ini melibatkan angkubah-angkubah penilaian pola pengundian yang sangat kompleks.

PRN Sabah kali ini memberikan cabaran tersendiri kepada para penganalisa. Bersandarkan kepada empat persoalan utama iaitu, personaliti, etnisiti, kawasan dan parti, pasukan ILHAM Centre telah selesai membuat kajian lapangan di setiap 73 kawasan pilihan raya.

Dapatan kajian mendapati empat faktor di atas amat kuat mempengaruhi keputusan. Bagaimanapun kerencaman landskap politik Sabah terserlah dengan peratusan kawasan yang amat sukar untuk diukur dan diberikan prediksi yang jelas siapa pemenangnya.

Sepanjang pemerhatian kami membuat kajian lapangan dalam PRN kali ini, kami membahagikan kepada lima kluster pola sokongan yang berbeza mengikut kewilayahan, psikografi dan etnik.

Lima kluster berkenaan ialah kluster Sabah Timur, kluster Sabah Utara, kluster Kota Kinabalu, kluster Banjaran Crocker dan kluster Melayu-Brunei.

Kluster Sabah Timur kebanyakannya majoriti etnik Bajau dan Bugis yang bertumpu di sepanjang pesisir pantai cenderung menyokong Warisan Plus kecuali DUN dalam parlimen Beluran dan Kinabatangan. DUN di bawah kluster ini seperti DUN Senallang, DUN Segama dan DUN Sekong.

Kluster Banjaran Crocker merupakan kawasan majoriti etnik Dusun, Murut dan Sungai mendominasi pola pengundian yang bercampur. Kawasan ini merupakan kawasan yang sukar untuk membuat prediksi kerana kompleksiti angkubah penilaian pengundi. Kawasan ini memperlihatkan persaingan yang tinggi seperti DUN Paginatan, DUN Liawan dan DUN Tulid.

Kluster Kota Kinabalu  pula melibatkan DUN-DUN yang mempunyai taburan pengundi bandar melibatkan parlimen Sepanggar, Putatan, Kota Kinabalu dan Penampang berlatar belakang majoriti etnik Melayu, Cina, Kadazan dan Dusun.

Kluster Melayu-Brunei yang mendiami jajaran Pantai Barat mengunjur ke selatan Sabah. Kebanyakan mereka mempunyai pola pengundian berasaskan kepada identifikasi parti yang kuat. Di jajaran Pantai Barat ini, etnik Melayu-Brunei merupakan etnik majoriti di sini diikuti dengan Kadazan, Bisaya dan Bajau. Antara DUN yang berada di jajaran ini ialah DUN Kuala Penyu, DUN Sindumin dan DUN Membakut.

DUN-DUN dalam parlimen Kudat, Kota Marudu, Kota Belud dan Tuaran termasuk dalam kluster Sabah Utara. Majoriti etnik di kawasan ini terdiri daripada etnik Dusun, Bajau, Sungai, Rungus, Ubian dan Iranun. Antara DUN yang berada di kluster ini ialah DUN Bengkoka, DUN Tandek dan DUN Pitas.

Dalam PRN kali ini, kami menggunakan kombinasi pengumpulan data melalui kaji selidik, perbincangan kumpulan berfokus (FGD), temu bual dan observasi lapangan dari masa ke semasa.

Sepanjang tinjauan pasukan penyelidikan ILHAM Centre yang bermula seminggu sebelum hari penamaan calon iaitu 8 September sehingga 24 September 2020, kami mendapati pilihan raya kali ini merupakan pilihan raya yang paling sukar dan paling mencabar untuk membuat bacaan dan prediksi.

Sengitnya pertembungan ini umpama 73 pilihan raya kecil yang berlangsung serentak di seluruh Sabah kerana perbezaan pola pengundian di setiap DUN. Sukar untuk memilih sesuatu angkubah dan konseptual untuk digeneralisasikan bagi keseluruhan DUN di sini. Setiap DUN mempunyai angkubah dan konseptual yang tersendiri.

Namun demikian, pihak kami cuba sedaya upaya untuk merumuskan seperti mana berikut:

Faktor Calon Terlalu Dominan

PRN kali ini kami dapati fokus dan tumpuan utama pengundi di seluruh DUN sepakat menyatakan faktor utama mereka memilih wakil rakyat adalah berasaskan kekuatan dimiliki oleh calon yang menawarkan diri di tempat mereka.

Pertimbangan ini menjadi terlalu dominan berbanding faktor parti mahupun isu adalah kerana wujudnya pertembungan banyak penjuru yang mengelirukan pengundi. Kesan daripada calon lompat atau lebih dikenali calon katak di sini, menyebabkan pengundi terlalu berhati-hati memilih calon wakil rakyat mereka.

Responden yang ditemui menyatakan penilaian mereka terhadap calon melibatkan sumbangan dan khidmat calon sebelum ini, kaitan dengan hubungan kekeluargaan, prestasi dan keberadaan calon di kawasan mereka terutamanya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta kekuatan personaliti calon tersebut.

Walaupun begitu, bagi beberapa DUN terutama DUN yang berada di kawasan bandar-bandar utama seperti di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau; pengundi melihat faktor parti dan faktor isu juga mempengaruhi pola pengundian mereka.

Mengapa pengundi Sabah terlalu bergantung kepada calon? Faktor kebergantungan dan kecenderungan memilih pengundi terletak kepada calon dan jalinan keluarga besar yang boleh ditawarkan oleh calon mengatasi kepentingan parti.

Sebahagian pengundi amat matang dalam menilai siapa wakil rakyat yang akan dipilih. “Radu” banyak penjuru dan “berlanggar” sesama sendiri menyebabkan pengundi menukar pola pengundian daripada memilih berasaskan parti kepada calon.

Calon Gergasi

Terdapat lapan calon gergasi yang diperturunkan dalam PRN ini. Kebanyakan mereka merupakan nama besar berasal daripada Barisan Nasional tetapi mencuba nasib dengan parti baharu.

Anifah Aman paling berani. Parti Cinta Sabah pimpinan beliau bertanding keseluruhan 73 DUN dalam PRN. Beliau memilih DUN Bongawan untuk menguji pengaruh dan memimpin motivasi parti beliau.

Shafie Apdal kekal di DUN Senallang mempertahankan kemenangan di sana. Bung Moktar Radin diperturunkan di DUN Lamag yang baru diwujudkan di bawah parlimen Kinabatangan yang diwakilinya selama lima penggal di sini.

Di DUN Pintasan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mencuba nasib melalui USNO,  parti lama yang dihidupkan kembali. Jeffrey Kitingan, Presiden Star di DUN Tambunan melalui logo Perikatan Nasional. Wilfred Madius Tangau pula mengetuai UPKO di DUN Kiulu.

Dua bekas Ketua Menteri, Chong Kah Kiat bertanding di DUN Inanam melalui LDP manakala Salleh Said Keruak bertarung di DUN Usukan di atas logo BN.

Parti GRS Berlanggar Sesama Sendiri

Antara penyumbang juga kenapa pengundi merujuk kepada faktor calon untuk mereka memilih wakil rakyat adalah kerana dinamika politik Sabah berubah sepenuhnya dengan penjajaran baru koalisi politik antara parti-parti di sini. Ini menimbulkan kekeliruan  dalam kalangan pengundi kerana wujud gabungan mentah yang baru diumumkan selepas penamaan calon seperti Gabungan Rakyat Sabah dan Gagasan Calon Bebas.

Kewujudkan logo PN juga diakui pengundi mengelirukan mereka. Merujuk kerusi yang ditandingi oleh parti Star di lapan kerusi, mereka masih menggunakan simbol Star sebagai bahan kempen digandingkan dengan simbol PN kerana Star tidak ada di atas kertas undi. Simbol PN pula masih baru dan kurang dikenali terutama dalam kalangan pengundi warga emas.

Merumitkan keadaan, apabila PBS yang mengadakan kerjasama politik dengan PN dan BN bertembung sesama sendiri di 17 kerusi DUN. Antara pertembungan ini ialah di DUN Paginatan yang melibatkan pertembungan antara BN-Umno, PBS dan PN-Star, DUN Tulid antara BN-PBRS, PBS dan PN-Star dan DUN Karamunting antara BN-MCA dengan PBS.

Shafie vs Muhyiddin

Di dalam PRN kali ini, kempen di arus perdana sebenarnya adalah pertembungan antara Shafie Apdal dan Muhyiddin Yassin. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kelihatan sangat rajin malah jadual kempen beliau agak padat di bumi Sabah ini.

Shafie dengan kelebihan sebagai Ketua Menteri menjelajah serata DUN yang ditandingi Warisan Plus untuk melonjak kemenangan. Beliau berjaya mencapai kesefahaman dalam pembahagian kerusi. Bertindak sebagai ketua pasukan yang mengepalai pasukan besar Warisan Plus menghadapi PRN.

Di antara keduanya, kami menyukat aura kedua tokoh ini. Rata-rata masih meletakkan Shafie punyai kelebihan. Populariti Muhyiddin di Semenanjung nampaknya agak terbatas di sini.

Kualiti Kepimpinan Berbeza

Dalam aspek ini Shafie Apdal menonjolkan kelebihan kepimpinan beliau yang tegas dalam aspek pembahagian kerusi, penggunaan simbol, dan penentuan calon. Shafie menyerlahkan kemampuan beliau untuk menyelesaikan pengagihan kerusi Warisan Plus walaupun ditekan oleh PKR pada pusingan rundingan kerusi.

Dalam pada itu, tindakan Shafie mengambil pendekatan berani mengugurkan calon lama yang dilihat gagal menjalankan tugas dan digantikan dengan muka baru yang mempunyai personaliti yang rapat dengan pengundi tempatan.

Bagi GRS, tidak jelas siapa yang mengetuai dan menjadi pengarah pilihan raya di sini. Muhyiddin gagal menyelesaikan kesepakatan agihan kerusi di antara BN, PN dan PBS.

Bagi Umno dan BN pula mengambil pendekatan menampilkan  hampir 90 peratus calon baru. Kedegilan dan ego pemimpin untuk akur kepada pertembungan “straight-fight” kemungkinan memberikan sedikit kelebihan kepada Warisan Plus di sebahagian kerusi berkenaan.

Hubungan dingin antara Bung Moktar dan Hajiji Haji Noor sukar dibaca sejauh mana pengundi Umno dan Bersatu menterjemahkan undi mereka pada hari pembuangan undi nanti. Dalam cerapan kami di lapangan mendapati jentera Umno dan Bersatu tidak bekerjasama antara satu sama lain. Isyarat ini sebenarnya juga memberi kesan tidak langsung kepada penyokong masing-masing.

Calon Bebas

PRN kali ini menjadi meriah apabila seramai 56 calon Bebas masuk bertanding kali ini.  Hebatnya lagi, sebahagian calon Bebas ini membentuk pakatan sesama mereka dengan nama Gagasan Calon Bebas.

Ini bermakna, calon Bebas juga mempunyai gerakan yang mampu menggugat calon yang diwakili oleh parti politik. Kebanyakan calon bebas ini dahulunya adalah pimpinan parti, namun apabila nama tidak dicalonkan, mereka memilih tiket Bebas.

Dalam kebanyakan calon Bebas, ada dua nama yang disebut-sebut pengundi mampu memberikan ‘upset’ kepada calon lain iaitu di DUN Pitas, Rudy Awah dan Anita Baranting yang bertanding di DUN Tandek.

Walaupun sebahagian mereka dikatakan calon katak yang berpindah-randah antara parti dan kemudiannya bertanding bebas akan ditolak rakyat. Namun dua nama di atas nampaknya mempunyai kekuatan tersendiri yang menyebabkan mereka mungkin boleh ‘survive’ di tempat mereka.

Isu Tempatan Lebih Kuat Berbanding Isu Nasional

Naratif Warisan Plus lebih padu yang mengangkat “Sabah for Sabahan” mengatasi naratif GRS “Sabah Bersama Persekutuan”. Ini dapat dilihat dalam kesepakatan calon dan jentera parti Warisan Plus mengangkat naratif yang sama di seluruh 73 kawasan pilihan raya. Manakala GRS kelihatan tidak sekata, terdapat  parti kompenan GRS membawa naratif yang berlawanan dengan naratif “Sabah Bersama Persekutuan”.

Terdapat tiga isu utama yang dibangkitkan pengundi. Walaupun banyak lagi isu lain, tetapi kami letakkan tiga isu ini yang sangat kuat mempengaruhi persepsi pengundi.

Menduduki isu utama ialah kesan Covid-19 terhadap kehidupan dan ekonomi mereka. Isu ini juga antara penilaian utama mereka melihat calon manakah yang membantu mereka semasa PKP tempoh hari.

Selain itu, perbandingan jumlah dan keberkesanan penyampaian bantuan Covid-19 memberikan kelebihan kepada PN dan BN berbanding Warisan Plus. Dalam aspek ini, ternyata bantuan Kerajaan Persekutuan disifatkan amat membantu mereka, tetapi bantuan Kerajaan Negeri dikatakan tidak menyeluruh dan mempertikai kenapa agihan dilakukan secara terpilih.

Isu kedua, “Sempornasisasi”. Sempornasisasi ialah istilah merujuk kepada campur tangan Shafie dalam menempatkan pengawai-pengawai kerajaan di jabatan utama agensi negeri mahupun daerah dengan meletakkan mereka yang berasal dari Semporna.

Isu ini kuat dimainkan dalam kalangan penjawat awam yang tidak berpuas hati dengan lantikan pegawai utama kerajaan yang dikatakan ialah Shafie ingin ‘mencengkam’ pentadbiran dengan orang-orang Semporna.

Isu ketiga ialah isu pendatang tanpa izin atau di sini dikenali mudah dengan kod nama PTI. Kempen PTI ialah terkesan di daerah pengundi Kadazan-Dusun-Murut (KDM). KDM dikatakan pengundi Bumiputera dan penghuni asal Sabah dimainkan sentimen memandang etnik yang datang dari Filipina dan Indonesia sebagai pendatang walaupun mereka sudah lama bermastautin serta memiliki kad pengenalan.

Kempen Warisan Plus lebih Berkesan

Tema kempen Warisan Plus lebih dekat di hati dan menangkap imaginasi pengundi di sini. Moto dan tema perpaduan atau “unity” yang digunakan oleh Warisan Plus lebih dekat di hati rakyat Sabah. “Berpadu Demi Maruah” dan “Berpadu Kita Mesti” mempunyai mesej yang jelas dan mudah difahami oleh pengundi.

Penggunaan kaedah kempen yang berbeza mengikut kawasan digunapakai oleh Warisan Plus seperti penggunaan video yang ditular bagi pengundi bandar dan semi-bandar sangat efektif.

Penggunaan kempen yang menggunakan jalinan keluarga besar dan sentuhan peribadi pula amat berkesan di kawasan luar bandar.

Kelebihan kempen BN ialah menggunakan media arus perdana, ceramah perdana dan kelompok serta pengunaan agensi kerajaan persekutuan.

Tema yang dibawa oleh BN pula sebaliknya dan tidak mempunyai mesej yang jelas. “Radu Tatap Radu” tidak membawa sebarang makna kepada pengundi.

PN pula tiada sebarang tema signifikan melainkan menayangkan imej Muhyiddin dengan mesej “Abah Kita Bah”. Pasukan kempen Muhyiddin mungkin tidak membuat kajian mengenai istilah yang dekat dan kerap diguna oleh masyarakat Sabah. “Abah” di sini tidak digunakan secara menyeluruh untuk merujuk kepada bapa dan individu berpengaruh dalam kalangan mereka.

Selain itu, dalam kajian kami mendedahkan faktor populariti Muhyiddin kurang berkesan  dalam konteks Sabah. Penggunaan wajah PM yang ditampal di seluruh Sabah menimbulkan kekeliruan kerana bukan beliau yang bertanding ataupun ingin menjadi Ketua Menteri. Strategi tersebut ternyata tidak membantu melonjakkan kekuatan PN di Sabah kerana pilihan raya kali ini bersifat lokal.

Parti-Parti Lokal

Parti-parti tempatan turut mewarnai dalam PRN kali ini. Parti Cinta Sabah (PCS) bertanding kesemua 73 DUN. Tetapi hanya beberapa DUN saja disifatkan pengundi mampu menggugat calon parti utama.

USNO yang diberikan nafas baharu oleh Pandikar Amin bertanding 47 kerusi. Parti ini mampu menggamit memori penyokong lama mereka untuk memberi undi tetapi bermasalah untuk meyakinkan pengundi muda dan pengundi pertama kali.

LDP cuba keluar dari dogma parti Cina. LDP bertanding 46 kerusi dengan meletakkan calon-calon yang mempunyai kepelbagaian etnik dan agama.

Selain itu parti-parti lain yang bertanding ialah Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Kerjasama Anak Negeri (AnakNegeri), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Kebangsaan Sabah (PKS).

Dalam senarai parti-parti lokal ini, hanya beberapa calon yang mampu memberi saingan kepada pakatan BN-PN-PBS dan Warisan Plus di beberapa DUN. DUN tersebut ialah Bongawan, Pitas, Pintasan dan Merotai.

Selain DUN tersebut, penyertaan parti-parti lokal lain dikatakan hanya mampu memecahkan undi dan sukar mendapatkan kembali wang pertaruhan. Ini kerana sebahagian besar calon parti-parti ini kurang dikenali berbanding calon parti lain kerana berbalik kepada asas pertimbangan utama pengundi adalah faktor calon.

Sekiranya parti-parti ini meletakkan calon yang sesuai, sebahagian responden menyatakan mereka tidak menolak sepenuhnya dan mungkin mengundi sekiranya calon parti berkenaan mereka kenali dan dekat dengan mereka.

Rumusan

Berdasarkan cerapan lapangan, Warisan Plus mendahului dengan 23 kerusi yang boleh dikatakan kerusi ‘clear winner’ diikuti rapat dengan GRS sebanyak 19 kerusi. Selebihnya terdapat 31 kerusi yang menjadi rebutan semua pihak termasuk calon Bebas dan parti lain.

Kerusi dalam kategori 50-50 ini merupakan penentu kepada mana-mana pihak untuk mencukupkan jumlah majoriti mudah sebanyak 37 kerusi bagi membentuk Kerajaan Negeri yang baharu. Daripada 31 kerusi kategori 50-50 ini, terdapat 14 bilangan kerusi yang cenderung kepada Warisan Plus berbanding 5 kerusi yang cenderung kepada GRS manakala 12 kerusi yang betul-betul sengit sehingga tidak dapat ditelah.

Oleh itu PRN masih lagi menjadi medan yang terbuka bagi PRS dan Warisan Plus  sehinggalah peti undi ditutup pada jam 5.30 petang pada Sabtu 26 September 2020. Mana-mana pihak yang berjaya memberi imbuhan dan pujukan kepada pengundi pada saat-saat akhir mampu menjadi faktor kemenangan kepada pihak mereka.

 

Disediakan oleh

Panel Penyelidikan ILHAM Centre

 

Mengenai ILHAM CENTRE

ILHAM Centre adalah merupakan sebuah firma penyelidikan bebas yang mengkhususkan kepada tinjauan awam, kajian pasaran dan data analitik dalam bidang kajian politik dan pilihan raya, polisi awam dan sosio-ekonomi. Tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan adalah menggunakan kaedah metodologi penyelidikan yang ketat sebagaimana piawaian akademik bagi menghasilkan keputusan yang kredibel, bebas dan tepat. ILHAM juga telah menubuhkan ILHAM Analytica bagi membantu penyelesaian yang lebih menyeluruh dan komprehensif.

ILHAM berpendapat, dalam usaha negara mencapai sebuah negara maju dan mempunyai peradaban yang tinggi, setiap keputusan atau sesuatu dasar yang dirangka hendaklah berasaskan data dan maklumat yang tepat. Melalui tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan, maka perkara ini akan dapat dihubungkan dan seterusnya pihak-pihak berkepentingan akan merangka sesuatu polisi dan dasar dengan lebih tepat dalam memenuhi aspirasi masyarakat dan negara.

August 28, 2020

Ringkasan Eksekutif

POLA PENGUNDIAN PILIHAN RAYA KECIL N58 SLIM

ILHAM CENTRE

BN DIJANGKA MENANG BESAR, CALON PEJUANG LEBIH TERAMPIL

Latar Belakang PRK N58 Slim

Pilihan Raya Kecil N58 Slim di dalam kawasan Parlimen Tanjung Malim merupakan pilihan raya ke-12 pasca Pilihan Raya Umum ke-14. PRK Slim ini adalah pilihan raya kecil kedua selepas PRK N23 Chini pasca pertukaran kerajaan melalui ‘Langkah Sheraton’.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 23,094 pengundi awam dan pengundi awal serta pengundi pos layak membuang undi mereka dalam pilihan raya kecil ini.

Kawasan pilihan raya ini termasuk dalam kategori kerusi majoriti pengundi etnik Melayu berkomposisi sebanyak 75 peratus. Pengundi etnik India pula adalah 13 peratus, pengundi etnik Cina 10 peratus dan baki 2 peratus di kalangan Orang Asal.

Sebanyak 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang ada di dalam kawasan ini. Kawasan Felda merupakan penyumbang terbesar pengundi iaitu sekitar 56 peratus adalah di kalangan pengundi yang mendiami tanah rancangan Felda. Terdapat lima PDM Felda iaitu Felda Gunung Besout 1, Felda Gunung Besout 2, Felda Gunung Besout 5, Trolak Selatan dan Trolak Utara.

Selepas penamaan calon, seramai tiga calon menawarkan diri untuk dipilih sebagai wakil rakyat di sini. Mohd Zaidi Aziz dipilih mewakili Barisan Nasional dan dua lagi merupakan calon Bebas. Amir Khusyairi Mohamad Tanusi merupakan calon Bebas-Pokok mewakili Parti Pejuang Tanah Air yang baharu sahaja ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Seorang lagi calon Bebas-Buku ialah Santharasekaran Subramaniam, bekas guru.

Pihak ILHAM Centre mengikuti rapat pilihan raya ini dengan melakukan kajian di lapangan melalui survei dan temubual individu dan berkumpulan (FGD). Kajian dilakukan bermula 7 Ogos hingga 27 Ogos 2020 melibatkan pemilihan seramai 502 responden sebagai sampel dalam kajian yang dilakukan secara tatap muka di sini. Pensampelan responden dibuat melalui persampelan rawak berstrata melalui semua PDM dengan mengambil kira demografi yang dapat mewakili kawasan kajian ini. Ralat kajian yang ditemui ialah 4.3 peratus.

Calon Pejuang Lebih Menonjol

Dalam PRK Chini (dan Slim), Pakatan Harapan gagal mencabar calon parti pemerintah. Usaha parti Pejuang yang menghantar calon walaupun atas tiket Bebas, wajar dipuji kerana berjaya menyekat kemenangan mudah buat calon Barisan Nasional.

Strategi BN pada awalnya meletakkan calon muda dalam pilihan raya kecil ini tetapi kewibawaan calon Mohd Zaidi tidak membawa aspirasi anak muda. Kempen Mohd Zaidi kelihatan tidak bertenaga sama ada dari segi aspek pengucapan awam ataupun merayu undi berbanding calon Pejuang.

Namun kekurangan calon Mohd Zaidi diselamatkan oleh gerak kerja jentera BN dan beliau bertanding di kawasan selamat iaitu kubu kuat Umno yang tidak pernah tewas.

PRK Slim ini merupakan satu pilihan raya yang menguji sejauh manakah keupayaan calon Pejuang mampu mencabar hegemoni gabungan Muafakat Nasional di sini. Calon parti Pejuang ini memulakan langkah sebagai ‘underdog’ yang berusaha menjadi David dalam pertembungan dengan Goliath.

Amir Khusyairi menampilkan citra yang segar sebagai calon muda, lincah, petah dan ramah berbicara, pidato yang baik serta kerajinan untuk bertemu dengan pengundi meletakkan dirinya sebagai calon yang paling menonjol dan berwibawa pada pilihan raya kecil kali ini.

Calon Bebas Santharasekaran pula tenggelam dan tidak mampu untuk berkempen dengan efektif kerana kekangan pengalaman, sumber dan jentera.

Pertimbangan Parti Mengatasi Isu dan Calon

Majoriti responden dalam kawasan kajian menyatakan bahawa pertimbangan utama mereka mengundi di dalam pilihan raya ini adalah lebih kepada faktor parti. Pola sebegini menepati pola kawasan demografi pengundi tradisi Melayu, yang mana pemusatan tumpuan mereka ialah kepada identifikasi parti. Peratus responden yang memilih identifikasi parti sebagai pertimbangan mereka sebanyak 67 peratus berbanding faktor isu calon dan faktor isu.

Antara yang berlaku juga di sini ialah separa budaya (sub-culture) politik pengundi sini membuat penilaian kekuatan parti dengan melihat dari segi bilangan keahlian, jumlah cawangan, dan kekuatan jentera yang dipamerkan.

Dari aspek ini, sudah tentulah calon BN mendapat kelebihan tambahan pula pada pilihan raya kali ini turut dibantu oleh Pas selepas dua parti Melayu ini bersatu atas platform Muafakat Nasional.

Calon BN Mendapat Undi Pas

Secara tradisi di kawasan demografi ini, sekian lama Pas memberi cabaran kepada Umno. Sehinggalah PRU14 yang lalu berlaku pertembungan tiga penjuru, hasillnya calon PH mendapatkan undi yang lebih baik berbanding calon Pas.

Tetapi undi asas Pas secara puratanya mempunyai sekitar 22 peratus akan diterjemahkan dalam pilihan raya ini dengan mengundi calon BN. Dapatan ini lahir berdasarkan penyataan responden di kalangan pengundi Pas atas semangat kerjasama politik dua parti tersebut. Pola sokongan Pas yang memberi undi kepada calon BN ini bermula di PRK Cameron Highlands sehinggalah kini.

Andaian mengatakan akan wujud ahli Pas yang tidak berpuas hati kerjasama Pas-Umno dan melakukan undi protes ternyata tidak berlaku. Walaupun wujud ahli Pas yang tidak boleh menerima kerjasama ini, namun apabila sampai di kotak undi, mereka akan patuh kepada arahan jamaah (parti) mereka dengan mengundi calon BN.

Gabungan Umno-Pas Diterima Baik, Bersatu Terpinggir, Pejuang Untung

Antara tumpuan utama kajian ini juga ingin mengukur sejauhmanakah gabungan politik diterima bagi pengundi Slim. Dapatan kajian menunjukkan gabungan Muafakat Nasional melibatkan gabungan Umno-Pas diterima baik oleh pengundi Melayu.

Menerusi temubual mendalam, responden yang menyokong Muafakat Nasional tidak melihat parti Bersatu sebagai parti yang melengkapkan gabungan dua kuasa parti Melayu berkenaan. Ini dapat dilihat ketara apabila jentera Bersatu bergerak berasingan dan kelihatan terpinggir dari kesepaduan gerak kerja kempen Muafakat Nasional.

Namun keadaan ini diselamatkan oleh populariti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin daripada Bersatu yang mencatatkan peratusan cemerlang di kalangan responden Melayu.

Responden juga melihat pengumuman kemasukan Azmin Ali dan penyokong beliau ke dalam Bersatu pula tidak memberi lonjakan sokongan kepada BN.

Malah, keadaan ini memberi isyarat bahaya kepada Bersatu yang mana ahli mereka terdedah kepada naratif yang dibawa oleh parti Pejuang. Ahli Bersatu yang tidak mendapat laba politik ataupun yang hilang lantikan politik semasa PH memerintah kini beralih sokongan mereka kepada calon yang mewakili perjuangan Tun Dr Mahathir.

Pendek kata, pilihan raya ini adalah medan promosi parti baharu dan memasarkannya kepada khalayak ramai secara meluas. Pejuang juga menuai buah yang paling rendah dicapai (low hanging fruits) dengan mengutip ahli Bersatu untuk mendukung perjuangan mereka.

Jentera BN Lebih Tersusun, PH Bantu Tidak Sepenuh Kekuatan

Sepanjang tempoh kajian dalam fasa kempen, responden yang ditemui mengakui bahawa jentera Barisan Nasional lebih tersusun dan menyeluruh.

Ini dibantu dengan kekuatan peranan Pas yang menjadi pelengkap kepada penguasaan segmen Melayu-Islam di dalam kawasan pilihan raya ini.

Mantan Perdana Menteri, Najib Razak memanfaatkan kesinambungan fenomena “Malu Apa Bossku” untuk dibawa ke Slim. Berasaskan pemerhatian kami, Najib Razak meluangkan dan berkempen lebih intensif dan agresif di Slim berbanding siri pilihan raya kecil sebelum ini. Keputusan mahkamah yang mendapati beliau bersalah menjadi pemicu kempen beliau di sini.

Kekuatan jentera BN terletak kepada kesungguhan sayap Wanita dan Puteri Umno diakui oleh pengundi dan responden sebagai jentera yang sangat efektif merayu undi. Secara relatif, gerak kerja calon dan jentera BN menekankan strategi menemui seramai mungkin pengundi berbanding ceramah dan penerangan dalam skala besar.

Sebaliknya berlaku kepada calon Bebas, Amir Khusyairi. Pimpinan utama Pejuang terutama Tun Dr Mahathir turun sendiri sebanyak dua kali untuk menyatakan sokongan beliau kepada wakil parti yang menggunakan simbol Pokok ini.

Sambutan terhadap dua acara ceramah Tun Dr Mahathir dan pimpinan PH yang lain antara tertinggi yang pernah dicapai oleh calon Bebas berbanding sebelum ini. Mukhriz Mahathir dan Maszlee Malik kelihatan berusaha keras menerusi siri merayu undi mahupun ceramah kelompok.

Pada sisi pembangkang pula, PH tidak berkempen dengan penuh kekuatan mereka. Paling ketara ialah PKR. Kelibat Presiden PKR Anwar Ibrahim langsung tidak kelihatan membantu kempen di sini walaupun Dun Slim berada di bawah Parlimen Tanjung Malim yang diwakili oleh Ahli Parlimen PKR sendiri iaitu Chan Lih Kang. Hanya Setiausaha Agung PKR dan beberapa pimpinan pertengahan turun membantu kempen calon Pejuang.

Amanah dan DAP pula lebih menonjol dan agresif membantu calon Pejuang di sini.

Namun begitu, persoalan berikutnya muncul adakah pengundi di kalangan penyokong PKR akan mengundi calon parti yang berseteru dengan Presiden mereka?

Ke Mana Arah Pengundi PH?

Dalam kajian ini, kami cuba mendalami bagaimana psikologi pengundian di kalangan 6,144 pengundi yang mengundi Pakatan Harapan dalam PRU 14 yang lalu.

Menariknya dalam dapatan kajian kami, bagi penyokong BN yang dahulunya mengundi PH menyatakan dengan jelas bahawa mereka akan kembali menyokong BN kali ini. Ini kerana mereka melihat pada persepsi mereka, kerajaan di bawah PH gagal membawa perubahan yang diharapkan oleh mereka.

Tidak melaksanakan manifesto, menghapuskan beberapa subsidi penting orang Melayu antara hujah yang menyokong segmen pengundi ini untuk mengubah pola sokongan mereka.

Segmen pengundi bukan Melayu terutama pengundi Cina di Pekan Slim dan Sungai Slim Utara kelihatan berbelah bahagi. Walaupun kecewa dengan prestasi PH semasa memerintah, namun langkah mengambil alih kerajaan sebelum tamat penggal pemerintahan memberi nafas kepada pembangkang. Responden etnik Cina menyatakan kemungkinan anak-anak mereka yang berada di luar kawasan tidak balik mengundi kerana tidak faktor mendesak.

Selain itu, pengundi Cina menyatakan bahawa mereka tidak berpuas hati dengan Tun Dr Mahathir malah ada yang percaya apa yang berlaku pada politik sekarang adalah atas perancangan beliau. Dengan persepsi meluas ini, kami tidak dapat membaca dengan jelas ke mana halatuju undi Cina di dua PDM ini yang mana dahulunya menyumbang kepada undi terbesar kepada calon PH.

Terdapat tiga PDM yang mana peratusan agak besar didiami oleh pengundi India iaitu Ladang Sungkai, Ladang Kelapa Bali dan Trolak. Pertimbangan utama pengundi India ialah pihak mana yang paling membela mereka menerusi bantuan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Atas aspek ini, BN mempunyai kelebihan kerana ketika fasa PKP, kerajaan banyak menurunkan bantuan kepada rakyat.

Berdasarkan perkembangan ini, pengundi India yang dahulunya memberi sokongan besar kepada PH akan beralih arah sokongan mereka.

Pengundi Orang Asal nampaknya kekal tiada perubahan. Walaupun tiada apa yang mereka dapat banggakan selama mereka menyokong BN, namun pola pengundian mereka masih memihak kepada parti berkenaan.

Naratif Melayu-Islam Mendominasi

Tumpuan perbincangan di kalangan pengundi Melayu lebih tertumpu kepada penyatuan dua parti terbesar Melayu iaitu antara Umno dan Pas. Perkara ini kami temui sangat dominan dengan naratif kuasa kerajaan Melayu-Islam kini melegakan orang Melayu seolah-olah keluar daripada belenggu sengsara pemerintahan PH selama 22 bulan itu.

Mereka juga tidak kisah bagaimana kaedah peralihan Kerajaan PH kepada Kerajaan Perikatan Nasional ini berlaku. Sebaliknya mereka berasa sangat selesa dengan pentadbiran yang dikatakan Kerajaan Melayu-Islam. Mereka menyalahkan PH yang gagal membela agenda Melayu-Islam ketika mereka di puncak kuasa.

Tambah menarik lagi, kami mengenalpasti elemen serangan kepada DAP yang digambarkan sebagai parti yang tidak sensitif dengan sentimen pengundi Melayu.

Parti lain di dalam PH juga terpalit sama termasuklah Dr Mahathir yang dikatakan turut tunduk dengan dominasi DAP semasa dalam kerajaan PH. Naratif berbaur agama dan sentimen Melayu ini kami temui menebal dan melebar pada segmen pengundi Melayu terutama di perkampungan Felda dan kampung tradisi Melayu dalam DUN Slim ini.

Jentera Pejuang yang dibantu oleh PH cuba mengalih semula ke tajuk yang memangkin sokongan kepada PH dalam PRU14 lalu dengan tema rasuah, kleptokrasi, kerajaan pintu belakang dan seputar isu-isu yang panas di Parlimen. Kami dapati tiada lagi keterujaan (excitement) di kalangan pengundi pada tema-tema sedemikian.

Dalam pada itu, walaupun calon BN bertanding di atas logo BN, tetapi strategi kempen BN menekankan Muafakat Nasional. Penekanan ini menyebabkan Perikatan Nasional tenggelam dalam naratif kempen di sini.

Rumusan Kajian

Berdasarkan semua dapatan utama di atas, kami merumuskan calon BN berasa di aras selesa untuk menang dalam pilihan raya kecil kali ini. Mohd Zaidi beruntung kerana kawasan yang mempunyai demografi pengundi seumpama Slim ini tidak menguji kemampuan dan kewibawaan calon disebabkan pengundi mengukur sokongan mereka atas pertimbangan parti.

Sekiranya disukat pada kayu aras kewibawaan calon, Amir Khusyairi lebih menonjol berbanding Mohd Zaidi. Menariknya, pertembungan dua anak tarbiah PKPIM/ABIM semasa di kampus membawa wadah dan aspirasi perjuangan yang berbeza di alam politik.

Sekiranya Amir Khusyairi mampu mengekalkan undi yang diperoleh PH ataupun tidak hilang wang pertaruhan, maka ianya boleh dianggap satu kejayaan buat parti Pejuang dalam menempatkan mereka sebagai sebuah parti baru dalam landskap politik negara.

Dengan cabaran Pejuang, parti ini berjaya memanfaatkan ruang dan peluang semasa fasa kempen ini untuk menyerang parti Bersatu terutama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dalam masa yang sama menarik perhatian publik kepada perjuangan parti yang baharu ditubuhkan ini. Untuk menang, sebagaimana dinyatakan tadi, keadaan amat sukar untuk mengubah penguasaan dan kekuatan Umno dan Pas di sini.

Jadi jumlah undi yang akan diterima oleh Pejuang akan memberi skala pemberat kepada penerimaan pengundi. Ini perlu dilihat oleh Muafakat Nasional bahawa parti baru ini mampu menggugat asas kekuatan Bersatu dan menganggu undi Melayu yang menjadi teras Pas-Umno.

Calon ketiga tenggelam dan tidak mampu memberi saingan. Hilang wang deposit sudah pasti dan mungkin hanya mengharapkan undi simpati kepada beliau. Atas meraikan demokrasi, usaha Santharasekaran boleh dianggap sebagai meraikan ruang demokrasi yang wujud dalam politik negara kita.

 

Disediakan oleh

Panel Penyelidikan ILHAM CENTRE

Bertarikh 28 Ogos 2020

 

Mengenai ILHAM CENTRE

ILHAM Centre adalah merupakan sebuah firma penyelidikan bebas yang mengkhususkan kepada tinjauan awam, kajian pasaran dan data analitik dalam bidang kajian politik dan pilihan raya, polisi awam dan sosio-ekonomi. Tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan adalah menggunakan kaedah metodologi penyelidikan yang ketat sebagaimana piawaian akademik bagi menghasilkan keputusan yang kredibel, bebas dan tepat. ILHAM juga telah menubuhkan ILHAM Analytica bagi membantu penyelesaian yang lebih menyeluruh dan komprehensif.

ILHAM berpendapat, dalam usaha negara mencapai sebuah negara maju dan mempunyai peradaban yang tinggi, setiap keputusan atau sesuatu dasar yang dirangka hendaklah berasaskan data dan maklumat yang tepat. Melalui tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan, maka perkara ini akan dapat dihubungkan dan seterusnya pihak-pihak berkepentingan akan merangka sesuatu polisi dan dasar dengan lebih tepat dalam memenuhi aspirasi masyarakat dan negara.

ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur, MALAYSIA
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links
ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links

Copyright by ILHAM Centre. –  All rights reserved.

Copyright by ILHAM Centre. |  All rights reserved.