PRN Melaka: BN Mendahului di Hadapan, Kadar Keluar Mengundi Penentu

November 19, 202

Pola Pengundian dan Prediksi Pilihan Raya Negeri Melaka

Pengenalan

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali antara pilihan raya yang sukar untuk pihak kami membuat bacaan ekoran pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang menghalang kempen secara bersemuka dengan pengundi dilakukan. Tambahan pula pengundi masih lagi dihantui dengan kekangan pandemik Covid-19 yang menyebabkan pengundi amat berhati-hati.

Pengundi yang ditemui rata-rata menyifatkan pilihan raya ini adalah satu pilihan raya yang tidak perlu pada dasarnya. Pertelingkahan di kalangan elit politik mengheret seluruh rakyat untuk keluar mengundi bagi mendapat mandat baru.

Ini juga menyumbang kepada pengundi tidak menunjukkan keterujaan untuk keluar mengundi serta mengakibatkan kempen pilihan raya ini antara paling suram dan sejuk dalam sejarah pilihan raya.

Kebimbangan utama kami yang terlibat dalam mengkaji tingkahlaku pengundian dalam pilihan raya, kesuraman ini mampu menyumbang kepada partisipasi yang rendah di kalangan pengundi untuk terlibat dalam proses pemilihan wakil rakyat mereka. Ini secara tidak langsung menjejaskan peratusan keluar mengundi yang tinggi serta mengakibatkan potensi semua pihak terganggu.

Bagi mendalami kesan dan impak terhadap tingkahlaku khususnya pengundi Melaka, pihak ILHAM Centre telah melakukan satu kajian prediksi apakah pendirian politik rakyat negeri Melaka dalam PRN kali ini.

Kajian secara tatap muka ini telah diadakan pada 23 Oktober sehingga 15 November 2021 dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata. Kajian lapangan ini melibatkan 1,051 responden yang merupakan pengundi berdaftar di Melaka mewakili semua segmentasi kaum, jantina, umur dan lokaliti dengan jumlah nemurator seramai 15 orang sambil dibantu 3 orang penyelia.

Data dikumpul menggunakan kaji selidik dan protokol temubual separa berstruktur. Data kajian kemudiannya dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik. Ralat kesilapan yang ditentukan ialah 3 peratus dengan tahap keyakinan sebanyak 95 peratus.

Kadar Keluar Mengundi Menjadi Indikator

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lepas, pengundi Melaka telah mencatatkan kadar keluar mengundi sebanyak 84.7 peratus. Kadar keluar mengundi yang tinggi ini telah memberikan kelebihan buat Pakatan Harapan (PH) pertama kali menafikan dominasi Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Sokongan pengundi Cina juga berada di aras paling tinggi dalam sejarah iaitu 89 peratus kepada PH menatijahkan 15 daripada 28 DUN berjaya dirangkul untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti tipis.

Sekiranya 20 November nanti peratusan keluar mengundi di bawah 80 peratus, sukar untuk PH mempertahankan prestasi cemerlang seperti PRU ke-14 yang lalu.

Siapa yang akan memperolehi keuntungan tatkala peratusan keluar mengundi yang rendah?

Kebiasannya, dalam situasi begini akan memberi kelebihan kepada parti yang mempunyai ahli teras yang kuat. Ini merujuk kepada pola pengundian yang meletakkan pilihan pengundi berpandukan identifikasi parti yang kuat berbanding faktor yang lain.

Tinggi atau rendahnya peratusan keluar mengundi ini akan menjadi penanda aras kalah menang sesuatu parti.

Parti Mana Pilihan Pengundi Melayu?

Melihat kepada keadaan ini, kami membahagikan kepada tiga kategori kawasan pilihan raya iaitu kawasan 70 peratus pengundi Melayu dan ke atas, kawasan 50-69 peratus pengundi Melayu dan kawasan yang mempunyai pengundi Melayu bawah 50 peratus.

Di kawasan 70 peratus pengundi Melayu dan ke atas, persaingan tertumpu kepada parti-parti Melayu iaitu UMNO mewakili BN, BERSATU dan PAS mewakili Perikatan Nasional (PN) dan KEADILAN dan AMANAH mawakili PH untuk memenangi segmen pengundi di demografi kawasan ini.

Kawasan pilihan raya ini merangkumi 13 DUN iaitu Tanjung Bidara, Ayer Limau, Serkam, Ayer Molek, Sungai Rambai, Pantai Kundor, Sungai Udang, Taboh Naning, Lendu, Kuala Linggi, Telok Mas, Merlimau, Durian Tunggal.

Rebutan ini adalah untuk mengabsahkan parti Melayu mana yang mendapat kepercayaan pengundi Melayu dalam pilihan raya kali ini.

Pertembungan Sengit di Kawasan Bercampur

Kawasan DUN bercampur merujuk kepada kawasan yang mempunyai komposisi 50-69 peratus pengundi Melayu. Kawasan ini meliputi Rim, Kelebang, Rembia, Pengkalan Batu, Bukit Katil, Asahan, Paya Rumput, Bemban, Duyong dan Gadek.

Berdasarkan demografi DUN di Melaka, lokaliti di kawasan ini adalah bandar dan separa bandar, pertimbangan pengundi di sini tidak terikat dengan faktor parti semata tetapi faktor calon dan isu sangat mempengaruhi mereka.

Manakala kawasan yang mempunyai pengundi Melayu bawah 50 peratus seperti Machap Jaya, Ayer Keroh, Kesidang, Bandar Hilir dan Kota Laksamana, dijangka tidak banyak perubahan walaupun peratusan keluar mengundi rendah. Ini bermaksud pengundi Cina masih bersama dengan PH berbanding parti kompenan BN iaitu MCA mahupun GERAKAN yang mewakili PN.

Faktor Adly Zahari

Calon Ketua Menteri PH iaitu Adly Zahari berjaya memposisikan imej dan kepimpinan beliau di tahap yang memuaskan. Dapatan kajian kami mendapati 56 peratus responden bersetuju bahawa prestasi Adly Zahari sebagai Ketua Menteri sebelum ini amat membanggakan. Walaupun hanya 22 bulan memimpin Melaka, kepimpinan beliau diakui memberi impak kepada rakyat Melaka. Ini diakui sendiri oleh responden yang kami temui termasuk mereka yang merupakan penyokong BN dan PN.

Fasa kempen kali ini juga membuktikan imej dan wibawa Adly Zahari banyak membantu mencairkan sentimen dan propaganda yang menyerang PH. Imej yang mesra, mudah didekati menjadikan beliau seorang yang disenangi oleh kawan dan lawan.

Ditanya soalan tentang perbandingan polisi atau dasar yang paling baik antara tiga mantan Ketua Menteri Melaka, responden memilih Adly Zahari sebanyak 57 peratus melebihi Sulaiman Md Ali (35 peratus) dan Idris Haron (8 peratus).

Pernyataan lisan responden menghuraikan dapatan ini bahawa polisi di bawah kerajaan PH pimpinan Adly, kurang kerenah birokrasi dan bantuan diberikan tidak mengira warna kulit dan parti. Sulaiman Md Ali pula mendapat limpahan sokongan kerana bantuan Covid-19 di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

Secara umumnya, tatkala PH memuktamadkan Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri mereka, membantu menamatkan spekulasi liar yang menyatakan Idris Haron atau Shamsul Iskandar Md Akin mungkin dipilih sebagai Ketua Menteri. Ini memudahkan PH memberi fokus kepada kempen memperkenalkan calon-calon pilihan raya yang lain.

Persoalan di sini adakah faktor Adly Zahari ini mampu diterjemahkan dalam bentuk undi kepada PH terutama di kawasan-kawasan yang tidak ditandingi oleh beliau?

Isu Tempatan Lebih Dominan

Pilihan raya kali ini menyaksikan tertumpu kepada isu tempatan ketika fasa kempen berlangsung. Dapatan menunjukkan responden memilih isu tempatan sebanyak 83 peratus berbanding isu nasional sebanyak 17 peratus sebagai pertimbangan utama dalam pilihan raya kali ini.

Ini boleh dilihat menerusi janji-janji pilihan raya yang dikemukakan oleh hampir semua parti cuba menawarkan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat di Melaka. Ini melibatkan bantuan Covid-19, isu pasir tambakan laut, banjir kilat, dan liputan jalur lebar menjadi isu utama pengundi di Melaka.

Ketika kajian ini dilakukan majoriti responden (93 peratus) menyatakan secara terbuka bahawa mereka sangat terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara selepas beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan menyebabkan tekanan kepada rakyat dalam pelbagai keadaaan. Ada yang hilang pekerjaan, perniagaan terjejas dan bankrap, hinggalah kepada tekanan emosi melibatkan mereka memerlukan bantuan segera daripada kerajaan.

Selain itu bagi ibu bapa, pendidikan anak-anak melalui medium pembelajaran secara maya menjadi beban kepada mereka untuk membekalkan peranti dan akses internet.

Ekoran kekerapan banjir kilat yang melanda Melaka 87 peratus responden meletakkan isu ini adalah isu yang sangat kritikal. Walaupun isu ini hanya melanda beberapa lokasi seperti Durian Tunggal, Bemban, Ayer Keroh dan beberapa kawasan lain yang mempunyai masalah perparitan, namun isu ini dikongsi bersama dengan kawasan-kawasan lain.  Berkenaan isu pasir dan tambakan laut ketika ditanya, 73 peratus responden bersetuju bahawa isu ini merupakan sesuatu yang serius dan perlu diberi perhatian sewajarnya.

Isu ini nampaknya masih menemui jalan buntu untuk diselesaikan oleh kerajaan negeri dan menjadi beban mana-mana kerajaan yang dipilih selepas ini untuk diselesaikan.

Ayunan Undi Kembali ke BN

Menerusi kajian lapangan ini, kami berusaha mengenalpasti ke mana ayunan undi (swing vote) kepada BN yang diberikan kepada PH pada PRU-14 yang lalu.

Sebagai perbandingan, undi popular BN merosot sebanyak 16.5 peratus menjadikan undi popular BN pada PRU-14 sebanyak 37.3 peratus berbanding 53.8 peratus pada PRU-13.

Ayunan ini berlaku disebabkan oleh sokongan pengundi kepada PH atas faktor skandal 1MDB, Najib Razak dan kleptokrasi, Tun Mahathir serta kesepakatan pembangkang ketika itu. Kini, semua faktor tersebut kini tidak lagi menjadi penilaian dan pertimbangan pengundi.

Oleh itu, dalam kajian ini kami mengenalpasti pengundi BN yang memindahkan undi kepada PH dalam PRU-14 lepas, berpotensi untuk kembali mengundi BN sebanyak 11 peratus.

Jika unjuran ini benar berlaku, PH akan terjejas di kerusi yang menerima limpahan ayunan undi ini dan memberi sedikit kelebihan kepada BN.

Mampukan PN memecahkan Dominasi BN dan PH?

Berbekalkan solidariti di kalangan parti komponen PN yang begitu utuh, memanfaatkan populariti Muhyiddin Yassin, ikrar calon yang berintegriti dan bebas rasuah, manifesto yang menarik, serta menamakan Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri wanita pertama, adalah tawaran terbaik PN kepada rakyat Melaka.

Pada hemat kami, PN arif tentang figura Muhyiddin masih dekat di hati pengundi dan ini selari dengan dapatan kajian kami yang meletakkan 51 peratus beliau masih popular.

Persoalannya di sini, adakah dengan semua faktor di atas, mampu menarik dan memindahkan undi yang dimiliki oleh BN dan PH, untuk menyokong PN yang merupakan aktor baru dalam PRN kali ini.

Namun begitu, undi asas sebanyak 11 peratus yang diperolehi PAS dalam PRU-14 boleh dianggap sebagai deposit tetap kepada PN.

Cabaran sekarang terletak kepada BERSATU dan GERAKAN untuk menyumbang peratusan yang signifikan bagi menafikan dominasi dua gabungan politik yang menjadi lawan mereka.

Percaturan PN mempertaruhkan calon Melayu di kawasan calon PH dan BN bukan Melayu seperti di Bemban, Kelebang dan Gadek akan menguji pola pengundian berasaskan etnik. Strategi ini akan memecahkan undi Melayu dengan harapan memberi laba kepada PN.

PN memerlukan sokongan Melayu melebihi aras 50 peratus kepada mereka untuk mereka menang di tiga kerusi berkenaan. Ini merupakan satu angka yang besar untuk PN menafikan dominasi undi Melayu kepada BN di sini.

Dengan kehadiran calon PN, terdapat dua kerusi menjadi tumpuan iaitu Tanjung Bidara dan Telok Mas. Calon Ketua Menteri PN, Mas Ermieyati berjaya menggugat Ab Rauf Yusoh yang diletakkan di kerusi paling kuat BN. Telok Mas pula Rafiq Naizamohideen bertanggungjawab untuk mempertahankan kerusi BERSATU.

Idris Haron dan Nor Azman Hassan: PH Untung atau Rugi?

Idris Haron dan Nor Azman Hassan yang telah menyebabkan PRN mengejut ini berlaku telah dipilih oleh PH untuk bertanding di Asahan dan Pantai Kundor akan menguji populariti sebenar mereka. Dua tokoh kontroversi ini mengharapkan undi PH ditambah dengan pengaruh personaliti masing-masing untuk menyumbang kemenangan walaupun bertembung dengan parti BN yang memecat mereka.

PH juga sebenarnya mengharapkan pengaruh mereka terutama Idris Haron yang merupakan mantan Ketua Menteri dan pelbagai jawatan yang disandang dalam politik dan NGO sebelum ini mampu menyumbang sokongan tambahan kepada PH di kawasan lain.

Namun begitu, berdasarkan cerapan di lapangan, kami mendapati perkara sebaliknya berlaku. Halangan kempen bersemuka dan ceramah umum menyebabkan dua tokoh ini dan PH tidak mampu memadamkan serangan UMNO yang menyifatkan mereka sebagai pengkhianat.

Bagi PH pula, penjelasan yang diberikan apabila menerima mereka sebagai calon tidak mampu meredakan ketidakpuasan hati pengundi. Ini dibuktikan sebanyak 63 peratus responden menolak Idris Haron diterima sebagai calon PH.

Kebimbangan kami apabila melihat keadaan ini, dengan harapan untuk untuk bertambah undi kepada PH, mungkin akan bertukar menjadi perkara sebaliknya.

Selain itu, kami juga mendapati jentera BN mendapat mengawal dan merawat elemen-elemen protes yang datang daripada penyokong penyandang yang tidak tercalon semula dalam pilihan raya ini.

Demokrasi yang Suram di Melaka

Kesuraman kempen dalam PRN ini mengakibatkan pengundi hilang keterujaan dan kehangatan bahang pilihan raya. SOP yang terlalu ketat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah kesuraman ini dan menyukarkan jentera mendekati pengundi.

Ketiadaan kempen konvensional seperti ceramah umum dan kelompok, merayu undi, ziarah rumah ke rumah dan sentuhan peribadi calon bersama pengundi menyukarkan parti politik menilai penerimaan terhadap mereka.

Kebergantungan terlalu tinggi kepada kempen media sosial tidak mampu membangkitkan suasana sebenar pilihan raya. Media perdana pula sangat terhad ruang yang diberikan kepada parti-parti yang bertanding. Advertorial di akhbar harian menelan kos yang besar menyebabkan tidak semua calon mampu untuk membiayainya.

Kami cuba mengenalpasti mengapa fasa kempen gagal membangkitkan partisipasi pengundi.  Wujud tiga faktor yang dinyatakan secara konsisten oleh responden.

Pertama, mereka merasakan pilihan raya ini tidak wajar diadakan tetapi pertelingkahan elit politik akhirnya mengheret rakyat untuk mengundi sekali lagi.

Kedua, pengundi masih bimbang dengan wabak Covid-19 ini mampu melonjakkan kes jangkitan seperti mana yang berlaku di PRN Sabah sebelum ini. Kebimbangan ini adalah berasaskan kepada risiko kehilangan nyawa ataupun berdepan dengan PKP semula.

Ketiga, SOP yang terlalu ketat seakan mematikan pesta demokrasi yang menjadi amalan tradisi memeriahkan kempen semasa pilihan raya.

Gabungan semua elemen ini menyumbang kepada kesuraman ketika kempen dan dikhuatiri menyebabkan peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu di bawah 70 peratus seperti mana yang disasarkan oleh SPR.

Dari segi kempen, ternyata tema dan rekabentuk kempen PN lebih tersusun, menarik dan ‘catchy’ berbanding lawan mereka. Walaupun mereka adalah ‘underdog’, tetapi persembahan kempen mereka umpama mereka adalah penyandang dan parti besar.

Kempen PH pula dilihat tidak sekata dan tidak menunjukkan jentera mereka bersepadu. Jentera PH bergerak mengikut parti masing-masing yang mana perkara ini gagal diselaraskan sejak penubuhan gabungan PH lagi.

Penutup: Siapa Yang Menang?

PH memasuki gelanggang PRN ini dengan membayangkan mereka mampu mengulangi kemenangan PRU-14 setelah parti-parti dalam kerajaan tidak berjaya memuktamadkan kerjasama politik mereka. Ini mengakibatkan pertembungan 3 penjuru gabungan utama tidak dapat dielakkan. Selayang pandang, ramai mengatakan apabila BN dan PN bertembung akan menguntungkan PH.

Tetapi sebaliknya berlaku keadaan itu tidak diterjemahkan seperti mana perkiraan tersebut. Ini kerana PH memperolehi keuntungan adalah kerana sumbangan undi pengundi bukan Melayu yang tinggi dan berlaku ayunan undi pengundi Melayu yang signifikan. Ini perbezaan PRN Melaka dan PRU-14 yang lalu.

Berasaskan faktor-faktor yang dinyatakan di atas, peratusan keluar mengundi yang rendah, rekahan undi Melayu dan pesimisnya pengundi Cina menjadi penentu parti mana yang menang.

Hitungan mudah, PH mempunyai peluang sekiranya momentum PRU-14 kembali berulang dengan peratusan keluar mengundi yang tinggi dan mereka menerima undi Melayu yang signifikan serta limpahan pengundi Cina yang maksima. Dengan semua ini PH hanya berjaya memperolehi 15 DUN dengan majoriti tipis membentuk kerajaan. Andaikata hilang mana-mana faktor di atas, sukar buat PH untuk mengulangi pencapaian terbaik mereka.

Justeru, pada cerapan kami, BN mempunyai 11 kawasan yang sangat selesa untuk dimenangi iaitu Ayer Limau, Serkam, Taboh Naning, Ayer Molek, Sungai Rambai, Sungai Udang, Lendu, Kuala Linggi, Telok Mas, Merlimau dan Rim. Manakala PH pula selesa di 7 kerusi iaitu Bukit Katil, Paya Rumput, Duyong, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

Terdapat 10 kawasan yang sukar dibuat bacaan tepat disebabkan persaingan sengit antara calon. Kawasan ini terbuka kepada taktikal parti untuk memikat dan menambat pengundi di kawasan ini. 10 kawasan tersebut ialah Asahan, Kelebang, Tanjong Bidara, Pantai Kundor, Durian Tunggal, Machap Jaya, Rembia, Pengkalan Batu, Bemban dan Gadek.

BN perlu mencari sekurang-kurangnya 4 DUN tambahan daripada 10 kawasan panas ini untuk melengkapkan majoriti mudah bagi memimpin Melaka. PH perlu mempertahankan kawasan yang dimenangi mereka dahulu agar tidak terlepas kepada BN mahupun PN.

PN pula mempunyai peluang untuk membuat kejutan di Tanjong Bidara, Rembia dan Bemban. Faktor kebolehmenangan PN di kawasan ini adalah faktor calon yang berjaya mengimbangi kekuatan calon BN ataupun PH. Tetapi kami melihat semakin besar PN mencuri undi Melayu di dalam kawasan ini, semakin tinggi peluang kemenangan PH di atas faktor pertembungan 3 penjuru.

Menuju saat-saat akhir fasa kempen, BN mendahului di hadapan berbanding dua gabungan yang lain. Dua faktor PH berpeluang untuk menang iaitu peratusan keluar mengundi melebihi 80 peratus dan PN berupaya memecahkan dominasi undi Melayu yang dimiliki oleh BN. Jika dua situasi ini tidak berlaku, maka BN berupaya tampil sebagai pemenang.

 

————

Laporan disediakan oleh panel penyelidikan ILHAM Centre yang terdiri daripada Hisommudin Bakar (Pengarah Eksekutif), Mohd Azlan Zainal (Ketua Operasi), Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidikan) dan Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid (Felo Penyelidik).

————-

Mengenai ILHAM CENTRE

ILHAM adalah merupakan sebuah firma penyelidikan bebas yang mengkhususkan kepada tinjauan awam, kajian pasaran dan data analitik dalam bidang kajian politik dan pilihanraya, polisi awam dan sosio-ekonomi. Tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan adalah menggunakan kaedah metodologi penyelidikan yang ketat sebagaimana piawaian akademik bagi menghasilkan keputusan yang kredibel, bebas dan tepat. ILHAM juga telah menubuhkan ILHAM Analytica bagi membantu penyelesaian analitik yang lebih menyeluruh dan komprehensif.

ILHAM berpendapat, dalam usaha negara mencapai sebuah negara maju dan mempunyai peradaban yang tinggi, setiap keputusan atau sesuatu dasar yang dirangka hendaklah berasaskan data dan maklumat yang tepat. Melalui tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan, maka perkara ini akan dapat dihubungkan dan seterusnya pihak-pihak berkepentingan akan merangka sesuatu polisi dan dasar dengan lebih tepat dalam memenuhi aspirasi masyarakat dan negara.

ILHAM boleh dihubungi melalui email [email protected] dan dilayari melalui website www.ilhamcentre.my.

ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur, MALAYSIA
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links
ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links

Copyright by ILHAM Centre. –  All rights reserved.

Copyright by ILHAM Centre. |  All rights reserved.