September 25, 2020
Ringkasan Eksekutif
POLA PENGUNDIAN PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2020
ILHAM CENTRE
PERSAINGAN SENGIT, WARISAN PLUS DI HADAPAN
Pengenalan
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 telah mencatatkan sejarah pertembungan paling sengit dan penyertaan calon paling ramai dalam sejarah pilihan raya di Negeri di Bawah Bayu. Ekoran itu pertembungan sengit ini melibatkan angkubah-angkubah penilaian pola pengundian yang sangat kompleks.
PRN Sabah kali ini memberikan cabaran tersendiri kepada para penganalisa. Bersandarkan kepada empat persoalan utama iaitu, personaliti, etnisiti, kawasan dan parti, pasukan ILHAM Centre telah selesai membuat kajian lapangan di setiap 73 kawasan pilihan raya.
Dapatan kajian mendapati empat faktor di atas amat kuat mempengaruhi keputusan. Bagaimanapun kerencaman landskap politik Sabah terserlah dengan peratusan kawasan yang amat sukar untuk diukur dan diberikan prediksi yang jelas siapa pemenangnya.
Sepanjang pemerhatian kami membuat kajian lapangan dalam PRN kali ini, kami membahagikan kepada lima kluster pola sokongan yang berbeza mengikut kewilayahan, psikografi dan etnik.
Lima kluster berkenaan ialah kluster Sabah Timur, kluster Sabah Utara, kluster Kota Kinabalu, kluster Banjaran Crocker dan kluster Melayu-Brunei.
Kluster Sabah Timur kebanyakannya majoriti etnik Bajau dan Bugis yang bertumpu di sepanjang pesisir pantai cenderung menyokong Warisan Plus kecuali DUN dalam parlimen Beluran dan Kinabatangan. DUN di bawah kluster ini seperti DUN Senallang, DUN Segama dan DUN Sekong.
Kluster Banjaran Crocker merupakan kawasan majoriti etnik Dusun, Murut dan Sungai mendominasi pola pengundian yang bercampur. Kawasan ini merupakan kawasan yang sukar untuk membuat prediksi kerana kompleksiti angkubah penilaian pengundi. Kawasan ini memperlihatkan persaingan yang tinggi seperti DUN Paginatan, DUN Liawan dan DUN Tulid.
Kluster Kota Kinabalu pula melibatkan DUN-DUN yang mempunyai taburan pengundi bandar melibatkan parlimen Sepanggar, Putatan, Kota Kinabalu dan Penampang berlatar belakang majoriti etnik Melayu, Cina, Kadazan dan Dusun.
Kluster Melayu-Brunei yang mendiami jajaran Pantai Barat mengunjur ke selatan Sabah. Kebanyakan mereka mempunyai pola pengundian berasaskan kepada identifikasi parti yang kuat. Di jajaran Pantai Barat ini, etnik Melayu-Brunei merupakan etnik majoriti di sini diikuti dengan Kadazan, Bisaya dan Bajau. Antara DUN yang berada di jajaran ini ialah DUN Kuala Penyu, DUN Sindumin dan DUN Membakut.
DUN-DUN dalam parlimen Kudat, Kota Marudu, Kota Belud dan Tuaran termasuk dalam kluster Sabah Utara. Majoriti etnik di kawasan ini terdiri daripada etnik Dusun, Bajau, Sungai, Rungus, Ubian dan Iranun. Antara DUN yang berada di kluster ini ialah DUN Bengkoka, DUN Tandek dan DUN Pitas.
Dalam PRN kali ini, kami menggunakan kombinasi pengumpulan data melalui kaji selidik, perbincangan kumpulan berfokus (FGD), temu bual dan observasi lapangan dari masa ke semasa.
Sepanjang tinjauan pasukan penyelidikan ILHAM Centre yang bermula seminggu sebelum hari penamaan calon iaitu 8 September sehingga 24 September 2020, kami mendapati pilihan raya kali ini merupakan pilihan raya yang paling sukar dan paling mencabar untuk membuat bacaan dan prediksi.
Sengitnya pertembungan ini umpama 73 pilihan raya kecil yang berlangsung serentak di seluruh Sabah kerana perbezaan pola pengundian di setiap DUN. Sukar untuk memilih sesuatu angkubah dan konseptual untuk digeneralisasikan bagi keseluruhan DUN di sini. Setiap DUN mempunyai angkubah dan konseptual yang tersendiri.
Namun demikian, pihak kami cuba sedaya upaya untuk merumuskan seperti mana berikut:
Faktor Calon Terlalu Dominan
PRN kali ini kami dapati fokus dan tumpuan utama pengundi di seluruh DUN sepakat menyatakan faktor utama mereka memilih wakil rakyat adalah berasaskan kekuatan dimiliki oleh calon yang menawarkan diri di tempat mereka.
Pertimbangan ini menjadi terlalu dominan berbanding faktor parti mahupun isu adalah kerana wujudnya pertembungan banyak penjuru yang mengelirukan pengundi. Kesan daripada calon lompat atau lebih dikenali calon katak di sini, menyebabkan pengundi terlalu berhati-hati memilih calon wakil rakyat mereka.
Responden yang ditemui menyatakan penilaian mereka terhadap calon melibatkan sumbangan dan khidmat calon sebelum ini, kaitan dengan hubungan kekeluargaan, prestasi dan keberadaan calon di kawasan mereka terutamanya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta kekuatan personaliti calon tersebut.
Walaupun begitu, bagi beberapa DUN terutama DUN yang berada di kawasan bandar-bandar utama seperti di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau; pengundi melihat faktor parti dan faktor isu juga mempengaruhi pola pengundian mereka.
Mengapa pengundi Sabah terlalu bergantung kepada calon? Faktor kebergantungan dan kecenderungan memilih pengundi terletak kepada calon dan jalinan keluarga besar yang boleh ditawarkan oleh calon mengatasi kepentingan parti.
Sebahagian pengundi amat matang dalam menilai siapa wakil rakyat yang akan dipilih. “Radu” banyak penjuru dan “berlanggar” sesama sendiri menyebabkan pengundi menukar pola pengundian daripada memilih berasaskan parti kepada calon.
Calon Gergasi
Terdapat lapan calon gergasi yang diperturunkan dalam PRN ini. Kebanyakan mereka merupakan nama besar berasal daripada Barisan Nasional tetapi mencuba nasib dengan parti baharu.
Anifah Aman paling berani. Parti Cinta Sabah pimpinan beliau bertanding keseluruhan 73 DUN dalam PRN. Beliau memilih DUN Bongawan untuk menguji pengaruh dan memimpin motivasi parti beliau.
Shafie Apdal kekal di DUN Senallang mempertahankan kemenangan di sana. Bung Moktar Radin diperturunkan di DUN Lamag yang baru diwujudkan di bawah parlimen Kinabatangan yang diwakilinya selama lima penggal di sini.
Di DUN Pintasan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mencuba nasib melalui USNO, parti lama yang dihidupkan kembali. Jeffrey Kitingan, Presiden Star di DUN Tambunan melalui logo Perikatan Nasional. Wilfred Madius Tangau pula mengetuai UPKO di DUN Kiulu.
Dua bekas Ketua Menteri, Chong Kah Kiat bertanding di DUN Inanam melalui LDP manakala Salleh Said Keruak bertarung di DUN Usukan di atas logo BN.
Parti GRS Berlanggar Sesama Sendiri
Antara penyumbang juga kenapa pengundi merujuk kepada faktor calon untuk mereka memilih wakil rakyat adalah kerana dinamika politik Sabah berubah sepenuhnya dengan penjajaran baru koalisi politik antara parti-parti di sini. Ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi kerana wujud gabungan mentah yang baru diumumkan selepas penamaan calon seperti Gabungan Rakyat Sabah dan Gagasan Calon Bebas.
Kewujudkan logo PN juga diakui pengundi mengelirukan mereka. Merujuk kerusi yang ditandingi oleh parti Star di lapan kerusi, mereka masih menggunakan simbol Star sebagai bahan kempen digandingkan dengan simbol PN kerana Star tidak ada di atas kertas undi. Simbol PN pula masih baru dan kurang dikenali terutama dalam kalangan pengundi warga emas.
Merumitkan keadaan, apabila PBS yang mengadakan kerjasama politik dengan PN dan BN bertembung sesama sendiri di 17 kerusi DUN. Antara pertembungan ini ialah di DUN Paginatan yang melibatkan pertembungan antara BN-Umno, PBS dan PN-Star, DUN Tulid antara BN-PBRS, PBS dan PN-Star dan DUN Karamunting antara BN-MCA dengan PBS.
Shafie vs Muhyiddin
Di dalam PRN kali ini, kempen di arus perdana sebenarnya adalah pertembungan antara Shafie Apdal dan Muhyiddin Yassin. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kelihatan sangat rajin malah jadual kempen beliau agak padat di bumi Sabah ini.
Shafie dengan kelebihan sebagai Ketua Menteri menjelajah serata DUN yang ditandingi Warisan Plus untuk melonjak kemenangan. Beliau berjaya mencapai kesefahaman dalam pembahagian kerusi. Bertindak sebagai ketua pasukan yang mengepalai pasukan besar Warisan Plus menghadapi PRN.
Di antara keduanya, kami menyukat aura kedua tokoh ini. Rata-rata masih meletakkan Shafie punyai kelebihan. Populariti Muhyiddin di Semenanjung nampaknya agak terbatas di sini.
Kualiti Kepimpinan Berbeza
Dalam aspek ini Shafie Apdal menonjolkan kelebihan kepimpinan beliau yang tegas dalam aspek pembahagian kerusi, penggunaan simbol, dan penentuan calon. Shafie menyerlahkan kemampuan beliau untuk menyelesaikan pengagihan kerusi Warisan Plus walaupun ditekan oleh PKR pada pusingan rundingan kerusi.
Dalam pada itu, tindakan Shafie mengambil pendekatan berani mengugurkan calon lama yang dilihat gagal menjalankan tugas dan digantikan dengan muka baru yang mempunyai personaliti yang rapat dengan pengundi tempatan.
Bagi GRS, tidak jelas siapa yang mengetuai dan menjadi pengarah pilihan raya di sini. Muhyiddin gagal menyelesaikan kesepakatan agihan kerusi di antara BN, PN dan PBS.
Bagi Umno dan BN pula mengambil pendekatan menampilkan hampir 90 peratus calon baru. Kedegilan dan ego pemimpin untuk akur kepada pertembungan “straight-fight” kemungkinan memberikan sedikit kelebihan kepada Warisan Plus di sebahagian kerusi berkenaan.
Hubungan dingin antara Bung Moktar dan Hajiji Haji Noor sukar dibaca sejauh mana pengundi Umno dan Bersatu menterjemahkan undi mereka pada hari pembuangan undi nanti. Dalam cerapan kami di lapangan mendapati jentera Umno dan Bersatu tidak bekerjasama antara satu sama lain. Isyarat ini sebenarnya juga memberi kesan tidak langsung kepada penyokong masing-masing.
Calon Bebas
PRN kali ini menjadi meriah apabila seramai 56 calon Bebas masuk bertanding kali ini. Hebatnya lagi, sebahagian calon Bebas ini membentuk pakatan sesama mereka dengan nama Gagasan Calon Bebas.
Ini bermakna, calon Bebas juga mempunyai gerakan yang mampu menggugat calon yang diwakili oleh parti politik. Kebanyakan calon bebas ini dahulunya adalah pimpinan parti, namun apabila nama tidak dicalonkan, mereka memilih tiket Bebas.
Dalam kebanyakan calon Bebas, ada dua nama yang disebut-sebut pengundi mampu memberikan ‘upset’ kepada calon lain iaitu di DUN Pitas, Rudy Awah dan Anita Baranting yang bertanding di DUN Tandek.
Walaupun sebahagian mereka dikatakan calon katak yang berpindah-randah antara parti dan kemudiannya bertanding bebas akan ditolak rakyat. Namun dua nama di atas nampaknya mempunyai kekuatan tersendiri yang menyebabkan mereka mungkin boleh ‘survive’ di tempat mereka.
Isu Tempatan Lebih Kuat Berbanding Isu Nasional
Naratif Warisan Plus lebih padu yang mengangkat “Sabah for Sabahan” mengatasi naratif GRS “Sabah Bersama Persekutuan”. Ini dapat dilihat dalam kesepakatan calon dan jentera parti Warisan Plus mengangkat naratif yang sama di seluruh 73 kawasan pilihan raya. Manakala GRS kelihatan tidak sekata, terdapat parti kompenan GRS membawa naratif yang berlawanan dengan naratif “Sabah Bersama Persekutuan”.
Terdapat tiga isu utama yang dibangkitkan pengundi. Walaupun banyak lagi isu lain, tetapi kami letakkan tiga isu ini yang sangat kuat mempengaruhi persepsi pengundi.
Menduduki isu utama ialah kesan Covid-19 terhadap kehidupan dan ekonomi mereka. Isu ini juga antara penilaian utama mereka melihat calon manakah yang membantu mereka semasa PKP tempoh hari.
Selain itu, perbandingan jumlah dan keberkesanan penyampaian bantuan Covid-19 memberikan kelebihan kepada PN dan BN berbanding Warisan Plus. Dalam aspek ini, ternyata bantuan Kerajaan Persekutuan disifatkan amat membantu mereka, tetapi bantuan Kerajaan Negeri dikatakan tidak menyeluruh dan mempertikai kenapa agihan dilakukan secara terpilih.
Isu kedua, “Sempornasisasi”. Sempornasisasi ialah istilah merujuk kepada campur tangan Shafie dalam menempatkan pengawai-pengawai kerajaan di jabatan utama agensi negeri mahupun daerah dengan meletakkan mereka yang berasal dari Semporna.
Isu ini kuat dimainkan dalam kalangan penjawat awam yang tidak berpuas hati dengan lantikan pegawai utama kerajaan yang dikatakan ialah Shafie ingin ‘mencengkam’ pentadbiran dengan orang-orang Semporna.
Isu ketiga ialah isu pendatang tanpa izin atau di sini dikenali mudah dengan kod nama PTI. Kempen PTI ialah terkesan di daerah pengundi Kadazan-Dusun-Murut (KDM). KDM dikatakan pengundi Bumiputera dan penghuni asal Sabah dimainkan sentimen memandang etnik yang datang dari Filipina dan Indonesia sebagai pendatang walaupun mereka sudah lama bermastautin serta memiliki kad pengenalan.
Kempen Warisan Plus lebih Berkesan
Tema kempen Warisan Plus lebih dekat di hati dan menangkap imaginasi pengundi di sini. Moto dan tema perpaduan atau “unity” yang digunakan oleh Warisan Plus lebih dekat di hati rakyat Sabah. “Berpadu Demi Maruah” dan “Berpadu Kita Mesti” mempunyai mesej yang jelas dan mudah difahami oleh pengundi.
Penggunaan kaedah kempen yang berbeza mengikut kawasan digunapakai oleh Warisan Plus seperti penggunaan video yang ditular bagi pengundi bandar dan semi-bandar sangat efektif.
Penggunaan kempen yang menggunakan jalinan keluarga besar dan sentuhan peribadi pula amat berkesan di kawasan luar bandar.
Kelebihan kempen BN ialah menggunakan media arus perdana, ceramah perdana dan kelompok serta pengunaan agensi kerajaan persekutuan.
Tema yang dibawa oleh BN pula sebaliknya dan tidak mempunyai mesej yang jelas. “Radu Tatap Radu” tidak membawa sebarang makna kepada pengundi.
PN pula tiada sebarang tema signifikan melainkan menayangkan imej Muhyiddin dengan mesej “Abah Kita Bah”. Pasukan kempen Muhyiddin mungkin tidak membuat kajian mengenai istilah yang dekat dan kerap diguna oleh masyarakat Sabah. “Abah” di sini tidak digunakan secara menyeluruh untuk merujuk kepada bapa dan individu berpengaruh dalam kalangan mereka.
Selain itu, dalam kajian kami mendedahkan faktor populariti Muhyiddin kurang berkesan dalam konteks Sabah. Penggunaan wajah PM yang ditampal di seluruh Sabah menimbulkan kekeliruan kerana bukan beliau yang bertanding ataupun ingin menjadi Ketua Menteri. Strategi tersebut ternyata tidak membantu melonjakkan kekuatan PN di Sabah kerana pilihan raya kali ini bersifat lokal.
Parti-Parti Lokal
Parti-parti tempatan turut mewarnai dalam PRN kali ini. Parti Cinta Sabah (PCS) bertanding kesemua 73 DUN. Tetapi hanya beberapa DUN saja disifatkan pengundi mampu menggugat calon parti utama.
USNO yang diberikan nafas baharu oleh Pandikar Amin bertanding 47 kerusi. Parti ini mampu menggamit memori penyokong lama mereka untuk memberi undi tetapi bermasalah untuk meyakinkan pengundi muda dan pengundi pertama kali.
LDP cuba keluar dari dogma parti Cina. LDP bertanding 46 kerusi dengan meletakkan calon-calon yang mempunyai kepelbagaian etnik dan agama.
Selain itu parti-parti lain yang bertanding ialah Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Kerjasama Anak Negeri (AnakNegeri), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Kebangsaan Sabah (PKS).
Dalam senarai parti-parti lokal ini, hanya beberapa calon yang mampu memberi saingan kepada pakatan BN-PN-PBS dan Warisan Plus di beberapa DUN. DUN tersebut ialah Bongawan, Pitas, Pintasan dan Merotai.
Selain DUN tersebut, penyertaan parti-parti lokal lain dikatakan hanya mampu memecahkan undi dan sukar mendapatkan kembali wang pertaruhan. Ini kerana sebahagian besar calon parti-parti ini kurang dikenali berbanding calon parti lain kerana berbalik kepada asas pertimbangan utama pengundi adalah faktor calon.
Sekiranya parti-parti ini meletakkan calon yang sesuai, sebahagian responden menyatakan mereka tidak menolak sepenuhnya dan mungkin mengundi sekiranya calon parti berkenaan mereka kenali dan dekat dengan mereka.
Rumusan
Berdasarkan cerapan lapangan, Warisan Plus mendahului dengan 23 kerusi yang boleh dikatakan kerusi ‘clear winner’ diikuti rapat dengan GRS sebanyak 19 kerusi. Selebihnya terdapat 31 kerusi yang menjadi rebutan semua pihak termasuk calon Bebas dan parti lain.
Kerusi dalam kategori 50-50 ini merupakan penentu kepada mana-mana pihak untuk mencukupkan jumlah majoriti mudah sebanyak 37 kerusi bagi membentuk Kerajaan Negeri yang baharu. Daripada 31 kerusi kategori 50-50 ini, terdapat 14 bilangan kerusi yang cenderung kepada Warisan Plus berbanding 5 kerusi yang cenderung kepada GRS manakala 12 kerusi yang betul-betul sengit sehingga tidak dapat ditelah.
Oleh itu PRN masih lagi menjadi medan yang terbuka bagi PRS dan Warisan Plus sehinggalah peti undi ditutup pada jam 5.30 petang pada Sabtu 26 September 2020. Mana-mana pihak yang berjaya memberi imbuhan dan pujukan kepada pengundi pada saat-saat akhir mampu menjadi faktor kemenangan kepada pihak mereka.
Disediakan oleh
Panel Penyelidikan ILHAM Centre
Mengenai ILHAM CENTRE
ILHAM Centre adalah merupakan sebuah firma penyelidikan bebas yang mengkhususkan kepada tinjauan awam, kajian pasaran dan data analitik dalam bidang kajian politik dan pilihan raya, polisi awam dan sosio-ekonomi. Tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan adalah menggunakan kaedah metodologi penyelidikan yang ketat sebagaimana piawaian akademik bagi menghasilkan keputusan yang kredibel, bebas dan tepat. ILHAM juga telah menubuhkan ILHAM Analytica bagi membantu penyelesaian yang lebih menyeluruh dan komprehensif.
ILHAM berpendapat, dalam usaha negara mencapai sebuah negara maju dan mempunyai peradaban yang tinggi, setiap keputusan atau sesuatu dasar yang dirangka hendaklah berasaskan data dan maklumat yang tepat. Melalui tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan, maka perkara ini akan dapat dihubungkan dan seterusnya pihak-pihak berkepentingan akan merangka sesuatu polisi dan dasar dengan lebih tepat dalam memenuhi aspirasi masyarakat dan negara.