HomeCategory

Report

August 28, 2020

Ringkasan Eksekutif

POLA PENGUNDIAN PILIHAN RAYA KECIL N58 SLIM

ILHAM CENTRE

BN DIJANGKA MENANG BESAR, CALON PEJUANG LEBIH TERAMPIL

Latar Belakang PRK N58 Slim

Pilihan Raya Kecil N58 Slim di dalam kawasan Parlimen Tanjung Malim merupakan pilihan raya ke-12 pasca Pilihan Raya Umum ke-14. PRK Slim ini adalah pilihan raya kecil kedua selepas PRK N23 Chini pasca pertukaran kerajaan melalui ‘Langkah Sheraton’.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 23,094 pengundi awam dan pengundi awal serta pengundi pos layak membuang undi mereka dalam pilihan raya kecil ini.

Kawasan pilihan raya ini termasuk dalam kategori kerusi majoriti pengundi etnik Melayu berkomposisi sebanyak 75 peratus. Pengundi etnik India pula adalah 13 peratus, pengundi etnik Cina 10 peratus dan baki 2 peratus di kalangan Orang Asal.

Sebanyak 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang ada di dalam kawasan ini. Kawasan Felda merupakan penyumbang terbesar pengundi iaitu sekitar 56 peratus adalah di kalangan pengundi yang mendiami tanah rancangan Felda. Terdapat lima PDM Felda iaitu Felda Gunung Besout 1, Felda Gunung Besout 2, Felda Gunung Besout 5, Trolak Selatan dan Trolak Utara.

Selepas penamaan calon, seramai tiga calon menawarkan diri untuk dipilih sebagai wakil rakyat di sini. Mohd Zaidi Aziz dipilih mewakili Barisan Nasional dan dua lagi merupakan calon Bebas. Amir Khusyairi Mohamad Tanusi merupakan calon Bebas-Pokok mewakili Parti Pejuang Tanah Air yang baharu sahaja ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Seorang lagi calon Bebas-Buku ialah Santharasekaran Subramaniam, bekas guru.

Pihak ILHAM Centre mengikuti rapat pilihan raya ini dengan melakukan kajian di lapangan melalui survei dan temubual individu dan berkumpulan (FGD). Kajian dilakukan bermula 7 Ogos hingga 27 Ogos 2020 melibatkan pemilihan seramai 502 responden sebagai sampel dalam kajian yang dilakukan secara tatap muka di sini. Pensampelan responden dibuat melalui persampelan rawak berstrata melalui semua PDM dengan mengambil kira demografi yang dapat mewakili kawasan kajian ini. Ralat kajian yang ditemui ialah 4.3 peratus.

Calon Pejuang Lebih Menonjol

Dalam PRK Chini (dan Slim), Pakatan Harapan gagal mencabar calon parti pemerintah. Usaha parti Pejuang yang menghantar calon walaupun atas tiket Bebas, wajar dipuji kerana berjaya menyekat kemenangan mudah buat calon Barisan Nasional.

Strategi BN pada awalnya meletakkan calon muda dalam pilihan raya kecil ini tetapi kewibawaan calon Mohd Zaidi tidak membawa aspirasi anak muda. Kempen Mohd Zaidi kelihatan tidak bertenaga sama ada dari segi aspek pengucapan awam ataupun merayu undi berbanding calon Pejuang.

Namun kekurangan calon Mohd Zaidi diselamatkan oleh gerak kerja jentera BN dan beliau bertanding di kawasan selamat iaitu kubu kuat Umno yang tidak pernah tewas.

PRK Slim ini merupakan satu pilihan raya yang menguji sejauh manakah keupayaan calon Pejuang mampu mencabar hegemoni gabungan Muafakat Nasional di sini. Calon parti Pejuang ini memulakan langkah sebagai ‘underdog’ yang berusaha menjadi David dalam pertembungan dengan Goliath.

Amir Khusyairi menampilkan citra yang segar sebagai calon muda, lincah, petah dan ramah berbicara, pidato yang baik serta kerajinan untuk bertemu dengan pengundi meletakkan dirinya sebagai calon yang paling menonjol dan berwibawa pada pilihan raya kecil kali ini.

Calon Bebas Santharasekaran pula tenggelam dan tidak mampu untuk berkempen dengan efektif kerana kekangan pengalaman, sumber dan jentera.

Pertimbangan Parti Mengatasi Isu dan Calon

Majoriti responden dalam kawasan kajian menyatakan bahawa pertimbangan utama mereka mengundi di dalam pilihan raya ini adalah lebih kepada faktor parti. Pola sebegini menepati pola kawasan demografi pengundi tradisi Melayu, yang mana pemusatan tumpuan mereka ialah kepada identifikasi parti. Peratus responden yang memilih identifikasi parti sebagai pertimbangan mereka sebanyak 67 peratus berbanding faktor isu calon dan faktor isu.

Antara yang berlaku juga di sini ialah separa budaya (sub-culture) politik pengundi sini membuat penilaian kekuatan parti dengan melihat dari segi bilangan keahlian, jumlah cawangan, dan kekuatan jentera yang dipamerkan.

Dari aspek ini, sudah tentulah calon BN mendapat kelebihan tambahan pula pada pilihan raya kali ini turut dibantu oleh Pas selepas dua parti Melayu ini bersatu atas platform Muafakat Nasional.

Calon BN Mendapat Undi Pas

Secara tradisi di kawasan demografi ini, sekian lama Pas memberi cabaran kepada Umno. Sehinggalah PRU14 yang lalu berlaku pertembungan tiga penjuru, hasillnya calon PH mendapatkan undi yang lebih baik berbanding calon Pas.

Tetapi undi asas Pas secara puratanya mempunyai sekitar 22 peratus akan diterjemahkan dalam pilihan raya ini dengan mengundi calon BN. Dapatan ini lahir berdasarkan penyataan responden di kalangan pengundi Pas atas semangat kerjasama politik dua parti tersebut. Pola sokongan Pas yang memberi undi kepada calon BN ini bermula di PRK Cameron Highlands sehinggalah kini.

Andaian mengatakan akan wujud ahli Pas yang tidak berpuas hati kerjasama Pas-Umno dan melakukan undi protes ternyata tidak berlaku. Walaupun wujud ahli Pas yang tidak boleh menerima kerjasama ini, namun apabila sampai di kotak undi, mereka akan patuh kepada arahan jamaah (parti) mereka dengan mengundi calon BN.

Gabungan Umno-Pas Diterima Baik, Bersatu Terpinggir, Pejuang Untung

Antara tumpuan utama kajian ini juga ingin mengukur sejauhmanakah gabungan politik diterima bagi pengundi Slim. Dapatan kajian menunjukkan gabungan Muafakat Nasional melibatkan gabungan Umno-Pas diterima baik oleh pengundi Melayu.

Menerusi temubual mendalam, responden yang menyokong Muafakat Nasional tidak melihat parti Bersatu sebagai parti yang melengkapkan gabungan dua kuasa parti Melayu berkenaan. Ini dapat dilihat ketara apabila jentera Bersatu bergerak berasingan dan kelihatan terpinggir dari kesepaduan gerak kerja kempen Muafakat Nasional.

Namun keadaan ini diselamatkan oleh populariti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin daripada Bersatu yang mencatatkan peratusan cemerlang di kalangan responden Melayu.

Responden juga melihat pengumuman kemasukan Azmin Ali dan penyokong beliau ke dalam Bersatu pula tidak memberi lonjakan sokongan kepada BN.

Malah, keadaan ini memberi isyarat bahaya kepada Bersatu yang mana ahli mereka terdedah kepada naratif yang dibawa oleh parti Pejuang. Ahli Bersatu yang tidak mendapat laba politik ataupun yang hilang lantikan politik semasa PH memerintah kini beralih sokongan mereka kepada calon yang mewakili perjuangan Tun Dr Mahathir.

Pendek kata, pilihan raya ini adalah medan promosi parti baharu dan memasarkannya kepada khalayak ramai secara meluas. Pejuang juga menuai buah yang paling rendah dicapai (low hanging fruits) dengan mengutip ahli Bersatu untuk mendukung perjuangan mereka.

Jentera BN Lebih Tersusun, PH Bantu Tidak Sepenuh Kekuatan

Sepanjang tempoh kajian dalam fasa kempen, responden yang ditemui mengakui bahawa jentera Barisan Nasional lebih tersusun dan menyeluruh.

Ini dibantu dengan kekuatan peranan Pas yang menjadi pelengkap kepada penguasaan segmen Melayu-Islam di dalam kawasan pilihan raya ini.

Mantan Perdana Menteri, Najib Razak memanfaatkan kesinambungan fenomena “Malu Apa Bossku” untuk dibawa ke Slim. Berasaskan pemerhatian kami, Najib Razak meluangkan dan berkempen lebih intensif dan agresif di Slim berbanding siri pilihan raya kecil sebelum ini. Keputusan mahkamah yang mendapati beliau bersalah menjadi pemicu kempen beliau di sini.

Kekuatan jentera BN terletak kepada kesungguhan sayap Wanita dan Puteri Umno diakui oleh pengundi dan responden sebagai jentera yang sangat efektif merayu undi. Secara relatif, gerak kerja calon dan jentera BN menekankan strategi menemui seramai mungkin pengundi berbanding ceramah dan penerangan dalam skala besar.

Sebaliknya berlaku kepada calon Bebas, Amir Khusyairi. Pimpinan utama Pejuang terutama Tun Dr Mahathir turun sendiri sebanyak dua kali untuk menyatakan sokongan beliau kepada wakil parti yang menggunakan simbol Pokok ini.

Sambutan terhadap dua acara ceramah Tun Dr Mahathir dan pimpinan PH yang lain antara tertinggi yang pernah dicapai oleh calon Bebas berbanding sebelum ini. Mukhriz Mahathir dan Maszlee Malik kelihatan berusaha keras menerusi siri merayu undi mahupun ceramah kelompok.

Pada sisi pembangkang pula, PH tidak berkempen dengan penuh kekuatan mereka. Paling ketara ialah PKR. Kelibat Presiden PKR Anwar Ibrahim langsung tidak kelihatan membantu kempen di sini walaupun Dun Slim berada di bawah Parlimen Tanjung Malim yang diwakili oleh Ahli Parlimen PKR sendiri iaitu Chan Lih Kang. Hanya Setiausaha Agung PKR dan beberapa pimpinan pertengahan turun membantu kempen calon Pejuang.

Amanah dan DAP pula lebih menonjol dan agresif membantu calon Pejuang di sini.

Namun begitu, persoalan berikutnya muncul adakah pengundi di kalangan penyokong PKR akan mengundi calon parti yang berseteru dengan Presiden mereka?

Ke Mana Arah Pengundi PH?

Dalam kajian ini, kami cuba mendalami bagaimana psikologi pengundian di kalangan 6,144 pengundi yang mengundi Pakatan Harapan dalam PRU 14 yang lalu.

Menariknya dalam dapatan kajian kami, bagi penyokong BN yang dahulunya mengundi PH menyatakan dengan jelas bahawa mereka akan kembali menyokong BN kali ini. Ini kerana mereka melihat pada persepsi mereka, kerajaan di bawah PH gagal membawa perubahan yang diharapkan oleh mereka.

Tidak melaksanakan manifesto, menghapuskan beberapa subsidi penting orang Melayu antara hujah yang menyokong segmen pengundi ini untuk mengubah pola sokongan mereka.

Segmen pengundi bukan Melayu terutama pengundi Cina di Pekan Slim dan Sungai Slim Utara kelihatan berbelah bahagi. Walaupun kecewa dengan prestasi PH semasa memerintah, namun langkah mengambil alih kerajaan sebelum tamat penggal pemerintahan memberi nafas kepada pembangkang. Responden etnik Cina menyatakan kemungkinan anak-anak mereka yang berada di luar kawasan tidak balik mengundi kerana tidak faktor mendesak.

Selain itu, pengundi Cina menyatakan bahawa mereka tidak berpuas hati dengan Tun Dr Mahathir malah ada yang percaya apa yang berlaku pada politik sekarang adalah atas perancangan beliau. Dengan persepsi meluas ini, kami tidak dapat membaca dengan jelas ke mana halatuju undi Cina di dua PDM ini yang mana dahulunya menyumbang kepada undi terbesar kepada calon PH.

Terdapat tiga PDM yang mana peratusan agak besar didiami oleh pengundi India iaitu Ladang Sungkai, Ladang Kelapa Bali dan Trolak. Pertimbangan utama pengundi India ialah pihak mana yang paling membela mereka menerusi bantuan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Atas aspek ini, BN mempunyai kelebihan kerana ketika fasa PKP, kerajaan banyak menurunkan bantuan kepada rakyat.

Berdasarkan perkembangan ini, pengundi India yang dahulunya memberi sokongan besar kepada PH akan beralih arah sokongan mereka.

Pengundi Orang Asal nampaknya kekal tiada perubahan. Walaupun tiada apa yang mereka dapat banggakan selama mereka menyokong BN, namun pola pengundian mereka masih memihak kepada parti berkenaan.

Naratif Melayu-Islam Mendominasi

Tumpuan perbincangan di kalangan pengundi Melayu lebih tertumpu kepada penyatuan dua parti terbesar Melayu iaitu antara Umno dan Pas. Perkara ini kami temui sangat dominan dengan naratif kuasa kerajaan Melayu-Islam kini melegakan orang Melayu seolah-olah keluar daripada belenggu sengsara pemerintahan PH selama 22 bulan itu.

Mereka juga tidak kisah bagaimana kaedah peralihan Kerajaan PH kepada Kerajaan Perikatan Nasional ini berlaku. Sebaliknya mereka berasa sangat selesa dengan pentadbiran yang dikatakan Kerajaan Melayu-Islam. Mereka menyalahkan PH yang gagal membela agenda Melayu-Islam ketika mereka di puncak kuasa.

Tambah menarik lagi, kami mengenalpasti elemen serangan kepada DAP yang digambarkan sebagai parti yang tidak sensitif dengan sentimen pengundi Melayu.

Parti lain di dalam PH juga terpalit sama termasuklah Dr Mahathir yang dikatakan turut tunduk dengan dominasi DAP semasa dalam kerajaan PH. Naratif berbaur agama dan sentimen Melayu ini kami temui menebal dan melebar pada segmen pengundi Melayu terutama di perkampungan Felda dan kampung tradisi Melayu dalam DUN Slim ini.

Jentera Pejuang yang dibantu oleh PH cuba mengalih semula ke tajuk yang memangkin sokongan kepada PH dalam PRU14 lalu dengan tema rasuah, kleptokrasi, kerajaan pintu belakang dan seputar isu-isu yang panas di Parlimen. Kami dapati tiada lagi keterujaan (excitement) di kalangan pengundi pada tema-tema sedemikian.

Dalam pada itu, walaupun calon BN bertanding di atas logo BN, tetapi strategi kempen BN menekankan Muafakat Nasional. Penekanan ini menyebabkan Perikatan Nasional tenggelam dalam naratif kempen di sini.

Rumusan Kajian

Berdasarkan semua dapatan utama di atas, kami merumuskan calon BN berasa di aras selesa untuk menang dalam pilihan raya kecil kali ini. Mohd Zaidi beruntung kerana kawasan yang mempunyai demografi pengundi seumpama Slim ini tidak menguji kemampuan dan kewibawaan calon disebabkan pengundi mengukur sokongan mereka atas pertimbangan parti.

Sekiranya disukat pada kayu aras kewibawaan calon, Amir Khusyairi lebih menonjol berbanding Mohd Zaidi. Menariknya, pertembungan dua anak tarbiah PKPIM/ABIM semasa di kampus membawa wadah dan aspirasi perjuangan yang berbeza di alam politik.

Sekiranya Amir Khusyairi mampu mengekalkan undi yang diperoleh PH ataupun tidak hilang wang pertaruhan, maka ianya boleh dianggap satu kejayaan buat parti Pejuang dalam menempatkan mereka sebagai sebuah parti baru dalam landskap politik negara.

Dengan cabaran Pejuang, parti ini berjaya memanfaatkan ruang dan peluang semasa fasa kempen ini untuk menyerang parti Bersatu terutama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dalam masa yang sama menarik perhatian publik kepada perjuangan parti yang baharu ditubuhkan ini. Untuk menang, sebagaimana dinyatakan tadi, keadaan amat sukar untuk mengubah penguasaan dan kekuatan Umno dan Pas di sini.

Jadi jumlah undi yang akan diterima oleh Pejuang akan memberi skala pemberat kepada penerimaan pengundi. Ini perlu dilihat oleh Muafakat Nasional bahawa parti baru ini mampu menggugat asas kekuatan Bersatu dan menganggu undi Melayu yang menjadi teras Pas-Umno.

Calon ketiga tenggelam dan tidak mampu memberi saingan. Hilang wang deposit sudah pasti dan mungkin hanya mengharapkan undi simpati kepada beliau. Atas meraikan demokrasi, usaha Santharasekaran boleh dianggap sebagai meraikan ruang demokrasi yang wujud dalam politik negara kita.

 

Disediakan oleh

Panel Penyelidikan ILHAM CENTRE

Bertarikh 28 Ogos 2020

 

Mengenai ILHAM CENTRE

ILHAM Centre adalah merupakan sebuah firma penyelidikan bebas yang mengkhususkan kepada tinjauan awam, kajian pasaran dan data analitik dalam bidang kajian politik dan pilihan raya, polisi awam dan sosio-ekonomi. Tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan adalah menggunakan kaedah metodologi penyelidikan yang ketat sebagaimana piawaian akademik bagi menghasilkan keputusan yang kredibel, bebas dan tepat. ILHAM juga telah menubuhkan ILHAM Analytica bagi membantu penyelesaian yang lebih menyeluruh dan komprehensif.

ILHAM berpendapat, dalam usaha negara mencapai sebuah negara maju dan mempunyai peradaban yang tinggi, setiap keputusan atau sesuatu dasar yang dirangka hendaklah berasaskan data dan maklumat yang tepat. Melalui tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan, maka perkara ini akan dapat dihubungkan dan seterusnya pihak-pihak berkepentingan akan merangka sesuatu polisi dan dasar dengan lebih tepat dalam memenuhi aspirasi masyarakat dan negara.

July 2, 2020

Tinjauan Lapangan Pilihanraya Kecil N23 Chini

UMNO-PAS DOMINASI KEMPEN, BEBAS BUKAN SAINGAN

Latar Belakang

PRK N23 Chini diadakan selepas ADUN daripada BN meninggal dunia, ini adalah PRK ke-11 selepas PRU14, PRK pertama selepas PN mengambil alih kerajaan persekutuan daripada PH melalui penjajaran semula gabungan politik yang dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Dalam 10 pertembungan PRK lepas, BN dan PH berkedudukan seri dengan PH menggungguli lima pertembungan terawal manakala BN mendominasi lima pertarungan terakhir.

Walaupun berkongsi skor siri-siri persaingan lepas, namun gelanggang Chini umpama anti-klimaks apabila PH mengalah lebih awal. Jika sebelum ini PH gah bertarung hingga hari persandingan untuk merebut pelamin, kali ini mereka langsung tidak masuk merisik, hanya melihat dari kejauhan gadis pujaan terlepas ke pelukan orang.

PH mendakwa tidak menyertai gelanggang Chini kerana kekangan pandemik Covid-19 yang sedang menghambat, namun sudah tentu itu bukanlah alasan paling jujur. Alasan munasabah adalah ketidakmampuan mereka untuk menyaingi kombinasi Umno-Pas dalam PRK ini apabila mereka hilang deposit dalam pertembungan tiga penjuru dalam PRU sebelumnya.

Chini berada dalam lingkaran Melayu tradisional, psikografi yang memberi kelebihan kepada dua parti Melayu-Islam iaitu Umno dan Pas. Secara umum, Umno mendominasi sokongan politik di sini, manakala Pas memiliki separuh daripada kekuatan yang dimiliki Umno. Apabila dua parti ini bergabung dalam MN, mereka memulakan kempen PRK ini dengan status quo sokongan yang padu.

Daripada hampir 21 ribu pemilih, 90 peratus adalah pengundi Melayu yang majoritinya adalah peneroka tanah rancangan Felda manakala bakinya mendiami kampung tradisi. Hampir 10 peratus adalah pemilih suku Orang Asal yang mendiami pesisir Tasik Chini, selebihnya adalah pemilih etnik-etnik lain yang berjumlah kurang satu peratus.

Apabila PH menarik diri, persaingan Chini diteruskan antara BN dengan dua calon bebas, pertembungan atas padang yang tidak sama rata, pertarungan berat sebelah antara pesaing ‘lightweight’ dan ‘heavyweight’ dalam gelanggang yang menjadi tumpuan ramai.

Walaupun pertembungan tidak sengit dan keputusan telah dijangka, tinjauan lapangan ini tetap dijalankan bagi (i) membuat jangkaan senario politik nasional berdasarkan petunjuk-petunjuk PRK Chini, (ii) mengenal pasti dan mengangkat isu-isu masyarakat yang berbangkit sepanjang kempen PRK ini, serta (iii) meninjau aktiviti kempen PRK dalam fasa PKPP serta menganalisis kesesuaian untuk diimplementasi dalam PRU sekiranya pandemik terus mengancam.

Metodologi Penelitian

Tinjauan lapangan PRK Chini ini tidak berhasrat untuk mengukur tahap sokongan secara kuantitatif dan membuat prediksi keputusan seperti siri-siri PRK yang biasa, sebaliknya untuk menghurai elemen-elemen yang bersifat nilai. Bagi mencapai tujuan tersebut, penelitian ini dijalankan secara kualitatif dengan pengumpulan data melalui temu bual dan pemerhatian.

Temu bual secara individu dan berkumpulan (FGD) diadakan dengan responden daripada pasukan koordinasi kempen calon-calon yang bertanding, jentera kempen calon-calon yang bertanding, pengundi-pengundi dan masyarakat sekitar. Pemerhatian diadakan secara ikut serta dalam aktiviti kempen dan gerak kerja di markaz operasi, serta secara rawak dalam pelbagai aktiviti kempen.

Pengumpulan data lapangan secara intensif diadakan selama empat hari bermula 28 Jun sehingga 1 Julai 2020, manakala data secara berkala telah dikumpul semenjak SPR mengeluarkan notis PRK ekoran kematian ADUN Chini sebelum ini.

Terima Kasih Bebas

Rata-rata responden yang ditemui melahirkan rasa terima kasih sama ada secara terus terang atau tersirat kepada calon-calon bebas yang bertanding, khususnya Datuk Tengku Zainul Hisham. Penyertaan calon-calon bebas ini berjaya mengelak BN menang percuma, sekaligus memastikan kempen berjalan seperti biasa yang memberi keuntungan kepada masyarakat setempat.

Walaupun majoriti responden yang ditemui cenderung untuk mengundi BN, namun mereka menghargai calon bebas yang turut bertanding, membolehkan mereka mendapat manfaat segera dan jangka panjang. Antara manfaat segera seperti aktiviti perniagaan makanan dan barangan yang rancak, sewaan rumah tumpangan yang ditempah penuh, acara makan-makan dan sebagainya.

Antara manfaat jangka panjang seperti kelulusan peruntukan oleh kerajaan untuk menyelesaikan isu air yang tertangguh sekian lama, komitmen kerajaan untuk menyelesaikan masalah lampu jalan, perhatian terhadap keperluan generasi kedua Felda dan sebagainya.

Begitulah norma di Malaysia, banyak isu rakyat yang tertangguh sekian lama akan diberi perhatian segera apabila berlakunya PRK. Atas sebab itu, rakyat gembira apabila berlaku PRK di kawasan mereka, peluang terbaik untuk memperolehi manfaat bersifat segera dan jangka panjang daripada kerajaan khususnya.

Apabila PH mengumumkan tidak bertanding, kelihatan seperti BN akan menang percuma dan rakyat setempat tidak akan memperolehi laba daripada PRK ini. Namun apabila calon-calon bebas turut menawarkan diri, situasi kembali memihak kepada masyarakat setempat.

Antara dua calon bebas yang bertanding, penyertaan Tengku Zainul lebih memberi kesan signifikan kepada penduduk. Latar belakang calon tersebut daripada kerabat istana, hieraki dalam parti Bersatu dan faktor personel calon memberi cabaran bermakna yang tidak boleh dipandang mudah oleh BN. Bagi menyaingi calon ini, BN yang sedang menguasai kerajaan Pahang dan sebahagian komponen kerajaan persekutuan terpaksa sedikit sebanyak melabur dan berhabisan kepada rakyat dalam kempen Chini ini.

Pemilihan Calon

Dapatan di lapangan menunjukkan kali ini BN gagal menamakan calon terbaik untuk mewakili mereka, banyak sungutan ketidakpuasan hati terdengar, khususnya daripada penyokong Umno sendiri. Penamaan Mohd Shahrim oleh Umno untuk mewakili BN tidak mengembirakan semua pihak dalam Umno di DUN Chini, bahkan menimbulkan protes daripada beberapa pihak.

Perebutan ini mudah difahami kerana penyertaan BN dalam PRK Chini ini pada kedudukan pasti menang, tentu sekali ramai pimpinan Umno setempat ingin jadi calon sekaligus bergelar YB. Calon BN ini dipilih daripada hampir 10 nama lain yang turut bersaing untuk mendapat tempat.

Berbanding sebahagian nama-nama lain yang didakwa lebih berkaliber, wibawa calon yang dipilih agak kurang menyengat. Sungutan oleh pengundi khususnya penyokong BN itu ada benarnya apabila kelihatan calon BN agak kurang keterampilan khususnya gaya penampilan, komunikasi dan sebagainya.

Andainya dalam pertarungan yang sengit dan marginal kecil, isu penetapan calon seperti ini sedikit sebanyak akan memberi masalah kepada BN. Namun dalam konteks PRK Chini yang tidak mencabar, isu calon ini tidak akan memberi masalah besar kepada BN, mereka akan tetap menang persaingan ini dengan bergaya.

Antara dua calon bebas yang turut mengambil bahagian, Datuk Tengku Zainul Hisham memberi sedikit impak di Chini kali ini. Sebagai tokoh korporat, kerabat istana, timbalan ketua bahagian Bersatu (sebelum dipecat) serta orang tempatan Pekan, kehadiran beliau agak dirasai berbanding kebanyakan calon bebas dalam siri-siri PRK sebelum ini.

Beliau juga menyertai PRK ini dengan misi yang jelas iaitu meneruskan perjuangan yang dirintis oleh Bersatu pada awal penubuhan, aspirasi untuk menentang Umno dan BN. Apabila gagal dalam perkiraan dan percubaan untuk bertanding menggunakan lambang mana-mana parti, beliau memutuskan untuk bertanding sebagai calon bebas menggunakan lambang rumah.

Atas pertimbangan individual, Tengku Zainul ini memiliki rekod pencapaian lebih baik berbanding calon BN. Namun dalam pilihan raya, itu bukanlah faktor penentu khususnya kawasan pilihan raya di luar bandar. Bagi pengundi Melayu di luar bandar, mereka lebih cenderung mengundi mengikut faktor parti, bukan berdasarkan faktor calon atau isu semasa. Dalam kes Chini ini, kemampuan Tengku Zainul untuk menyaingi calon BN adalah malap.

Seorang lagi calon bebas iaitu Mohd Shukri adalah seorang DJ bebas dan blogger yang dikenali sebagai Cucu Mat Kilau (CMK). Beliau yang telah banyak kali bertanding sebagai calon pilihan raya di pelbagai kawasan kurang mendapat sambutan daripada pengundi setempat. Walaupun kurang mendapat sambutan dan berisiko untuk memperolehi hanya sedikit undi, beliau banyak mengangkat isu-isu masyarakat setempat sepanjang berkempen, khususnya melalui media masa.

Strategi Kempen

PRK Chini ini mencatat sejarah apabila diadakan dalam tempoh PKPP rentetan pandemik Covid-19. Akibat PKPP yang masih berkuat kuasa, SPR telah menetapkan SOP kempen untuk diikuti oleh calon-calon yang bertanding. Disebabkan penguatkuasaan PKPP dan pertembungan yang kurang sengit, strategi dan kerancakan kempen di Chini ini berbeza berbanding kempen dalam siri-siri PRK sebelumnya.

Dengan mengurangkan ceramah-ceramah seperti kebiasaan, kempen kali ini lebih difokuskan kepada bersua muka dengan pengundi sama ada di rumah atau di tempat-tempat awam, strategi ini banyak digunakan oleh calon BN dan jentera kempen mereka, serta calon bebas Tengku Zainul Hisham.

Selain merayu undi secara temu muka dengan pengundi, aktiviti kempen juga banyak dilakukan secara pertemuan dan sembang santai dalam kelompok kecil. Strategi ini paling banyak dilakukan oleh jentera kempen BN melalui pelbagai sayap mereka seperti pemuda dan wanita, oleh kedua-dua parti Umno dan Pas.

Disesuaikan dengan perkembangan teknologi semasa, pilihan raya musim pandemik dan peratusan pengundi luar yang tinggi, semua calon bertanding memanfaatkan sepenuhnya kempen secara maya atas talian. Mereka memanfaatkan secara optimun teknologi ICT khususnya media sosial untuk berkempen kepada pengundi, sama ada mengunakan mesej sehala atau interaksi dua hala. Maklum balas daripada pengundi muda dan pengundi luar kawasan mengesahkan bahawa mereka banyak mendapat input-input kempen melalui media maya, membuktikan strategi tersebut agak berkesan.

Umno kelihatan serius dan bersungguh-sungguh berkempen di Chini ini, seolah-olah mereka berdepan persaingan sengit parti lawan. Bermula sebelum hari penamaan calon, pemimpin-pemimpin utama telah berkumpul di Pekan, bermesyuarat dan mengadakan pelbagai perbincangan. Kelihatan seperti bukan sekadar merancang PRK Chini, bahkan juga mengatur koreografi lenggok tari politik nasional.

Begitu juga penyertaan pemimpin dan jentera Umno dari seluruh negara, meriah sekali. Barangkali komitmen membantu kempen Chini ini bersifat serampang bermata-mata. Selain untuk memenangkan calon BN, inilah peluang terbaik mereka menampilkan diri untuk dilihat dan dinilai oleh pimpinan tertinggi. Umno sedang mendesak PN untuk mengadakan PRU dalam masa terdekat, PRK ini peluang terbaik untuk menzahir dan melobi sebagai calon pilihan raya, juga bertanding jawatan dalam pemilihan parti kemudiannya.

MN atau PN

Jentera kempen BN majoritinya digerakkan oleh Umno dan Pas. Semasa mendampingi pengundi, perayu-perayu undi BN yang terdiri daripada jentera Umno dan Pas majoritinya membawa semangat muafakat, iaitu Muafakat Nasional (MN). Perkataan dan agenda muafakat banyak dijadikan modal kempen, merujuk kepada kerjasama politik antara Umno dan Pas untuk memperkasakan ketuanan Melayu dan agama Islam.

Walaupun kempen BN turut disertai oleh Bersatu khususnya menuju minggu terakhir, namun nama PN kurang diangkat dalam kempen PRK Chini ini. Jentera kempen daripada Umno dan Pas tidak ghairah untuk menggunakan jenama perikatan, sebaliknya mereka lebih selesa menggunakan jenama dan aura muafakat. Kempen Chini ini menunjukkan wujud keserasian yang kuat antara Umno dan Pas, tetapi tidak Umno-Pas dengan Bersatu.

Peranan Pas

Antara yang ingin diperhatikan dalam tinjauan ini adalah peranan dan penglibatan Pas dalam kempen membantu BN. Walaupun ini bukanlah kali pertama Pas membantu BN selepas Cameron, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis, situasi di Chini sedikit berbeza. Chini adalah kawasan majoriti Melayu-Muslim di mana Umno dan Pas bertembung kekuatan dan berseteru sekian lama, ini juga adalah PRK pertama selepas Umno dan Pas membentuk kerajaan bersama di peringkat persekutuan.

Dapatan menunjukkan Pas membantu kempen BN sepenuh jiwa, berkempen seolah-olah Pas sendiri yang bertanding. Bukan setakat jentera Pas DUN Chini yang membantu, sebaliknya jentera Pas kawasan Pekan dan seluruh kawasan-kawasan parlimen lain dalam negeri Pahang turut datang membantu. Mereka berkempen bersungguh-sungguh, mensasarkan untuk memperolehi 5000 undi penyokong Pas kepada BN.

Apabila diuji dengan ungkitan kenapa sedia membantu BN sedangkan Umno sudah banyak menyakiti mereka sebelum ini, ada dua tema jawapan daripada Pas. Dalam kalangan jentera yang berkempen, mereka mengatakan mereka mengikut jemaah, jemaah yang membuat keputusan. Dalam kalangan pengundi, mereka mengatakan ikut arahan pemimpin.

Seperti di Cameron Highland dan Semenyih yang menunjukkan undi Pas jadi faktor kemenangan BN, sekali lagi di Chini ini undi penyokong Pas akan menyumbangkan kemenangan BN dengan majoriti sangat besar.

Undi Protes

Antara yang hangat kedengaran dalam kalangan pengundi adalah undi protes kepada calon BN. Ada dua kelompok yang tidak berpuas hati dan berura-ura untuk membuat undi protes. Kelompok pertama daripada penyokong Umno yang tidak berpuas hati pemilihan Mohd Shahrim sebagai calon, manakala kelompok kedua adalah penyokong Pas yang membantah kerjasama dengan Umno.

Pasukan kempen calon bebas Tengku Zainul telah dan sedang mengatur strategi untuk mengumpul undi protes ini kepada mereka, siri-siri rundingan dengan kumpulan daripada Umno dan Pas yang membuat protes ini telah dan sedang berjalan, secara lisan mereka berjanji untuk menyokong.

Namun dalam konteks PRK Chini ini, undi protes daripada kedua-dua penyokong Umno dan Pas ini tidak akan mempengaruhi keputusan siapa yang akan keluar sebagai pemenang. Tentu sekali calon bebas tidak berpeluang sama sekali untuk memenangi PRK ini dengan undi protes itu, psikologi dan demografi Chini tidak berpotensi ke arah itu, petunjuk di lapangan juga tidak sampai ke tahap itu.

Namun asbab kepada protes ini berpotensi untuk merebak jadi barah dalaman parti masing-masing jika tidak ditangani dengan baik. Pasca gabungan Umno dan Pas dalam MN, kombinasi tersebut tiada tentangan yang kuat oleh PH atau mana-mana parti di Chini khususnya. Apabila tiada musuh dari luar untuk dihadap, tenaga lebih cepat ditumpukan untuk pertembungan dalaman parti, isu-isu kecil seperti asbab protes ini boleh jadi percikan api yang akan marak membesar.

Pilihan Raya Musim Pendemik

SPR telah menetapkan SOP kempen musim PKPP seperti ceramah tidak boleh melebihi 250 orang, aktiviti merayu undi tidak melebihi tiga orang, pengawasan jarak dan sebagainya.

Pemerhatian di lapangan menunjukkan parti dan pihak-pihak yang bertanding memberi komitmen dan berusaha untuk mematuhi SOP tersebut.

Namun tidak semua SOP tersebut berjaya dipatuhi sepenuhnya, pelanggaran-pelanggaran dalam aspek penjarakan sosial dan bersalaman kerap berlaku terutamanya semasa berada di markaz, program santai dan semasa merayu undi.

Isu Rakyat

Ada beberapa isu yang secara konsisten dibangkitkan oleh responden dalam kalangan pengundi. Paling ketara adalah isu air yang berlanjutan sekian lama. Isu ini telah diberi perhatian dan kelulusan peruntukan oleh pihak kerajaan untuk diatasi. Kejayaan mengatasi masalah bergantung sepenuhnya terhadap mekanisme penyampaian dalam menjayakan projek tersebut.

Isu kedua adalah kemudahan asas yang terbatas di Chini, termasuk kemudahan lampu jalan. Pelbagai dakwaan dikeluarkan oleh penduduk berkenaan isu lampu jalan ini, termasuk dakwaan setiap keluarga bersetuju membuat potongan untuk membayar perkhidmatan tersebut. Isu ini juga telah diberi perhatian oleh pihak kerajaan, termasuk TNB yang memberi komitmen untuk membantu. Semoga penyelesaian tersebut bersifat lestari, bukan sekadar pemanis yang bersifat sementara.

Isu ketiga yang paling kerap ditimbulkan adalah kebajikan generasi kedua Felda, khususnya isu penempatan generasi kedua dan peluang ekonomi. Jumlah pengundi luar yang hampir mencecah 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi Chini seperti membayangkan anak-anak muda berhijrah keluar untuk mencari rezeki, peluang ekonomi sekitar Chini masih perlu ditambah.

Isu-isu tersebut yang semuanya bersifat isu tempatan serta beberapa isu lain yang turut disebut seperti pemilikan tanah dalam kalangan Orang Asal, isu perahan sawit dan sebagainya, semuanya sekadar isu kebajikan yang diangkat oleh pengundi alang-alang PRK diadakan. Dalam konteks pola pengundian, isu-isu tersebut tidak akan menjejaskan banyak sokongan kepada BN, mereka akan tetap keluar sebagai pemenang.

Naga Menangis

Kedatangan pelancong pilihan raya ke Chini kali ini disambut pemandangan bukit yang dahulunya menghijau sekarang sedang membotak. Debu-debu tanah merah mengotori jalan-jalan sekitar Tasik Chini, akibat aktiviti perlombongan mineral sekitarnya. Isu ini banyak ditimbulkan oleh penduduk setempat.

Tinjauan sekitar Tasik Chini mengesahkan dakwaan tersebut, aktiviti perlombongan dilakukan sangat hampir dengan pesisir tasik, berisiko merosakkan ekosistem sekitarnya. Buat masa ini pihak berkuasa tempatan telah mengarahkan morotarium sementara aktiviti perlombongan kepada beberapa pengusaha terlibat, ada info mengatakan untuk tempoh dua minggu bagi penilaian semula.

Sekitaran Tasik Chini adalah penempatan komuniti Orang Asal, mereka memanfaatkan ekosistem tersebut untuk memperolehi pelbagai sumber kehidupan. Mereka menamakan bahagian-bahagian tasik ini sebagai laut, ada 12 laut semuanya. Ada dua laut yang mula tercemar akibat aktiviti perlombongan ini iaitu Laut Jemberau dan Laut Melai.

Tasik Chini yang syarat dengan khazanah biodiversiti yang tidak ternilai harganya kini semakin terancam. Naga yang dulu gah mewarisi lagenda, kini sedang menangis minta dikasihani, merayu untuk diselamatkan. Kerajaan Pahang khususnya perlu menilai isu ini dengan lebih konstruktif, untuk kepentingan semua pihak terlibat dan melindungi khazanah negeri yang tidak ternilai harganya itu.

Keberangkalian-Keberangkalian

Jumlah pemilih berdaftar yang layak mengundi dalam PRK Chini ini adalah 20,990 orang. Daripada jumlah tersebut, sekitar 8,000 pengundi berada di luar kawasan. Hampir 40 peratus pengundi berada di luar kawasan adalah jumlah yang besar sebenarnya, sesuatu perlu diberi perhatian.

Keputusan PRK Chini tidak memberi implikasi signifikan kepada beberapa aspek. Pertama saingan tidak mencabar. Bagi penyokong Umno-Pas yang berada di luar kawasan, sama ada mereka balik mengundi atau tidak, tidak akan merubah keputusan, kemenangan BN sudah dalam tangan.

Bagi penyokong PH sama ada yang berada di luar atau tempatan, tiada keperluan juga untuk mereka keluar mengundi. Dalam PRU14 lepas ada 1,065 pengundi yang memangkah PH, jumlah kecil tapi masih signigikan dalam hitungan peratusan keluar mengundi.

Semakan rawak dengan sebilangan pengundi muda yang berada di luar, ramai yang memberi maklum balas untuk tidak pulang mengundi, atas sebab faktor-faktor tersebut dan juga beberapa faktor peribadi lain.

Pertimbangan-pertimbangan tersebut akan mempengaruhi peratusan keluar mengundi hari Sabtu nanti, sudah tentu jauh lebih rendah berbanding 79 peratus yang dicatatkan dalam PRU14 lepas.

SPR mensasarkan keluar mengundi sebanyak 70 peratus, manakala jentera BN mengharapkan setinggi 80 peratus. Kajian ini tidak mengumpul data kuantitatif untuk menganggarkan jangkaan keluar mengundi secara statistikal. Sekadar pertimbangan dengan faktor-faktor kualitatif dan pengalaman di lapangan, kemungkinan keluar mengundi hanya sekitar 60 peratus, atau paling tinggi sekitar 65 peratus.

BN dilaporkan mensasar menang dengan majoriti sebesar 13,500 undi. Bolehkah mereka mencapai sasaran tersebut?

Jika peratusan keluar mengundi tinggi iaitu melebihi 70 peratus, mereka ada peluang untuk mencapai sasaran tersebut.

Apa ukuran kejayaan calon bebas?

Dalam konteks Chini, calon bebas sudah dianggap mencapai kejayaan membanggakan jika tidak hilang wang pertaruhan.

Calon akan hilang wang pertaruhan sekiranya jumlah undi kurang 1/8 atau 12.5 peratus daripada jumlah undi keseluruhan.

Jika 65 peratus pemilih keluar mengundi, calon perlu memperolehi sekitar 1700 undi untuk mengelak hilang wang pertaruhan.

Bagi calon bebas Mohd Shukri, agak sukar untuk mencapai angka tersebut, tiada faktor penarik ke arah tercapainya angka tersebut.

Bagi calon bebas Tengku Zainul, beliau memiliki banyak faktor penguat untuk mengumpul undi yang cukup untuk sekurang-kurangnya tidak hilang wang pertaruhan.

Namun realiti corak pengundian pengundi luar bandar yang sangat cenderung kepada undi berdasarkan parti, meletakkan beliau dalam ketidakpastian untuk mengumpul sekurang-kurangnya undi protes.

Walau bagaimanapun, beliau sekurang-kurangnya mempunyai peluang yang lebih baik.

Saranan-saranan

(i)

DUN Chini terletak dalam kawasan parlimen Pekan yang diwakili sendiri oleh DS Najib sejak sekian lama sebagai ahli parlimen, beliau juga lama sebagai menteri kabinet, TPM dan PM. ADUN Chini sebelum ini juga pernah jadi Exco kerajaan negeri Pahang.

Chini yang sentiasa diwakili oleh pemimpin-pemimpin hebat daripada parti BN yang memerintah kerajaan negeri dan persekutuan sebelum ini sewajarnya memperolehi yang lebih baik berbanding apa yang ada sekarang, khususnya kemudahan-kemudahan asas.

Wakil rakyat BN yang dijangka akan diistiharkan pada Sabtu malam nanti perlu memberi perhatian serius untuk memaju dan membangunkan Chini, dalam kedua-dua aspek fizikal dan spiritual. Banyak isu-isu asas dibangkitkan oleh pengundi sepanjang PRK ini, selesaikanlah pada kadar yang terbaik dan termampu.

(ii)

Sepanjang PRK Chini ini Pas memberi sokongan dan dokongan sangat padu kepada calon Umno yang mewakili BN. Untuk mengekalkan kerjasama yang lestari, Pas perlu terus diperkuatkan.

Salah satu cara Pas memperkuatkan parti mereka adalah melalui pengalaman menyertai pilihan raya sejak sekian lama, itulah latihan-latihan praktikal yang berkesan kepada mereka.

Jika berdasarkan status qou, kelihatan semua kerusi di Pekan sama ada parlimen atau DUN akan ditandingi oleh Umno bagi pihak MN atau PN. Situasi ini akan melemahkan Pas dengan pelbagai sebab, akhirnya Umno akan turut rugi apabila kawan baik jadi lemah.

Untuk membantu menguatkan Pas, Umno perlu berlapang dada untuk menyerahkan sekurang-kurangnya satu kerusi di Pekan untuk ditandingi oleh Pas dalam PRU akan datang, juga sebagai tanda terima kasih atas dokongan penuh Pas kepada BN dalam PRK ini. Kerusi Chini ini salah satu kerusi yang sesuai dipertimbangkan untuk diserahkan kepada Pas.

(iii)

Gabungan Umno dan Pas menguatkan gabungan MN secara total di DUN Chini ini. Walaupun kelihatan seperti bagus, tetapi sebenarnya tidak sihat apabila tiada pihak yang kuat untuk menjalankan fungsi semak dan imbang. Sewaktu BN berkuasa sebelum ini, fungsi tersebut banyak dimainkan oleh Pas.

Menyedari keperluan tersebut, PH atau mana-mana parti pembangkang perlu bersegera untuk membina tapak dan memupuk kekuatan di Chini bagi menjalankan fungsi semak dan imbang. Rakyat akan dapat banyak manfaat apabila parti-parti politik yang seimbang bersaing kekuatan untuk memberi yang terbaik kepada rakyat di sesuatu tempat.

(iv)

Tasik Chini adalah warisan alam yang tidak ternilai harganya. Khazanah biodiversiti dan rakaman lagendanya tidak terhitung nilainya, tiada tasik di mana-mana dunia sekalipun boleh menggantikannya. Selamatkan Tasik Chini, angkat semula citra tasik lagenda itu, kembalikan nilai estetika tasik itu seperti yang sepatutnya.

Kaji semula aktiviti perlombongan, perladangan atau sebarang aktiviti penerokaan yang mencemar dan mengancam kesinambungan warisan berharga itu. Pahang kaya dengan tanah dan hutan untuk mengembangkan industri perlombongan, perladangan, pembalakan dan sebagainya. Kecualikanlah pesisir Tasik Chini yang mengancam kewujudan pusaka berharga itu.

(v)

Dalam PRK DUN yang sedikit bilangan pengundi dan tidak sengit persaingan pun sukar untuk pematuhan SOP PKPP sepenuhnya. Tentu sekali sangat sukar untuk pematuhan jika diadakan PRU yang menyeluruh dan sengit dalam tempoh PKPP. Kerajaan perlu mempertimbangkan semasak-masaknya jika ada keperluan untuk mengadakan PRU sewaktu ancaman pandemik Covid-19 masih berisiko.

 

Disediakan oleh:

Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim
Ketua Penyelidikan ILHAM CENTRE

2 Julai 2020

January 16, 2020

POLA PENGUNDIAN DAN PREDIKSI PILIHAN RAYA KECIL P176 KIMANIS

PANEL PENYELIDIKAN ILHAM CENTRE

Khamis, 16 Januari 2020

FAKTOR PARTI KERAJAAN BANTU WARISAN MENANG

Pendahuluan

Pilihan Raya Kecil P176 Kimanis pada peringkat awalnya menyaksikan persaingan adalah terbuka dan sengit kepada kedua-dua pihak yang bertanding. Namun menjelang minggu kedua berkempen, Parti Warisan Sabah (Warisan) dilihat mendahului dan berupaya untuk merampas kerusi yang sebelumnya dimenangi tipis oleh Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-14.

Tinjauan akhir ILHAM Centre yang dilakukan secara tatap muka telah diadakan pada 11 sehingga 14 Januari 2020 dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata. Kajian lapangan ini melibatkan 401 responden yang merupakan pengundi berdaftar P176 Kimanis mewakili semua segmentasi etnik, jantina, umur dan lokaliti.

Demografi Kimanis menunjukkan sebanyak 67 peratus adalah terdiri daripada Muslim Bumiputera (majoriti daripada etnik Melayu Brunei dan sedikit Bajau), Non-Muslim Bumiputera 30 peratus (majoriti daripada etnik Kadazandusun-Murut), Cina 3 peratus dan lain-lain 0.3 peratus.

Data dikumpul oleh penyelidik menggunakan kaji selidik dan protokol temu bual separa berstruktur melibatkan sembilan enemurator lokal yang memahami nuansa tempatan. Data kajian kemudiannya dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik. Ralat kajian dicatatkan sebanyak 5 peratus dengan peratus keyakinan sebanyak 95 peratus.

Landskap Politik Sabah dan PRU-14

Sesuatu yang menarik dan perlu diketahui ialah landskap politik Sabah adalah sangat dinamik, rencam dan jauh berbeza berbanding landskap politik Semenanjung. Mempunyai lebih 30 suku etnik yang mempunyai bahasa dan dialek yang pelbagai, isu-isu kewilayahan, menjadikan sosio-budaya dan politik rakyat Sabah adalah sangat unik dan mempunyai etos yang tersendiri.

Ciri tradisi politik Sabah yang berpaksikan personaliti dan “big men” masih lagi memainkan peranan besar dalam mempengaruhi kempen dan psikologi politik Sabah.

Keupayaan sebuah parti baru Warisan yang ditubuhkan pada 2016 dan diketuai oleh Mohd Shafie Apdal bersama Pakatan Harapan Sabah memenangi 14 kerusi Parlimen daripada 25 jumlah kerusi  dan 29 kerusi DUN daripada 60 jumlah kerusi dalam pilihan raya umum ke-14 serta menguasai Kerajaan Negeri adalah sesuatu yang menakjubkan.

Kepimpinan dan ketokohan Shafie Apdal, strategi menubuhkan sebuah parti lokal bersifat kenegerian serta kerjasama strategik dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan Sabah merupakan antara faktor utama kenapa Barisan Nasional Sabah yang ditunjangi oleh Umno akhirnya kalah dan kehilangan kerajaan negeri.

Pas Sementara Sabah

Pas Sementara Sabah (PSS) merupakan isu terbesar dan sangat signifikan dalam pilihan raya kecil ini. Serangan BN yang dibantu oleh parti-parti dan NGO-NGO lain bermula seawal sebelum hari penamaan lagi dengan mendakwa PSS akan membuka ruang kepada pendatang tanpa izin mendapat kewarganegaraan dan merebut hak-hak penduduk asal Sabah. Warisan pula mendakwa ianya adalah cadangan daripada kerajaan BN terdahulu dan mempertahankan PSS sebagai sebuah dasar yang baik untuk membendung pendatang tanpa izin di Sabah yang berleluasa sekian lama.

Isu PSS juga dimainkan sebagai isu keselamatan oleh BN. Warisan yang menghalakan hujah hak dan kewarganegaraan dalam isu PSS berdepan dengan permasalahan membina kefahaman pengundi tentang isu ini.

Sebanyak dua soalan yang khusus ditanya kepada responden dalam kajian ini. Ditanya kepada responden sejauh mana kefahaman mereka terhadap isu kontroversi PSS, sebanyak 62 peratus responden menyatakan mereka amat memahaminya dan 38 peratus menyatakan sebaliknya. Bagi mereka yang menjawab tidak memahami isu PSS, mereka menyatakan tiada penjelasan yang jelas dan komprehensif oleh Kerajaan terutama di kawasan-kawasan kampung dan pedalaman.

Soalan kedua yang ditanya adalah tentang tahap persetujuan terhadap pelaksanaan PSS oleh Kerajaan. Sebanyak 38 peratus responden menyokong, 30 peratus tidak pasti dan 32 peratus menyatakan mereka tidak menyokong dan membantah keras pelaksanaan PSS ini nanti. Kebanyakan mereka yang membantah keras PSS adalah terdiri daripada etnik Kadazandusun-Murut.

Parti Kerajaan Memberi Kelebihan Besar Kepada Warisan

Tampil dengan imej Parti Kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan, ianya memberi kelebihan yang cukup besar kepada Warisan dalam pertandingan kali ini.

Dapatan-dapatan kajian di lapangan yang kami temui menunjukkan psikografi pengundi sangat cenderung kepada parti pemerintah terutama dalam kalangan etnik Melayu Brunei dan pengundi yang berada di lokaliti pedalaman. Mereka beranggapan adalah penting untuk mengundi parti Kerajaan supaya kebajikan, kemajuan dan pembangunan mampu dibawa ke kawasan mereka berbanding memilih parti yang bukan parti pemerintah.

Faktor Bersatu dan PHRS

Selepas penguasaan Warisan dan PH dalam kerajaan negeri (dan persekutuan) pada Mei 2018, Barisan Nasional Sabah menyaksikan berlakunya perpecahan dan penghijrahan secara beramai-ramai terutamanya daripada pemimpin-pemimpin Umno Sabah kepada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Penghijrahan ini melibatkan 4 Ahli Parlimen dan 9 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Mohd Arifin Mohd Arif yang merupakan ADUN Membakut di bawah Parlimen Kimanis.

Menjadi persoalan di sini ialah adakah penghijrahan ADUN Membakut Mohd Arifin ke Bersatu akan turut membawa undi pengikut-pengikut beliau? Dapatan kajian menunjukkan pengundi BN bersedia untuk memberi undi kepada Warisan dengan peralihan yang cukup signifikan.

Satu lagi faktor yang cukup penting ialah ialah pengundi Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) yang berjumlah 1,300 undi dalam pilihan raya terdahulu. Pengasas dan pemimpin utama parti ini iaitu Lajim Ukin telah membubarkan PHRS dan mengisytiharkan masuk Bersatu. Dapatan kajian turut menunjukkan penyokong PHRS bersedia untuk memberi undi kepada Warisan pada hari pembuangan undi nanti.

Isu Lokal Lebih Dominan

Berbanding siri-siri pilihan raya kecil selepas 9 Mei 2018, pilihan raya kecil kali ini menyaksikan isu-isu nasional tidak mendapat tempat dalam psikografi pengundi. Sebanyak 87 peratus responden menyatakan isu-isu lokal dan kenegerian adalah perkiraan utama mereka dalam memilih undi nanti berbanding isu nasional yang hanya mendapat tempat 13 peratus.

Isu yang dibawa oleh Warisan iaitu isu MA63 juga tidak mendapat perhatian oleh responden disebabkan ianya sukar difahami dan kompleks. Walau bagaimanapun, mereka menyokong tindakan Kerajaan Negeri untuk menyokong Kerajaan Persekutuan bagi meminda perlembagaan untuk mengembalikan status asal Sabah dalam persekutuan dengan peratusan bersetuju 67 peratus manakala 28 peratus mereka yang tidak pasti tentang perkara ini dan 5 peratus menolaknya.

Isu-isu dan naratif seperti Kerajaan PH gagal membela Melayu-Islam (26 peratus), kegagalan Kerajaan Persekutuan menunaikan manifesto (35 peratus) serta Kerajaan PH dikuasai oleh DAP (24 peratus) adalah kecil dan tidak menjadi perkiraan utama bagi responden di sini.

Karim Bujang Lebih Mesra Rakyat Berbanding Mohamad Alamin

Calon Warisan Karim Bujang yang pernah berkhidmat sebagai ADUN Bongawan selama 5 penggal di atas tiket Barisan Nasional memberi kelebihan yang besar kepada beliau dengan 57 peratus responden berpandangan beliau lebih mesra rakyat dan mempunyai kredibiliti berbanding calon BN Mohamad Alamin sebanyak 43 peratus.

Karim Bujang disifatkan sebagai seorang yang ramah dan kerap turun padang mendengar permasalahan rakyat. Meskipun terdapat juga rungutan dalam kalangan responden tentang kurangnya pembaharuan dan pembangunan yang dibawa oleh beliau sepanjang 5 penggal menjadi ADUN, ianya tidak menghalang responden untuk mengundi Warisan.

Kempen

Dalam aspek kempen, BN memaksimumkan isu PSS sebagai titik tumpu serangan mereka dan Warisan mengambil pendekatan defensif dan intensif untuk menerangkan isu ini kepada pengundi seramai mungkin.

Warisan juga menyerang BN dengan mengaitkan kerjasama Umno dengan PAS dalam Muafakat Nasional akan menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama di Sabah. Responden yang kami temui khususnya daripada etnik KDM mengakui bimbang kerjasama Umno dan PAS akan menyemarakkan politik ekstrim di Sabah yang sebelum ini lebih harmoni.

Kesimpulan

Keupayaan jentera pilihan raya untuk membawa pengundi masing-masing ke pusat pengundian akan turut mempengaruhi jumlah keluar mengundi dan seterusnya akan menentukan jumlah majoriti pemenang.

Menjelang hari-hari terakhir pembuangan undi, isu PSS ini sememangnya akan terus dan mampu mempengaruhi sedikit sebanyak kempen dan kecenderungan pengundi. BN mengharapkan isu PSS ini akan memangkin undi mereka untuk mengalahkan Warisan.

Namun faktor kelebihan sebagai parti pemerintah, peranan “big men” yang memangkin peralihan undi penyokong Bersatu dan PHRS ke Warisan, serta faktor parti lokal akan menyaksikan Warisan bakal keluar selaku pemenang dalam Pilihan Raya Kecil P176 Kimanis Sabtu ini.

 

Laporan disediakan oleh panel penyelidikan ILHAM Centre yang terdiri daripada Dr Mohd Yusri Ibrahim, Mohd Azlan Zainal, Mohd Jalaluddin Hashim, dan Prof. Madya Dr Hamidin Abd Hamid.

 

Mengenai ILHAM CENTRE

ILHAM Centre adalah merupakan sebuah firma penyelidikan bebas yang mengkhususkan kepada tinjauan awam, kajian pasaran dan data analitik dalam bidang kajian politik dan pilihan raya, polisi awam dan sosio-ekonomi. Tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan adalah menggunakan kaedah metodologi penyelidikan yang ketat sebagaimana piawaian akademik bagi menghasilkan keputusan yang kredibel, bebas dan tepat. ILHAM juga telah menubuhkan ILHAM Analytica bagi membantu penyelesaian yang lebih menyeluruh dan komprehensif.

ILHAM berpendapat, dalam usaha negara mencapai sebuah negara maju dan mempunyai peradaban yang tinggi, setiap keputusan atau sesuatu dasar yang dirangka hendaklah berasaskan data dan maklumat yang tepat. Melalui tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan, maka perkara ini akan dapat dihubungkan dan seterusnya pihak-pihak berkepentingan akan merangka sesuatu polisi dan dasar dengan lebih tepat dalam memenuhi aspirasi masyarakat dan negara.

November 14, 2019

Pola Pengundian Dan Prediksi Pilihan Raya Kecil P165 Tanjung Piai

BN DIJANGKA MENANG SELESA, UNDI CINA BERALIH

Pendahuluan

Tinjauan akhir ILHAM Centre dalam Pilihan Raya Kecil P165 Tanjung Piai menyaksikan Barisan Nasional mampu memenangi dan menafikan status quo kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 sebelum ini dengan majoriti yang selesa.

Pilihan raya kecil kesembilan ini dilatari oleh arus populisme Melayu-Muslim dan sentimen kempen Buy Muslim First (BMF) yang kuat, namun ianya seakan terhenti apabila pembangkang Barisan Nasional meletakkan calon yang berbangsa Cina daripada MCA untuk berlawan dengan calon parti pemerintah Pakatan Harapan yang berbangsa Melayu.

Pakatan Harapan pula kelihatan bergelut untuk menambah undi Melayu di samping mengekalkan undi Cina yang diperolehi mereka dalam PRU14 terdahulu walaupun tampil dengan kelebihan sebagai parti pemerintah yang menguasai Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Bagi Barisan Nasional, pilihan raya kecil amat penting bagi menentukan arah tuju Muafakat Nasional di samping berusaha bagi mendapatkan kembali keyakinan pengundi bukan Melayu.

Kajian secara tatap muka ini telah diadakan pada 9 sehingga 11 November 2019 dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata. Kajian lapangan ini melibatkan 394 responden yang merupakan pengundi berdaftar P165 Tanjung Piai mewakili semua segmentasi kaum, jantina, umur dan lokaliti. Data dikumpul oleh penyelidik menggunakan kaji selidik dan protokol temu bual separa berstruktur. Data kajian dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik.

Faktor Johor

Menjelang PRU14 lepas, laporan prediksi kami menyatakan Johor adalah pemicu utama perubahan kerajaan buat pertama kali dalam sejarah di Putrajaya dan hasilnya Johor menyumbang sebanyak 18 kerusi Parlimen kepada PH termasuk Tanjung Piai berbanding hanya 5 kerusi Parlimen dalam PRU13.

Kejatuhan Johor yang merupakan negeri kelahiran dan negeri terkuat UMNO disumbangkan oleh faktor-faktor yang berlaku di Putrajaya dan bukan disebabkan oleh kepimpinan negeri Johor. Kajian kami menunjukkan ‘approval rating’ yang tinggi terhadap kepimpinan Khaled Nordin selaku Menteri Besar Johor ketika itu. Pencapaian, kemajuan dan trek rekod UMNO Johor berada pada tahap cemerlang. Masalahnya di sini hanya kepada imej Najib Razak yang menyebabkan BN Johor menerima hukuman.

Ini bermakna anjakan undi yang berlaku adalah disebabkan mood inginkan perubahan atas faktor kritikal tetapi tidak mengubah pegangan parti mereka. Pola pengundian sebegini amat rapuh dan tidak kekal kepada PH.

Justeru, kita dapat melihat meskipun berlaku pertukaran kerajaan negeri dan persekutuan, kepimpinan dan kegiatan sosial di peringkat akar umbi masih lagi digerakkan oleh ahli-ahli UMNO.

Demografi Tanjung Piai

Demografi lokaliti ini menunjukkan kawasan ini adalah kawasan bercampur dengan pengundi Melayu mempunyai 57 peratus dan pengundi Cina mempunyai 42 peratus manakala yang lain-lain hanya 1 peratus dengan mempunyai 27 daerah mengundi. Daripada 27 daerah mengundi tersebut, hanya 11 daerah mengundi sahaja dimenangi oleh PH dan hampir kesemuanya adalah kawasan majoriti Cina atau bercampur. BN pula memenangi 16 daerah mengundi dengan kesemuanya adalah majoriti Melayu.

Kemenangan calon PH sebelum ini dalam PRU14 adalah disumbangkan oleh berlakunya perlawanan tiga pepenjuru antara PH, BN dan PAS. Dengan membuat matematik mudah, PH sebenarnya sudah ketinggalan kira-kira 1,902 undi sebelum perlawanan bermula lagi.

Dalam erti kata yang lain, Tanjung Piai adalah kawasan kuat BN sejak ianya diwujudkan pada 2004 lagi.

Kedua, pengundi Cina yang membentuk sebanyak 42 peratus di lokaliti ini telah menyumbang kemenangan signifikan kepada Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik calon PH dalam PRU14 lepas. Segmen ini menyumbang sebanyak 74 peratus kepada PH berbanding hanya 26 peratus memilih BN.

Jumlah ini iaitu 74 peratus secara purata adalah rendah berbanding sokongan pengundi Cina di peringkat nasional iaitu 94 peratus mahupun di peringkat negeri sebanyak 89 peratus. Ini membuktikan bahawa MCA mempunyai pendukung dan akar umbi yang kuat di Tanjung Piai.

Sebarang peralihan undi PH ke BN, ataupun tidak keluar mengundi, ataupun mengundi calon-calon lain, akan memberi kesan yang besar terhadap majoriti yang diperolehi oleh pemenang.

Pengundi Melayu Tidak Berganjak, Undi PAS ke BN

Dalam PRU14, pengundi Melayu telah menyumbang undi sebanyak 60 peratus kepada BN berbanding 28 peratus kepada PH dan PAS sebanyak 11 peratus.

Pada peringkat awal apabila calon yang bertanding diumumkan BN, momentum bersama PH apabila wujud seakan elemen protes di kalangan akar umbi UMNO yang mahukan calon terdiri daripada mereka dan bukannya daripada MCA. Walau bagaimanapun masuk fasa pertengahan kempen BN telah berjaya meredakannya dengan 94 peratus responden Melayu yang mengundi BN dalam PRU14 lepas bersedia untuk mengundi Wee Jeck Seng pada hari pembuangan undi nanti.

Pengundi yang memberi undi kepada PAS pada pilihan raya lepas pula tidak kekok untuk memberi undi kepada BN semasa hari pembuangan undi dengan peratusan sebanyak 82 peratus. Jelas sekali bagi pengikut PAS, mereka akur dengan arahan parti dan kepimpinan tertinggi agar memenangkan calon BN sebagaimana dibuktikan siri pilihan raya kecil di Cameron Highlands, Port Dickson, Semenyih dan Rantau.

Ditanya mengenai adakah Muafakat Nasional mampu menumbangkan kerajaan PH dalam pilihanraya akan datang, seramai 76 peratus berkeyakinan sedemikian. Mereka juga beranggapan Kerajaan dikuasai oleh DAP (69 peratus). Tambah menarik, hanya 22 peratus yang bersetuju bahawa latar belakang calon PH Hj Karmaine Sardini sebagai imam memberi kelebihan besar buat PH.

Wee Jeck Seng Lebih Unggul daripada Karmaine Sardini

Disebalik anggapan banyak pihak bahawa pemilihan calon berbangsa Cina dari MCA sebagai calon BN akan memberi kelebihan kepada PH yang menampilkan calon Melayu, ternyata pemilihan Wee Jeck Seng adalah tepat.

Wee Jeck Seng telah berdamping dengan penduduk Tanjung Piai sejak 1990-an lagi sebagai pembantu bekas Presiden MCA Ong Ka Ting merangkap Ahli Parlimen di kawasan ini (Pontian dan Tanjung Piai). Pada 2004, Wee Jeck Seng memenangi DUN Pekan Nenas yang berada bawah Parlimen Tanjung Piai sebelum memenangi kerusi Parlimen ini pada 2008 sehingga 2018.

Sepanjang observasi kempen, kami menilai Wee Jeck Seng adalah seorang yang sangat berkeyakinan dan mempunyai motivasi yang tinggi. Perwatakan beliau yang mesra menambat hati pengundi Melayu mahupun Cina. Ini dibuktikan beberapa dapatan seperti berikut.

Seramai 67 peratus responden bersetuju dengan pernyataan bahawa “calon BN mempunyai banyak jasa semasa menjadi wakil rakyat dan diterima baik oleh penduduk” manakala 18 peratus mengatakan tidak pasti dan hanya 16 peratus tidak bersetuju dengan pernyataan tersebut. Responden juga mengatakan Wee Jeck Seng mempunyai kredibiliti yang paling tinggi berbanding calon lain iaitu sebanyak 75 peratus. Hj Karmaine Sardini pula hanya mendapat keyakinan pengundi sebanyak 24 peratus sahaja.

Dapatan kualitatif turut menunjukkan bahawa calon BN ini sangat cekap membantu penduduk yang ditimpa kesusahan seperti kes bantuan ribut, rumah terbakar dan lain-lain dalam jangka masa singkat dan ini menjadi buah mulut penduduk di sini.

Cuma kekurangan Wee Jeck Seng ialah parti BN yang diwakilinya adalah pembangkang, kekurangan sumber dan kelihatannya jentera UMNO tidak sepenuhnya membantu kempen beliau namun ianya langsung tidak menjejaskan kredibiliti Wee Jeck Seng.

Meskipun Hj Karmaine Sardini adalah calon yang mewakili parti pemerintah kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan, mempunyai latar belakang seorang imam dan berkecimpung dalam bidang arkitektur, ternyata calon PH ini gagal ditonjolkan oleh jentera PH dan dilihat sebagai sangat ‘low profile’ dan tidak menonjol sepertimana Wee Jeck Seng.

Undi Cina Dijangka Beralih

Dalam kajian lapangan ini, kami mengesan akan berlaku peralihan undi Cina ke BN disebabkan beberapa faktor-faktor seperti kegagalan prestasi Kerajaan menunaikan manifesto (59.1 peratus), prestasi Kerajaan Persekutuan yang kurang memuaskan (59 peratus), prestasi Kerajaan Negeri yang kurang memuaskan (53 peratus) dan kos sara hidup semakin tinggi berbanding zaman BN (60 peratus).

Ditanya adakah kerjasama BN-PAS dalam Muafakat Nasional akan meminggirkan kaum minoriti kaum Cina, India dan lain-lain, hanya 40 peratus sahaja yang bersetuju, 37 peratus menyatakan tidak pasti dan 23 peratus mengatakan tidak bagi pernyataan ini.

Jentera BN dan PH Mendominasi Kempen

Pertembungan kali ini hanya tertumpu kepada BN dan PH sahaja. BERJASA, GERAKAN dan dua lagi calon bebas tiada dalam perkiraan pengundi di sini. Jentera BN dan PH lebih tersusun dan wujud di semua pusat daerah mengundi walaupun wujud kelompongan jentera lokal pada pihak PH.

Namun dari sudut struktur jentera pilihan raya, PH lebih tersusun berbanding siri pilihan raya kecil sebelum ini. Walau bagaimanapun, jentera PH nampaknya gagal mengambil teladan daripada siri pilihan raya sebelum ini untuk bekerja dalam satu ketumbukan yang bersepadu. Dalam pilihan raya kali ini, juga kelihatan jentera parti-parti komponen PH masih mengamalkan berkempen secara ‘silo’.

Bagi jentera kempen BERJASA, mereka hanya tertumpu di lokaliti Melayu sahaja manakala GERAKAN menumpukan kempen mereka di lokaliti Cina. Sebagai sebuah parti politik, BERJASA dan GERAKAN mempunyai kekuatan jentera mereka tersendiri walaupun kebanyakan jentera adalah terdiri daripada pihak luar.

Dari segi kempen, sesuatu yang ironi apabila BN dan sekutu mereka dalam Muafakat Nasional iaitu PAS tidak memainkan isu perkauman sebaliknya PH yang dilihat cuba memainkan isu ini dalam siri kempen mereka.

Di media sosial, ternyata jentera BN menguasai dan mendominasi medium ini berbanding jentera PH mahupun calon-calon yang lain.

Kesimpulan

Menjelang hari-hari terakhir pembuangan undi, PH mengharapkan kempen ‘grand finale’ yang dihadiri oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim akan memangkin sokongan undi kepada mereka manakala BN pula mengharapkan momentum sokongan yang diperolehi sepanjang kempen kekal bersama mereka.

Jika berlaku peralihan undi Cina, pastinya ianya suatu tamparan yang hebat kepada PH yang dilatari oleh elemen protes terhadap penyampaian perkhidmatan dan dasar di peringkat kerajaan negeri mahupun persekutuan. Namun begitu, ianya bukanlah satu ‘endorsement’ terhadap Muafakat Nasional di kalangan pengundi Tanjung Piai.

 

Laporan ini disediakan oleh panel penyelidikan ILHAM Centre yang terdiri daripada Mohd Azlan Zainal (Pengarah Eksekutif), Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik), Dr Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidik) dan Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid (Felo Penyelidik).

 

Mengenai ILHAM CENTRE

ILHAM Centre adalah merupakan sebuah firma penyelidikan bebas yang mengkhususkan kepada tinjauan awam, kajian pasaran dan data analitik dalam bidang kajian politik dan pilihanraya, polisi awam dan sosio-ekonomi. Tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan adalah menggunakan kaedah metodologi penyelidikan yang ketat sebagaimana piawaian akademik bagi menghasilkan keputusan yang kredibel, bebas dan tepat. ILHAM juga telah menubuhkan ILHAM Analytica bagi membantu penyelesaian yang lebih menyeluruh dan komprehensif.

ILHAM berpendapat, dalam usaha negara mencapai sebuah negara maju dan mempunyai peradaban yang tinggi, setiap keputusan atau sesuatu dasar yang dirangka hendaklah berasaskan data dan maklumat yang tepat. Melalui tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan, maka perkara ini akan dapat dihubungkan dan seterusnya pihak-pihak berkepentingan akan merangka sesuatu polisi dan dasar dengan lebih tepat dalam memenuhi aspirasi masyarakat dan negara.

ILHAM boleh dihubungi melalui email [email protected] mahupun website www.ilhamcentre.my.

April 16, 2019

PILIHANRAYA PRESIDEN INDONESIA 2019

JOKOWI MASIH MENDAHULUI, PRABOWO MERAPAT, ARUS BAWAH SUKAR DIJANGKA

Latar Belakang

Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI) akan mengadakan Pilihanraya Presiden (Pilpres) pada 17 April 2019 ini, 191 juta pemilih akan membuat keputusan sama ada mengekalkan Joko Widodo atau memilih Prabowo Subianto Djojohadikusumo sebagai presiden baru mereka.

Sebagai negara berjiran yang berkongsi nilai yang sama, sebarang perubahan landskap politik Indonesia yang mempunyai 267 juta penduduk ini akan turut mempengaruhi Malaysia sama ada secara langsung atau tidak.

Berdasarkan rasional itu, sebarang perkembangan dalam Pilpres 2019 ini perlu diteliti dan dicermati secara dekat oleh Malaysia, data-data ini penting untuk pertimbangan negara dalam aspek hubungan dua hala, ekonomi, budaya, keselamatan dan sebagainya.

Menyedari keperluan tersebut, firma penyelidikan ILHAM Centre telah menjalankan tinjauan sempena Pilpres Indonesia 2019 ini. Dapatan kajian yang dikongsi ini adalah hasil daripada cerapan dan tinjuan kami selama hampir 6 bulan sejak pasangan calon untuk Pilpres diumumkan pada September tahun lalu.

Pengumpulan Data

Tinjauan kami bermula pada bulan September 2018, pasukan penyelidik ILHAM Centre turun ke lapangan untuk mengumpul data-data awal maklum balas rakyat Indonesia terhadap calon-calon presiden. Pengumpulan data awal ini melibatkan seluruh Pulau Jawa.

Kemudian data dikumpul secara berterusan melalui temu bual dengan responden-responden sama ada menggunakan kaedah tatap muka secara langsung, temu bual atas talian menggunakan teks, serta temu bual atas talian menggunakan audio dan video.

Data juga dikumpul secara analisis dokumen dengan menganalisis pola-pola sokongan melalui bahan-bahan bercetak yang melibatkan akhbar, portal atas talian, media sosial dan pelbagai sumber.

Fasa akhir pengumpulan data ini dilakukan oleh pasukan penyelidik selama 10 hari bermula 8 hingga 17 April 2019 yang melibatkan sepanjang laluan Acheh, Padang, Palembang, Jakarta, Bandung, Jogjakarta dan berakhir di Surabaya. Lokasi-lokasi ini dipilih untuk tinjauan kerana mempunyai kepadatan pengundi tinggi, yang berkemungkinan boleh mempengaruhi dan menentukan keputusan keseluruhan.

Pengumpulan data akhir dijalankan secara pemerhatian, temu bual dan perbincangan kumpulan berfokus (FGD). Selain pemerhatian dan temu bual dengan masyarakat awam, data juga dikumpul secara FGD bersama penyelidik daripada pelbagai universiti tempatan Indonesia, lembaga-lembaga survei Indonesia, rakan-rakan media Indonesia dan penggiat-penggiat partai politik di sini.

Dapatan kajian turut diperkukuhkan dengan membuat simulasi data undi yang diperolehi oleh setiap calon bagi setiap provinsi pada Pilpres 2014, serta mengganggar undi yang bakal diperolehi pada Pilpres 2019 berdasarkan peratusan perubahan undi yang akan diperolehi oleh setiap calon. Peratusan perubahan undi tersebut dianggar berdasarkan pola sokongan yang kami temui sepanjang pengumpulan data lapangan.

Sokongan Provinsi Ketara Berbeda

Pada peringkat akhir tinjauan ini, dapatan menunjukkan populariti Prabowo-Sandi semakin berkembang dengan pantas terutamanya di wilayah Kepulauan Sumatera dan kawasan-kawasan yang dilabel sebagai basis muslim. Fenomena ini jelas dapat dikesan di beberapa lokaliti seperti Aceh, Medan, Riau, Padang, Palembang, Bengkulu dan Lampung di mana rata-rata kempen besar Jokowi-Amin tidak begitu mendapat sambutan.

Faktor penolakan kepada Jokowi semakin membesar di kepulauan ini. Hujah dan faktor penolakan hampir sama malah serupa. Pengundi seakan telah mempunyai sikap hanya menunggu masa untuk membuang undi. Persepsi pemerintahan Jokowi sebelum ini antara kritikan besar.

Dokongan kepada Prabowo banyak dipengaruhi faktor penolak kepada Jokowi, khususnya dipersepsi tidak prihatin kepada Islam, tidak mesra ulama, peningkatan tenaga kerja asing khususnya dari China, kurang peluang kerja, peningkatan kos sara hidup, kejatuhan harga komoditi tempatan dan sebagainya.

Pernyataan sokongan para penyokong Prabowo majoritinya lebih bersifat politik identiti iaitu membawa naratif agama, kaum, hak warganegara dan kekukuhan rupiah serta harga komoditi berbanding pada pihak pendokong Jokowi yang lebih berbicara persoalan pembangunan, material dan kelangsungan ekonomi republik ini.

Peratusan kecil pemilih yang mendokong Jokowi di Sumatera ini atas faktor pembinaan infrastruktur, program-program kebajikan, serta perwatakan yang lebih mesra. Antara kempen mereka adalah pilihlah capres yang ramah, bukan yang marah-marah (dirujuk kepada Prabowo yang tegas, berlatar belakang pegawai tentera).

Dapatan berbeda di wilayah Kepulauan Jawa di mana pola sokongan pemilih terpecah mengikut segmen dan sentimen. Walaupun kedudukan geografi Kepulauan Jawa lebih kecil, tetapi kepadatan penduduk yang tinggi membolehkan pola undi mereka jadi faktor penentu Presiden NKRI ini. Jumlah penduduk yang yang berada di wilayah ini sahaja mewakili hampir 60 peratus daripada 190,770,329 pemilih berdaftar.

Kemenangan Anies Beswedan dalam Pemilihan Gabenor di provinsi DKI Jakarta yang didokong oleh kem Prabowo dan basis yang kuat di provinsi Jawa Barat memberi kelebihan kepada Prabowo untuk kekal memberikan saingan di Kepulauan Jawa. Bagi pasangan nombor urut satu (01), pengukuhan Partai Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P) di provinsi Jawa Tengah atau lebih sinonim dengan panggilan kubu kuat ‘banteng’ dibantu pengaruh Nahdatul Ulama (NU) di provinsi Jawa Timur memberikan impak positif kepada Jokowi pada peringkat awal.

Menjelang hari-hari tenang, pola ini seakan berubah di mana wujud lonjakan sokongan kepada Prabowo-Sandi yang menular secara organik sejak kempen besar (kampenya akbar) pada tanggal 7 April di Gelora Bung Karno. Sambutan luar biasa kempen bermula saat Subuh, apabila penyokong keluar beramai-ramai membanjiri Gelora Bung Karno. Simptom ini merebak cepat ke seluruh Tanah Jawa di mana dapat diperhatikan pada siri-siri kempen di Jawa Barat, Jawa Tengah, Yogyakarta dan Jawa Timur.

Sokongan Prabowo seakan terpisah di bahagian Timur Indonesia di mana Jokowi masih lagi mengungguli di wilayah Kalimantan, Nusa & Bali, Kepulauan Sulawesi, dan Papua & Maluku khususnya.

Naratif Berbeda: Agama, Kaum, Hak Warganegara vs Pembangunan Material dan Infrastruktur

Dalam menunjangi kempen Pilpres kali ini kedua-dua kem memanipulasi naratif yang berbeda. Pada sisi Jokowi-Amin pengalaman memerintah dilihat lebih memberikan harapan, wajar diberikan peluang untuk disudahi pada tempoh sepenggal lagi. Namun pada sisi Prabowo-Sandi, sentimen agama, kaum, kedaulatan negara dan hak warganegara digarapkan sebaiknya bagi memangkin penolakan kepada Jokowi-Amin walaupun pada hakikatnya majoriti pemilih tidak mempunyai pilihan lain selain itu.

Pengaruh Nahdatul Ulama dan Pendirian Muhammadiyyah

Dalam Pilpres kali ini jelas dua institusi umat Islam terbesar di Indonesia sangat signifikan terhadap sokongan kepada pasangan calon yang bertanding. Nahdatul Ulama secara terang-terangan telah mengeluarkan deklarasi secara terbuka menyokong pasangan nombor satu ditambah pula apabila pasangan Jokowi, calon wakil Presiden iaitu Kiyai Haji Ma’ruf Amin itu adalah pimpinan tertinggi Nahdatul Ulama. Pemilihan Kiyai Ma’ruf Amin ini juga adalah reaksi Jokowi bagi meneutralisasi serangan sentimen anti agama ke atas dirinya.

Di sisi Muhammadiyyah tiada sebarang pendirian khusus dikeluarkan namun secara partisipasi politik, partai seperti PPP, PAN, PKS termasuk kecenderungan kader atau ahlinya sangat dekat kepada pasangan Prabowo-Sandi.

Partai-Partai Dokongan

Kelebihan berpihak kepada Jokowi-Amin di mana sepuluh partai menyatakan dokongan iaitu PDI-P, GOLKAR, PBB, PKB, PPP, NASDEM, HANURA, PKPI, PERINDO dan PSI. Manakala partai yang mengusung pasangan Prabowo-Sandi hanya lima partai sahaja iaitu GERINDRA, PKS, PAN, Partai Demokrat dan Partai Berkarya.

Pemilihan Umum Indonesia 2019 kali ini jelas berbeza di mana Pilihanraya Presiden dan Pilihanraya Legislatif dilakukan secara serentak. Tumpuan partai lebih tertumpu untuk memenangkan partai masing-masing bagi mengisi kerusi di Dewan Pewakilan Rakyat (DPR).

Selain itu, walaupun komposisi partai pengusung meletakkan Jokowi-Amin di depan namun dalam tinjauan kami, penilaian pemilih lebih kritikal dan serius menilai calon di peringkat Pilpres tetapi rencam dalam memilih partai pada peringkat legislatif.

Pasangan Calon Presiden dan Wakil Presiden

Dalam dapatan kami, Jokowi lebih dominan ke depan dalam massa berbanding pasangannya Ma’ruf Amin. Berbekal pengalaman sebagai Presiden yang mempertahankan jawatan dengan perwatakan sederhana sangat membantu Jokowi. Penerimaan ini dikukuhkan lagi dengan faktor pengaruh agama yang melengkapi Ma’ruf Amin. Walaupun dalam menterjemahkan visi, misi dan kerja buat pasangan ini mempunyai kelebihan kerana memahami selok belok pemerintahan, namun ianya tidak begitu menonjol dalam lima siri pusingan debat Pilpres.

Bagi pasangan Prabowo-Sandi, perwatakan tegas Prabowo dilihat sedikit negatif bagi pemilih kerana dilihat tidak mesra namun peribadi ini pada anggapan sebahagian besar penyokong mereka sangat diperlukan untuk memimpin negara. Pemilihan sosok Sandiaga Salahuddin Uno sebagai calon wakil presiden kepada Prabowo pula tampak membantu imej Prabowo. Watak Sandi yang tenang, mempunyai kelulusan yang tinggi, latar belakang sebagai ahli perniagaan yang berjaya dan mempunyai perwatakan yang menarik berjaya menambat hati segmen milenial (anak muda) dan wanita.

Wong Cilik (berpendapatan rendah) dan Segmen Pemilih Pertengahan

‘Wong Cilik’, segmen terbesar yang lebih bersifat diam dan mengikut ini dilihat terpecah tetapi masih dikesan memberikan sokongan kepada pasangan Jokowi-Amin. Tahap penilaian golongan ini tidak begitu kritikal jika dibandingkan dengan golongan pemilih pertengahan.

Pemberian beberapa jenis kartu (kad subsidi) seperti Kartu Sembako Murah, Kartu Indonesia Pintar dan Kartu Pra Kerja yang baru diperkenalkan di era pemerintahan Jokowi merupakan antara bahan kempen terbesar yang menyasarkan kelompok ini. Kempen pembangunan material, infrastruktur jalan perhubungan darat dan prasarana di pelbagai daerah termasuk pemberian geran tanah segera serta keupayaan Indonesia menganjurkan acara-acara besar bertaraf antarabangsa juga merupakan antara bahan kempen yang digunakan oleh tim kempen Jokowi-Amin bagi mendapatkan sokongan.

Bagi golongan pertengahan terutamanya pengusaha dan mereka yang berada di kota, mereka lebih kritikal kepada isu-isu yang menyentuh kehidupan seharian mereka seperti kesan pajak (cukai) yang tinggi, harga bahan bakar minyak (bbm) yang tidak stabil malah meningkat, isu harga barang mahal, kos sara hidup naik dan harga komoditi khususnya sawit dan getah yang tidak menentu. Walaupun tidak dinafi bahawa banyak infrastruktur dan prasarana yang telah dibangunkan, namun semua ini masih belum dapat memberi solusi kepada isu-isu yang dibangkitkan tadi.

Faktor Dokongan Tokoh Agama dan Ulama

Saat-saat akhir menjelang pungutan suara, penzahiran sokongan tokoh-tokoh agama dan jelas ketara. Pendirian sebegini memberi impak besar kepada majoriti masyarakat yang kuat beragama dalam kehidupan. Penzahiran oleh tokoh-tokoh agama ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Pilpres Indonesia.

Pengisytiharan sokongan terbuka ulama berpengaruh Ustaz Abdul Somad dan Ustaz Adi Hidayat kepada pasangan Prabowo-Sandi telah memangkin sokongan gerakan mereka yang mahukan perubahan. Walaupun pada peringkat awalnya slogan #GantiPresiden yang digerakkan oleh Partai Keadilan Sejahtera sebagai partai akar umbi berbasis Islam lebih mendominasi namun akhirnya pernyataan dua tokoh massa ini lebih memberi kesan bagi menterjemahkan keyakinan pemilih.

Kepergian Jokowi ke Mekah pada tiga hari sebelum hari mengundi untuk menunaikan umrah dan tular gambar beliau masuk ke dalam kaabah pula dilihat sebagai senjata terakhir untuk menambat hati pemilih yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia.

Kesimpulan: Gelombang Sumatera, Arus Bawah Sukar Diramal

Dapat dirumuskan dalam 10 hari tinjauan akhir kami, gelombang pasangan Prabowo-Sandi terus bergerak maju secara signifikan. Menjelang baki 12 jam terakhir sebelum pembuangan undi, bermula dari Sumatera hingga ke Surabaya simptom-simptom ‘arus bawah’ untuk berubah ini dikesan makin merapati pasangan Jokowi-Amin, namun arus ini masih sukar diramal secara tepat.

Persaingan masih terbuka, Prabowo-Sandi belum kalah dan Jokowi-Amin masih mempunyai kelebihan di hadapan. Sekiranya gelombang ini membadai ke Kepulauan Jawa, maka tanpa ragu pasangan calon Prabowo-Sandi mampu bakal keluar sebagai pemenang dengan majoriti tipis.

 

Disediakan oleh

Panel Penyelidik ILHAM Centre

April 12, 2019

PILPRES 2019: PRABOWO UNGGUL DI KEPULAUAN SUMATERA, POLA SOKONGAN PROVINSI DIKESAN BERBEDA

Latar Belakang

Republik Rakyat Indonesia akan mengadakan Pilihanraya Presiden (Pilpres) pada 17 April ini, 193 juta akan membuat keputusan sama ada mengekalkan Jokowi atau memilih Prabowo sebagai presiden mereka.

Sebagai negara berjiran yang berkongsi nilai yang sama, sebarang perubahan lanskap politik Indonesia yang mempunyai 267 juta penduduk ini akan turut mempengaruhi Malaysia sama ada secara langsung atau tidak.

Berdasarkan rasional itu, sebarang perkembangan dalam Pilpres 2019 ini perlu diteliti dan dicermati secara dekat oleh Malaysia, data-data ini penting untuk pertimbangan negara dalam aspek hubungan dua hala, ekonomi, budaya, keselamatan dan sebagainya.

Menyedari keperluan tersebut, firma penyelidikan ILHAM Centre telah dan sedang menjalankan tinjauan untuk Pilpres Indonesia 2019. Dapatan kajian ini akan dikongsi kepada khalayak awam untuk diambil manfaat secara bersama.

Pengumpulan Data

Tinjauan kami bermula pada bulan September 2018, pasukan penyelidik ILHAM Centre turun ke lapangan untuk mengumpul data-data awal maklum balas rakyat Indonesia terhadap calon-calon presiden. Pengumpulan data awal ini melibatkan seluruh Pulau Jawa.

Kemudian data dikumpul secara berterusan melalui temu bual dengan responden-responden sama ada menggunakan kaedah tatap muka secara langsung, temu bual atas talian menggunakan teks, serta temu bual atas talian menggunakan audio dan video.

Data juga dikumpul secara analisis dokumen dengan menganalisis pola-pola sokongan melalui bahan-bahan bercetak yang melibatkan akhbar, portal atas talian, media sosial dan pelbagai sumber.

Fasa akhir pengumpulan data ini dilakukan oleh pasukan penyelidik selama 10 hari bermula 8 hingga 17 April 2019 yang melibatkan sepanjang laluan Acheh, Padang, Palembang, Surabaya, Jogjakarta, Bandung dan Jakarta, kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan pengundi yang tinggi.

Selain penyelidik ILHAM Centre dan Universiti Malaysia Terengganu, pengumpulan data fasa akhir ini turut dibantu oleh penyelidik-penyelidik daripada Universitas Malikussaleh, Universitas Teuku Umar, Universitas Islam Negeri Aceh, Universitas Syiah Kuala, Universitas Abulyatama, Universitas Sriwijaya, Universitas Negeri Padang, Universitas Andalas, Universitas Muhammadiyah Ponorogo, Universitas Muhammadiyah dan Universitas Gadjah Mada Yogyakarta, Universitas Muhammadiyah HAMKA dan penyelidik-penyelidik daripada beberapa institusi akademik dan sosial yang lain.

Selain itu, pengumpulan data akhir ini turut dibantu oleh beberapa firma-firma tinjauan bebas yang merupakan rakan strategik ILHAM Centre. Rumusan dapatan daripada data-data ini akan digunakan untuk membuat peramalan akhir yang akan dikongsi kepada khalayak nanti.

Dapatan Semasa

Pada peringkat awal tinjauan Sept 2018, dapatan menunjukkan Jokowi lebih popular berbanding pesaingnya Prabowo, ini banyak dibantu oleh media-media utama Indonesia yang banyak mendokong presiden tersebut.

Namun menuju kemuncak kempen, sokongan terhadap Prabowo berkembang dengan pantas terutamanya di Pulau Sumatera dan kawasan-kawasan yang dilabel sebagai basis muslim.

Pada bulan Mac lalu, persaingan antara Jokowi dan Prabowo cukup sengit dan seimbang. Tetapi menjelang detik-detik akhir menjelang saat pembuangan undi pada tanggal 17 April ini, dinamik pola pengundian kian kepada pasangan calon nombor 2 bergerak dan jelas ketara.

Fenomena ini dikesan di negeri utama di Aceh, Medan, Riau, Padang, Palembang, Bengkulu dan Lampung di mana-mana rata kempen besar Jokowi-Amin tidak begitu mendapat sambutan.

Faktor penolakan kepada Jokowi semakin membesar di Kepulauan ini. Hujah dan faktor penolakan hampir sama malah serupa. Pengundi seakan telah mempunyai sikap hanya menunggu masa untuk membuang undi. Persepsi pemerintahan Jokowi sebelum ini antara kritikan besar.

Dokongan kepada Prabowo banyak dipengaruhi faktor penolak kepada Jokowi, khususnya dalam aspek tidak prihatin kepada Islam, tidak mesra ulamak, peningkatan tenaga kerja asing khususnya dari China, peningkatan kos sara hidup, kejatuhan harga komoditi tempatan dan sebagainya.

Pernyataan sokongan para penyokong Prabowo majoritinya lebih bersifat politik identiti iaitu membawa naratif agama, kaum dan hak warganegara berbanding pada pihak pendokong Jokowi yang lebih berbicara persoalan pembangunan, material dan kelangsungan ekonomi republik ini.

Peratusan kecil pemilih yang mendokong Jokowi di Sumatera ini atas faktor pembinaan infrastruktur, program-program kebajikan, serta perwatakan yang lebih mesra. Antara kempen mereka adalah pilihlah capres yang ramah, bukan yang marah-marah (dirujuk kepada Prabowo yang tegas, berlatar belakang pegawai tentera).

Walaupun Sumatera seolah telah menyatakan sikap namun, pertembungan di Kepulauan Jawa tetap akan menentukan kalah menang PilPres kali ini. Walaupun geografi Pulau Jawa lebih kecil, tetapi kepadatan penduduk yang tinggi membolehkan pola undi mereka jadi faktor penentu Presiden RRI ini.

Sehingga kini, kami masih giat mengumpulkan data dan informasi lapangan. Yang jelas diketahui, segmentasi pemilih terpecah kepada tema-tema besar dalam menyatakan dokongan, antaranya;

1. Kritikal persoalan ekonomi, sara hidup, harga barang dan harga komoditi getah serta sawit dengan ditambah kejatuhan rupiah.
2. Isu hak Beragama dan leluhur hidup bangsa dalam meraikan kepelbagaian ragam etnik dan rencam budaya.
3. Penilaian kritis terhadap sosok tubuh calon Presiden, wakilnya dan polisi-polisi ke depan.
4. Sisi pernyataan dokongan dan partisipasi para ulamak, tokoh agama dan dua institusi besar Agama Indonesia iaitu di antara Nahdatul Ulama (NU) dan Muhammadiyyah.

Perhimpunan dalam kempen besar bukanlah ukuran sebenar tetapi tidak lebih hanya sekadar boleh mengukur wujudnya lonjakan perubahan kerana jutaan pemilih masih berada di pinggir kota dan desa, sifat diam dan sukar dijangka. Menjelang 5 hari terakhir pasti ia bakal menjadi lebih menarik.

Jumpa kami di himpunan kempen besar Jokowi-Amin di Gelora Bung Karno, Jakarta!

#PilPres2019
#TeamILHAM

April 11, 2019

PILIHANRAYA KECIL N27 RANTAU

FAKTOR TOK MAT BANTU BN MENANG SELESA

Pendahuluan

Pilihanraya Kecil N27 Rantau diadakan selepas mahkamah membatalkan kemenangan tanpa bertanding yang diraih Barisan Nasional (BN) dalam PRU 14 yang lalu. ILHAM Centre telah menjalankan tinjauan akhir pada 6 hingga 10 April 2019 untuk mengenal pasti maklum balas pengundi terhadap isu-isu berbangkit serta melihat pola sokongan terhadap calon dan parti yang bertanding.

Kajian secara tatap muka ini melibatkan 396 responden yang merupakan pengundi DUN Rantau mewakili semua segmentasi kaum, jantina, umur dan lokaliti. Data dikumpul oleh penyelidik menggunakan soal selidik dan protokol temu bual separa berstruktur. Data kajian dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik.

Dapatan kajian menunjukkan BN dijangka memenangi kerusi ini setelah menang tanpa pertandingan pada Pilihan Raya Umum ke-14 sebelum ini. Demografi Rantau menunjukkan pengundi Melayu mempunyai 53 peratus, India 27 peratus, Cina 19 peratus dan lain-lain 1 peratus meliputi 14 pusat daerah mengundi (PDM). Pakatan Harapan (PH) sukar untuk mendapatkan undi Melayu dan bergelut mempertahankan sokongan bukan Melayu terutamanya pengundi India.

Faktor Tok Mat Yang Dominan

Calon BN, Mohamad Hassan atau Tok Mat ternyata unggul dan diterima oleh semua segmen pengundi termasuk pengundi India dan Cina. Trek rekod beliau sebagai Menteri Besar dan ADUN Rantau selama tiga penggal serta anak jati Rantau memberi kelebihan besar dalam kempen pilihanraya kecil ini, dapatan menunjukkan seramai 87.4 peratus responden bersetuju dengan faktor ini. Pendekatan beliau yang mudah mesra, kerap turun padang bertemu rakyat, merendah diri dan prihatin dengan kebajikan rakyat menambat hati pengundi di sini. Responden juga bersetuju bahawa Tok Mat mempunyai kredibiliti yang lebih tinggi sebanyak 81.6 peratus berbanding calon PH, Dr S Streram 17.7 peratus dan lain-lain calon.

Dr S Streram ditanggapi oleh responden sebagai bukan anak tempatan dan tidak dikenali oleh penduduk di sini. Bahkan Ketua Cabang PKR Rembau, R. Tanggam lebih popular dan dikenali oleh pengundi.

Berlaku Peralihan Undi Kepada BN

Berasaskan soalan yang ditanya dalam soal selidik, terdapat peralihan undi yang dijangka berlaku daripada PH kepada BN sebanyak 24.5 peratus. Analisis perbandingan ini adalah menggunakan ‘scoresheet’ P131 Rembau bagi DUN Rantau. Peralihan undi ini berlaku disebabkan faktor kredibiliti Tok Mat (81.6 peratus), isu kos sara hidup (66.7 peratus), kegagalan PH menunaikan janji manifesto (65.4 peratus), prestasi kerajaan negeri yang tidak memuaskan (50.8 peratus), serta pengundi Melayu mempersepsi PH gagal membela Melayu-Islam (85.6 peratus).

Undi India Terpecah Dua

Walaupun keputusan menamakan S. Streram sebagai calon PH dilihat boleh menarik undi daripada segmen India yang mewakili 27 peratus komposisi pengundi, namun dapatan menunjukkan sebaliknya. Hanya 46.6 peratus sahaja yang telah memberi komitmen untuk mengundi S. Streram, selebihnya cenderung untuk mengundi BN dan belum membuat keputusan. Antara faktor yang menyumbang dapatan ini adalah faktor populariti Tok Mat dan S. Streram pula dilihat orang luar yang kurang dikenali. Sebaliknya pengundi India di sini lebih mengenali R. Tanggam, Ketua Cabang PKR Rembau.

Selepas pertukaran kerajaan, segmen kebajikan pengundi India yang dahulunya majoriti mengundi PH nampaknya gagal ditangani dengan baik oleh Kerajaan.

Seakan wujud kekecewaan segmen pengundi India terhadap Kerajaan khususnya yang melibatkan pembelaan terhadap tahap ekonomi dan kebajikan mereka.

Ketiadaan pemimpin India yang wibawa di dalam Kerajaan yang mampu ke hadapan membela nasib mereka menjadi punca utama berlalu perubahan ketara kepada pola pengundian di kalangan pengundi India di Dun Rantau dalam pilihan raya kecil kali ini.

Jentera PH Gagal Menerobos Undi Melayu

Walaupun telah melalui beberapa siri pilihanraya kecil, jentera PH masih lagi dilihat terpisah dan tidak dikoordinasi sebagai sebuah pakatan antara PKR, Bersatu, Amanah dan DAP. Mereka bergerak mengikut jentera parti masing-masing dan tiada penyelarasan yang tersusun. Jentera PKR lebih dominan dan penglibatan jentera parti lain dilihat sangat minima. Ini menggambarkan struktur jentera PH masih lagi kabur di mata akar umbi.

Kempen PH nampaknya terlalu bergantung kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam memobilisasi gerakan kempen di sini. Siri-siri kempen pimpinan PH yang lain tidak memberikan impak besar kepada pengundi. Hanya strategi ceramah kelompok sedikit membantu untuk menarik pengundi tetapi ia masih tidak mencukupi. Ini ditambah pula jentera PH banyak digerakkan oleh jentera luar berbanding jentera BN yang lebih banyak digerakkan oleh orang tempatan yang diketuai oleh Tok Mat sendiri. Jentera BN dilihat lebih fokus dan sistematik kepada kumpulan sasaran sepanjang kempen berjalan. PH pula terlalu menumpukan isu-isu pra pilihanraya umum ke-14 dan tidak dilihat sebagai sebuah parti Kerajaan.

Kesimpulan

Persaingan saat akhir masih terbuka namun ia kelihatan laluan getir buat PH. Kemenangan BN seolah telah terjamin dalam pilihanraya kecil ini. Untuk kekal bersaing, PH memerlukan strategi ampuh bagi mengekang kemaraan BN.

Kurang 48 jam berbaki, penilaian kempen di Rantau tertumpu sejauh mana PH dapat mengekalkan undi India dan Cina yang diperolehi dalam pilihanraya lepas di samping mencuri sedikit undi Melayu sekurang-kurangnya 20 peratus.

Jika semua ini gagal didapati, BN bakal keluar sebagai pemenang dengan majoriti selesa.

 

Panel Penyelidik ILHAM CENTRE

11 April 2019

 

March 1, 2019

Pilihan Raya Kecil N24 Semenyih

PH BERGELUT MEMPERTAHANKAN UNDI MELAYU DI SEMENYIH

Pendahuluan

Tinjauan akhir ILHAM Centre dalam Pilihan Raya Kecil N24 Semenyih menyaksikan Barisan Nasional mampu melakukan kejutan dengan menafikan status quo kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 sebelum ini.

Demografi Semenyih menunjukkan pengundi Melayu adalah majoriti dengan 68 peratus dan mempunyai 17 pusat daerah mengundi majoriti pengundi Melayu daripada 21 keseluruhan pusat daerah mengundi. Pakatan Harapan kelihatan bergelut untuk mempertahankan undi pengundi Melayu di Semenyih kerana beberapa faktor dan elemen kemenangan seakan-akan serba tidak menjadi sepanjang tempoh kempen berlaku.

PH sekarang ini memerlukan formula ajaib iaitu peratus keluar mengundi dan aras sokongan pengundi kekal sebagaimana PRU-14 yang lalu. Sekiranya perkara ini tidak berlaku, BN mampu menang tipis di Semenyih.

Dapatan ini kami temui menerusi kajian yang dilakukan secara tatap muka bermula pada 26-28 Februari 2019, kami telah menemui 378 responden di DUN Semenyih meliputi semua segmentasi kaum, jantina dan umur pengundi serta lokaliti. Dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata, ralat kajian yang ditemui ialah 2.15 peratus.

Strategi PH Tidak Efektif

PH terlalu defensif dalam segenap aspek sama ada melibatkan kesepaduan jentera, calon yang ditampilkan malahan isu-isu yang diketengahkan. Nampaknya PH belum berjaya menyelesaikan perkara pokok iaitu mewujudkan struktur jentera yang bersepadu di antara keempat-empat parti komponen mereka. Perkara ini boleh dilihat secara jelas oleh pengundi bahawa susunatur program kempen dan koordinasi jentera tidak melambangkan PH sebagai sebuah parti kerajaan.

Selaku parti kerajan, kekuatan jentera merupakan elemen penting dalam mengarahkan serangan kepada pihak lawan secara tersusun. Di Semenyih, PH tidak mempunyai pengarahan berpusat yang menyusun pola penempatan jentera kempen, naratif isu yang dibawa dan menangkis serangan pihak lawan.

Jentera PH nampaknya terlalu bergantung kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memobilisasi gerakan kempen di sini. Siri-siri kempen pimpinan PH yang lain tidak memberikan impak besar kepada pengundi. Hanya pada pusingan akhir ceramah Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang berjaya berbanding yang lainnya.

Calon PH Kurang Wibawa

Calon PH Aiman Zainali tidak mempunyai aura yang cukup untuk menggalas sebagai calon parti kerajaan di Semenyih. Tahap penerimaan pengundi terhadap calon berada pada paras 34.4 peratus merupakan aras yang menunjukkan calon ini tidak mampu menyakinkan pengundi yang ditemui dalam kajian ini.

Melihat usaha keras yang dilakukan oleh pihak jentera dalam menyusun program kempen calon nampaknya tidak mampu mengangkat nama dan wibawa calon PH ini. Segala usaha yang dilakukan oleh Aiman Zainali ini kelihatan tidak serba tidak menjadi dan menyebabkan peralihan perhatian menyebelahi calon BN Zakaria Hanafi. Kematangan calon menjadi kayu ukur penilaian pengundi.

Calon PSM dan Bebas pula tidak berjaya meraih sokongan pengundi dalam pilihan raya kecil ini. Trend ini menunjukkan tumpuan hanya tertumpu kepada dua parti terbesar yang mengambil tempat dalam pilihan raya kecil ini.

Motivasi BN di Aras Tinggi

Selepas menang dalam Pilihan Raya Kecil P78 Cameron Highlands yang lalu, nampaknya momentum kemenangan BN berjaya menyuntik semangat jentera untuk memberikan tekanan kepada PH. BN ternyata lebih berfokus, gerak kerja yang lebih tersusun di samping penguasaan isu media sosial memberi kelebihan kepada BN dalam pilihan raya kecil kali ini.

Sebagai oposisi, titik serangan BN tertumpu kepada membangkitkan kegagalan Kerajaan PH menunaikan janji manifesto mereka. Elemen perkauman dan agama melengkapkan ramuan untuk memulihkan sokongan pengundi Melayu yang beralih arah pada pilihan raya umum yang lalu.

Kempen “Bossku” oleh Najib Razak juga berjaya meraih perhatian masyarakat setempat. Gerakan bersendiri Najib Razak di dalam kempen di Semenyih menjadi nilai tambah dan pelengkap kepada BN secara tidak langsung malah boleh dikatakan kempen ini cukup signifikan untuk membantu BN di sini. Dapatan menunjukkan 56.6 peratus bersetuju bahawa kempen Najib Razak di Semenyih memberi kesan positif kepada BN.

Pendirian PAS Yang Mengelirukan

Berdasarkan pemerhatian kami, senario kerjasama antara dua parti Melayu PAS dan UMNO di Semenyih tidak mempunyai komitmen yang sama sepertimana di Cameron Highlands. PAS tidak agresif menyerang PH dan pemimpin tertinggi PAS, Dato’ Seri Haji Hadi Awang tidak turun membantu kempen Barisan Nasional.

Walau bagaimanapun, rata-rata ahli dan penyokong PAS yang ditemui bersedia untuk memberi undi kepada BN. Isu sentimen Melayu-Muslim menjadi pendorong utama mereka dalam melakukan perubahan undi selain arahan daripada pimpinan PAS walaupun pada mulanya signal yang berbeza daripada pimpinan tertinggi PAS. Meskipun demikian, menerusi kajian lapangan yang kami lakukan, terdapat kira-kira 84 peratus pengundi PAS dalam PRU-14 bersedia untuk mengundi BN dalam pilihan raya kecil kali ini.

Isu Nasional Lebih Dominan

Dapatan kajian menunjukkan pengundi di sini lebih tertarik dengan isu-isu yang melibatkan perkembangan dalam negara dan kerajaan sebanyak 73.3 peratus berbanding 26.7 peratus melibatkan isu-isu tempatan.

Antara soalan yang ditanya berkaitan isu nasional iaitu pengumuman cadangan Kerajaan PH untuk menggantikan tol di empat lebuh raya dengan caj kesesakan serta pemberian tol percuma antara jam 11 malam hingga 5 pagi – tidak mengujakan responden yang ditemui. Sebanyak 61.4 peratus menyatakan mereka tidak teruja dengan pengumuman tersebut dan bakinya menyambut baik inisiatif kerajaan ini.

Dapatan-dapatan yang ialah; 74.6 peratus responden bersetuju bahawa Kerajaan PH gagal menunaikan janji manifesto; dan 58.7 peratus bersetuju bahawa Kerajaan PH gagal membela Melayu-Muslim sejak mengambil alih kerajaan persekutuan.

Kesimpulan: Pertembungan Memenangi Hati Melayu

Kemenangan PH dalam pilihan raya umum yang lalu disumbangkan oleh ‘swing’ pengundi Melayu kelas menengah yang berada di lokaliti bandar dan separa bandar di Semenyih. Penolakan pengundi kepada Najib Razak dan kelemahan Kerajaan Barisan Nasional menyumbang lonjakan undi Melayu terhadap PH.

Kurang 24 jam berbaki, penilaian kempen di Semenyih tertumpu sejauh mana PH dapat memenuhi ekspektasi pengundi Melayu kelas menengah yang kritikal dan rasional dalam membuat pertimbangan dalam undi mereka Sabtu ini.

BN pula berada di sudut oposisi yang mempunyai kelebihan untuk menyerang, menguasai naratif membangkitkan kelemahan Kerajaan PH, memainkan sentimen Melayu-Muslim yang gagal dibela oleh Kerajaan PH serta sambutan terhadap Najib Razak seakan-akan merubah sedikit pola pengundian pengundi Melayu. Sekiranya ini berjaya dilakukan dengan menarik semula undi Melayu kembali kepada BN, maka BN bakal membuat kejutan dalam pertembungan kali ini.

ILHAM CENTRE

1 Mac 2019

25 Jan 2019

Pilihanraya Kecil P078 Cameron Highlands

BN DIJANGKA MENANG, UNDI MELAYU MENINGKAT

PENDAHULUAN

Pilihanraya kecil Cameron Highlands kali ini menyaksikan pertembungan kali pertama antara Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan melawan Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Barisan Nasional. Pola terakhir pengundian menyaksikan kedua-dua parti cuba untuk meraih sokongan orang Melayu dan Orang Asli. 

Tinjaun akhir ILHAM CENTRE, yang dilakukan secara secara tatap muka bermula 22-24 Januari 2018, kami telah menemui 402 responden di P078 Cameron Highlands meliputi semua segmentasi kaum, jantina dan umur pengundi serta lokaliti. Dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata, ralat kajian yang ditemui ialah 2.03 peratus.

CALON BN DAN PH MENDOMINASI

Menuju ke saat-saat akhir kempen hanya calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sahaja di lihat mendominasi jauh meninggalkan calon bebas yang lain. Ini jelas apabila bahan-bahan kempen calon bebas sukar ditemui sepanjang jalan dari Tanah Rata menuju ke Jelai. Hatta kelibat mereka turun berkempen susah untuk ditemui. Ramli Mohd Nor, calon Barisan Nasional kelihatannya mendapat tempat di sisi orang Melayu di Dun Jelai manakala calon Pakatan Harapan, M.Manogaran pula mempunyai tapak sokongan orang bukan Melayu yang kebanyakannya berada di Dun Tanah Rata.

Calon bebas Sallehudin Ab Talib merupakan penduduk tempatan di Dun Jelai dan dikenali oleh penduduk setempat. Namun beliau bukanlah pemimpin yang sebelum ini mempunyai jasa terhadap masyarakat. Keputusannya bertanding nampaknya tidak mampu menyaingi calon yang lain terutama dalam menarik sokongan pengundi Melayu.

BN BERTANDING, PAS GERAKKAN JENTERA

Walaupun Barisan Nasional yang bertanding namun PAS telah menggerakkan jentera kempen secara agresif. Ini dapat dilihat apabila Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang sendiri telah turut sama berkempen untuk menarik sokongan pengundi PAS kepada Barisan Nasional. Orang PAS tempatan yang ditemui begitu gembira pemimpin mereka turun sendiri di tempat mereka dan berpeluang bertemu mata. 

Ini juga terbukti apabila setiap pemimpin kanan PAS di peringkat nasional, negeri mahupun tempatan turun untuk berkempen dan menyakinkan penyokong-penyokong PAS untuk mengundi calon BN bagi memastikan BN mampu mengekalkan kemenangan di Cameron Highlands.

SENSITIVITI MELAYU-ISLAM

Isu berkaitan sensitiviti Melayu Islam telah berjaya digunapakai untuk mempengaruhi orang Melayu untuk menolak Pakatan Harapan. Jika sebelum pilihanraya umum yang lalu kerisauan mereka Pakatan Harapan akan mempengaruhi hak orang Melayu dan memudaratkan Islam. Namun ianya seolah-olah terbukti apabila satu demi satu isu Melayu dan orang Islam gagal ditangani dan ditangkis oleh Pakatan Harapan. Sikap defensif dan kelemahan Pakatan Harapan dalam soal isu Melayu-Islam dimanipulasi sebaiknya oleh BN untuk terus memangkin penolakan terhadap Pakatan pada pilihanraya kecil kali ini.

Inilah senjata utama yang telah digunakan oleh Barisan Nasional dalam siri-siri kempen mereka. Menjadi pembangkang menjadikan Barisan Nasional perlu memikirkan strategi yang lain untuk menarik undi berbanding sebelumnya menjadi Kerajaan apabila tawaran projek, sumbangan, insentif dan janji-janji menjadi bahan utama kempen mereka sebelum ini.

ISU LOKAL SETEMPAT

Penduduk di Felda Sungai Koyan masing-masing merungut apabila harga komoditi sawit jatuh merundum sejak Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya. Pada mereka Pakatan Harapan tidak bersungguh untuk membantu mereka dan wujud tafsiran mengatakan Pakatan Harapan sengaja berbuat demikian untuk membalas dendam pada peneroka yang telah memilih Barisan Nasional pada pilihanraya yang lepas.

Bagi golongan muda dan generasi kedua Felda juga isu perumahan yang tidak selesai menjadi serangan mereka terhadap Pakatan Harapan. Menjadi tanda tanya buat penduduk setempat bilakah janji-janji kepada peneroka sebelum pilihanraya yang lalu ingin ditunaikan walaupun sudah sembilan bulan memegang tampuk kuasa.

KEHADIRAN NAJIB DIRASAI

Kehadiran Najib Razak yang juga merupakan mantan Menteri Besar Pahang pada 1982-1986 untuk berkempen di penempatan peneroka Felda dan Orang Asli di Dun Jelai disambut dengan meriah oleh penduduk tempatan. Mereka melahirkan perasaan gembira di atas kesudian Najib Razak untuk berkunjung ke kampung mereka. Selaku mantan Perdana Menteri dan anak jati Pahang, ternyata aura Najib Razak masih dirasai oleh penduduk setempat dan kes-kes pendakwaannya di mahkamah tidak memberi kesan negatif di lokaliti ini.

Walaupun sambutan terhadap Najib di lokaliti ini agak hangat, namun Barisan Nasional juga berhadapan risiko dengan penglibatan Najib dalam kempen ini. Sebagaimana kajian pra dan pasca PRU14 lepas mendapati Najib adalah faktor rakyat menolak Barisan Nasional, penglibatan beliau kali ini mencetus kembali kebencian dan penolakan pengundi kelas pertengahan terhadap Barisan Nasional. Ini boleh jadi ‘backfire’ yang tidak disedari oleh Barisan Nasional sekali lagi, khususnya daripada ‘silent voters’. Namun jumlah ini adalah kecil dan tidak memberi impak.

UNDI PAS BERALIH KEPADA BN

Kami melihat undi PAS akan berpecah kepada tiga arah. Golongan pertama akan mengundi Barisan Nasional, kedua akan memilih calon Melayu-Bebas manakala ketiga akan protes tidak keluar mengundi. 

Namun apa yang mengejutkan golongan yang pertama yang boleh disimpulkan sebilangan besar pengundi PAS yang kami temui tidak berasa kekok untuk keluar mengundi Barisan Nasional. Jentera yang diketuai oleh PAS Pahang dibantu jentera PAS seluruh negara ternyata agresif bergerak dari rumah ke rumah untuk mengingatkan pengundi mereka agar keluar mengundi Barisan Nasional. 

Politik PAS di luar bandar terutama di Negeri Pantai Timur berbeza di tempat yang lain. Pada mereka mengikut arahan pimpinan adalah lebih utama daripada memikirkan pendapat peribadi. Pernah dianaktirikan pemimpin setempat dan juga bantuan persekolahan anak-anak disekat, itu semua luka lama yang mereka perlu dilupakan. Perkiraan mereka jika pemimpin atasan yang lebih banyak menerima dugaan boleh memaafkan Barisan Nasional apalah yang nak dibandingkan dengan mereka yang hanya menerima cabaran yang kecil.

ORANG ASLI BUKAN LAGI DEPOSIT TETAP

Tok Batin adalah individu yang paling berkuasa yang mampu untuk mempengaruhi dan menganjak undi Orang Asli. Tinggal di kawasan pedalaman dan jauh daripada akses maklumat menyebabkan Orang Asli sukar untuk memahami isu-isu semasa. Pada mereka semuanya terserah kepada Tok Batin yang menentukan. Hatta di sebilangan tempat yang terpencil Najib Razak masih diingati sebagai Perdana Menteri.

Mewakili 22 peratus undi di Cameron Highlands bukanlah jumlah yang kecil. Kedua-dua belah parti ketika ini sedang bergelut untuk meraih sokongan mereka. Dahulu UMNO hanya menaburkan janji, namun ketika ini mereka terpaksa bersaing sama rata dengan pihak lawan. Pakatan Harapan tiada sebarang janji namun dengan kuasa yang ada peringkat Persekutuan mereka telah mengadakan siri-siri berkala dialog bersama dengan Tok Batin agar mengarahkan anak buah memberikan undi kepada Pakatan Harapan.

Dalam tinjauan kami menunjukkan akan berlaku pergerakan dan peralihan undi Orang Asli dari Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan namun ianya masih dalam skala yang kecil dan tidak cukup bagi Pakatan memenangi pertandingan ini. Untuk memenangi pilihanraya ini, Pakatan Harapan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada mereka. 

KESIMPULAN

Kempen yang  berakhir pada jam 12 tengah malam ini  akan menyaksikan usaha terakhir semua calon yang bertanding untuk mendapatkan sokongan Orang Asli dan Melayu berpihak kepada mereka apabila sokongan kaum Cina dan India sudah pasti terarah kepada calon Pakatan Harapan. 

Kehadiran Tun Mahathir Mohamad pada hari terakhir kempen menunjukkan Pakatan Harapan memerlukan faktor “wow” untuk menarik undi Melayu. Kedatangan Tun Mahathir dijangka akan menambah momentum kepada Pakatan Harapan, khususnya kepada pengundi veteran UMNO yang ada nostalgia dgn pentadbiran Tun selama 22 tahun sebelum ini. Jika momentum ini cukup kuat, peluang Pakatan Harapan akan bertambah sedikit.

Faktor keluar mengundi juga akan menentukan kemenangan di sini. Jika parti-parti yang bertanding mampu membawa keluar pengundi mereka untuk membuang undi, maka mereka mempunyai peluang. Tarikh mengundi yang berdekatan dengan cuti panjang Tahun Baru Cina menyukarkan pengundi luar untuk turun mengundi. Rata-rata yang kami temui menyatakan anak-anak mereka yang bekerja di luar kawasan sukar untuk balik mengundi pada Sabtu ini.

Undi daripada Dun Tanah Rata adalah kekuatan kepada Pakatan Harapan untuk menyaingi Barisan Nasional dalam perlawanan ini, kerana peratusan pengundi Cina dan India yang yang tinggi. Tapi dalam siri-siri pilihanraya kecil selepas PRU-14, peratusan keluar mengundi pengundi bukan Melayu agak rendah. Jika fenomena ini berterusan peluang Pakatan Harapan untuk menang semakin malap.

Akhirnya tumpuan ketika ini adalah mampukah eksperimen gabungan pembangkang UMNO-PAS membuktikan pada umum bahawa taktikal yang mereka gunakan berkesan untuk meraih sokongan masyarakat Melayu-Islam setelah usaha tersebut gagal di Sungai Kandis, Seri Setia Port Dickson dan Balakong.

Berasaskan itu, pihak kami menjangkakan Barisan Nasional mampu memenangi pilihanraya kali ini dengan dokongan majoriti daripada pengundi Melayu dan Orang Asli di samping kadar keluar mengundi yang rendah daripada pengundi Cina dan India.

ILHAM CENTRE

25 Jan 2019

October 12, 2018

PILIHANRAYA KECIL P132 PORT DICKSON

12 OKTOBER 2018, JUMAAT

ISA SAMAD SAINGAN TERDEKAT ANWAR, PAS MUNGKIN HILANG DEPOSIT

PENDAHULUAN

Tumpuan hari-hari akhir kempen bertumpu kepada arah dan pola pengundian di kalangan pengundi Melayu-UMNO untuk membuat keputusan dalam pilihanraya ini. Ternyata pengundi UMNO yang mengundi Barisan Nasional dalam PRU-14 lalu berada dalam situasi yang tidak dapat ditelah dengan tepat.

Pilihan mereka sama ada mengundi Tan Isa Samad bekas pimpinan UMNO di sini yang sekarang melawan UMNO; mengundi calon PAS atas dasar Islam-Melayu walaupun PAS tidak mempunyai kekuatan di sini; mengundi Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana UMNO telah tewas teruk di sini ataupun kelompok ini memboikot dengan tidak keluar mengundi.

Calon nombor 1, Anwar Ibrahim selesa dengan kelebihan undi bukan Melayu dan kedudukan ini gagal dicabar oleh calon-calon lain.

Bagi pihak luar, jumlah peratusan keluar mengundi dan majoriti yang diperolehi oleh Anwar menjadi pertaruhan dan perbincangan sepanjang kempen ini. Pengundi tempatan pula kekal ‘tenang’ dan mereka sudah mempunyai keputusan untuk diterjemahkan dalam pilihanraya kecil kali ini.

Dalam kajian ini, yang dilakukan secara secara tatap muka bermula 8 Oktober sehingga 11 Oktober 2018, kami telah menemui 817 responden di P132 Port Dickson meliputi semua segmentasi kaum, jantina dan umur pengundi serta lokaliti. Dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata, ralat kajian yang ditemui ialah 2.03 peratus.

ANWAR TERLALU DOMINAN DAN SUKAR DISAINGI

Menuju saat-saat akhir pembuangan undi, Anwar kekal menjadi calon tunggal yang paling terkehadapan dalam siri kempen yang dilakukan. Gerak kerja kempen yang lebih tersusun, jentera yang berpusat di setiap pusat pengundian dan variasi bahan-bahan kempen yang boleh dilihat sekitar Port Dickson. Sebagai calon yang diwar-warkan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-8, memberi kelebihan buat Anwar untuk menonjolkan diri dalam siri kempennya.

Berdasarkan dapatan kajian 64 peratus pengundi menerima Anwar Ibrahim sebagai yang memilih Port Dickson sebagai tapak beliau untuk menggalas jawatan Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Persoalan yang timbul di kalangan pengundi ialah sejauh mana keinginan Anwar untuk kekal di Port Dickson dalam pilihanraya umum ke-15 akan datang sekiranya menang kerana beliau tidak mempunyai nilai sentimental dan legasi di kawasan ini.

ISA SAMAD: PENCABAR TERDEKAT ANWAR IBRAHIM

Antara semua calon yang bertanding, kajian kami menunjukkan Isa Samad merupakan pencabar terdekat Anwar Ibrahim. Meskipun beliau bertanding sebagai calon bebas dan tidak membawa obor UMNO-Barisan Nasional, Isa Samad jelas masih mempunyai pengaruh yang kuat di terutama di DUN Bagan Pinang dan DUN Linggi.

Pengaruh kekeluargaan, sentimental hubungan peribadi antara beliau dan pengundi serta elemen politik ‘balas budi’ sangat kuat di dua kawasan ini. Majoriti responden terutama kalangan warga emas dan veteran UMNO yang kami ditemui bersetuju Isa Samad telah banyak menyumbang bakti dan berjasa membangunkan kawasan mereka semasa Isa menjadi ADUN Bagan Pinang dan Menteri Besar Negeri Sembilan.

Namun, Isa kehilangan undi Cina dan India. Pola pengundi bukan Melayu jelas masih memihak dan kekal dengan Pakatan Harapan dan dalam pilihanraya kali ini penolakan terhadap calon selain daripada PH masih kuat. Oleh itu, calon selain daripada Anwar Ibrahim bergelut dan seolah-olah berputus asa untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu.

Beliau juga bakal kehilangan undi saluran muda dan sebahagian ahli parti UMNO apabila beliau mengisytiharkan keluar UMNO dan menjadi calon bebas. Pola pengundian pengundi muda di bawah 40 tahun tidak berkongsi nilai sentimental terhadap Isa Samad sepertimana generasi sebelumnya. Anak muda UMNO kelihatan hilang arah dalam pilihanraya kali ini. Imej Isa Samad yang terpalit dengan skandal dan kegagalan pemimpin Felda melatari imej negatif di kalangan pengundi muda terhadap beliau.

PAS KEMUNGKINAN HILANG DEPOSIT

Dalam tinjauan kami, jentera lokal lumpuh dan tapak sokongan PAS semakin mengecil selepas majoriti ahli PAS terutama di kawasan Telok Kemang menyertai AMANAH sejak tiga tahun yang lalu. Kempen kali ini banyak digerakkan oleh jentera luar terutama dari PAS Selangor dan PAS Terengganu manakala jentera lokal iaitu PAS Port Dickson serta PAS Negeri Sembilan kelihatan hilang kemampuan dan arah dalam memacu kemenangan PAS.

Gerak kerja PAS hanya tertumpu dalam kalangan segmen orang Melayu khususnya pengundi UMNO yang boleh memilih PAS sebagai alternatif yang dirasakan boleh mempertahankan Melayu dan Islam setelah UMNO membuat keputusan memboikot pilihanraya kali ini. Menyedari sukar menyaingi Anwar, fokus utama PAS hanyalah untuk mengekalkan undi yang diperolehi oleh mereka dalam PRU-14 dan memastikan mereka adalah pencabar terdekat Anwar Ibrahim.

Percaturan asal PAS melihat pertembungan mungkin dua penjuru selepas UMNO memboikot pilihanraya ini. Tetapi keputusan mengejut Isa Samad keluar UMNO dan tampil menawarkan menjadi calon bebas telah merencatkan strategi PAS ini.

Berdasarkan tinjauan kami, PAS gagal mendapat sokongan undi Melayu yang mencukupi dan berada di kedudukan ketiga selepas Isa selain berkemungkinan tinggi untuk kehilangan deposit.

PENYERTAAN CALON-CALON BEBAS YANG LAIN

Pilihanraya kecil kali ini turut menyaksikan penyertaaan lima orang calon bebas yang masing-masing mempunyai pelbagai justifikasi tersendiri untuk memasuki pilihanraya kali ini. Berdasarkan gelagat dan pola pengundi di Malaysia sebelum ini memperlihatkan calon-calon bebas sebenarnya sukar melepasi dua peratus daripada jumlah pengundi yang keluar mengundi. Kami menjangkakan nasib yang sama akan menimpa calon-calon bebas ini akan hilang wang pertaruhan kecuali calon berlogo kerusi, Isa Samad.

Penyertaan Saiful Bukhari menjadi calon bebas di Port Dickson ini hanya sekadar ingin menghantui dan menganggu psikologi Anwar Ibrahim. Siri ziarah Saiful Bukhari dan menemui pengundi sepanjang kempen ini berlangsung hanya melibatkan isu liwat beliau semata-mata. Oleh itu calon ini tidak mampu untuk memberi saingan kepada tiga calon yang lain.

Kehadirannya lebih tertumpu untuk meraih undi daripada orang Melayu dan tiada sebarang tawaran melainkan sekadar bergantung kepada meraih simpati isu peribadi beliau dengan Anwar Ibrahim.

KEHADIRAN MAHATHIR MEMBANTU ANWAR

Pergerakan kempen Pakatan Harapan adalah lebih tersusun. Parti-parti komponen yang lain telah membuktikan setiakawan yang kuat dengan menubuhkan bilik operasi berasingan di setiap DUN dalam Parlimen ini. Setelah menjadi Kerajaan kempen Pakatan Harapan dilihat lebih berdaya berbanding kempen mereka di zaman pembangkang.

Kehadiran Tun Mahathir Mohamad yang turun berkempen pada Selasa lalu berjaya memadamkan berita-berita yang menyasarkan hubungan renggang Mahathir-Anwar. Dalam tinjauan kami, kehadiran Tun memberikan moral yang tinggi kepada jentera Pakatan Harapan dan memberikan sedikit lonjakan pada segmen pengundi Melayu untuk menerima Anwar Ibrahim sebagai calon yang perlu dipilih dalam pilihanraya kecil kali ini.

ISU DAN NARATIF POLITIK PEMBANGUNAN

Mengenai isu-isu yang dekat di hati pengundi, kajian menunjukkan pengundi masih lagi terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi apabila mereka menyatakan tentang barangan keperluan yang semakin naik sebanyak 76 peratus diikuti isu pendidikan sebanyak 47 peratus dan kesihatan sebanyak 32 peratus.

Pujian harus diberikan kepada Pakatan Harapan kerana penggunaan jentera Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang sangat minimal dalam pilihanraya kecil kali ini. Berbanding tiga pilihanraya kecil terdahulu di Seri Setia, Sungai Kandis dan Balakong pasca 9 Mei, ternyata Malaysia kini berada dalam landasan yang tepat untuk memperlihatkan budaya politik baharu meskipun terdapat rungutan kecil pengundi yang tidak mendapat laba segera sepertimana era pemerintahan parti terdahulu.

Justeru, naratif politik pembangunan di Port Dickson dilihat tenggelam punca tanpa ada pengistiharan besar-besaran tentang janji-janji pembangunan. Meskipun demikian, wujud cubaan beberapa pihak swasta dan NGO juga untuk membawa naratif politik pembangunan ini namun ianya tidak dilihat oleh pengundi sebagai sesuatu perkara yang serius.

Meskipun demikian, wujud keterujaan sebahagian pengundi tentang pembangunan yang bakal dibawa oleh Anwar selepas beliau menang dan menjadi Perdana Menteri nanti. Dengan lokasi strategik dan berdekatan dengan Putrajaya, Anwar semestinya akan mencuba sedaya-upaya untuk membawa pembangunan di kawasan yang bakal diwakilinya setelah sekian lama berkubu di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Dalam semua calon yang bertanding, Anwar sahaja yang berkeyakinan dalam tawaran pembangunan di sini. Tidak dinafikan faktor sebagai parti pemerintah sedikit sebanyak memberikan kelebihan buat Anwar. Isa Samad pula dalam penekanan kempennya hanya menjual dirinya sebagai calon tempatan dan bakti yang telah beliau berikan sebelum ini di Port Dickson khasnya dan Negeri Sembilan. Calon PAS dan jentera mereka pula seakan hilang arah. Mereka hanya cuma mengharapkan undi Melayu UMNO dan tentera sahaja. PAS meletakkan seorang bekas tentera sebagai calon membuktikan mereka ingin mendapat lonjakan undi yang besar daripada undi tentera.

PERATUSAN KELUAR MENGUNDI

Meneliti peratusan keluar mengundi dalam siri pilihanraya kecil pasca 9 Mei, pengundi jelas dalam keadaan tepu (fatigue) setelah berjaya menumbangkan Barisan Nasional buat pertama kali dalam sejarah Malaysia. Sekiranya keluar mengundi pada pilihanraya kali ini boleh mencecah 60 peratus, ianya sudah memadai dan merupakan kejayaan kepada Anwar dan Pakatan Harapan.

KESIMPULAN

Kempen yang berakhir pada jam 12 tengah malam ini akan menyaksikan usaha terakhir semua calon-calon yang bertanding untuk memastikan jumlah keluar mengundi melepasi aras peratus yang rendah dalam siri pilihanraya kecil sebelum ini.

Secara mudahnya, kemenangan seolah-olah menjadi milik Anwar Ibrahim namun kedudukan pengundi Melayu menjadi kayu ukur utama kejayaan beliau di Port Dickson ini. Ternyata Pakatan Harapan yang kini menerajui Kerajaan berjaya meletakkan satu aras baharu dalam kempen mereka dan dalam masa yang sama koalisi pembangkang ternyata gagal dan masih belum berjaya bangkit daripada kekalahan PRU-14 yang lalu. Ketiadaan UMNO yang mencabar kehadiran Anwar di sini menyebabkan calon-calon yang lain tidak dapat memberi saingan yang sengit kepada calon Pakatan Harapan.

Akhirnya, tumpuan seluruh rakyat hanya kepada pengundi Port Dickson yang akan menentukan jumlah sebenar peratus keluar mengundi dan jumlah majoriti yang akan diperolehi oleh bakal Ahli Parlimen Port Dickson yang baru.

 

Panel Penyelidik ILHAM CENTRE

12 Oktober 2018
5.05 petang

ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur, MALAYSIA
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links
ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links

Copyright by ILHAM Centre. –  All rights reserved.

Copyright by ILHAM Centre. |  All rights reserved.