MCA bakal hilang 3 kerusi Parlimen di Johor

PENGANALISIS menjangkakan MCA akan menjadi parti paling terjejas di Johor pada pilihan raya umum akan datang, gagal mempertahankan tiga daripada empat kerusi Parlimen miliknya di negeri itu.

Parti kedua terbesar Barisan Nasional itu dijangka hanya akan mengekalkan kerusi Ayer Hitam yang kini dipegang Timbalan Presiden Wee Ka Siong.

“Di Johor, kerusi MCA paling berisiko,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar kepada The Malaysian Insight.

Seperti mana di Selangor, Johor mempunyai banyak kerusi campuran. Berdasarkan statistik 2015, Johor mempunyai 55% pengundi Melayu, 30% Cina, 6.5% India dan 8% lain-lain.

Jika DAP meletakkan calon pilihan seperti Liew Chin Tong, Teo Nie Ching dan Wong Shu Qi untuk bertanding di selatan dan tengah Johor, MCA berisiko kalah teruk.

“80% pengundi Cina adalah pro pembangkang. Jika DAP letak calon yang kuat, mereka akan menang besar,” kata Hisommudin.

Selain Ayer Hitam, MCA kini memegang kerusi Labis, Tanjung Piai dan Tebrau.

Kerusi Labis dipegang Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Chua Tee Yong, Wee Jeck Seng pula mewakili Tangjung Pias dan Khoo Soo Siang yang akan bersara kini memegang Tebrau.

Menambah kesukaran MCA, kata Hisommudin lagi adalah trend pengundi muda yang juga pro pembangkang.

“40% pengundi negeri adalah orang muda, mereka pro perubahan dan tidak akan mengundi BN,” katanya.

Bagaimanapun, Hisommudin dan seorang lagi penganalisis politik Dr Phoon Wing Keong tidak bersetuju dengan jangkaan dikeluarkan badan pemikir PKR, Invoke yang Pakatan Harapan (PH) akan menang lebih banyak kerusi Parlimen dan negeri berbanding BN.

Invoke sebelum ini mengeluarkan hasil kajian yang membayangkan PH akan menang 16 kerusi Parlimen dan 29 kerusi negeri, sementara BN akan hanya menang 11 kerusi Parlimen dan 27 kerusi negeri.

Phoon berkata walaupun Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad berupaya meraih undi Melayu kepada PH tetapi kemungkinan besar ia masih tidak mencukupi untuk pembangkang menakluk Johor.

Katanya, ini disebabkan kemurkaaan terbuka Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kepada Dr Mahathir berkaitan kritikan pemimpin PH itu terhadap pelaburan China di negeri itu yang menyebabkan ada rakyat Johor kini yang menentang PH.

Apabila ditanya mengenai kesan pengacau PAS, Phoon berkata kesan itu tidak besar disebabkan parti Islam itu tidak mempunyai sokongan kuat di Johor.

Hisommudin bersetuju dengan penilaian Phoon: “Prestasi PH akan lebih baik pada pilihan raya umum akan datang, tetapi sukar untuk mereka ambil alih Johor.”

Katanya, situasi ini juga disebabkan kerana 21 daripada 37 kerusi dipegang BN daripada 56 kerusi negeri di Johor mempunyai penempatan Felda, yang menjadi deposit tetap BN.

PH memerlukan perubahan undi antara 30% hingga 35% untuk menang di kerusi Felda. Hanya Gambir dan Felda Tenang berkemungkinan besar memberikan perubahan undi berdasarkan sentiment semasa akar umbi, tambahnya.

Tidak seperti orang Melayu di kawasan bandar dan pinggir bandar, peneroka Felda kebanyakannya masih tidak terkesan teruk dengan peningkatan kos sara hidup dan kejatuhan nilai ringgit, katanya.

“Ia sangat sukar. Kebanyakan peneroka mahu kekalkan status quo.” – 15 Mac, 2018.

Sumber;https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/43034/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur, MALAYSIA
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links
ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links

Copyright by ILHAM Centre. –  All rights reserved.

Copyright by ILHAM Centre. |  All rights reserved.