Dilema Hadi; Kekal Presiden atau ke Mursyidul Am

Dilema Hadi, kekal Presiden atau ke Mursyidul Am

PAS kini berada di persimpangan antara mengekalkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden atau menaikkan beliau sebagai mursyidul am, selepas kematian Datuk Dr Haron Din di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Ini kerana tidak ada tokoh lain yang paling layak memegang jawatan itu selain ahli parlimen Marang itu, namun sebahagian pemimpin PAS agak sukar menerima timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, menggantikan Hadi menjadi presiden PAS.

“Tokoh lain tidak ada kekuatan untuk memegang jawatan mursyidul am selain Hadi selepas nama beliau dijulang sedemikian rupa oleh penyokongnya,” kata penganalisis dari Ilham Centre.

Badan pemikir yang kerap membuat kajian perkembangan PAS dan kepimpinannya itu mencadangkan jalan yang paling mudah sekarang adalah Hadi memegang kedua-dua jawatan iaitu mursyidul am dan presiden, sehinggalah PAS boleh menerima seorang tokoh baharu memenuhi kerusi presiden.

“Ia bukan sesuatu yang ganjil kerana Yusof Rawa pernah melakukannya sebelum ini. Cuma beliau kena bersedia dituduh oleh lawannya sebagai pemimpin gila kuasa dan mempunyai kuasa mutlak dalam PAS jika memegang kedua-dua jawatan itu,” kata Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar.

Menurutnya, cara itu boleh menjejaskan imej PAS ketika parti Islam itu menjelang pilihan raya umum ke-14 nanti.

Hisomuddin juga berkata menaikkan Hadi sebagai mursyidul am dan melantik Tuan Ibrahim sebagai presiden adalah langkah paling tepat yang boleh dilakukan PAS sekarang.

“Namun jalan ini bagi saya yang paling sukar untuk dilakukan oleh PAS sekarang,” tambahnya.

Ini kerana selepas perpecahan dalam PAS sehingga terbentuknya Amanah, Tuan Ibrahim tidak dilihat selari dengan pemikiran kebanyakan pemimpin PAS yang ada, termasuk selalu bercanggah dengan Hadi sendiri.

“Sesetengah pemimpin yang naik dalam PAS sekarang agak sukar menerima kepimpinan Tuan Ibrahim yang dilihat lebih terbuka untuk bekerjasama dengan pihak luar,” katanya.

Tidak disenangi kerana memusuhi Umno

Ketika PAS dilihat mahu mendekati Umno dan menjauhkan diri dari parti lain, Tuan Ibrahim dilihat berterusan bermusuhan dengan Umno dan sedia bekerjasama dengan parti lain termasuk Bersatu, parti baharu dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tuan Ibrahim juga tidak dilihat selari dengan langkah Hadi mahupun Haron Din sebelum ini.

Hisomuddin yakin PAS akan lebih mudah memilih calon lain sebagai mursyidul am daripada memilih Hadi bagi mengelakkan Tuan Ibrahim naik sebagai presiden.

Namun, katanya, jika Tuan Ibrahim terpilih, ia adalah yang terbaik untuk PAS menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana pemimpin PAS Pahang itu boleh membawa PAS ke tengah, berbanding dengan kedudukan ekstrem sekarang, membolehkan parti itu bekerjasama dengan parti lain pada PRU akan datang.

Sepanjang sejarahnya, PAS paling berjaya dalam pilihan raya ketika parti itu bekerjasama dengan parti lain bagi melawan BN.

Siapa selain Hadi?

Selain Hadi sebagai mursyidul am, 4 nama disebut-sebut layak menduduki jawatan tertinggi parti Islam itu selepas Menteri Besar Kelantan, yang juga Timbalan Mursyidul Am, Datuk Ahmad Yaakob, menolak jawatan itu.

Mereka adalah ketua Dewan Ulama, Datuk Dr Mahfudz Mohamad, ahli Majlis Syura, Datuk Dr Johari Mat, Setiausaha Majlis Syura Datuk Dr Nik Zawawi Salleh dan bekas imam besar Masjid Negara, Datuk Taib Azzamudin.

“Namun kesemua mereka dilihat lebih junior daripada Hadi dan mempunyai masalah masing-masing walaupun memegang jawatan lebih tinggi nanti,” kata Hisomuddin.

Ahmad sebelum ini berkata beliau memilih kekal dengan jawatannya yang ada sahaja.

Tekanan untuk Ahmad Yaakob

Kedudukan Ahmad sesuatu yang boleh difahami – mengambil alih jawatan menteri besar daripada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang meninggal dunia pada Februari 2015, bukan tugas yang senang.

Ahmad dilihat sangat selesa ketika menjadi orang nombor dua Nik Aziz, namun ia berubah selepas pemergiannya, dengan pelbagai tekanan luar dan dalaman PAS untuk menerima jawatan itu.

Tidak kurang juga tekanan daripada bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa, satu ketika dulu pemimpin paling kanan di negeri itu selepas Nik Aziz, yang kini memimpin Amanah Kelantan.

Susulan penyertaannya dalam Amanah di ambang Merdeka yang lepas, Husam kerap memainkan isu berhubung kerajaan PAS di Kelantan.

Timbul juga kerisauan kalau-kalau Kelantan jatuh pada PRU akan datang ketika beliau mursyidul am dan juga menteri besar.

Ada juga yang menyindir dengan menyamakan sebarang kemungkinan kejatuhan PAS di bawah Ahmad Yaakob kini dengan kejatuhan kerajaan Umno pada 1990 di bawah pimpinan Tan Sri Mohamed Yaacob.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur, MALAYSIA
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links
ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links

Copyright by ILHAM Centre. –  All rights reserved.

Copyright by ILHAM Centre. |  All rights reserved.