Apa yang dipertaruhkan dalam kerjasama Umno-PAS

Pengkaji politik negara menjangkakan sebuah pakatan pilihan raya menjadi matlamat terakhir bagi kerjasama Umno-PAS walaupun ramai penyokong PAS tidak menyedarinya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 26 Disember, 2015.Kerjasama Umno-PAS boleh membawa keuntungan kepada kedua-dua parti Melayu Islam itu ketika masing-masing memerlukan talian hayat berikutan krisis dalaman terbesar yang berlaku.

Biarpun kerjasama yang dijalinkan pada tahap minimum – mengadakan program bersama – namun ia mampu memulihkan kembali imej kedua-dua presiden parti itu yang kian tercalar.

Penganalisis dan pemerhati menggariskan 3 senario bagaimana kerjasama ini boleh berlaku dan apa yang yang bakal diperoleh kedua-dua pihak menerusi inisiatif ini, yang pertama selepas lebih 3 dekad.

Jika mereka berjaya menjalinkan kerjasama di peringkat tertinggi tetapi paling berisiko – dengan membentuk pakatan pilihan raya – ia boleh menjadi talian hayat diperlukan Umno bagi memastikan Barisan Nasional (BN) kekal menguasai Putrajaya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

1. Berkongsi pentas

Peringkat yang paling asas dan abstrak ialah bagi pemimpin kanan kedua-dua parti mengadakan program bersama seperti perjumpaan alumni Universiti Al-Azhar pada 17 Disember lalu, yang dihadiri Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatnya daripada PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kali terakhir sesuatu seperti itu berlaku adalah pada 2005 ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi bertemu bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa lawatan kerja di Kelantan.

Pada 2002, presiden Umno ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad juga berkongsi pentas dengan bekas presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Noor pada satu ceramah umum mengenai isu Palestin.

Tetapi pada kedua-dua majlis itu, presiden Umno tidak pernah mengetengahkan isu mengenai perpaduan Umno-PAS.

Kerjasama di peringkat asas ini membuahkan semangat muhibah di kalangan ramai ahli PAS dan Umno serta pengundi Melayu Islam yang tidak memihak mana-mana parti, kata pengumpul suara bebas Ibrahim Suffian.

“Ia alasan yang sangat popular di kalangan orang Melayu Islam untuk menyatukan 2 parti Melayu Islam yang berseteru tersebut,” katanya yang merupakan pengarah eksekutif Merdeka Center itu.

Keupayaan Najib mengukuhkan hubungan Umno-PAS akan melenyapkan beberapa kritikan terhadap beliau dari dalam Umno, kata Ibrahim, sekali gus meningkatkan populariti beliau buat sementara waktu di kalangan sesetengah orang Melayu Islam.

Perkara yang sama juga berlaku kepada Hadi di mana kepimpinan PAS dikritik selepas penghijrahan ahli Parlimen dan individu terkenal mereka kepada Parti Amanah Negara (Amanah).

“PAS sedang keluar daripada krisis selepas kehilangan ahli dan pemimpin paling terkenal dan berkebolehan,” kata Mohamad Hisomuddin Bakar, pemikir Pusat Ilham.

2. Sokongan Parlimen 

Senario ini sudah berlaku di dalam Dewan Rakyat di mana sebahagian daripada 14 ahli Parlimen PAS sudah pun menunjukkan mereka boleh mengambil sikap yang tidak membangkitkan kemarahan BN.

Ketika undian Bajet 2016 diadakan, hanya 3 ahli Parlimen PAS menyertai gabungan pembangkang Pakatan Harapan dalam menentangnya. Manakala, 11 yang lain mengikut arahan parti dan berkecuali.

Apabila memilih untuk berkecuali daripada menyokong undi sebegitu, kata seorang ahli Parlimen Pakatan Harapan, ia sama seperti menyokong BN kerana PAS tidak menyertai usaha menyekat rang undang-undang perbekalan itu.

Tetapi, pada tahap ini, kerjasama yang lebih mendalam dan penting dapat dipupuk.

Ulama berpengaruh dalam PAS sudah mula mengeluarkan pandangan yang mewajarkan kerjasama Umno-PAS, kata Hisomuddin.

Pemimpin Pakatan Harapan juga bimbang PAS akan menyokong mana-mana rang undang-undang kritikal yang dibentangkan BN pada masa depan.

Seorang pemerhati politik pembangkang, Haron Mohd Yusof dalam komentarnya di The Malaysian Insider mengatakan, ini termasuklah boleh memberikan BN majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk mengubah persempadanan kawasan pilihan raya di seluruh negara.

Pengkritik persempadanan semula kawasan pilihan raya sebelum ini mendakwa kawasan Parlimen dan negeri dibentuk sesuai dengan kekuatan BN.

Terdahulu dalam tahun ini, ahli Parlimen Pakatan Harapan Sarawak membawa Suruhanjaya Pilihan Raya ke mahkamah susulan persempadanan semula yang dibuat agensi kerajaan itu.

“Sejarah juga membuktikan BN akan menang besar setiap kali selepas persempadanan semula. Dan jika 15 ahli Parlimen PAS bersama BN, maka BN akan mendapat dua pertiga tersebut dan menang (untuk meluluskan persempadanan semula),” kata Haron.

3. Pakatan pilihan raya

Pakatan pilihan raya, di mana PAS dan Umno akan membahagikan kerusi yang akan ditandingi mereka supaya kedua-duanya boleh memaksimumkan kemenangan, adalah bentuk kerjasama terakhir, kata Hisomuddin.

Beliau percaya, kerjasama sebegitulah yang sebenarnya dimahukan kedua-dua parti itu tetapi tidak mengakuinya kerana ia juga paling berisiko.

“Sebaik sahaja sebuah pakatan pilihan raya dibentuk, maka ribuan ahli PAS akan meninggalkan parti itu dan menyertai Amanah,” kata Hisomuddin yang banyak mengkaji parti Islam itu.

Ini berdasarkan kepada teori “harumanis”, di mana terdapat sejumlah besar ahli PAS yang bersetuju dengan Amanah tetapi atas sebab-sebab sentimen, tidak sanggup meninggalkan PAS.

Pakatan sebegini mungkin ditubuhkan, kata Hisomuddin kerana ia diperlukan Najib untuk BN terus berkuasa.

Pada PRU14, hampir tiada undi bukan Islam akan diberikan kepada BN, katanya.

Sokongan Umno di Johor dan Sabah, yang membentuk bank undi terbesar parti itu, juga terancam akibat persengketaan Najib dengan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal.

“Beliau (Najib) kehilangan semua undi itu, jadi beliau perlu menampungnya dari tempat lain. Di sinilah PAS muncul.”

PAS kini memiliki 14 kerusi Parlimen. Ia bertanding di 73 kerusi Parlimen pada 2013, 90% daripadanya menentang calon Umno.

Begitu juga, PAS melihat ahli akar umbi di negeri-negeri selatan dan pantai barat meninggalkan parti itu dan menyertai Amanah atau menjadi tidak aktif kini kerana kecewa dengan kepimpinan konservatif.

“(Sebuah pakatan pilihan raya) mungkin merupakan matlamat terakhirnya walaupun ramai penyokong PAS yang tidak menyedarinya,” kata Hisomuddin. – 26 Disember, 2015.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur, MALAYSIA
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links
ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links

Copyright by ILHAM Centre. –  All rights reserved.

Copyright by ILHAM Centre. |  All rights reserved.