29 Jun 2018
ZAHID MENDAHULUI, KU LI SEDANG MENCABAR RAPAT
Pemilihan sesi 2018 ini merupakan pemilihan paling getir dan berliku buat perwakilan untuk memilih kombinasi terbaik kepimpinan mereka untuk menerajui UMNO selepas parti terbesar Melayu ini tewas dan hilang tampuk kekuasaan dalam Kerajaan buat pertama kali.
Sepanjang kami membuat kajian lapangan dalam tempoh 8 hari bermula 21 Jun 2018 hingga 28 Jun 2018 dengan jumlah responden seramai 581 perwakilan UMNO secara tatap muka di 101 Bahagian seluruh Semenanjung Malaysia, menyaksikan perasaan bercampur-baur dan perwakilan mulai kritikal terhadap kepimpinan tertinggi UMNO. Keadaan ini menyaksikan tradisi ‘warlord’ akan dicabar dengan arus perubahan. Moral ahli dan perwakilan UMNO jelas ketara berada dalam tahap paling rendah.
Persoalan penting dalam pemikiran ahli dan perwakilan UMNO ialah mampukah UMNO bangkit kembali selepas tersungkur dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu? Bolehkah UMNO kembali bertaut kukuh selepas perpecahan dalam pemilihan UMNO kali ini?
Polemik dan isu yang melatari perbincangan para perwakilan kali ini sehangat perbincangan semasa pilihan raya umum yang lalu. Sebahagian mereka menuding jari punca kekalahan Barisan Nasional adalah kerana kegagalan kepimpinan UMNO menegur Presiden dan mereka yang berada dalam kabinet lalu.
Segmentasi Perwakilan
Selepas Dato’ Sri Najib Razak melepaskan jawatan sebagai Presiden dan kini beban untuk memikul tanggungjawab berat mengangkat semula maruah UMNO tangan pemangku Presiden Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Keadaan menjadi tidak menentu selepas pemilihan UMNO 2018 mandat Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak lama kerana dicabar pada pemilihan kali ini. Ditambah pula penarikan diri Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein daripada semua jawatan yang dipertandingkan.
Cabaran daripada veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah yang membuat ‘comeback’ dan tokoh muda saudara Khairy Jamaluddin mewarnai pemilihan kali ini. Walaupun ada calon tambahan untuk mencabar kerusi Presiden iaitu Mohamed Iqbal Maricair dan Yusof Musa@Jamaludin namun kedua calon ini gagal memberi saingan kepada tiga calon utama di atas.
Oleh itu, tumpuan perwakilan lebih terarah kepada sejauhmanakah kemampuan calon-calon ini meyakinkan mereka untuk membina semula kekuatan, menyatukan kembali perpecahan dan menawan hati rakyat untuk terus menyokong perjuangan UMNO.
Penguasaan ‘warlord’ dalam kalangan Pengerusi Perhubungan Negeri dan Ketua Bahagian tertentu dicabar dengan arus perubahan ketara menyuarakan kebebasan daripada cengkaman ini. Perwakilan mulai menuntut hak mereka untuk bersuara secara bebas tanpa dikawal oleh keputusan pihak lain. Tetapi, suara ini minoriti dan masih gagal menenggelamkan pengaruh budaya ‘warlord’ ini.
Dalam pada itu pemilihan kali ini memperlihatkan sebahagian besar Ketua Bahagian melepaskan jawatan dan digantikan dengan muka baru. Sebahagiannya lagi berlaku pertandingan. Bahagian-bahagian yang terlibat dengan perebutan jawatan mengakibatkan pertembungan jalur kepimpinan tertinggi sama ada bersama dengan ‘cai’ calon presiden Zahid Hamidi, Ku Li ataupun KJ.
Pola pemilihan Bahagian yang bertembung suasananya agak berwarna-warni dan berkemungkinan besar berlaku undi terpecah tiga. Pecahan undi berlaku kerana perwakilan cawangan berada dalam persimpangan sama ada memilih Zahid Hamidi atau Ku Li. Manakala KJ berjaya menawan hati perwakilan muda dan wanita.
Demografi perwakilan pada kali ini juga dilihat berubah secara drastik apabila perwakilan yang terdiri daripada segmen guru Kemas, guru sekolah, penjawat awam dan kontraktor yang mendapat projek kerajaan kebanyakannya menarik diri. Walaupun tempat mereka digantikan dengan perwakilan biasa, pola pemilihan dijangka berlaku sedikit perubahan.
Calon Kerusi Presiden
Ketiga-tiga calon utama kerusi Presiden pada pemilihan kali ini mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Perwakilan melihat Zahid Hamidi mempunyai kelebihan berbanding Ku Li dan KJ. Kenyataan ini berasaskan pandangan akar umbi yang melihat Zahid Hamidi adalah seorang pemimpin yang setia dan telahpun teruji dalam perjuangan UMNO.
Pengalaman berkempen semasa bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan 2013 telah memberikan kelebihan kepada beliau kerana mempunyai hubungan yang baik dengan akar umbi UMNO. Selain itu imej beragama beliau memberi kelebihan berbanding calon-calon lain.
Saingan terdekat kedudukan Zahid Hamidi ialah Tengku Razaleigh atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li. Tokoh veteran ini dilihat sebagai pemimpin yang berpengalaman dan calon terbaik untuk berdepan dengan Tun Mahathir. Ku Li menerima dukungan dan sokongan yang agak besar kerana beliau dilihat sebagai alternatif terbaik bagi gandingan pimpinan peringkat calon-calon timbalan dan majlis tertinggi selain kem Zahid Hamidi untuk bernaung. Ku Li juga disokong oleh calon-calon Ketua Bahagian yang mencabar calon sedia ada. Hujah mereka yang menyokong Ku Li meletakkan tokoh ini bersih daripada skandal dan tidak terpalit daripada Najib Razak.
KJ calon muda dan progresif menjadi pilihan perwakilan muda dan wanita yang mahukan perubahan. Idea-idea pembaharuan adan kenyataan yang diminati media menjadikan KJ calon popular dimata awam tetapi sukar memenangi hati perwakilan UMNO.
Arus Bawah Sukar Dijangka
Dato’ Seri Zahid Hamidi mempunyai kelebihan berdasarkan trek rekod beliau mendekati akar umbi namun psikologi perwakilan akar umbi terkesan dengan kekalahan pilihan raya umum lepas menyebabkan pola sukar dijangka secara mutlak. Fenomena menyalahkan kepimpinan lama termasuk Zahid Hamidi dan KJ menyebabkan laluan Ku Li untuk diterima semakin meningkat dari hari ke hari.
Ini bukanlah kerana kekuatan hala tuju Ku Li tetapi lebih kepada sentimen dan emosi. Zahid Hamidi terpaksa bertahan dengan asakan kepada tekanan ini. KJ berjaya meraih peratus sokongan tetapi minima malah menjadi pemecah undi kepada mereka yang ingin menentang status quo dan ini memberikan sedikit kelebihan kepada Zahid Hamidi.
Suasana yang agak menekan apabila berlaku pengisytiharan keluar parti komponen Barisan Nasional (BN), keluarnya Ahli Parlimen Bagan Serai dan Bukit Gantang termasuk munculnya orang-orang lama UMNO yang telah bersara kembali mempengaruhi perwakilan. Tun Mahathir dijadikan aspirasi dan rujukan sebagai hujah kepada kumpulan ‘otai’ ini bagi mereka kembali ke dalam politik UMNO Bahagian.
Jika diteliti keputusan sayap parti UMNO pada minggu lepas ternyata keputusan arus bawah sangat signifikan untuk perubahan. Kemenangan Asyraf Wajdi Dasuki dan Noraini Ahmad dalam sayap Pemuda dan Wanita menggambarkan arus akar umbi.
Faktor Najib Razak dan Hishammuddin Hussein
Dua negeri yang diwakili oleh dua tokoh UMNO ini memberikan isyarat yang menarik. Walaupun Najib Razak merestui Zahid Hamidi sebagai pemangku tetapi perwakilan memberikan isyarat yang berbeza. Kepimpinan tertinggi Bahagian di Pahang memberikan sokongan kepada Zahid tetapi pada peringkat cawangan berlaku sebaliknya. Ini ditambah pula sokongan bekas Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob terhadap Ku Li.
Di Johor, desas-desus yang berlaku pada peringkat bawahan memperlihatkan sokongan Hishamuddin Hussein memihak kepada Ku Li. Ditambah dengan sokongan terbuka Khaled Nordin terhadap Ku Li, undi Johor memihak kepada Ku Li.
Rumusan Kajian
Strategi kempen oleh calon-calon yang bertanding bertumpu di negeri-negeri yang mempunyai jumlah Bahagian yang besar seperti Johor (26), Sabah (25), Perak (24) dan Selangor (22). Mereka yang menguasai negeri-negeri ini, mempunyai kelebihan untuk memenangi pemilihan ini.
Berdasarkan dapatan kajian kami sepanjang 8 hari ini, sokongan Bahagian kepada Zahid Hamidi berada pada paras 51 peratus, Ku Li memberi saingan sengit dengan meraih sokongan perubahan 35 peratus, KJ mendapat 6 peratus manakala Bahagian yang belum jelas sokongan mereka sebanyak 8 peratus.
Menjelang detik-detik akhir fasa membuang undi, berlaku proses pujuk-memujuk dan kompromi pada peringkat cawangan. Sekiranya tradisi ini dipecahkan keputusan ‘upset’ boleh berlaku dengan majoriti tipis memihak kepada Ku Li.
ILHAM Centre
29 Jun 2018