PEMERHATI berpendapat, parti politik harus berani mencalonkan wanita ke jawatan kanan dalam pentadbiran negara dan tidak menunggu penerimaan rakyat terlebih dahulu.
Menurut pengkaji Unversiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Maszlee Malik, tindakan berani itu sudahpun dimulakan oleh Pakatan Harapan yang menamakan presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri.
“Sama ada rakyat bersedia atau pun tidak, satu tindakan berani perlu dimulakan oleh mana-mana pihak, dan ternyata PH telah mengambil langkah berani dan patut diberikan penghargaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Maszlee, PH perlu memandang serius kepada pengumuman yang telah dibuat untuk meraih sokongan rakyat termasuk pengundi wanita.
Ini memandangkan, data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan pengundi wanita lebih ramai berbanding lelaki.
Sejumlah 6.66 juta (50.23%) pengundi wanita berdaftar dalam Daftar Pemilih SPR untuk PRU13, berbanding pengundi lelaki seramai 6.60 juta (49.77%).
Maszlee melihat pada masa ini, pencalonan wanita sebagai TPM tidak menimbulkan isu di kalangan masyarakat, malah kebanyakan wanita di Malaysia juga tidak melihatnya sebagai satu isu besar, katanya
“Namun isunya bukan sudah bersedia atau tidak, mereka wajib mulakannya.
“Jika mereka mahu menang, mereka wajib memperjuangkan isu tersebut kerana BN menang dengan lebih 60% undi wanita,” kata Maszlee.
Referendum untuk calon wanita sebagai TPM
Menurut Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar, meskipun kesediaan rakyat Malaysia dalam menerima wanita sebagai TPM masih belum diketahui, cadangan itu tidak pula dibantah.
Katanya, tiada penolakan ketara yang dikemukakan kepada pihak PH secara terbuka mahupun tertutup berhubung cadangan itu, selepas Wan Azizah dinamakan sebagai calon TPM sejak Januari lalu.
“Keputusan PH menamakan wanita sebagai timbalan perdana menteri merupakan keputusan berani walaupun tahap kesediaan rakyat untuk menerima masih belum teruji.
“Sekiranya pilihan raya umum nanti pihak PH menerima mandat, maka ia boleh ditafsirkan sebagai referendum majoriti rakyat menerima cadangan yang dikemukakan ini,” katanya.
Berbanding negara jiran atau negara maju yang lain, Malaysia masih ketinggalan dalam memberikan peluang kepada kaum wanita atau orang muda dalam jawatan politik utama.
Sedangkan, negara di Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan terbaharu Singapura sudahpun mempunyai perdana menteri dan presiden wanita.
Sekiranya dilihat, kesediaan kerajaan persekutuan untuk menawarkan jawatan utama dalam politik hanyalah ke peringkat menambah kuota wanita di Dewan Negara, untuk diisi sekurang-kurangnya 30 peratus senator wanita.
Menurut Perdana Menteri Najib Razak, jaminan itu hanya akan menjadi kenyataan jika Barisan Nasional memperoleh keputusan majoriti dan mandat yang kuat pada PRU14 nanti.
Malaysia terdiri daripada perdana menteri dan timbalan perdana menteri yang hanya dipelopori oleh kaum lelaki.
Menurut Hisommudin, keadaan ini berlaku kerana ahli politik kanan dalam BN masih lagi mencengkam status quo dan enggan memberi ruang kepada generasi pelapis.
Oleh itu, beliau melihat usaha PH untuk mengetengahkan calon TPM dari kaum wanita sebagai tawan yang lebih menarik berbanding BN.
“Jika dinilai dari satu aspek, pihak yang berani menampilkan sesuatu yang jauh dari pengalaman budaya politik parti lain, mungkin lebih berdaya saing dan menampilkan citra politik yang segar kepada para pengundi,” katanya.
Terpulang pada pengundi
Namun apa pun, semuanya bergantung kepada tahap kepercayaan pengundi dalam memberikan peluang parti tersebut, tambahnya.
“Ia tetap bertitik tolak (daripada) sejauh mana pengundi mampu memberikan kepercayaan dan mandat kepada mana-mana pihak yang berani memberikan laluan kepada wanita dalam hierarki politik tertinggi dalam negara ini,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Kartini Aboo Talib berpendapat soal jantina tidak lagi menjadi penghalang pada masa ini.
Meskipun Malaysia secara majoritinya bersikap patrilineal atau mengutamakan pemilihan pemimpin dari keturunan lelaki, beliau yakin masyarakat dapat menerima pemimpin wanita.
“Saya rasa soal jantina tidak menjadi isu besar di Malaysia walaupun majoriti adalah patrilineal. Hanya Negeri Sembilan (bersikap) matrilineal (utamakan wanita).
“Saya berani katakan rakyat Malaysia boleh menerima TPM wanita,” katanya yang berpendapat, rakyat Malaysia boleh menerima Wan Azizah sebagai TPM.
Kartini bagaimanapun mengingatkan bahawa segalanya hanya akan menjadi realiti sekiranya PH menang dalam PRU14.
Beliau seterusnya mempersoalkan sama ada gabungan parti pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu itu mampu memenangi PRU nanti dan menubuhkan kerajaan baru.
“Secara umum semua boleh terima dalam perspektif ‘jika beliau menang’. Persoalannya bolehkan PH menang majoriti dan menubuhkan kerajaan?”
PH kini berusaha untuk menguasai 165 daripada kesemua 222 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu dalam PRU14.
Parti PKR, yang dipimpin Wan Azizah akan bertanding di 52 kerusi Parlimen, Bersatu di 51 kerusi, DAP di 35 kerusi dan Amanah di 27 kerusi.
Wan Azizah kini merupakan ahli Parlimen Permatang Pauh, kerusi yang diamanahkan kepanya oleh bekas ketua pembangkang dan juga suaminya, Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah disabitkan kesalahan liwat kali kedua dan dipenjara lima tahun.
Sumber; https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/41830/