Pergolakan Tabung Haji masalah untuk Umno, kata penganalisis

Pergolakan yang berlaku di Lembaga Tabung Haji sekarang boleh menghakis sokongan orang Melayu-Islam terhadap Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata penganalisis berdasarkan hubungan rapat antara dana itu dan hampir setiap anggota masyarakat.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna kebimbangan terhadap Tabung Haji boleh secara automatik diterjemahkan sebagai sokongan kepada parti pembangkang, kata Hisomuddin Abu Bakar, pengarah eksekutif badan pemikir Ilham Center.

Tetapi, bagi orang Islam yang berpendidikan dan lebih muda, skandal membabitkan Tabung Haji tidak akan dengan mudah dilupakan walaupun masih ada kira-kira 2 setengah tahun lagi sebelum pilihan raya umum akan datang, dijadual pada 2018, katanya.

“Kalau memori singkat sekalipun, isu itu tidak mungkin akan dilupakan umat Islam yang berpendidikan di kawasan bandar dan pinggir bandar kerana ia begitu sensitif,” Hisomuddin memberitahu The Malaysian Insider.

Tabung itu mempunyai hampir 9 juta pencarum dan menguruskan simpanan mereka untuk membantu umat Islam menunaikan rukun haji di Mekah, Arab Saudi, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Sepanjang setahun lalu, Tabung Haji terbabit dalam beberapa siri kontroversi bermula dengan pembelian 0.63ha tanah di projek Tun Razak Exchange (TRX) daripada pelabur milik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang terlibat dakwaan skandal.

Ini membawa kepada tuduhan Tabung Haji digunakan untuk menyelamatkan firma yang bermasalah itu. Tabung Haji kemudiannya mengumumkan ia akan menjual tanah tersebut.

Lembaga dana itu menimbulkan kontroversi sekali lagi apabila ia mengakui melabur RM920.8 juta dalam terbitan sukuk Bandar Malaysia milik 1MDB pada Februari 2014 kerana “ia adalah pelaburan yang selamat. ”

Dalam kontroversi terkini, surat daripada Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Aziz kepada lembaga pengarah dana itu mendedahkan, rizabnya berada dalam keadaan negatif dan boleh menjejaskan keupayaan membayar dividen untuk 2015.

Walaupun masalah itu dinafikan Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, penganalisis berkata kontroversi ini meninggalkan kesan hitam mendalam kepada Umno.

“Kesan besar isu ini adalah kepada politik Umno sendiri kerana rakyat biasa akan rasa ada salah laku melalui campur tangan politik.

“Dan ia pula terpusat kepada Najib. Mungkin dia tidak terlibat, tetapi kerana dia yang menjadi pusat perhatian sekarang, orang akan meletakkan kesalahan kepada dia,” kata penganalisis daripada Ideas, Wan Saiful Wan Jan kepada The Malaysian Insider.

Najib masih dikaitkan kerana hubungan Tabung Haji dengan 1MDB, di mana beliau merupakan pengerusi lembaga penasihatnya.

Hubungan Azeez dengan Najib juga tidak mudah diketepikan. Beliau merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno, di mana Najib adalah presidennya.

Satu lagi sebab mengapa masalah Tabung Haji akan terus menghantui Umno untuk jangka masa lama ialah ia diambil kesempatan oleh DAP, parti pembangkang yang didominasi masyarakat Cina dan menjadi subjek momokan Umno.

Ia turut memberi peluang kepada DAP menepis mitos yang digembar-gemburkan Umno mengatakan ia anti Melayu dan Islam.

DAP mendakwa, masalah berkait dana itu menunjukkan orang Melayu-Islam di kalangan elitis Umno yang sebenarnya mengkhianati kepercayaan seluruh masyarakat.

Ahli Parlimen DAP dari Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri berkata masyarakat Melayu perlu sedar isu Tabung Haji lebih besar berbanding momokan kononnya Melayu sedang berdepan dengan ancaman daripada DAP.

Bagaimanapun, Hisomuddin berkata lebih banyak perlu dilakukan parti pembangkang sekiranya mereka benar-benar mahu menggunakan masalah Tabung Haji membuktikan salah urus di pihak Umno seperti kes skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Dalam kes itu, projek ternakan lembu yang hidup segan mati tak mahu dikaitkan dengan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil digunakan bagi menunjukkan bagaimana pemimpin Umno dengan mudah mendapat wang awam untuk satu usaha yang gagal.

“Walaupun masalah Tabung Haji membimbangkan, pembangkang perlu membawa isu ini dalam bahasa yang benar-benar difahami orang biasa dan penduduk kampung,” kata Hisomuddin.

Satu masalah lagi, katanya walaupun parti seperti PKR dan DAP tidak jemu-jemu mengkritik, mereka tidak menawarkan kepada orang Melayu Islam sebarang idea bagaimana mereka akan menghentikan skandal ini sekiranya mereka berkuasa kelak.

“Contohnya, adakah pembangkang sanggup mengatakan jika mereka berkuasa, mereka akan pastikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak akan diterajui lantikan politik atau mereka yang mempunyai hubungan dengan parti politik? Hanya yang paling kompeten akan mengetuai GLC?

“Mereka asyik mengkritik tetapi kritikan tidak cukup untuk memenangi kepercayaan. Anda perlu cadangkan penyelesaiannya.”

Rakan kongsi DAP dalam Pakatan Harapan, Parti Amanah Negara (Amanah) pula mengambil sikap berhati-hati sebelum membuat pendirian.

Timbalan presidennya Salahudin Ayub merancang mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagi mendengar sendiri pandangan pihak Tabung Haji mengenai kemelut itu.

“Kami akan mendapatkan maklumat yang jelas terlebih dahulu. Kami tidak mahu hentam semberono, kerana ia melibatkan institusi yang paling dekat dengan umat Islam di negara ini,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Selepas pertemuan dengan Jamil, Amanah akan membuat pendirian berdasarkan nota yang dibandingkan antara pihak Tabung Haji dengan maklumat diperoleh daripada sumber lain.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyudin Hassan membela Tabung Haji sebaik sahaja bertemu dengan Jamil di Parlimen baru-baru ini susulan surat daripada Zeti itu.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata Tabung Haji bukan sebuah bank dan tidak beroperasi sebagai institusi kewangan yang lebih berorientasikan keuntungan maksimum berbanding pulangan kepada pendeposit.

“PAS berpuas hati dengan penjelasan menteri yang menjaga Tabung Haji serta pengurusan tertinggi lembaga itu yang mengesahkan prestasi kewangan mereka berada dalam keadaan baik, terutama apabila mengambil kira nilai aset keseluruhan portfolio pelaburan.

“Apa yang lebih penting adalah jaminan yang bonus pendeposit bagi 2015 akan diumumkan dan dibayar dalam waktu terdekat,” katanya.

Namun Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempunyai sikap jauh berbeza dengan Takiyudin apabila beliau dengan nada yang panas mencadangkan Azeez meletakkan jawatan. – 3 Februari, 2016

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur, MALAYSIA
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links
ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links

Copyright by ILHAM Centre. –  All rights reserved.

Copyright by ILHAM Centre. |  All rights reserved.