Pemecatan Muhyidin tidak untungkan pembangkang, kata pengkaji

Pengerusi Eksekutif Ilham Centre Hisomudin Bakar, berkata insiden pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri tidak akan menjadi pemangkin perubahan undi kepda pembangkang Cuma ia sekadar protes mengikut lokaliti tertentu sahaja. – Gambar fail The Malaysian Insider, 30 Julai, 2015.Insiden pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan menjadi pemangkin perubahan undi kepada pembangkang, kata badan pengkaji politik Ilham Centre hari ini.

Jika ada pun, kata pengerusi eksekutifnya Hisomudin Bakar, ia sekadar protes mengikut lokaliti tertentu sahaja.

“Tiada apa boleh diharapkan daripada pengundi Melayu. Sukar berubah, malas berfikir, selesa dengan apa yang ada. Retorik ketuanan kaum. Cina ancaman utama. Ini formula untuk Umno/Barisan Nasional (BN) terus berkuasa,” kata Hisomudin dalam kenyataannya hari ini.

Namun kata beliau, ancaman sebenar sekarang kepada kerajaan adalah pengundi muda Melayu.

Ini kerana mereka terdedah dengan maklumat pantas melalui media sosial dan portal di Internet.

“Justeru, segmen ini perlu direbut. Segmen ini sangat rapuh (fragile). Jumlah besar kelompok ini menjadi kuasa penentu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang,” kata beliau.

Menurut Ilham Centre, sepanjang penglibatan dalam kajian lapangan, pola pengundi Melayu cukup unik dan mereka sukar membuat perubahan politik.

Antara rumusan pola pengundi Melayu adalah, pilihan politik atas dasar parti dan yang menjadi turun temurun.

“Jika ada anak ada cucu berlawanan arus, mereka memilih untuk berdiam diri. Faktor pilihan atas calon dan isu terlalu minima,” katanya sambil menambah pengundi Melayu juga berfikiran selapis dan mudah.

Mereka tidak suka memikirkan perkara besar, rumit dan berbelit-belit apatah isu melibatkan jumlah angka besar yang sukar dihadamkan pengundi Melayu.

Lokaliti mereka yang berada di pedalaman pula, jauh daripada sumber maklumat primer menambah kelebihan kepada Umno dan BN, katanya.

Justeru, majoriti kerusi Parlimen pedalaman menjadi milik Umno dan BN.

Mereka pula menurut Hisomuddin, yang banyak membuat kajian politik Melayu, lebih mempercayai berita disampaikan parti pemerintah.

Mereka amat bergantung kepada media perdana dalam membentuk sikap dan pendirian politik dengan TV3 dan Utusan menjadi sandaran utama yang dominan sekali gus menyebabkan tidak terkesan dengan gelombang nasional.

“Jika adapun, sifatnya sementara kerana faktor emosi, marah. Ketika itu akan ada sabotaj pada Umno dan BN, namun sifatnya lokal, tidak menyeluruh tetapi hanya sementara.

“Masa yang panjang akan meredakan ketegangan, dan akhirnya sokongan kembali kepada asal,” katanya.

Pengundi Melayu juga katanya mudah terjebak dengan isu perkauman terutama Cina dan India.

“Cina dilihat dalam perspektif mengancam ketuanan Melayu, merebut kuasa. Melayu akan merempat di bumi sendiri. India pula minoriti, lagak samseng dan merupakan kaum pendatang. Elemen rasis ini mudah bagi Umno/BN untuk menuai hasil,” tambahnya.

Selain kaum, isu dan sentimen agama juga menjadi “pillar” bagi undi sukar berubah.

Bagi majoriti pengundi Melayu, walaupun Umno dilihat nasionalis Melayu yang kurang Islamik, ia lebih menjamin berbanding pembangkang yang dilihat lebih gagal menjaga Islam serta sering kali memanipulasi agama demi kepentingan politik.

Kelompok warga emas dan kaum ibu pula antara penyumbang tetap kepada Umno/BN, katanya. – 30 Julai, 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur, MALAYSIA
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links
ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links

Copyright by ILHAM Centre. –  All rights reserved.

Copyright by ILHAM Centre. |  All rights reserved.