KUALA LUMPUR : Kempen #UndiRosak ini mungkin akan beri kesan kepada kerusi parlimen milik Pakatan Harapan, namun ia tidak cukup untuk memberi impak yang besar dalam keputusan keseluruhan pada Pilihan Raya Umum akan datang, kata penganalisis politik Hisomuddin Bakar.
Bagaimanapun, kata Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre itu lagi, kempen #UndiRosak yang majoriti penggeraknya adalah daripada golongan muda ini tidak harus ditolak tepi kerana mereka dilihat berstruktur, dan bijak menggunakan platform media sosial.
“Kempen ini dilihat memberi kesan kepada Pakatan Harapan kerana mereka banyak memenangi kerusi di bandar dan pinggir bandar. Jadi kempen itu beri impak dan kerugian kepada blok Pakatan Harapan yang berada di posisi ini.
“Tapi dalam konteks undi, majoriti yang diperoleh pembangkang di bandar dan pinggir bandar agak besar, jadi kempen ini tidak jejaskan secara langsung kepada keputusan pengundian akan datang,” katanya ketika dihubungi Astro Awani di sini, hari ini.
Kempen #UndiRosak didakwa dimulakan segelintir anak muda bagi menolak Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri pilihan Pakatan Harapan sekiranya gabungan pembangkang itu memenangi pilihan raya nanti.
Sumber; http://www.astroawani.com/berita-malaysia/malaysiamemilih-kempen-undirosak-beri-kesan-kepada-pakatan-harapan-penganalisis-166766