Isu Tabung Haji goncang tiang seri Umno, kata penganalisis

Isu pembelian tanah milik 1MDB oleh Lembaga Tabung Haji (TH) kini menggoncang tiang seri sokongan terhadap Umno iaitu orang Melayu, dan menggugat kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata penganalisis politik.

Ibrahim Sufian dari Merdeka Center dan Mohamad Hisommudin Bakar dari Ilham Centre sepakat bependapat pentadbiran Najib tergugat teruk kerana Tabung Haji merupakan nadi penyatuan ekonomi umat Islam di segala peringkat.

Namun, wang untuk tujuan murni kini kelihatan dikotorkan.

“Bacaan kami memperlihatkan kemelut ini boleh menghakis sokongan orang Melayu yang kini menjadi teras sokongan kepada Umno dan Barisan Nasional. Tiang seri Umno kini kian bergoncang,” kata Hisommudin kepada The Malaysian Insider.

Ibrahim pula berpendapat, tekanan terhadap Najib bukan saja daripada pengkritiknya tetapi juga pemimpin akar umbi Umno susulan tekanan langsung pemegang akaun Tabung Haji.

“Saya yakin, isu ini akan menekan ketua-ketua bahagian Umno di seluruh negara secara langsung daripada ahli di peringkat bawah. Apabila itu berlaku, mereka pula akan menekan pucuk pimpinan Umno khasnya perdana menteri sendiri,” kata Ibrahim kepada The Malaysian Insider.

Sehingga kini, Pemuda Umno secara terang-terangan mempertikaikan cara 1MDB dikendalikan, apatah lagi dengan pinjaman Tabung Haji kepadanya.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar sendiri mempersoalkan transaksi antara Tabung Haji dan 1MDB dalam proses pembelian tersebut.

“Pemuda Umno tidak menafikan keperluan Tabung Haji untuk membuat pelaburan. Pelaburan dalam pasaran modal (pembelian saham) dan sektor hartanah harus dibuat oleh Tabung Haji bagi menjana pulangan yang dapat diagih kepada pendeposit Tabung Haji dalam bentuk dividen.

“Yang menjadi pertikaian dalam pembelian tanah TRX ini cara bagaimana transaksi ini dilaksanakan,” kata Khairy semalam.

Ilham Centre menjangkakan isu ini menjadi ruang terbaik bagi pengkritik Putrajaya dan Najib, kerana Tabung Haji melibatkan pegangan pelaburan orang Melayu Islam.

Beliau berkata, isu ini mudah mengetuk kefahaman rakyat kerana melibatkan soal simpanan untuk tujuan ibadah, berbanding isu 1MDB mahupun GST, yang kelihatan agak rumit difahami.

Maka, Hisommudin berkata isu ini juga menyertai senarai baharu tekanan ke atas Najib selepas serangan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kes Altantuya, 1MDB dan gaya hidup Datin Seri Rosmah Mansor.

Semalam, Dr Mahathir sekali lagi bersuara, dan terang-terangan meminta Tabung Haji membatalkan serta merta pembelian tanah 1MDB.

Menulis di blognya, bekas perdana menteri itu menyatakan kekesalannya dengan situasi tersebut apabila Tabung Haji menggunakan wang penyimpan bagi memulihkan atau menjamin hutang 1MDB.

Hisommudin berkata walaupun Umno dan Najib mendakwa masih mendapat sokongan daripada ketua bahagian Umno seluruh negara, sokongan itu hanya lapisan atas yang mendapat laba politik dan bukannya mewakili seluruh suara Umno dan orang Melayu.

“Spektrum sokongan veteran dan penyokong Umno yang mengagumi Tun Mahathir, dan anak muda Melayu kian kritis dan mula beralih sokongan daripada Umno,” katanya yang banyak membuat kajian tentang politik orang Melayu dan Islam.

Kesimpulannya, Hisommudin berkata isu Tabung Haji ini bakal mengheret kredibiliti Najib, dan mencabar akauntabiliti Tabung Haji dalam menjelaskan kebimbangan rakyat khususnya orang Melayu Islam.

“Jika gagal kali ini, bersedialah Najib untuk berundur dan masa depan Umno kian malap,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim berkata apa yang berlaku sekarang adalah kesan buruk yang berlaku kepada 1MDB sehingga semua yang tersentuh dengannya “menjadi arang”.

“Penjelasan yang diberikan pula tidak meyakinkan orang ramai,” katanya mengulas tekanan ke atas Najib ekoran isu terbaharu melibatkan Tabung Haji.

Beliau bersetuju dengan Hisommuddin isu Tabung Haji-1MDB meletup kerana melibatkan “wang suci” untuk umat Islam menunaikan haji.

Namun, Ibrahim tidak dapat menjangka selama mana Najib boleh bertahan, walaupun tekanan ke atasnya semakin berat. – 9 Mei, 2015.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur, MALAYSIA
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links
ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links

Copyright by ILHAM Centre. –  All rights reserved.

Copyright by ILHAM Centre. |  All rights reserved.