PRK P176 Kimanis: Faktor Parti Kerajaan Bantu Warisan Menang

January 16, 2020

POLA PENGUNDIAN DAN PREDIKSI PILIHAN RAYA KECIL P176 KIMANIS

PANEL PENYELIDIKAN ILHAM CENTRE

Khamis, 16 Januari 2020

FAKTOR PARTI KERAJAAN BANTU WARISAN MENANG

Pendahuluan

Pilihan Raya Kecil P176 Kimanis pada peringkat awalnya menyaksikan persaingan adalah terbuka dan sengit kepada kedua-dua pihak yang bertanding. Namun menjelang minggu kedua berkempen, Parti Warisan Sabah (Warisan) dilihat mendahului dan berupaya untuk merampas kerusi yang sebelumnya dimenangi tipis oleh Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-14.

Tinjauan akhir ILHAM Centre yang dilakukan secara tatap muka telah diadakan pada 11 sehingga 14 Januari 2020 dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata. Kajian lapangan ini melibatkan 401 responden yang merupakan pengundi berdaftar P176 Kimanis mewakili semua segmentasi etnik, jantina, umur dan lokaliti.

Demografi Kimanis menunjukkan sebanyak 67 peratus adalah terdiri daripada Muslim Bumiputera (majoriti daripada etnik Melayu Brunei dan sedikit Bajau), Non-Muslim Bumiputera 30 peratus (majoriti daripada etnik Kadazandusun-Murut), Cina 3 peratus dan lain-lain 0.3 peratus.

Data dikumpul oleh penyelidik menggunakan kaji selidik dan protokol temu bual separa berstruktur melibatkan sembilan enemurator lokal yang memahami nuansa tempatan. Data kajian kemudiannya dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik. Ralat kajian dicatatkan sebanyak 5 peratus dengan peratus keyakinan sebanyak 95 peratus.

Landskap Politik Sabah dan PRU-14

Sesuatu yang menarik dan perlu diketahui ialah landskap politik Sabah adalah sangat dinamik, rencam dan jauh berbeza berbanding landskap politik Semenanjung. Mempunyai lebih 30 suku etnik yang mempunyai bahasa dan dialek yang pelbagai, isu-isu kewilayahan, menjadikan sosio-budaya dan politik rakyat Sabah adalah sangat unik dan mempunyai etos yang tersendiri.

Ciri tradisi politik Sabah yang berpaksikan personaliti dan “big men” masih lagi memainkan peranan besar dalam mempengaruhi kempen dan psikologi politik Sabah.

Keupayaan sebuah parti baru Warisan yang ditubuhkan pada 2016 dan diketuai oleh Mohd Shafie Apdal bersama Pakatan Harapan Sabah memenangi 14 kerusi Parlimen daripada 25 jumlah kerusi  dan 29 kerusi DUN daripada 60 jumlah kerusi dalam pilihan raya umum ke-14 serta menguasai Kerajaan Negeri adalah sesuatu yang menakjubkan.

Kepimpinan dan ketokohan Shafie Apdal, strategi menubuhkan sebuah parti lokal bersifat kenegerian serta kerjasama strategik dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan Sabah merupakan antara faktor utama kenapa Barisan Nasional Sabah yang ditunjangi oleh Umno akhirnya kalah dan kehilangan kerajaan negeri.

Pas Sementara Sabah

Pas Sementara Sabah (PSS) merupakan isu terbesar dan sangat signifikan dalam pilihan raya kecil ini. Serangan BN yang dibantu oleh parti-parti dan NGO-NGO lain bermula seawal sebelum hari penamaan lagi dengan mendakwa PSS akan membuka ruang kepada pendatang tanpa izin mendapat kewarganegaraan dan merebut hak-hak penduduk asal Sabah. Warisan pula mendakwa ianya adalah cadangan daripada kerajaan BN terdahulu dan mempertahankan PSS sebagai sebuah dasar yang baik untuk membendung pendatang tanpa izin di Sabah yang berleluasa sekian lama.

Isu PSS juga dimainkan sebagai isu keselamatan oleh BN. Warisan yang menghalakan hujah hak dan kewarganegaraan dalam isu PSS berdepan dengan permasalahan membina kefahaman pengundi tentang isu ini.

Sebanyak dua soalan yang khusus ditanya kepada responden dalam kajian ini. Ditanya kepada responden sejauh mana kefahaman mereka terhadap isu kontroversi PSS, sebanyak 62 peratus responden menyatakan mereka amat memahaminya dan 38 peratus menyatakan sebaliknya. Bagi mereka yang menjawab tidak memahami isu PSS, mereka menyatakan tiada penjelasan yang jelas dan komprehensif oleh Kerajaan terutama di kawasan-kawasan kampung dan pedalaman.

Soalan kedua yang ditanya adalah tentang tahap persetujuan terhadap pelaksanaan PSS oleh Kerajaan. Sebanyak 38 peratus responden menyokong, 30 peratus tidak pasti dan 32 peratus menyatakan mereka tidak menyokong dan membantah keras pelaksanaan PSS ini nanti. Kebanyakan mereka yang membantah keras PSS adalah terdiri daripada etnik Kadazandusun-Murut.

Parti Kerajaan Memberi Kelebihan Besar Kepada Warisan

Tampil dengan imej Parti Kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan, ianya memberi kelebihan yang cukup besar kepada Warisan dalam pertandingan kali ini.

Dapatan-dapatan kajian di lapangan yang kami temui menunjukkan psikografi pengundi sangat cenderung kepada parti pemerintah terutama dalam kalangan etnik Melayu Brunei dan pengundi yang berada di lokaliti pedalaman. Mereka beranggapan adalah penting untuk mengundi parti Kerajaan supaya kebajikan, kemajuan dan pembangunan mampu dibawa ke kawasan mereka berbanding memilih parti yang bukan parti pemerintah.

Faktor Bersatu dan PHRS

Selepas penguasaan Warisan dan PH dalam kerajaan negeri (dan persekutuan) pada Mei 2018, Barisan Nasional Sabah menyaksikan berlakunya perpecahan dan penghijrahan secara beramai-ramai terutamanya daripada pemimpin-pemimpin Umno Sabah kepada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Penghijrahan ini melibatkan 4 Ahli Parlimen dan 9 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Mohd Arifin Mohd Arif yang merupakan ADUN Membakut di bawah Parlimen Kimanis.

Menjadi persoalan di sini ialah adakah penghijrahan ADUN Membakut Mohd Arifin ke Bersatu akan turut membawa undi pengikut-pengikut beliau? Dapatan kajian menunjukkan pengundi BN bersedia untuk memberi undi kepada Warisan dengan peralihan yang cukup signifikan.

Satu lagi faktor yang cukup penting ialah ialah pengundi Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) yang berjumlah 1,300 undi dalam pilihan raya terdahulu. Pengasas dan pemimpin utama parti ini iaitu Lajim Ukin telah membubarkan PHRS dan mengisytiharkan masuk Bersatu. Dapatan kajian turut menunjukkan penyokong PHRS bersedia untuk memberi undi kepada Warisan pada hari pembuangan undi nanti.

Isu Lokal Lebih Dominan

Berbanding siri-siri pilihan raya kecil selepas 9 Mei 2018, pilihan raya kecil kali ini menyaksikan isu-isu nasional tidak mendapat tempat dalam psikografi pengundi. Sebanyak 87 peratus responden menyatakan isu-isu lokal dan kenegerian adalah perkiraan utama mereka dalam memilih undi nanti berbanding isu nasional yang hanya mendapat tempat 13 peratus.

Isu yang dibawa oleh Warisan iaitu isu MA63 juga tidak mendapat perhatian oleh responden disebabkan ianya sukar difahami dan kompleks. Walau bagaimanapun, mereka menyokong tindakan Kerajaan Negeri untuk menyokong Kerajaan Persekutuan bagi meminda perlembagaan untuk mengembalikan status asal Sabah dalam persekutuan dengan peratusan bersetuju 67 peratus manakala 28 peratus mereka yang tidak pasti tentang perkara ini dan 5 peratus menolaknya.

Isu-isu dan naratif seperti Kerajaan PH gagal membela Melayu-Islam (26 peratus), kegagalan Kerajaan Persekutuan menunaikan manifesto (35 peratus) serta Kerajaan PH dikuasai oleh DAP (24 peratus) adalah kecil dan tidak menjadi perkiraan utama bagi responden di sini.

Karim Bujang Lebih Mesra Rakyat Berbanding Mohamad Alamin

Calon Warisan Karim Bujang yang pernah berkhidmat sebagai ADUN Bongawan selama 5 penggal di atas tiket Barisan Nasional memberi kelebihan yang besar kepada beliau dengan 57 peratus responden berpandangan beliau lebih mesra rakyat dan mempunyai kredibiliti berbanding calon BN Mohamad Alamin sebanyak 43 peratus.

Karim Bujang disifatkan sebagai seorang yang ramah dan kerap turun padang mendengar permasalahan rakyat. Meskipun terdapat juga rungutan dalam kalangan responden tentang kurangnya pembaharuan dan pembangunan yang dibawa oleh beliau sepanjang 5 penggal menjadi ADUN, ianya tidak menghalang responden untuk mengundi Warisan.

Kempen

Dalam aspek kempen, BN memaksimumkan isu PSS sebagai titik tumpu serangan mereka dan Warisan mengambil pendekatan defensif dan intensif untuk menerangkan isu ini kepada pengundi seramai mungkin.

Warisan juga menyerang BN dengan mengaitkan kerjasama Umno dengan PAS dalam Muafakat Nasional akan menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama di Sabah. Responden yang kami temui khususnya daripada etnik KDM mengakui bimbang kerjasama Umno dan PAS akan menyemarakkan politik ekstrim di Sabah yang sebelum ini lebih harmoni.

Kesimpulan

Keupayaan jentera pilihan raya untuk membawa pengundi masing-masing ke pusat pengundian akan turut mempengaruhi jumlah keluar mengundi dan seterusnya akan menentukan jumlah majoriti pemenang.

Menjelang hari-hari terakhir pembuangan undi, isu PSS ini sememangnya akan terus dan mampu mempengaruhi sedikit sebanyak kempen dan kecenderungan pengundi. BN mengharapkan isu PSS ini akan memangkin undi mereka untuk mengalahkan Warisan.

Namun faktor kelebihan sebagai parti pemerintah, peranan “big men” yang memangkin peralihan undi penyokong Bersatu dan PHRS ke Warisan, serta faktor parti lokal akan menyaksikan Warisan bakal keluar selaku pemenang dalam Pilihan Raya Kecil P176 Kimanis Sabtu ini.

 

Laporan disediakan oleh panel penyelidikan ILHAM Centre yang terdiri daripada Dr Mohd Yusri Ibrahim, Mohd Azlan Zainal, Mohd Jalaluddin Hashim, dan Prof. Madya Dr Hamidin Abd Hamid.

 

Mengenai ILHAM CENTRE

ILHAM Centre adalah merupakan sebuah firma penyelidikan bebas yang mengkhususkan kepada tinjauan awam, kajian pasaran dan data analitik dalam bidang kajian politik dan pilihan raya, polisi awam dan sosio-ekonomi. Tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan adalah menggunakan kaedah metodologi penyelidikan yang ketat sebagaimana piawaian akademik bagi menghasilkan keputusan yang kredibel, bebas dan tepat. ILHAM juga telah menubuhkan ILHAM Analytica bagi membantu penyelesaian yang lebih menyeluruh dan komprehensif.

ILHAM berpendapat, dalam usaha negara mencapai sebuah negara maju dan mempunyai peradaban yang tinggi, setiap keputusan atau sesuatu dasar yang dirangka hendaklah berasaskan data dan maklumat yang tepat. Melalui tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan, maka perkara ini akan dapat dihubungkan dan seterusnya pihak-pihak berkepentingan akan merangka sesuatu polisi dan dasar dengan lebih tepat dalam memenuhi aspirasi masyarakat dan negara.

ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur, MALAYSIA
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links
ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links

Copyright by ILHAM Centre. –  All rights reserved.

Copyright by ILHAM Centre. |  All rights reserved.