PKR bakal paling rugi di Selangor

Kegagalan membuat keputusan jelas, sama ada mahu bersama PAS atau DAP dan Amanah dalam Pakatan Harapan, akan memberi kesan buruk kepada PKR pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang, terutamanya di Selangor.


Ketika PKR masih mahu “makan” kiri dan kanan, DAP dan Amanah juga mempunyai rancangan PRU14 untuk bergerak bersama tanpa melibatkan parti Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Pengumuman Tony Pua yang DAP akan bertanding di 8 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) PAS di Selangor hanya sebahagian daripada rancangan itu.

Jika kesepakatan gagal dicapai sebelum PRU14, DAP dan Amanah akan turut bertanding di kerusi yang ditandingi PKR sebelum ini.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali mempersoalkan hasrat DAP bertanding di 8 kerusi parti Islam itu di Selangor, apakah ia disebabkan mereka tidak percaya kepada Amanah.

Pemerhatian Mustafa itu dengan mengandaikan PKR, DAP dan Amanah masih bergerak dalam gabungan Pakatan Harapan.

Keadaan menjadi berbeza sekiranya DAP hanya bergabung dengan Amanah pada PRU14 kerana jumlah kerusi yang bakal ditandingi kedua-dua parti itu di Selangor akan menjadi lebih banyak.

Jika DAP mahu 8 kerusi DUN PAS yang mereka percaya boleh menang, sudah tentu Amanah akan diberikan lebih banyak kerusi disandang PKR.

PKR paling rugi di Selangor?

Perpecahan dalam PKR sekarang adalah di antara kumpulan yang mempertahankan PAS, dan yang mahu bersama DAP dan Amanah dalam Pakatan Harapan.

Kumpulan yang mempertahankan PAS percaya, mereka perlukan parti Islam itu untuk memenangi hati pengundi Melayu, terutamanya di kawasan pedalaman.

Sementara kumpulan pro-Pakatan Harapan pula percaya, kerusi PKR kebanyakannya merupakan kerusi campuran dan bukan kawasan pedalaman yang mereka boleh menang tanpa bantuan PAS.

Seorang pemimpin Amanah memberitahu penulis, mereka percaya jika bergerak bersama DAP, kedua-dua parti itu berpeluang menang banyak kerusi di Selangor, terutamanya di kerusi campuran.

Mereka percaya di kerusi campuran, yang menjadi penentu adalah pengundi bukan Melayu terutamanya masyarakat Cina.

Menurut pemimpin Amanah itu, secara tradisinya pengundi Melayu sudah berpecah di antara menyokong Umno dan PAS.

Beliau berkata, di negeri seperti Selangor, pengundi Melayu di bandar yang sebelum ini menyokong PAS akan mengalihkan sokongan mereka kepada Amanah.

Pemimpin Amanah itu turut yakin sokongan pengundi bukan Melayu terhadap mereka dan DAP akan kekal kerana sikap konsisten kedua-dua parti itu dalam pelbagai isu.

Ini juga dikuatkan lagi dengan kajian terbaharu Ilham Centre pada Oktober yang menunjukkan PKR hilang 15% sokongan pengundi Cina kerana sikap “flip-flop” dihadapi parti itu.

“Sebelum muktamar, PKR berada dalam rating 65% undi Cina. Tetapi 2 minggu lepas, ia hilang 15% sokongan undi.

“Bagi saya, undi Cina memberikan mesej jelas yang mereka tidak dapat menerima politik flip-flop dan tidak konsisten dalam pendirian untuk menghadapi Barisan Nasional (BN),” kata Pengarah Ilham Center, Hisomuddin Abu Bakar.

Jika Amanah dan DAP membuat keputusan untuk bergerak bersama dan meninggalkan PKR, apakah nasib kerusi DUN seperti Ijok, Rawang, Batu Caves, Bukit Antarabangsa, Kajang, Seri Setia, Taman Medan, Bukit Lanjan, Kota Anggerik, Batu Tiga, Sementa, Pelabuhan Klang, Seri Andalas dan Sri Muda?

PKR harus membuat keputusan jelas. Jangan sampai keadaan bertukar menjadi “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.” – 1 November, 2015.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur, MALAYSIA
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links
ILHAM CentreHeadquarters
No. 57-1, Jalan 5/76B, Desa Pandan, 55100, Kuala Lumpur
GET IN TOUCHILHAM Centre Social links

Copyright by ILHAM Centre. –  All rights reserved.

Copyright by ILHAM Centre. |  All rights reserved.